Bolehkah Melontar Jamrah Pada Hari-Hari Tasyrîq Sebelum Waktu Tergelincir Matahari?
Soalan: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bagi kemaslahatan jemaah-jemaah haji, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Hajinya, telah membuat beberapa perubahan dalam manâsik haji. Perubahan tersebut mengambil kira keadaan tempat dan keselamatan di samping untuk memberi keselesaan kepada jemaah bagi mengelak terjadinya kemalangan yang membawa kepada kehilangan banyak jiwa.
Perubahan yang dimaksudkan ialah peraturan waktu melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq secara berjadual. Ketetapan peraturan secara berjadual tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerin Haji Arab Saudi kepada jemaah mengikut negara masing-masing tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam. Waktu melontar ini termasuklah sebelum tergelincir matahari (waktu zawâl).
Hal ini telah menimbulkan keraguan sebahagian jemaah, kerana melihat kepada pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa waktu melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq ialah selepas tergelincir matahari (waktu zawâl) dan tidak sah lontaran tersebut jika dilakukan sebelum waktu zawâl kecuali untuk mengganti (mengqadha’). Sebelum peraturan tersebut berkuatkuasa, jemaah Negara Brunei Darussalam telah mengamalkan lontaran sepertimana pendapat mu‘tamad tersebut.
Adakah sah atau boleh melakukan lontaran tersebut (sebelum tergelincir matahari/waktu zawâl), sebagaimana arahan Kementerian Haji Arab Saudi?
Jawapan: Menurut mazhab asy-Syafi‘e bahawa waktu melakukan lontaran bagi ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq iaitu pada hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah setelah waktu tergelincir matahari (waktu zawâl) sehinggalah terbenamnya matahari (waktu ghurûb), sebagaimana yang dijelaskan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, katanya:
Ertinya: Dan masuk (waktu) melontar (pada hari-hari) tasyrîq) dengan tergelincirnya matahari dan keluar (waktunya) dengan terbenamnya matahari. (Kitab Minhâj ath-Thâlibîn: 1/494)
Adalah tidak sah lontaran ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq itu jika ia dilakukan pada waktu sebelum matahari tergelincir menurut qaul mu‘tamad mazhab asy-Syafi‘e. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Tidak sah melakukan lontaran pada hari-hari ini (hari-hari tasyrîq) kecuali selepas matahari tergelincir. (Kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah: 365)
Adapun lontaran yang dilakukan bagi mengganti atau menampal lontaran yang luput iaitu lontaran yang tidak dilakukan pada hari atau hari-hari sebelumnya, maka adalah harus lontaran itu dilakukan pada waktu sebelum tergelincir matahari atau dilakukan pada waktu setelah terbenamnya matahari iaitu waktu malam.
Berkata Syeikh Muhammad Thahir bin Abdul Qadir al-Kurdi a1-Makki Rahimahullâh:
Ertinya: Dan (pendapat) yang mu‘tamad adalah harus melontar jamrah sebelum matahari tergelincir atau pada waktu malam bagi lontaran yang luput (pada hari-harinya), berbeza dengan mendahulukan lontaran hari berkenaan sebelum matahari tergelincir, maka ia adalah ditegah. (Irsyâd az-Zumrah Ii Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi‘e: 102)
Berdasarkan nash-nash di atas, melontar sebelum matahari tergelincir pada hari-hari tasyrîq hanyalah bagi mengganti lontaran yang telah luput pada hari atau hari-hari yang sebelumnya sahaja. Manakala lontaran ketiga-tiga jamrah pada harinya hendaklah dilakukan setelah matahari tergelincir.
Menurut al-Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâh pula iaitu salah seorang ulama daripada mazhab asy-Syafi‘e adalah harus melontar jamrah pada hari-hari tasyrîq pada waktu sebelum matahari tergelincir.
Pendapat beliau ini telah dinukil oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn, katanya:
Ertinya: Bahkan ar-Rafi‘e menjazamkan (menetapkan pendapat keharusan melontar sebelum waktu zawâl) - dan diikuti oleh al-Isnawi (dengan mengi‘timâdkan pendapat ini) -dan beliau berkata: “Bahawasanya pendapat yang diketahui (dalam mazhab asy-Syafi‘e) adalah harus melontar setiap hari (pada hari-hari tasyrîq) sebelum zawâl”. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/480)
Merujuk kepada peraturan waktu-waktu melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyrîq secara berjadual yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji yang bertujuan untuk menjaga keselamatan para jemaah haji di samping untuk memberi keselesaan kepada jemaah bagi mengelak terjadinya kemalangan yang membawa kepada kehilangan banyak jiwa. Dalam ketetapan tersebut, waktu melontar yang telah ditetapkan bagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam adalah termasuk waktu sebelum dan setelah tergelincir matahari. Ketetapan untuk melontar pada waktu sebelum tergelincir matahari adalah bertentangan dengan qaul mu‘tamad mazhab asy-Syafi‘e sebagaimana yang biasa kita jemaah-jemaah haji Negara Brunei Darusssalam amalkan sebelumnya iaitu melontar setelah matahari tergelincir.
Melihat kepada jadual yang disertakan, jemaah haji Negara Brunei Darussalam masih berpeluang untuk melontar pada waktunya iaitu setelah tergelincir matahari menurut qaul mu‘tamad. Walau bagaimanapun peluang dan kesempatan tersebut adalah sangat terhad, lebih-lebih lagi pada hari tasyrîq ketiga untuk melakukan kesemua lontaran pada waktunya.
Maka dalam hal ini, adalah menjadi tangggungjawab pihak pengurusan haji untuk terlebih dahulu mengaturkan giliran melontar jemaah haji Negara Brunei sesuai dengan tuntutan qaul mu‘tamad tersebut, akan tetapi tanpa mengabaikan ketetapan daripada pihak Kerajaan Arab Saudi. Dengan itu nanti bagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang mungkin tidak berpeluang atau berkesempatan melakukan lontaran pada waktunya menurut qaul mu‘tamad kerana mengikut ketetapan tersebut, maka sebagai irsyâd, bukan fatwa, jemaah tersebut boleh mengambil dan beramal dengan pendapat Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâh seperti yang diterangkan di atas iaitu harus melontar jamrah pada hari-hari tasyrîq sebelum waktu matahari tergelincir. Dengan demikian, adalah harus dan tidak ditegah melakukan lontaran sebelum waktu matahari tergelincir itu dan sah lontaran tersebut.
Walau bagaimanapun, jika jemaah haji Negara Brunei Darussalam tidak lagi terikat dengan sistem penjadualan yang diaturkan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi, maka mereka hendaklah melontar selepas matahari tergelincir menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11742
