Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Cadangan Menukar Bentuk Pingat Emas Tulen Kepada Pingat Emas Mikron Bagi Anugerah-Anugerah Hari Guru

Soalan: Sejak anugerah Hari Guru diperkenalkan semasa sambutan Hari Guru Kali Pertama pada tahun 1991, salah satu bentuk anugerah yang diterima oleh penerima-penerima anugerah ialah sebuah pingat yang diperbuat daripada emas 22 karat yang mengandungi 91.6% emas tulen atau lebih dikenali sebagai emas 916 di pasaran. Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-21 Tahun 2011 bercadang untuk mengubah bentuk pingat berkenaan daripada menggunakan emas tulen kepada pingat yang bersalut dengan emas mikron.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah:

1. Menggantikannya dengan pingat yang disalut dengan emas mikron (emas mikron adalah partikel halus daripada habuk emas). Emas mikron mengandungi 4.8 karat emas dan nisbah emas dengan logam lain dalam emas mikron ialah 20% emas dan 80% logam lain.

2. Menyimpan pingat tersebut dalam satu bekas khas (casing) di mana ia tidak perlu dikalungkan kepada penerima semasa penganugerahannya.

Dalam perkara ini, dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai cadangan perubahan berkenaan dari segi hukum syara‘ terutama kesuaian lelaki memakai pingat yang disalut dengan emas mikron berkenaan.

Jawapan: Penggunaan benda-benda yang berasal daripada emas atau perak, sama ada ke atas lelaki mahupun perempuan, adalah terbatas dan tertakluk kepada persyaratan yang ditetapkan oleh syara‘.

Perhiasan Diri Daripada Emas Atau Perak

Kaum perempuan adalah diharuskan memakai perhiasan-perhiasan yang khusus bagi diri mereka (barang kemas) yang diperbuat daripada emas atau perak seperti gelang tangan, kalung leher, cincin, anting-anting dan gelang kaki. (Kitab al-Majmû‘: 4/328-330 dan Mughni al-Muhtâj: 1/580)

Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanannya, kemudian Baginda mengangkat kedua-duanya dengan dua tangannya seraya berkata: “Sesungguhnya dua benda ini (sutera dan emas) adalah haram (penggunaannya untuk perhiasan) ke atas umatku daripada kaum lelaki dan halal bagi mereka daripada kalangan perempuan (untuk berhias).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Manakala bagi kaum lelaki pula, perhiasan diri yang diharuskan oleh syara‘ hanyalah cincin yang diperbuat daripada perak. Bukan setakat diharuskan, bahkan sunat ke atas kaum lelaki memakainya kerana ittibâ‘ atau meneladani perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam yang telah memakai cincin daripada perak. Perkara ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut ulama lagi, yang disunatkan itu ialah memakai cincin pada jari kelingking sama ada di sebelah kanan atau kiri, dan lebih afdhal ia dipakai di sebelah kanan. (Mughni al-Muhtâj: 1/579 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/259-260)

Adapun perhiasan-perhiasan, seperti rantai, subang dan gelang adalah haram bagi kaum lelaki memakainya, sekalipun bukan diperbuat daripada emas atau perak, kerana perbuatan sedemikian menyerupai kaum perempuan. Kaum lelaki dilarang menyerupai kaum perempuan dan kaum perempuan juga dilarang menyerupai kaum lelaki sebagaimana disebutkan dalam hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya. (al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/261)

Manakala pengharaman kaum lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas ditekankan lagi di dalam hadits lain daripada ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhahu berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas. (Hadits riwayat Muslim)

Para ulama menyatakan bahawa cincin atau perhiasan yang dilarang itu adalah yang mengandungi bahan emas sama ada dalam kandungan bahan emas yang banyak mahupun hanya sedikit.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata: “... para ulama telah berijmâ‘ tentang hukum haram ke atas lelaki memakai perhiasan emas bersandarkan kepada hadits-hadits shahîh yang telah disebutkan sebelum ini dan juga berdasarkan hadits-hadits yang lain. Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syirazi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun buah cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat para ulama.” (Kitab al-Majmû‘: 4/326)

Maka termasuklah dalam pengertian barang-barang perhiasan diri yang mengandungi kadar bahan emas yang sedikit itu jenis-jenis perhiasan emas yang dihasilkan melalui pelbagai proses pembuatan atau penghasilan yang terdapat pada masa ini. Umpamanya cincin emas yang dihasilkan menerusi proses penyalutan (plating) bahan emas ke atas bahan logam yang lain; cincin yang dihasilkan dengan cara ini biasa dikenali sebagai cincin gold plated. Begitu juga, cincin atau perhiasan emas yang dihasilkan menerusi proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain; cincin jenis ini biasa dikenali sebagai cincin emas suasa. Perhiasan-perhiasan seumpama ini tetap haram dipakai oleh kaum lelaki sekalipun kandungan bahan emasnya sedikit.

Bejana Atau Pinggan Mangkuk Daripada Emas Atau Perak

Sama ada lelaki ataupun perempuan diharamkan menggunakan bejana atau pinggan mangkuk yang diperbuat daripada emas atau perak. Perkara ini jelas berdasarkan hadits daripada Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu pakai sutera halus dan jangan (juga) sutera kasar dan jangan kamu minum pada (menggunakan) bejana emas dan perak dan jangan kamu makan pada (menggunakan) talam (pinggan) emas dan perak, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kita (kelak) di akhirat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bejana itu ialah setiap benda yang menurut ‘urf digunakan untuk meletakkan sesuatu padanya. Ulama menerangkan bahawa termasuk dalam pengertian bejana itu benda-benda seperti pencelak mata, bekas (tempat menyimpan) celak mata, pencungkil gigi dan telinga, tempat membakar kemenyan (pedupaan), sudu, tempat penaruhan alat tulis, piring cawan, garpu, cerek (kendi) dan talam. Demikian juga benda-benda lain yang disebutkan ulama itu ialah seperti penutup bekas (kendi) air, jarum, sikat dan seumpamanya. Haram menggunakan semua benda ini apabila ia diperbuat daripada emas atau perak sebagaimana haram menggunakan bejana yang dibuat daripada emas atau perak. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al- Kabâ’ir: 1/198)

Selain untuk tujuan minum dan makan, larangan menggunakan bejana emas atau perak juga dilaratkan kepada lain-lain bentuk penggunaan, bahkan menyimpan atau menaruh tanpa menggunakannya sekalipun seperti menjadikannya perhiasan dan seumpamanya juga haram. Begitu juga, perbuatan mengupah orang untuk membuat bejana emas dan mengambil upah membuatnya juga hukumnya haram. (Kitab al-Majmû‘: 1/308, Mughni al-Muhtâj: 1/61 dan Hâsyiah al-Bajuri: 1/40)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan: “Telah berlaku ijmâ‘ ke atas pengharaman makan dan minum dan segala apa jua cara penggunaan pada bejana emas atau perak.” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/764)

Antara jenis-jenis penggunaan selain makan dan minum yang disebutkan ulama ialah seperti menghias rumah-rumah, kedai-kedai, tempat-tempat perhimpunan, masjid-masjid dan Ka‘bah dengan emas atau perak atau bejana yang diperbuat daripada emas atau perak. (Kitab al-Majmû‘: 1/306, Mughni al-Muhtâj: 1/61 dan Hâsyiah al-Bajuri: 1/41)

Pingat Emas Tulen Dan Pingat Emas Mikron

Pingat pada dasarnya bukanlah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan mahupun bagi kaum lelaki, kerana pada adat kebiasaannya ia dipakai oleh kaum lelaki dan juga kaum perempuan. Maka dari pandangan syara‘ hukum memakainya adalah harus selama mana ia tidak diperbuat daripada emas atau perak.

Adapun pingat yang diperbuat daripada emas atau perak sekalipun nisbah emas atau perak di dalamya hanya sedikit sebagaimana kedudukan emas suasa atau pingat emas mikron yang ditanyakan, maka hukum memakainya tetap ditegah (haram).

Begitu juga, tidak harus atau ditegah menyimpan pingat yang diperbuat daripada emas atau perak sekalipun tidak dipakai sebagaimana penerangan ulama mengenai bejana yang diperbuat daripada emas dan perak, sesuai dengan kaedah fiqhiyyah yang menggariskan:

Ertinya: Apa yang haram hukum menggunakannya maka haram juga hukum menyimpannya. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/321)

Bahan-Bahan Selain Daripada Emas Atau Perak

Selain daripada emas atau perak, tidak ada tegahan yang sama ke atas penggunaan benda-benda lain yang bukan berasal daripada emas atau perak, sekalipun nilai atau harganya melebihi nilai atau harga emas atau perak. Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menerangkan:

Maksudnya: Adakah harus menggunakan bejana-bejana (yang diperbuat) daripada bahan-bahan yang berharga seperti batu delima atau batu permata merah, permata fairuz, batu ‘aqiq (batu permata yang sangat keras), batu zamrud, batu zabarjad, kristal dan yang seumpamanya. Pada perkara ini ada dua pendapat: Pendapat yang ashah dengan sepakat kata ulama mazhab asy-Syafi‘e adalah harus, dan demikianlah sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Umm dan kitab Mukhtashar al-Muzaniy. (Kitab al-Majmû‘: 1/308)

Bahan-bahan berharga yang disebutkan dalam nash di atas pada dasarnya turut juga meliputi bahan-bahan berharga lain yang terdapat pada masa ini seperti platinum, iaitu asal sahaja bahan-bahan tersebut tidak berasal daripada emas atau perak.

Maka sama ada ke atas kaum lelaki atau kaum perempuan haruslah digunakan benda-benda yang berasal daripada bahan-bahan berharga selain daripada emas atau perak untuk pelbagai tujuan selama mana penggunaan benda-benda tersebut tidak menyebabkan pembaziran atau membawa kepada perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum syara‘. Umpamanya, apabila gelang yang mengandungi bahan-bahan seperti permata atau kristal dipakai oleh kaum lelaki, maka hukumnya tetaplah haram kerana perhiasan gelang itu adalah perhiasan diri yang khusus bagi kaum perempuan dan tidak harus dipakai oleh kaum lelaki.

Kesimpulan

Menganugerahkan pingat yang diperbuat daripada emas tulen atau emas mikron kepada lelaki atau perempuan sama ada untuk dipakai atau disimpan oleh si penerima adalah bertentangan dengan hukum syara‘.

Oleh yang demikian, jika anugerah pingat hendak dikekalkan juga sebagai salah satu anugerah, maka bahannya mestilah bukan diperbuat daripada emas atau perak bagi memelihara ketetapan hukum syara‘.

Sebagai cadangan jua, anugerah yang berbentuk benda lebih sesuai dan sangat elok jika ia berupa sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh si penerima seumpama jam tangan yang berkualiti tinggi atau seumpamanya. Padanya bolehlah diabadikan nama majlis (Hari Guru), kategori anugerah (misalnya “Guru Berjasa”) yang diterima dan tarikh penerimaan. Ini lebih munasabah dan lebih menyukakan hati orang yang menerima kerana ia dapat dimanfaatkan dan menjadi kenangan bermakna.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11746