Cadangan Tapak Baru Sebuah Sekolah Yang Berhampiran Dengan Tanah Perkuburan
Soalan: Sukacita dipohonkan kerjasama pihak Tuan untuk memberikan ulasan dan pandangan mengenai cadangan tapak baru sebuah sekolah yang berhampiran dengan tanah perkuburan.
Jawapan: Tanah perkuburan mempunyai harîm. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh harîm ialah:
Ertinya: Keperluan yang dikehendaki bagi kesempurnaan pemanfaatan (sesuatu perkara). (Mughni al-Muhtâj: 2/363)
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Brunei ada menyebut di dalam fatwanya bilangan 31/92 mengenai ‘Harim Kubur Kianggih’:
“Berkata ulama: Harîm ialah kawasan atau tempat yang dihajatkan oleh orang ramai pada kesempurnaan menggunakan sesuatu tempat itu seperti kubur atau sungai. Sebab dinamakan harîm kerana haram mengganggu tempat harîm dengan apa jua ganggu dan ceroboh.”
Manakala di dalam fatwa bilangan 22/68 berhubung persoalan ‘Mendirikan Rumah Stesyen Pam Najis Di Tepi Tanah Kubur’, beliau menyatakan: “Oleh yang demikian nyatalah dari perkatan-perkataan ulama tadi bahawa kubur-kubur ada mempunyai harîm, dan harîm itu kawasan yang di tepi-tepi kubur yang digunakan orang bagi kesenangan dan kemudahan pada menggunakan kubur-kubur itu. Dan harîm kubur itu tiada dapat ditentukan luasnya tetapi hanya mengikut kadar hajat orang yang menggunakannya dari satu masa ke satu masa.”
Maka sehubungan dengan itu, kedudukan cadangan tapak baru sekolah itu adalah tertakluk kepada adakah ia melibatkan dan menjejaskan harîm tapak perkuburan Islam yang berkenaan ataupun tidak.
Jika ia melibatkan dan menjejaskan harîm tapak perkuburan Islam yang berkenaan, maka cadangan tapak itu tidak boleh diteruskan, kerana haram hukumnya mengganggu tempat harîm.
Manakala jika ia tidak melibatkan dan menjejaskan harîm tapak perkuburan Islam yang berkenaan, maka cadangan tapak itu boleh diteruskan, tetapi dengan persyaratan juga bahawa kehormatan kubur dan kemudahan orang-orang yang menggunakan dan menziarahi kubur berkenaan tetap akan terpelihara sekalipun dengan terbinanya sekolah yang dicadangkan itu.
Ini termasuklah juga tidak mendatangkan kekotoran dan bunyi-bunyian yang hingar-bingar seperti muzik, gendang dan seumpamanya kepada kawasan perkuburan. Perkara ini ada disebut oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Brunei ketika mengulas permohonan ‘Mendirikan Bangunan Dekat Dengan Kubur’ bilangan 13/69:
“Tiada menjadi tegahan mendirikan rumah kediaman (bukan tempat ‘dancing’ atau bar) bersempadan dengan tanah kubur, kiranya rumah dan kubur itu ada sejauh sekira-kira tiada mendatangkan kotor dan hingar-bingar yakni tiada mendatangkan mudharat kepada jirannya.”
Maka adalah penting, perkara ini perlu diambil perhatian juga bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kehormatan kubur dan seumpamanya daripada berbangkit di kemudian hari.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11750
