Harta Waris Dan Wang Sedekah Ketika Meninggal Dunia
Soalan: Dengan penuh hormat saya ingin menghadapkan berapa kemusykilan-kemusykilan seperti berikut:
1. Seorang bapa meninggal dunia meninggalkan sebuah rumah yang masih tertunggak bil letrik dan airnya. Bolehkah rumah tersebut dijual dan wang hasil jualan itu dibayarkan untuk bil-bil yang tertunggak? Apakah pula yang perlu dilakukan terhadap baki wang penjualan rumah tersebut?
2. Seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan ramai anak, wang simpanan dalam bank dan wang sedekah waktu dia meninggal dunia yang tidak diketahui banyaknya. Hanya sebahagian anak-anaknya saja yang mengetahuinya. Bolehkah wang tersebut dibelanjakan untuk majlis tahlîlnya iaitu 3 hari berturut-turut, 7 hari, 40 hari dan 100 hari?
3. Abang kami sudah meninggal dunia. Sewaktu hidupnya beliau tinggal dan dipelihara oleh adik perempuannya. Abang kami ini ada meninggalkan wang simpanan dalam bank dan wang sedekah waktunya meninggal dunia. Bolehkah wang tersebut dibelanjakan untuk majlis tahlîlnya iaitu 3 hari berturut-turut, 7 hari dan 40 hari? Apakah pula yang perlu kami buat terhadap elaun sara hidup dan baksisnya yang masih ada?
4. Ibu bapa kami ada meninggalkan sebidang tanah yang diberikan oleh kerajaan. Salah seorang anak perempuan mereka telah membangunkan sebuah rumah di atas tanah berkenaan dengan kebenaran kedua ibu bapa kami secara lisan. Adakah tanah tersebut dianggap sebagai tanah waris sedangkan anak-anak mereka sudah mempunyai tanah dan rumah sendiri?
Jawapan: Apabila seseorang Islam meninggal dunia, maka semua harta yang tsabit menjadi milik si mati ketika hidupnya sama ada harta itu berbentuk wang, tanah dan sebagainya adalah menjadi hak kepada ahli-ahli warisnya setelah ditunaikan terlebih dahulu daripada harta si mati tuntutan-tuntutan seperti berikut:
i. Perbelanjaan pengurusan jenazahnya dari saat kematiannya hinggalah ke saat pengebumiannya termasuklah perbelanjaan bagi keperluan memandikan dan mengkafankannya.
ii. Segala hutang-piutangnya (si mati) yang wajib dibayar sama ada hutang kepada Allah seperti zakat, haji fardhu, pembayaran kaffârah dan sebagainya atau hutang kepada manusia seperti pinjaman duit. Melunasi hutang kepada Allah hendaklah didahulukan daripada hutang kepada manusia.
iii. Segala wasiatnya (si mati) yang wajib dilaksanakan dengan tidak melebihi 1/3 daripada hartanya (jika dia ada berwasiat).
Kemudian setelah ditunaikan tuntutan-tuntutan tersebut, maka barulah dibahagi-bahagikan harta peninggalan (si mati) yang selebihnya itu kepada ahli-ahli waris yang berhak menerimanya mengikut hukum farâi’dh.
Maka bagi menjawab kemusykilan yang dikemukakan, maka kedudukannya adalah seperti berikut:
1. Rumah (si mati) adalah harus dijual oleh ahli warisnya dengan syarat hendaklah kesemua mereka itu bersetuju untuk berbuat demikian dan wang hasil jualan rumah itu sebelum dibahagi-bahagikan di kalangan ahli waris, hendaklah terlebih dahulu dilunaskan segala hutang-piutang si mati yang menjadi tanggungannya termasuklah hutang letrik dan air yang masih tertunggak dan juga kewajipan-kewajipan yang lain jika ada. Kemudian, apabila berbaki wang si mati, maka wang tersebut adalah berhak diterima oleh ahli warisnya dan wajib diikuti cara pembahagian yang telah ditetapkan dalam ilmu farâ’idh sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bahagi-bahagikanlah harta di antara ahli farâ’idh, menurut Kitab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Muslim)
2. Semua ahli waris berhak mengetahui seluruh harta waris mereka mengikut hukum farâ’idh. Oleh itu, mana-mana ahli waris yang diamanahkan atau menjadi pentadbir untuk menjaga harta si mati, dia hendaklah menjaga amanah tersebut dengan memaklumkan kepada semua ahli waris mengenai harta waris si mati. Jika harta waris si mati digunakan oleh mana-mana ahli waris tanpa izin ahli waris yang lain, maka perbuatan itu adalah berdosa dan wajib menggantinya kerana memakan atau mengambil hak orang lain adalah dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah)
kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)
Larangan ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Khaulah al- Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan (pembahagian) benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud ‘membelanjakan harta Allah tidak dengan (pembahagian) benar’, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan bahawa mereka membelanjakan harta orang-orang Islam dengan cara bâthil. (Fath al-Bâri: 6/343)
Wang simpanan dalam bank si mati adalah menjadi hak milik ahli warisnya setelah ditunaikan terlebih dahulu daripada harta si mati segala tuntutan-tuntutan yang menjadi kewajipan si mati. Adapun wang sedekah kerana kematian si mati, terserah apa yang hendak keluarga si mati gunakan dan mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk kenduri arwah seperti majlis tahlîl dan sebagainya. Wang sedekah yang diberikan kepada keluarga si mati adalah salah satu budaya atau adat kebiasaan masyarakat bagi meringankan beban keluarga si mati itu sendiri dan ia tidak termasuk sebagai harta waris.
3. Menurut hukum farâ’idh, segala harta waris si mati termasuk wang simpanan dalam bank, elaun sara hidup atau baksis wajiblah dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris sama ada lelaki atau perempuan yang berhak menerimanya setelah diselesaikan terlebih dahulu segala tuntutan-tuntutan yang berkaitan dengan pengurusan pengebumian, hutang piutang dan sebarang wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Harta waris yang ditinggalkan oleh si mati hendaklah diagihkan kepada para waris mengikut apa yang telah dinyatakan dalam al-Qur’an sebagaimana dalam surah an-Nisâ’, ayat 11.
Adapun wang sedekah pada hari kematian, ia adalah salah satu budaya atau adat kebiasaan sahaja. Ia tidak termasuk sebagai harta waris si mati. Ia diberikan untuk membantu keluarga si mati menguruskan jenazah si mati atau sebagai tanda simpati kepada mereka atas kehilangan orang tersayang. Maka ia boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga si mati seperti majlis tahlîl dan seumpamanya.
4. Jika nama pada geran sebidang tanah yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada kedua ibu bapa penyoal itu, terdapat padanya nama anak perempuan mereka yang membangunkan rumah itu, maka kedudukannya adalah seperti berikut:
i. Jika hanya nama anak perempuan mereka yang membangunkan rumah itu sahaja yang tertulis padanya, maka tanah tersebut adalah miliknya dan ia tidak menjadi harta waris.
ii. Jika nama anak perempuan mereka yang membangunkan rumah itu tertulis bersama-sama dengan nama kedua ibu bapanya, maka tanah itu adalah milik mereka bersama (anak perempuan dan kedua ibu bapanya) dan bahagian milik ibu bapa sahajalah yang menjadi harta waris.
Tetapi jika nama anak perempuan yang membangunkan rumah itu tidak ada tertulis padanya, maka tanah itu sepenuhnya menjadi harta waris dan hendaklah dibahagikan kepada ahli waris melainkan jika mereka bersetuju memberikan tanah tersebut kepada anak perempuan yang membangunkan rumah di atas tanah tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11754
