Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Lelaki Memakai Suasa, Perak Dan Platinum

Soalan: Apakah hukumnya seorang lelaki memakai suasa, perak dan platinum?

Jawapan: Fuqahâ’ menerangkan bahawa terdapat ketetapan-ketetapan hukum yang tersendiri berhubung dengan pemakaian atau penggunaan benda-benda yang berasal atau diperbuat daripada emas atau perak.

Antara benda-benda yang berasal daripada emas itu ialah suasa kerana secara asasinya ia adalah logam yang terhasil daripada percampuran bahan emas dengan bahan logam yang lain seperti tembaga. (Kamus Nusantara: 2602)

Pemakaian Emas Dan Perak Yang Dilarang

Pada umumnya, penggunaan benda-benda yang berasal daripada emas atau perak adalah dilarang sama ada ke atas lelaki mahupun perempuan kecuali apabila terdapat nash atau dalil yang mengharuskannya.

1. Bejana atau pinggan mangkuk daripada emas atau perak.

Sama ada ke atas lelaki atau perempuan, haram menggunakan bejana atau pinggan mangkuk yang diperbuat daripada emas atau perak. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadits daripada Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu pakai sutera halus dan jangan (juga) sutera kasar dan jangan kamu minum pada (menggunakan) bejana emas dan perak dan jangan kamu makan pada (menggunakan) talam (pinggan) emas dan perak, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kita (kelak) di akhirat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menerangkan bahawa:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan bejana itu ialah setiap benda yang digunapakai untuk diletakkan sesuatu padanya menurut ‘urf, maka termasuk dalamnya (benda-benda seperti) pencelak mata, bekas (tempat menyimpan) celak mata, pencungkil gigi, pencungkil kotoran telinga dan seumpamanya. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 1/198)

Al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Ketahuilah bahawasanya termasuk daripada (maksud) bejana itu ialah bekas (tempat menyimpan) celak mata, tempat membakar kemenyan (pedupaan), sudu, tempat penaruhan alat tulis, piring cawan, garpu, cerek (kendi) dan talam. Dan seumpama sedemikian itu (juga); penutup bekas (kendi) air, pencelak mata, pengorek gigi, jarum dan sikat, maka haram menggunakan semua itu apabila ia (diperbuat) daripada emas atau perak.

Selain untuk tujuan minum dan makan, larangan menggunakan bejana emas atau perak juga meliputi lain-lain bentuk penggunaan, bahkan menyimpan atau menaruh tanpa menggunakannya sekalipun seperti dibuatkan perhiasan dan seumpamanya juga haram. Begitu juga, perbuatan mengupah orang untuk membuat bejana tersebut dan mengambil upah membuatnya juga hukumnya haram. (Kitab al-Majmû‘: 1/308, Mughni al-Muhtâj: 1/61 dan Hâsyiah al-Bajuri: 1/40)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami: “Telah berlaku ijmâ‘ ke atas pengharaman makan dan minum dan segala apa jua cara penggunaan pada bejana emas atau perak.” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/764)

Menurut ulama lagi, haram menghiasi rumah-rumah, kedai-kedai, tempat-tempat perhimpunan, masjid-masjid dan Ka‘bah dengan emas atau perak atau bejana yang diperbuat daripada emas atau perak. (Kitab al-Majmû‘: 1/306, Mughni al-Muhtâj: 1/61 dan Hâsyiah al- Bajuri: 1/41)

2. Cincin daripada emas.

Perhiasan diri yang harus dipakai oleh kaum lelaki seperti cincin, menjadi haram untuk digunakan apabila ia diperbuat daripada emas.

Terdapat banyak dalil yang jelas tentang tegahan ini. Antaranya ialah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah menyatakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Diharamkan ke atas kaum lelaki daripada umatku memakai sutera dan emas dan dihalalkan ke atas kaum perempuan mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadits yang lain, ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhahu berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas. (Hadits riwayat Muslim)

Cincin atau perhiasan yang dimaksudkan dalam tegahan ini ialah cincin atau perhiasan yang mengandungi bahan emas sama ada kandungan bahan emas itu sedikit ataupun banyak. Ini termasuklah jenis-jenis cincin atau perhiasan emas yang dihasilkan melalui pelbagai proses pembuatan atau penghasilan yang terdapat pada masa ini. Umpamanya cincin emas yang dihasilkan menerusi proses penyalutan (plating) bahan emas ke atas bahan logam yang lain. Cincin yang dihasilkan dengan cara ini biasanya dikenali sebagai cincin gold plated. Begitu juga, cincin atau perhiasan emas yang dihasilkan menerusi proses pengaloian bahan emas bersama bahan lain. Cincin jenis inilah yang biasa dikenali sebagai cincin emas suasa. (Fatwa Mufti Kerajaan: 22/1992)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Para ulama telah berijmâ‘ tentang hukum haram ke atas lelaki memakai perhiasan emas bersandarkan kepada hadits-hadits shahîh yang telah disebutkan sebelum ini dan juga berdasarkan hadits-hadits yang lain. Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syiradzi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun buah cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat para ulama. (Kitab al-Majmû‘: 4/326)

Pemakaian Emas Atau Perak Yang Diharuskan

Pemakaian benda-benda daripada emas atau perak adalah diharuskan apabila terdapat nash atau dalil yang mengharuskannya, sebagaimana dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Hidung, hujung jari dan gigi daripada emas atau perak.

Harus bagi kaum lelaki dan juga perempuan yang terputus batang hidung mereka untuk menggunakan hidung lain yang diperbuat daripada emas atau perak berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As‘ad Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Hidungku tercedera pada hari (perang) al-Kulab di zaman jahiliyah, maka aku membuat hidung daripada perak, (tetapi hidung itu) menjadi berbau busuk kepadaku, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruhku supaya aku menggunakan hidung daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Selain daripada hidung, harus juga ke atas kaum lelaki dan perempuan yang kehilangan hujung jari atau gigi untuk memakai hujung jari atau gigi yang diperbuat daripada emas atau perak, sekalipun banyak bilangannya. Perkara ini adalah berqiyâskan kepada keharusan menggunakan hidung yang diperbuat daripada emas atau perak.

Selain daripada hidung, gigi dan hujung jari, maka tidaklah harus menggunakan benda-benda yang diperbuat daripada emas atau perak sebagai ganti kepada organ-organ atau anggota-anggota tubuh badan yang lain, bahkan perbuatan tersebut adalah haram. (Al- Majmû‘: 4/327, Raudhah ath-Thâlibîn: 2/123 & Mughni al-Muhtâj: 1/578-579)

2. Menghias peralatan perang dengan perak.

Harus bagi kaum lelaki sahaja, tidak harus (haram) kepada kaum perempuan menghias (tahliyah) alat-alat perang dengan perak seperti pedang, sarung pedang, anak panah, baju besi dan seumpamanya dengan tidak berlebih-lebihan (isrâf) bagi tujuan menggerunkan musuh. (Kitab al-Majmû‘: 4/331 & Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 3/277-278) Perkara ini tsabit daripada riwayat Sa‘id bin Abu al-Hasan Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Adalah hujung pemegang pedang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada perak. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Juga harus bagi kaum lelaki menghias Mushhaf al-Qur’an dengan perak sahaja bagi tujuan memuliakannya. Manakala bagi kaum perempuan, mereka harus menghias Mushhaf al-Qur’an dengan emas atau perak. (Mughni al-Muhtâj: 1/581 & Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 3/281)

3. Cincin daripada perak.

Harus bahkan sunat bagi kaum lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam sendiri memakai cincin daripada perak. Perkara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu permatanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut ulama, yang disunatkan ialah memakai cincin pada jari kelingking sama ada di sebelah kanan atau kiri, dan lebih afdhal ia dipakai di sebelah kanan. (Mughni al-Muhtâj: 1/579 & I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/259-260)

Bagi kaum perempuan pula, mereka diharuskan memakai perhiasan diri yang diperbuat daripada emas atau perak seperti gelang tangan, kalung leher, cincin, anting-anting dan gelang kaki. (Kitab al-Majmû‘: 4/328-330 & Mughni al-Muhtâj: 1/580) Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanannya, kemudian Baginda mengangkat kedua-duanya dengan dua tangannya seraya berkata: “Sesungguhnya dua benda ini (sutera dan emas) adalah haram (penggunaannya untuk perhiasan) ke atas umatku daripada kaum lelaki dan halal bagi mereka daripada kalangan perempuan (untuk berhias).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Pemakaian Benda-Benda Daripada Platinum

Benda-benda yang diperbuat daripada bahan platinum adalah benda-benda yang berharga kerana harga platinum yang pada kebiasaannya adalah mahal. Walau bagaimanapun, platinum bukanlah bahan yang berasal daripada emas atau perak. Demikian sebagaimana terdapat keterangannya di dalam kamus-kamus.

Kamus Bahasa Melayu Nusantara, sebagai contoh, mentakrifkan platinum itu sebagai:

“Platinum Kim. Unsur logam berharga (logam mulia) berwarna putih kekelabu-kelabuan, tidak kakis (tidak berkorosi), dan digunakan sebagai mangkin (katalis) untuk membuat barang kemas dan lain-lain; unsur dengan nombor atom 78, lambang Pt, dan berat (bobot) atom 195.09; platina I.”

Begitu juga, dalam kamus berbahasa Inggeris seperti Kamus Longman Active Study Dictionary Of English mentakrifkannya sebagai:

“Plat.i.num n [Uncountable] Expensive greyish-white metal that is a simple substance (ELEMENT (1)) and is used esp. in very valuable jewellery: a platinum ring|This ring is (of) platinum.”

Ertinya: Kata nama [Tidak Dijumlahkan] Logam Mahal berwarna putih keperak-perakan merupakan suatu bahan yang tersendiri (UNSUR (1)) dan sering digunakan terutamanya sebagai perhiasan yang sangat berharga: sebentuk cincin platinum|Cincin in (berasal daripada) platinum.

Dan dalam The New Webster’s Encylopedic Dictionary of the English Language:

“Plat.inum n. 1. a heavy, grayish white, highly malleable and ductile metallic chemical element, resistant to most chemicals, practically unoxidizable except in the presence of bases, and fusible only at extremely high temperatures: used for making chemical and scientific apparatus, as a catalyst in the oxidation of ammonia to nitric acid, and in jewelry. Symbol: Pt; at. wt.: 195.09; at. no.: 78; sp. gr.: 21.5 at 20◦C. 2. a light, metallic gray with very slight bluish tinge when compared with silver.”

Ertinya: Kata nama. 1. unsur kimia metalik yang berat, berwarna putih keperak-perakan, mulur dan sangat mudah dibentuk, kalis kebanyakan bahan-bahan kimia yang lain, secara praktiknya tidak dapat disebatikan dengan oksigen kecuali apabila wujud bahan dasar campuran bagi bahan-bahan lain, hanya cair pada suhu yang sangat tinggi: digunakan bagi membuat perkakas kimia dan sains, menjadi mangkin (bahan untuk mempercepatkan tindakan kimia) dalam proses oksidasi bahan ammonia kepada asid nitrik, dan untuk barang-barang perhiasan. Simbol: Pt; berat atom: 195.09, nombor atom: 78, spesifikasi graviti: 21.5 pada 20◦C. 2. metalik kelabu yang ringan dengan sedikit kesan kebiru-biruan apabila dibandingkan dengan perak.

Oleh yang demikian, hukum menggunakan benda-benda yang diperbuat daripada platinum tidak sama dengan hukum menggunakan benda-benda yang diperbuat daripada emas atau perak. Tiada tegahan menggunakan benda-benda yang berasal atau dihasilkan daripada platinum sebagaimana tiada tegahan menggunakan benda-benda yang berasal daripada bahan-bahan berharga yang lain seperti batu permata, intan berlian dan yang seumpamanya iaitu selain daripada emas atau perak.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan:

Ertinya: Adakah harus menggunakan bejana-bejana (yang diperbuat) daripada bahan-bahan yang berharga seperti batu delima atau batu permata merah, permata fairuz, batu akik (batu permata yang sangat keras), batu zamrud, batu zabarjad, kristal dan yang seumpamanya? Pada perkara ini ada dua pendapat: Pendapat yang ashah dengan sepakat kata ulama mazhab asy-Syafi‘e adalah harus, dan demikianlah sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Umm dan kitab Mukhtashar al-Muzaniy. (Kitab al-Majmû‘: 1/308)

Maka dengan itu, khusus untuk platinum, adalah harus bagi kaum lelaki dan perempuan menggunakan benda-benda yang diperbuat daripada platinum selama mana penggunaannya tidak sampai ke tahap membazir atau penggunaannya tidak bercanggah dengan hukum syara‘ seumpama lelaki memakai gelang platinum.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11757