Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Memberi Dan Menjawab Salam Orang Bukan Islam

Soalan: Apakah kedudukan hukum memberi dan menjawab salam kepada/daripada orang yang bukan Islam?

Jawapan: Hukum Memberi Dan Menjawab Salam Sesama Islam

Memberi salam sesama saudara Islam adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Oleh itu umat Islam digalakkan untuk memberi salam kepada sesama Islam sama ada kepada orang yang dikenali ataupun tidak.

Perkara ini ada dinyatakan dalam satu riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Apakah (amalan ajaran) Islam yang paling baik?” Baginda bersabda: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan yang tidak engkau kenali.”

Berbeza pula halnya dengan hukum menjawab salam. Hukum menjawab salam adalah wajib dan kewajipan menjawab salam ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisâ’:86)

Adapun memberi salam kepada orang yang bukan beragama Islam, para ulama mengatakan bahawa haram memulakan memberi salam itu kepada orang yang bukan beragama Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/52, Tuhfah al-Muhtâj dalam Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 9/282)

Telah disebutkan dalam sebuah hadits tentang larangan memberi salam kepada orang Yahudi dan Nashrani. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu terlebih dahulu memberi salam kepada orang-orang Yahudi dan Nashrani. Apabila kamu bertemu dengan salah seorang daripada mereka di jalan, maka kamu mintalah agar dia menyiring. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala jika sekiranya orang bukan Islam itu memberi salam kepada orang Islam, maka orang Islam itu menjawab salamnya dengan mengucapkan حكُمحوَعَلَي (wa‘alaikum) sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka kamu jawablah dengan “wa‘alaikum”. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits ini, hukum menjawab salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam ialah dengan mengucapkan “wa‘alaikum” atau “‘alaikum” sahaja dan tidak lebih daripada itu. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 9/5842)

Memberi Salam Kepada Satu Kumpulan Yang Bercampur Di Dalamnya Orang Islam Dan Orang Bukan Islam.

Sekiranya dalam satu kumpulan atau majlis itu terdapat percampuran antara orang-orang Islam dan bukan Islam, maka harus memberi salam kepada kumpulan tersebut dengan niat untuk memberi salam kepada orang-orang Islam. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam an- Nawawi: 9/5843)

Perkara ini pernah dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menunggang seekor keldai yang dipasangkan di atasnya pelana yang diletakkan di bawahnya kain baldu. Ikut bersama-sama di belakang Baginda (ialah) Usamah bin Zaid dan Baginda (dalam perjalanan) menziarahi Sa‘d bin ‘Ubadah di tempat tinggal Kabilah Bani al-Harits bin al-Khazraj, dan hal itu berlaku sebelum peperangan Badar, sehinggalah Baginda melintasi satu kelompok yang di dalamnya bercampur antara orang Islam dan kaum musyrikin (yang terdiri daripada) penyembah-penyembah berhala dan orang-orang Yahudi…… Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memberi salam ke atas mereka lalu Baginda berhenti. Kemudian Baginda turun dari tunggangannya dan menyeru mereka ke jalan Allah dan membacakan kepada mereka ayat-ayat al-Qur’an…….

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11762