Kaifiyyah Sujud Tilâwah
Soalan: Bagaimanakah kaifiyyah sujud tilâwah sekiranya kita membaca al-Qur’an dan di tengah-tengah surah mempunyai ayat sajdah dan apakah yang sepatutnya dibaca ketika bersujud?
Jawapan: Sujud tilâwah ialah sujud kerana membaca atau mendengar ayat al-Qur’an yang disunatkan padanya sujud. Ayat-ayat al-Qur’an yang disunatkan sujud tilâwah itu dinamakan ayat-ayat sajdah. Terdapat empat belas tempat ayat sajdah dalam al-Qur’an sepertimana yang diterangkan oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘e, iaitu (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/332): 1. Surah al-A‘râf, ayat 206:
Tafsirnya: Sentiasa bertasbih bagiNya serta hanya kepadaNya mereka bersujud. 2. Surah ar-Ra‘d, ayat 15:
Tafsirnya: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sujud (tunduk dan menurut perintahNya), sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa. (Demikian juga) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang. 3. Surah an-Nahl, ayat 50:
Tafsirnya: Mereka takut kepada Tuhan mereka, yang mengatasi mereka serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan. 4. Surah al-Isrâ’, ayat 109:
Tafsirnya: Dan mereka segera merebahkan diri bersujud sambil menangis, sedangkan al-Qur’an menambahkan mereka khusyû‘. 5. Surah Maryam, ayat 58:
Tafsirnya: Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Maha Pemurah, mereka segera merebahkan diri bersujud dan menangis. 6. Surah al-Hajj, ayat 18:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya. 7. Surah al-Hajj, ayat 77:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). 8. Surah al-Furqân, ayat 60:
Tafsirnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): “Sujudlah kamu kepada ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!” Mereka bertanya: “Dan siapakah ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kepada kami?” Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah jauh (daripada iman). 9. Surah an-Naml, ayat 26:
Tafsirnya: Allah! – Tiada tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai ‘Arasy yang besar.
10. Surah as-Sajdah, ayat 15:
Tafsirnya: Sesungguhnya yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh) dan menggerakkan lidah dengan bertasbîh serta memuji Tuhan mereka dan mereka pula tidak bersikap takbur. 11. Surah Fushshilat, ayat 38:
Tafsirnya: Oleh itu, jika mereka tetap menyombong diri (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbîh kepadaNya pada waktu malam dan siang, bahkan mereka tidak pernah jemu. 12. Surah an-Najm, ayat 62:
Tafsirnya: Maka, hendaklah kamu bersujud kepada Allah (yang telah menurunkan al- Qur’an itu), dan beribadatlah kepadaNya (bukan kepada berhala-berhala). 13. Surah al-Insyiqâq, ayat 21:
Tafsirnya: Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan al-Qur’an, mereka tidak mahu taat dan sujud? 14. Surah al-‘Alaq, ayat 19:
Tafsirnya: Dan sujudlah serta dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal salih)! Pada lazimnya, ayat-ayat sajdah ditanda dengan garis dan di penghujung ayat itu ditanda dengan tanda yang berbentuk seakan-akan dome (kubah) dengan dua menara masjid bagi Mushhaf Brunei Darussalam, sementara itu dibidainya tertulis perkataan “ سجدة”. Manakala lain Mushhaf, lain pula bentuknya.
Adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat yang tersebut di atas adalah kerana ayat-ayat tersebut merupakan pujian bagi mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud sama ada secara terang-terangan ataupun secara isyarat. (Hâsyiyatân al-Qalyubi wa ‘Umairah: 1/235)
Pensyariatan sujud tilâwah ke atas pembaca dan pendengar ayat-ayat sajdah itu adalah berdasarkan ijmâ‘ dan hadits-hadits shahîh, antaranya hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila anak Adam membaca ayat sajdah (ayat al-Qur’an yang disunatkan untuk sujud), lalu dia sujud, syaitan akan mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata: “Aduhai celaka dia!” Dalam riwayat Abu Kuraib: (Syaitan berkata): “Aduhai celaka aku! Anak Adam telah diperintahkan untuk sujud lalu dia sujud, maka ganjaran baginya adalah syurga, sedang aku diperintahkan untuk sujud maka aku enggan, maka balasan bagiku adalah neraka.” (Hadits riwayat Muslim)
Bila Waktu Sujud Tilâwah Itu Sunat Dilakukan?
Ketika di luar sembahyang, sujud tilâwah sunat dilakukan apabila ayat sajdah dibaca bukan pada waktu yang dimakruhkan untuk menunaikan sembahyang sama ada tujuan ayat sajdah itu dibaca untuk melakukan sujud tilâwah ataupun tidak.
Di dalam sembahyang pula, sujud tilâwah sunat dilakukan apabila ayat sajdah dibaca tanpa tujuan untuk melakukan sujud tilâwah, atau ayat sajdah dibaca pada sembahyang fardhu Shubuh hari Jumaat sekalipun tujuan ayat sajdah itu dibaca untuk melakukan sujud tilâwah. Jika ayat sajdah dibaca dengan tujuan untuk melakukan sujud tilâwah dan sujud tilâwah dilakukan, maka sembahyang itu akan menjadi batal, kecuali bagi sembahyang fardhu Shubuh hari Jumaat. (Hâsyiyatân al-Qalyubi wa ‘Umairah: 1/235 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/335)
Hukum Membaca Ayat Sajdah
Jika ayat sajdah itu dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang tanpa tujuan untuk melakukan sujud tilâwah, maka bacaan itu tidak dihukumkan makruh, tetapi tidak disunatkan melakukan sujud tilâwah padanya. Jika sujud tilâwah dilakukan juga, maka tidak batal sujud tilâwah itu.
Begitulah juga kedudukannya, jika ayat sajdah dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang dengan tujuan untuk melakukan sujud tilâwah selepas waktu yang dimakruhkan melakukan sembahyang, sujud tilâwah tetap tidak disunatkan untuk dilakukan tetapi bacaan itu dihukumkan makruh.
Berlainan pula kedudukannya, jika ayat sajdah dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang atau ayat sajdah dibaca sebelum waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang, tetapi dengan tujuan untuk melakukan sujud tilâwah pada waktu yang dimakruhkan melakukan sembahyang, maka bacaan itu dihukumkan haram dan sujud itu adalah batal. (Hâsyiyatân al-Qalyubi wa ‘Umairah: 1/235)
Waktu Yang Dimakruhkan Menunaikan Sembahyang
Waktu-waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang adalah seperti berikut:
1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyamai dengan 18 inci.
2. Waktu istiwâ’ iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga tergelincir matahari atau condong ke bawah (kecuali waktu istiwa’ pada hari Jumaat).
3. Waktu matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.
4. Selepas sembahyang fardhu Shubuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Shubuh sehingga terbit matahari.
5. Selepas sembahyang fardhu ‘Ashar sehingga terbenam matahari.
Manakala jenis sembahyang yang dimakruhkan itu pula ialah sembahyang sunat muthlaq iaitu sembahyang yang tidak mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian (seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah).
Syarat-Syarat Melakukan Sujud Tilâwah
Syarat-syarat untuk melakukan sujud tilâwah itu sama seperti syarat-syarat menunaikan sembahyang, iaitu:
1. Hendaklah suci daripada hadats kecil atau besar dan juga suci daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan tempat.
2. Hendaklah dalam keadaan menutup aurat.
3. Hendaklah menghadap qiblat.
4. Hendaklah masuk waktunya ketika melakukan sujud itu. Adapun masuknya waktu sujud itu ialah sejurus sahaja dia selesai membaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah. Jika sekiranya dia bersujud sebelum lagi habis ayat itu dibacanya atau didengarnya, maka sujud tilâwah itu tidak sah dan tidak memadai.
5. Hendaklah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum dan bercakap. (Mughni al-Muhtâj: 1/329, Nihâyah Muhtâj: 2/101 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/334)
Cara Melakukan Sujud Tilâwah Di Dalam Sembahyang
Sujud tilâwah sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada ketika dalam sembahyang berjemaah ataupun berseorangan (munfarid).
Bagi melakukan sujud tilâwah dalam sembahyang berjemaah, kedudukan makmum untuk melakukan sujud tilâwah adalah bergantung kepada imam. Jika imam bersujud kerana ayat sajdah, maka wajib ke atas makmum mengikuti perbuatan imam dengan melakukan sujud tilâwah juga, kerana jika tidak, maka batal sembahyangnya. Jika imam tidak melakukan sujud tilâwah, maka makmum tidak dikehendaki untuk melakukan sujud tilâwah. Jika makmum melakukannya juga, maka sembahyangnya menjadi batal. Akan tetapi sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud tilâwah selepas selesai memberi salam dengan syarat jarak di antara bacaan ayat sajdah dan sujud itu tidak lama. (Hawâsyi asy-Syarwani wa ‘Ibnu Qasim ‘ala Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/235)
Tempoh masa yang dianggap lama (panjang) itu ialah dengan kadar menunaikan sembahyang dua rakaat. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/101)
Jika makmum tidak mengetahui bahawa imam telah melakukan sujud tilâwah, sehinggalah imam mengangkat kepalanya daripada sujud, maka tidak batal sembahyang makmum itu bahkan dia dimaafkan kerana tertinggalnya daripada perbuatan imamnya itu dan dia tidak dikehendaki untuk melakukan sujud tetapi hendaklah menunggu imam dalam keadaan berdiri. Jika makmum mengetahui bahawa imam telah melakukan sujud tilâwah sebelum imam mengangkat kepalanya daripada sujud, maka hendaklah makmum sujud bersama imam tersebut, tetapi jika imam telah mengangkat kepala sebelum lagi makmum sujud, maka hendaklah makmum juga mengangkat kepalanya bersama imam tersebut bagi menyambung semula sembahyang jemaah mereka. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/333)
Tidak makruh bahkan sunat bagi imam melakukan sujud tilâwah sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan bacaan (jahr) atau pada sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan (sirr). Walau bagaimanapun bagi sembahyang sirr, sujud tilâwah sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum dengan syarat jarak di antara bacaan ayat sajdah dan sujud tilâwah itu tidak lama. Begitulah juga halnya pada sembahyang jahr, jika diketahui jarak di antara imam dan makmum itu jauh sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya, maka sunat bagi imam melakukan sujud tilâwah setelah selesai sembahyang bagi mengelakkan kekeliruan para makmum dengan melihat jarak di antara bacaan ayat sajdah dan sujud tilâwah itu tidak lama. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/99-100 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/333-334)
Dalam hal ini, berkata ‘Ali asy-Syibramallisi Rahimahullâh bahawa jika jarak di antara bacaan ayat sajdah dan sujud tilâwah itu panjang (lama), maka tidak sunat bagi imam untuk mengakhirkan sujud tilâwah tersebut setelah selesai memberi salam, bahkan sunat dilakukan sujud tilâwah setelah selesai membaca ayat sajdah berkenaan walaupun perkara itu boleh mendatangkan kekeliruan pada para makmum. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/100)
Melakukan sujud tilâwah ketika dalam sembahyang tidak perlu kepada niat, takbîratul-ihrâm dan salam, hanya sunat melafazkan takbîr tanpa mengangkat tangan lalu sujud kemudian bertakbîr lagi tanpa mengangkat tangan setelah bangun dari sujud untuk meneruskan semula sembahyangnya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/334)
Secara tertibnya bagi melaksanakan sujud tilâwah ketika bersembahyang ialah:
1. Bertakbîr tanpa mengangkat tangan lalu sujud.
2. Selepas sujud iaitu bangun dari sujud tersebut untuk bangkit semula meneruskan sembahyangnya, maka disunatkan lagi dia bertakbîr.
Cara Melakukan Sujud Tilâwah Di Luar Sembahyang
Sujud tilâwah juga sunat dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya.
Jika hendak melakukan sujud tilâwah di luar sembahyang, maka wajib dia berniat untuk melakukan sujud tilâwah lalu bertakbîr seperti takbîratul-ihrâm dalam sembahyang dengan disunatkan mengangkat tangan. Di samping berniat di dalam hati, disunatkan juga melafazkan niat tersebut, seperti lafaznya:
Ertinya: Sahaja aku melakukan sujud tilâwah kerana Allah Ta‘ala.
Selepas itu, disunatkan bertakbîr sekali lagi tanpa mengangkat tangan untuk melakukan sujud. Apabila hendak bangun dari sujud, disunatkan bertakbîr lalu duduk dan disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan duduk tanpa disyaratkan membaca tasyahhud.
Secara tertibnya bagi melaksanakan sujud tilâwah di luar sembahyang ialah:
1. Niat Sujud.
2. Melakukan takbîr seperti takbîratul-ihrâm dalam sembahyang dengan sunat mengangkat tangan.
3. Bertakbîr tanpa mengangkat tangan ketika hendak sujud.
4. Sujud.
5. Bertakbîr ketika bangkit dari sujud.
6. Duduk dan memberi salam tanpa membaca tasyahhud.
(Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/254, Mughni al-Muhtâj: 1/329 dan Nihâyah al-Muhtâj: 2/100)
Dalam keadaan seseorang yang hendak berniat untuk melakukan sujud tilâwah di luar sembahyang, adalah tidak disunatkan baginya bangun dari duduk lalu berdiri untuk bertakbîr, tetapi memadailah hanya dalam keadaan duduk sahaja dia bertakbîr. Namun, jika dia dalam keadaan berdiri, maka lakukanlah takbîr dalam keadaan dia berdiri lalu bertakbîr lagi untuk sujud. (Mughnî al-Muhtâj: 1/329 dan Nihâyah al-Muhtâj: 2/100)
Bacaan Atau Zikir Ketika Sujud Tilâwah
Hukum membaca zikir ketika di dalam sujud tilâwah adalah sunat. Antara zikir yang sunat dibaca itu ialah:
Ertinya: Telah sujud wajahku kepada (Allah) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya, maka Maha Berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Allah, sebaik-baik Pencipta.
Ertinya: Ya Allah! Tuliskan bagiku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga (di sisiMu) dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya dan terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud.
Ertinya: Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.
Walau bagaimanapun, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang sebanyak tiga kali, iaitu:
Ertinya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan dengan segala KepujianNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11766
