Lambang Zodiak (Virgo) Menyerupai Kalimat (الله)
Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa Unit Penapisan Dan Kawalan Terbitan-Terbitan, Bahagian Penapisan Dan Pameran, Pusat Da’wah Islamiah telah menerima aduan orang ramai mengenai lambang zodiak (Virgo) yang menyerupai kalimat (هلل)
Untuk makluman Pehin Mufti, setelah diteliti dan diamati bahawa lambang tersebut merupakan lambang yang digunakan oleh barat untuk mewakili lambang astrologi zodiak bagi bintang Virgo.
Walau bagaimanapun apabila lambang tersebut diputar kepada 180 darjah, maka lambang tersebut menyerupai kalimat "هلل" serta menjadi kewahaman orang ramai.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Sebelum menerangkan hukum mengenai lambang astrologi zodiak mewakili bintang Virgo yang menyerupai kalimah (هلل) jika diputar kepada 180 darjah itu, perlu diketahui apakah ia astrologi zodiak itu. Adakah ia satu cabang ilmu yang dibenarkan atau dilarang oleh Islam? Jika dilarang, bagaimanakah kedudukan penyebarannya dalam negara Islam? Apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh pihak berkuasa dalam negara Islam mengenainya? Memandangkan salah satu lambangnya dilukis menyerupai kalimat (هلل), apakah ia berunsur penghinaan?
Definisi Astrologi, Zodiak dan Virgo
Kamus Dewan memberi erti ‘astrologi’ sebagai ilmu nujum (ilmu peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang-bintang). (Kamus Dewan Edisi Ketiga: 70)
Kamus Oxford Fajar pula memberi erti ‘astrology’ sebagai kajian tentang kedudukan bintang dan pergerakan planet dengan kepercayaan bahawa ini semua mempengaruhi hal ehwal manusia. (Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay Dictionary: 92)
Zodiak pula diertikan dalam Kamus Dewan sebagai:
1. Garisan melengkuk di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama bintang dua belas, mintakulburuj;
2. Gambar rajah mintakulburuj yang digunakan dalam ilmu nujum. (Kamus Dewan Edisi Ketiga: 1559)
Manakala Illustrated Oxford Dictionary menyatakan:
“Zodiak adalah jejalur khayalan di sekitar kawasan langit, yang dibahagikan ke dalam 12 bahagian, dikenali sebagai rasi-rasi (kumpulan-kumpulan bintang) zodiak. Jejalur ini mengandungi ekliptika (garis yang mewakili perjalanan matahari yang jelas kelihatan di langit sepanjang tahun), matahari, bulan, dan planet-planet selalu dapat dijumpai dalam batas-batasnya. Setiap rasi zodiak mengandungi pola bintang yang menggambarkan haiwan atau watak dari mitologi Yunani. Zodiak pada asalnya adalah sebagai alat untuk mengukur waktu, tetapi pada abad ke-5 Sebelum Masihi, ia telah dikaitkan dalam usaha untuk menentukan perwatakan dan meramal masa depan. Meskipun tidak ada bukti ilmiah tentang kesahihannya, pakar astrologi (ilmu nujum) masih menggunakan zodiak bagi menaksir tujuan dalam kehidupan manusia dari segi emosi dan fizikal.” (Illustrated Oxford Dictionary: 971)
Virgo pula dalam istilah astrologi merupakan lambang zodiak keenam iaitu di mana matahari berada sekitar 23 Ogos sehingga 22 September. Ia adalah sebuah rasi (kumpulan bintang) yang besar dan digambarkan sebagai seorang gadis muda membawa seberkas gandum. Gadis itu dikenal pasti dengan pelbagai identiti, sama ada dewi kesuburan (antara lain, menurut kepercayaan orang-orang Babylon dan Assyria Ishtar) atau gadis tuai (menurut kepercayaan Yunani Persephone dan lain-lain). (The New Encyclopædia Britannica: 12/391 & Illustrated Oxford Dictionary: 931)
Ilmu Nujum Dalam Perspektif Islam
Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata bahawa antara sebab sesuatu ilmu itu dikeji dalam Islam ialah apabila ilmu itu kebanyakannya akan memberi mudharat kepada tuannya, seperti ilmu nujum. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/48)
Beliau menerangkan lagi, antara sebab ilmu nujum itu dilarang ialah kerana ia memudharatkan ramai orang. Ini kerana apabila diberitakan kepada mereka bahawa kejadian-kejadian yang terjadi akibat daripada peredaran bintang-bintang, maka akan tersemat dalam diri mereka bahawa bintang-bintang itulah yang memberi pengaruh, dan bintang-bintang itulah sebagai tuhan-tuhan yang menjadi pentadbir kerana bintang-bintang seumpama permata-permata mulia di langit. Hati pula mengagungkannya dan sentiasa menoleh kepadanya, sehingga dia melihat kebaikan dan keburukan yang dihindari atau diharapkan itu dari sudut pandang bintang-bintang, lalu terhapuslah ingatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dari hati. Sesungguhnya orang yang lemah iman terbatas pandangannya kepada perantaraan (seperti bintang-bintang). Manakala orang yang mempunyai pengetahuan yang mantap memandang matahari, bulan dan bintang-bintang tunduk di bawah perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/49)
Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menyebutkan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa memetik atau memperolehi atau mempelajari suatu ilmu daripada ilmu nujum (perbintangan), dia telah mempelajari satu cabang daripada ilmu sihir. Selagi dia menambah (mempelajari ilmu nujum itu) maka selagi itu dia menambah (mempelajari ilmu sihir itu). (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas menunjukkan hukum mempelajari dan membincangkan suatu perkara daripada ilmu nujum itu adalah haram sepertimana juga hukum mempelajari dan beramal dengan ilmu sihir adalah haram. Semakin seseorang menambah ilmunya daripada ilmu nujum itu, dia juga seolah-olah menambah ilmunya daripada ilmu sihir. Hukum asal ilmu sihir adalah haram, maka menambah ilmu mengenainya adalah lebih berat lagi keharamannya. Demikian juga halnya jika menambah ilmu nujum. (Nail al-Authâr: 7/338-9)
Imam adz-Dzahabi Rahimahullâh menyatakan bahawa dosa besar yang ke 46 ialah mempercayai ahli nujum dan kâhin; iaitu tukang tenung yang memberi khabar tentang apa yang akan terjadi pada masa akan datang dan mendakwa dirinya mengetahui perkara-perkara ghaib. (Kitab al-Kabâ’ir: 173 & ‘Aun al-Ma‘bûd: 10/317)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja Yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak mendedahkan perkara ghaib itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada rasul yang diredhaiNya (dengan memberitahu sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya sekiranya dikehendaki Allah). (Surah al-Jinn: 26-27)
Firman Allah di atas merupakan dalil bahawa sesiapa yang mengaku bintang-bintang boleh menunjukkan perkara-perkara ghaib, adalah kufur. (Kitab al-Kabâ’ir: 174)
Perkara yang boleh membawa kepada kufur adalah haram dilakukan. Dikhabarkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu mengenai ancaman bagi sesiapa yang mempercayai tukang tenung, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau tukang tenung lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah mengingkari apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat al-Hakim)
Pengarang Kitab ‘Aun al-Ma‘bûd menukilkan pendapat Ibnu al-Atsir Rahimahullâh bahawa sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa âlihi wasallam mengenai ‘sesiapa mendatangi tukang tenung itu’, juga mengandungi maksud ‘mendatangi tukang tilik dan ahli nujum’. (‘Aun al- Ma‘bûd: 10/318). Oleh itu, hukum mempercayai ahli nujum sama seperti hukum mempercayai tukang tenung.
Ancaman lain mendatangi atau merujuk kepada tukang tilik dan seumpamanya seperti ahli nujum ialah hadits daripada sebahagian isteri-isteri Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa âlihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik lalu menanyakannya tentang sesuatu, tidak akan diterima baginya sembahyang empat puluh malam.” (Hadits riwayat Muslim)
Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, seorang ahli tafsir daripada kalangan tâbi‘în menerangkan:
Ertinya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menciptakan bintang-bintang ini untuk tiga tujuan (iaitu): Allah menjadikannya sebagai hiasan bagi langit, alat rejaman bagi syaitan-syaitan dan petunjuk-petunjuk untuk panduan (jalan atau arah) dengannya. Maka sesiapa menta‘wîl padanya (bintang-bintang) lain daripada tujuan sedemikian, dia telah melakukan kesalahan (kerana memperkatakan sesuka hati tentang perkara ghaib) dan mencuaikan habuannya (bahagian hidupnya iaitu usaha bagi mendapatkan apa yang berguna untuknya dan memberinya manfaat di dunia dan akhirat), dan menanggung perkara yang dia tidak mempunyai ilmu mengenainya. (Shahîh al-Bukhâri: 3/1168-9 & Marqât al-Mafâtîh: 8/371-2)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (Dia menciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju. l: 16)hNa-(Surah an Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menerangkan dalam ayat di atas bahawa bintang-bintang merupakan cara-cara untuk mengetahui waktu-waktu dan jalan-jalan. Jika bukan kerananya, manusia tidak akan mendapat petunjuk dalam menghadap qiblat. (‘Aun al-Ma‘bûd: 10/319)
Oleh itu, ilmu nujum yang dilarang itu ialah apa yang didakwa oleh ahli nujum yang dia mempunyai pengetahuan tentang kejadian-kejadian yang belum terjadi dan yang akan terjadi pada masa hadapan. Dan mereka mendakwa bahawa pengetahuan itu mereka perolehi melalui peredaran bintang-bintang, pertemuan dan perpisahan jalurnya, sedangkan ilmu mengenai perkara yang belum terjadi dan yang akan terjadi itu adalah khusus bagi Allah dan tidak diketahui oleh seorang pun melainkan Allah. Manakala apa yang diperolehi melalui jalan pengamatan pancaindera mata untuk mengetahui waktu sembahyang dan arah qiblat, itu tidaklah termasuk dari perkara yang dilarang. (‘Aun al-Ma‘bud: 10/319)
Berdasarkan penerangan di atas, orang-orang Islam diingatkan agar berwaspada daripada merujuk dan mempercayai lambang-lambang zodiak yang kononnya menguasai dan meramal watak dan nasib seseorang, sebagaimana yang banyak disiarkan dalam media massa, kerana ia merupakan salah satu cabang ilmu nujum yang diharamkan sebagaimana ilmu sihir dan akibatnya boleh membawa kepada penyelewengan aqidah.
Bahan Variasi Menunjukkan Lambang-Lambang Zodiak
Tiga (3) jenis contoh bahan variasi yang disertakan oleh pihak Pusat Da‘wah Islamiyyah, kesemuanya mengandungi lambang-lambang zodiak yang digunakan dalam astrologi atau ilmu nujum. Sebagaimana yang telah diterangkan, mempelajari atau membincangkan satu cabang daripada ilmu nujum bagi meramal atau mengetahui nasib hukumnya haram. Maka merujuk dan mempercayai ahli nujum juga hukumnya haram dan berdosa besar, dan malah boleh membawa kepada penyelewengan aqidah.
Oleh itu, bahan variasi yang mengandungi lambang-lambang zodiak yang digunakan dalam ilmu nujum itu jika ia dipamer dan dijual, seolah-olah satu promosi yang mengajak orang ramai kepada ilmu yang dilarang itu.
Antara lambang zodiak pada bahan variasi tersebut ialah bintang Virgo (dalam istilah astrologi digambarkan sebagai seorang gadis muda membawa seberkas gandum), jika disahkan oleh pakar tulisan bahawa lukisan lambang Virgo itu menyerupai kalimah lafzh al-Jalâlah, sama ada ia dilukis sedemikian dengan sengaja atau tidak, adalah hukumnya haram kerana mendedahkan nama-nama yang dihormati lagi dimuliakan oleh Islam kepada penghinaan.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Perbuatan yang boleh membawa kepada kufur termasuklah sengaja mempermainkan (meremehkan) agama dengan terang-terangan, menentang atau mengingkarinya, seperti mencampakkan Mushhaf atau sesuatu yang ada padanya kandungan al-Qur’an, sekalipun ia sekadar nama-nama mulia atau ada kandungan hadits. (Nihâyah al- Muhtâj: 7/416)
Imam al-Bajuri Rahimahullâh pula menerangkan bahawa termasuk orang yang murtad itu ialah orang yang menghinakan nama Allah:
Ertinya: Dan begitu juga (termasuk orang yang murtad itu) ialah sesiapa yang menghina (mempersenda-sendakan) nama Allah, perintahNya, laranganNya, janjiNya yang baik, janjiNya yang buruk atau dia ingkarkan satu ayat daripada al-Qur’an yang telah diijmâ‘kan tentang ketetapannya. (Hâsyiah al-Bajuri: 2/257)
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita orang Islam menjaga, memelihara dan menghormati lafzh al-Jalâlah (هللا) atau nama-nama lain yang dimuliakan م ٌ مُعَظهمٌ)ح(اس. Menghina lafzh al- Jalâlah (هللا) dalam apa jua bentuk penghinaan sama ada perkataan, perbuatan atau sebagainya, hukumnya adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad.
Kewajipan Pemerintah Islam
Antara kewajipan pemerintah Islam dalam menangani urusan awam itu ialah memelihara agama, sebagaimana perkara ini disebut oleh al-Imam al-Mawardi Rahimahullâh:
Ertinya: Apa yang wajib ke atasnya (pemerintah) mengenai urusan awam ialah sepuluh perkara. Salah satunya ialah: Memelihara agama menurut asas-asasnya (prinsip-prinsipnya) yang kukuh dan apa yang telah disepakati (ijmâ‘) oleh umat terdahulu. Jika sekiranya muncul seorang yang mengadakan bid‘ah (dalam agama), atau seorang penyeleweng yang menimbulkan keraguan, maka adalah menjadi tugasnya (pemerintah) untuk menjelaskan kepadanya bukti keterangan serta menerangkan kepadanya apa yang benar, dan mengambil tindakan terhadapnya menurut apa yang menjadi hak dan pelaksanaan hudud agar agama terpelihara daripada kerosakan dan umat terhindar daripada penyelewengan. (Al-Ahkâm ash-Shulthâniyyah: 18)
Memelihara agama di negara Islam itu termasuk menghalang, mencegah atau melarang:
1. Perkara-perkara yang bertentangan dengan agama seperti ilmu-ilmu yang diharamkan, dan perkara-perkara atau bahan-bahan yang mengajak kepada ilmu yang diharamkan itu.
2. Perkara-perkara yang mendedahkan apa-apa yang dimuliakan dalam Islam kepada penghinaan.
Oleh yang demikian, bahan-bahan yang mengandungi lambang-lambang zodiak itu adalah wajar ditahan daripada dibawa masuk, diedarkan atau dijual di Negara Brunei Darussalam kerana ia boleh mempromosi atau mengajak orang awam kepada ilmu yang diharamkan dalam Islam iaitu ilmu nujum yang meramal nasib, dan lebih bahaya lagi, ia boleh membawa kepada penyelewengan aqidah iaitu mempercayai kuasa lain selain Allah.
Apatah lagi jika salah satu lambang zodiak itu ialah bintang Virgo dilukis menyerupai kalimat lafzh al-Jalâlah (هللا) yang mendedahkannya kepada penghinaan. Orang Islam yang sengaja mendedahkan nama-nama yang dimuliakan dalam Islam kepada penghinaan, adalah kufur sebagaimana dijelaskan oleh ulama.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11770
