Memandikan Jenazah Dengan Memakai Sarung Tangan Getah
Soalan: Melalui pengalaman saya beberapa kali membantu penggapai (tukang mandikan mayat) dalam pengurusan jenazah, saya dapati para penggapai tidak memakai sarung tangan getah ketika memandikan mayat, mereka hanya menggunakan kain putih untuk mencuci dan membersihkan tubuh mayat termasuk angota-angota sulitnya. Apa yang dikhuatirkan ialah sekiranya si mati mempunyai penyakit berjangkit kerana ini boleh membahayakan penggapai.
Bolehkah para penggapai ini disarankan supaya memakai sarung tangan getah yang disarungkan pula dengan kain putih bagi tujuan keselamatan?
Jawapan: Kematian merupakan suatu yang pasti. Setiap makhluk ciptaan Allah pasti akan merasai mati. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. (Surah Âli ‘Imran: 185)
Apabila tiba masa seseorang itu menemui ajalnya, kita berkewajipan untuk menguruskan jenazah dengan baik dan sempurna menurut apa yang telah disyariatkan.
Oleh yang demikian, mempelajari tentang cara-cara pengurusan jenazah adalah penting, lebih-lebih lagi kepada generasi muda kerana kesedaran mereka mengenai perkara ini sangatlah kurang. Ada pula di kalangan mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang hanya perlu dipelajari oleh golongan yang lebih tua dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka.
Dari itu, usaha dan inisiatif pihak-pihak tertentu dan individu dalam memperkembangkan lagi ilmu ini merupakan langkah yang bijak lagi terpuji.
Memandikan Jenazah
Memandikan jenazah ialah salah satu daripada empat perkara yang merupakan fardhu kifâyah dalam penyempurnaan jenazah di samping mengkafan, menyembahyang dan mengkebumikan.
Dalam memandikan jenazah, penggapai (orang yang ditugaskan untuk menyucikan mayat) diharamkan menyentuh aurat jenazah kerana aurat yang haram dilihat adalah haram juga disentuh tanpa berlapik. Had aurat jenazah ialah di antara lutut dengan pusat. Oleh itu, untuk membersihkan bahagian aurat jenazah, tangan wajib dibalut dengan kain bagi mengelakkan daripada tersentuh auratnya ketika membersihkannya. (Hawâsyi asy-Syarwani: 3/102)
Dalam hal ini Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Dan balutan kain (pada tangan) adalah wajib kerana haram menyentuh sesuatu daripada auratnya (jenazah) tanpa berlapik. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/445)
Memandikan jenazah dengan memakai sarung tangan getah terutama ketika membersihkan tempat-tempat sulit atau kemaluan jenazah adalah harus. Bahkan ia merupakan satu praktis yang baik untuk diamalkan bagi mengelakkan tersentuh aurat jenazah dan sekaligus mengelakkan penyakit berjangkit.
Walau bagaimanapun di samping memakai sarung tangan, kain perlulah juga digunakan untuk membersihkan aurat jenazah. Malah menurut pendapat Imam ar-Razi dan al-Ghazali Rahimahumallâh, adalah lebih afdhal menggunakan satu kain bagi membersihkan satu alat sulit sahaja kerana dengan cara begini, kebersihannya akan lebih sempurna dan terjamin. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/444)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11774
