Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Membina Tempat Pembakaran Mayat (Krematorium) Dan Rumah Ibadat Bukan Islam

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Jabatan Majlis Ugama Islam telah menerima memorandum daripada Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong yang diterimanya daripada Pegawai Daerah Tutong mengenai dengan Tapak Perkuburan Masyarakat Tiong Hua Lot 15589 Bukit Dapa, Kampong Kiudang.

Pegawai Daerah Tutong dalam memorandum tersebut menyatakan antaranya seperti berikut:

1. Jabatan Daerah Tutong telah menerima surat daripada Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Tiong Hua megenai perkara di atas.

2. Tapak perkuburan berkenaan telah diperuntukkan sebagai tanah perkuburan masyarakat Dusun dan masyarakat Tiong Hua masing-masing seluas 2.5 ekar.

3. Sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak Pesuruhjaya Tanah bahawa tapak berkenaan masih dalam proses perwartaan untuk diserahkan di bawah tanggungjawab Jabatan Daerah Tutong.

4. Dalam permohonan berkenaan, persatuan memohon kebenaran bagi mendirikan bangunan-bangunan khas di tapak perkuburan tersebut iaitu:

i. Balai untuk berehat/sembahyang. ii. Bangunan/dewan sembahyang dan cremation.

5. Menurut kertas cadangan yang dihadapkan oleh persatuan antaranya memaklumkan bahawa:

i. Proses pengebumian akan dilaksanakan secara pembakaran (cremation) dengan menggunakan teknologi terkini yang mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar. Proses cremation ini juga dapat menjimatkan penggunaan tanah yang luas khususnya jika kawasan tapak perkuburan terhad.

ii. Golongan masyarakat Tiong Hua ke empat-empat daerah telah memilih cara cremation untuk dipusatkan di satu kawasan atau tapak tertentu berbanding dengan perkuburan masyarakat Tiong Hua yang berselerak di setiap daerah. Pada ketika ini belum terdapat kemudahan cremation khusus bagi masyarakat Tiong Hua.

6. Permohonan tapak kawasan ke Jabatan Tanah pada asalnya sebagai tapak perkuburan. Cadangan bagi pusat cremation cum tapak perkuburan hanya timbul setelah permohonan perwartaan dihadapkan.

7. Lokasi tapak perkuburan ini terletak bersebelahan dengan tapak perkuburan puak Dusun dan juga tapak perkuburan Islam di sebelah luarnya.

Sehubungan dengan perkara di atas sukacita dipohonkan fatwa atau irsyâd mengenai permohonan bagi membina bangunan krematorium (cremation cum) dan balai sembahyang di Tapak Perkuburan Lot 15589, Bukit Dapa, Kampong Kiudang, Tutong.

Jawapan: Pembinaan Krematorium Di Negara Islam

Penyempurnaan jenazah seperti memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan adalah perkara yang wajib dilaksanakan ke atas mayat orang Islam. Ia juga sebagai tanda penghormatan kepada si mati kerana penghormatan Islam terhadap manusia itu tidak hanya ketika hayatnya, bahkan apabila rohnya meninggalkan jasad, ia tetap wajib menerima penghormatan yang selayaknya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah mengangkut mereka (dengan pelbagai kenderaan) di daratan dan di lautan. Kami juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah al-Isrâ’: 70)

Menurut al-Mawardi Rahimahullâh, kemuliaan yang dimaksudkan oleh ayat tersebut meliputi tujuh sudut iaitu kemuliaan kerana pengurniaan ni‘mat-ni‘mat ke atas mereka, kemuliaan kerana dikurniakan akal fikiran dan perbezaan daripada makhluk-makhluk yang lain, kemuliaan kerana dijadikan mereka sebagai sebaik-baik ummah untuk manusia, kemuliaan kerana mereka makan dan minum dengan menggunakan tangan-tangan mereka, kemuliaan kerana dengan adanya perintah dan larangan, kemuliaan kerana keupayaan berkata-kata dan menulis dan kemuliaan kerana dijadikan semua makhluk untuk dipergunakan oleh mereka. (Tafsîr al-Mawardi: 3/257)

Oleh itu, penyempurnaan setiap jenazah hendaklah dilakukan dengan cara yang lemah lembut agar kemuliaan manusia itu tidak tercela sesuai dengan tuntutan menghormati mayat. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa apabila seseorang itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, ahli keluarga adalah dituntut supaya memejamkan mata jenazah tersebut dan menutup keseluruhan badannya dengan kain, serta menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Ia hendaklah dilakukan oleh ahli keluarga yang paling lemah-lembut di kalangan mahramnya. Beliau berkata:

Ertinya: Dan orang yang menangani perkara itu ialah orang paling berlemah-lembut daripada kalangan mahramnya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/322)

Memperlakukan mayat dengan kasar, menghina atau menyakiti mayat adalah suatu dosa, kerana menghormatinya adalah perkara yang wajib, apatah lagi mematah-matahkan tulang atau membakarnya. Ia dianggap sebagai satu penganiayaan dan memburukkan rupa bentuk mayat berkenaan kerana mayat juga mengalami rasa sakit, sama seperti orang yang masih hidup. (Mughni al-Muhtâj: 2/9 dan Subul as-Salâm: 2/237)

Diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Para ulama bersepakat bahawa perbuatan membakar mayat merupakan suatu tegahan yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Ikrimah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu pernah membakar kaum (murtad). Lalu sampailah berita itu kepada Ibnu ‘Abbas lalu beliau berkata: “Sungguh, kalaulah aku, aku tidak akan membakar mereka kerana sesungguhnya Nabi shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kamu menyeksa dengan seksaan Allah”, dan nescaya aku akan membunuh mereka sepertimana sabda Rasulullah shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Barang siapa mengganti agamanya (murtad), maka kamu bunuhlah dia.” (Hadits riwayat al-Bukhari) Adapun menyakiti, seperti mematah-matahkan tulang atau membakar mayat orang bukan Islam adalah haram menurut Islam kerana penghormatan terhadap mayat itu tidak hanya terbatas kepada jenazah Islam sahaja. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdul Rahman bin Abu Laila bahawa Sahl bin Hunaif dan Qais bin Sa‘d berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdiri apabila mayat seorang Yahudi lalu di hadapan Baginda. Lalu mereka berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya jenazah itu jenazah orang Yahudi. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bukankah jenazah orang Yahudi itu jiwa (manusia) juga?” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini jelas menunjukkan bahawa setiap jiwa, sama ada ia beragama Islam atau bukan, wajiblah dihormati dan pelaksanaan jenazahnya hendaklah dilakukan dengan lemah-lembut tanpa menyakiti jasadnya.

Demikian aqidah Islam dan hukum syara‘ dalam perkara mengurus jenazah. Namun ini tidak sama dengan aqidah orang bukan Islam, mereka itu percaya dan beramal, lain daripada kepercayaan dan amalan orang Islam. Oleh itu mereka dibiarkan dengan kepercayaan dan amalan mereka dalam perkara mengurus mayat mereka itu.

Walau bagaimanapun, mengenai dengan permohonan membina tempat pembakaran mayat atau krematorium bagi kegunaan masyarakat Tionghua, Islam tidaklah menegahnya. Ini telah dijelaskan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz di dalam fatwanya bilangan 25/70 mengenai dengan permohonan pembinaan tempat pembakaran mayat Hindu:

“Permohonan hendak menguntukkan sekeping tanah tempat membakar mayat Hindu dan Buddha bagaimana dalam pelan yang digambarkan itu, tiada ada tegahan dalam Islam, jika tempat itu jauh dari kubur Islam dan dari faedah mashlahat-mashlahat orang-orang Islam.”

Sekalipun Islam tidak menegah krematorium tersebut dibina, namun perkara berikut mestilah diambil perhatian. Antaranya ialah:

1. Krematorium itu hanya khusus untuk pembakaran mayat sahaja, bukan untuk kegunaan lain seperti menjadikannya juga sebagai rumah dan tempat untuk beribadat.

2. Besar dan luas bangunan krematorium itu hendaklah cukup setakat yang diperlukan sahaja sesuai dengan tujuannya yang asal iaitu tempat membakar mayat.

3. Bangunan krematorium itu hendaklah tidak menzahirkan lambang-lambang atau ciri-ciri keagamaan yang boleh dipandang dari luar.

4. Krematorium itu hendaklah berada jauh dari tapak perkuburan Islam, dari perkampungan orang-orang Islam, pasar atau apa jua faedah dan mashlahat orang-orang Islam.

5. Pembinaan bangunan krematorium itu hendaklah menurut ketetapan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berjalan di Negara Brunei Darussalam.

Tapak Perkuburan Bukan Islam Bersebelahan Tapak Perkuburan Islam

Melalui maklumat yang diberikan, krematorium tersebut akan dibina di tapak tanah yang pada asalnya dipohonkan sebagai tapak perkuburan yang bersebelahan dengan tapak perkuburan Islam. Menurut syara‘, jenazah orang Islam adalah afdhal dikebumikan di tempat perkuburan orang alim dan salih kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengebumikan kaum kerabat dan para sahabat Baginda di perkuburan Baqi‘. Adapun tujuannya adalah supaya jenazah orang Islam mendapat rahmat serta keberkatan do‘a dan bacaan al-Qur’an daripada orang-orang yang berziarah. (Mughni al-Muhtâj: 2/52)

Adapun mengebumikan orang Islam di perkuburan orang-orang bukan Islam adalah haram, begitu juga sebaliknya orang bukan Islam haram ditanam di tanah perkuburan orang Islam.

Menurut Imam asy-Syarbini Rahimahullâh:

Ertinya: Tidak harus mengebumikan jenazah orang Islam di perkuburan orang kafir dan tidak juga sebaliknya.” (Nihâyah al-Muhtâj: 3/29 dan Mughni al-Muhtâj: 2/53)

Ini adalah kerana menurut ulama, ia boleh mendedahkan jenazah orang-orang Islam dengan kemurkaan dan seksaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ disebabkan jenazah orang-orang Islam itu berhampiran dengan mayat orang-orang kafir sepertimana yang dinyatakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz di dalam fatwanya bilangan 34/72:

“Berkata ulama: “Tiada harus ditanam orang Islam di tanah perkuburan orang kafir dan tiada harus ditanam orang kafir di tanah perkuburan orang Islam, dengan ittifâq ulama padanya, sebagaimana kata al-Qadhi Mujalli kerana mendedahkan orang Islam bagi dilaknat dan dikutuk, kerana mayat Islam tersedih dan terhina ada di tempat turun kemurkaan Allah (kubur kafir) dan membawa orang Islam minta ampun bagi orang-orang kafir (mayat) yang bercampur dengan mayat Islam itu padahal mendo‘akan mayat kafir adalah haram, dengan minta ampunkan dia.”

Jika tapak pembinaan krematorium berkenaan berdekatan dengan tapak perkuburan Islam, maka jenazah-jenazah Islam akan terdedah dengan laknat, azab dan kemurkaan Allah terhadap mayat-mayat bukan Islam. Malah apa jua acara pengebumian atau pembakarannya tidak syak lagi akan dapat didengar dan dilihat oleh orang-orang Islam dan ini adalah ditegah kerana menurut Islam, orang kafir dzimmi yang tinggal di negeri Islam adalah ditegah daripada menzahirkan acara pengebumian mayat mereka. (Mughni al-Muhtâj: 6/83 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 9/140)

Dari itu, bagi mengelakkan daripada perkara tersebut terjadi, maka tapak bagi pembinaan krematorium tersebut hendaklah jauh dari perkuburan Islam dan jauh daripada apa-apa jua faedah dan mashlahat orang-orang Islam iaitu sekira-kira tidak terdengar dan tidak ternampak oleh orang Islam akan acara pengebumian atau pembakaran mayat tersebut.

Bahkan, tapak perkuburan orang bukan Islam juga hendaklah jauh dari tapak perkuburan orang Islam dan daripada mashlahat-mashlahat orang Islam.

Pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam Dalam Negeri Islam

Orang-orang dzimmi (orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam) adalah ditegah daripada menzahirkan perkara-perkara yang mungkar apatah lagi menyebarkan ajaran kufur dan bertentangan dengan aqidah Islam. Pembinaan apa jua rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, tokong, kuil dan sebagainya di negeri Islam adalah diharamkan sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau berkata:

Maksudnya: Mana-mana kawasan (yang pada asalnya) dikuasai oleh orang Arab (Islam), maka orang asing (bukan Islam) tidak boleh mendirikan di dalamnya gereja Yahudi (atau dia berkata) gereja Kristian serta mereka tidak boleh membunyikan loceng dan mereka tidak boleh membawa masuk arak dan babi. Dan mana-mana kawasan (yang pada asalnya) dikuasai oleh orang asing (bukan Islam), maka orang Arab (Islam) hendaklah menunaikan perjanjian dengan mereka (seperti mengekalkan kewujudan rumah tempat ibadat mereka) dan tidak membebankan mereka dengan apa yang mereka tidak mampu untuk melakukannya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu pula berkata:

Ertinya: Pemimpin sesebuah negeri Islam tidak boleh membuat perjanjian dengan seorang ahli dzimmi supaya ditempatkan untuknya dalam negeri orang-orang Islam suatu tempat untuk menzahirkan perkumpulan beramai-ramai (untuk beribadat), untuk pembinaan gereja mahupun untuk membunyikan loceng gereja. Perjanjian yang demikian itu hanya boleh dimeterai di negeri mereka yang telah didapati ada di dalamnya rumah ibadat, gereja dan loceng gereja yang kemudiannya kita tawan negeri mereka itu dengan jalan peperangan atau perdamaian. Adapun di negeri yang tidak ada bagi mereka (sebarang tempat perkumpulan beramai-ramai untuk beribadat, gereja atau loceng gereja), maka itupun tidak boleh ia mengadakannya di dalamnya. Jika perkara itu dibuat juga oleh seseorang di negeri miliknya, maka raja hendaklah menegahnya. Dan harus dibiarkan mereka tinggal menempati suatu negeri (dengan syarat) mereka tidak menzahirkan perkara tersebut dan mereka boleh bersembahyang di rumah-rumah mereka tanpa beramai-ramai, tanpa mengangkat suara dan tanpa membunyikan loceng-loceng. Dan kita tidak boleh melarang mereka selama mana apa-apa yang mereka lakukan itu tidak dizahirkan, tidak merosakkan orang Islam dan tidak juga menzalimi seseorang. (Kitab al-Umm: 4/218-219)

Maka berdasarkan keterangan di atas, adalah jelas bahawa Islam mengharamkan sama sekali pembinaan gereja atau apa jua rumah ibadat bukan Islam di dalam negeri Islam tidak kira sama ada ia dibina di atas tanah persendirian atau kerajaan. Ia wajib dirobohkan jika dibina kerana tokong, gereja atau seumpamanya itu merupakan tempat kufur dan maksiat. Adapun membina atau memberi kebenaran membinanya seolah-olah seperti melakukan dan menyokong perbuatan kufur dan maksiat. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/99)

Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:

Ertinya: Dan disebabkan membina yang demikian itu (rumah ibadat bukan Islam) merupakan satu perkara maksiat, maka tidak harus (dibina) dalam sebuah negeri Islam. Jika mereka membina yang demikian itu hendaklah dirobohkan, sama ada disyaratkan yang demikian itu ke atas mereka ataupun tidak. Jika imam (raja) membuat perjanjian dengan mereka untuk membenarkan pembinaannya, maka akad (perjanjian) tersebut adalah batal. (Mughni al-Muhtâj: 6/77)

Oleh yang demikian, permohonan untuk mendirikan bangunan atau dewan untuk kegunaan tempat sembahyang tidak boleh dibenarkan kerana ia bertentangan dengan hukum syara‘. Sesuatu yang bertentangan dengan hukum syara‘ itu wajib ditegah.

Namun begitu, Islam tidaklah menegah mereka daripada melakukan sembahyang atau apa jua acara yang berkaitan dengan pengebumian atau pembakaran mayat mereka. Jika hendak mengadakan upacara sembahyang sebelum pembakaran mayat, tidaklah ada halangan untuk mengadakannya di tempat pembakaran itu berlangsung.

Apa yang dimaksudkan ialah bangunan itu cukuplah hanya sekadar dapat menampung ahli keluarga si mati atau cukuplah setakat satu ruang bukan khusus untuk kegunaan acara tersebut, bahkan untuk kegunaan lain seperti tempat menunggu, tempat berteduh atau seumpamanya. Dalam makna lain ia bukan bangunan tersendiri, dewan atau bilik khas bagi acara sembahyangnya atau apa jua yang berkaitan dengannya.

Kesimpulan:

1. Menyakiti atau menghina mayat adalah suatu dosa, apatah lagi membakarnya kerana Islam mewajibkan kita agar menghormati mayat tidak kira sama ada mayat tersebut orang Islam ataupun bukan. (Ini adalah aqidah Islam dan hukum syara‘ dalam perkara mengurus jenazah. Ia tidak sama dengan aqidah orang bukan Islam). Oleh itu, permohonan membina krematorium bagi kegunaan masyarakat Tionghua adalah tidak ditegah tetapi dengan syarat hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

2. Tapak pembinaan krematorium atau tapak perkuburan bukan Islam hendaklah berada jauh dari tapak perkuburan Islam dan jauh dari apa jua faedah dan mashlahat orang Islam seperti perkampungan orang-orang Islam, pasar, balai ibadat dan sebagainya supaya acara yang mereka lakukan tidak dapat didengar atau dilihat oleh orang Islam.

3. Pembinaan apa jua bangunan khusus bagi kegunaan tempat sembahyang orang bukan Islam di negeri Islam adalah ditegah dan dihukumkan haram. Namun jika upacara sembahyang sebelum membakar mayat diperlukan, maka bolehlah dilakukan di satu ruang yang juga digunakan untuk tujuan dan maksud yang lain seperti tempat menunggu atau seumpamanya tanpa perlu membina bangunan atau dewan khas bagi kegunaan sembahyang atau apa jua upacara yang berkaitan dengannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11778