Meminta Izin Suami Untuk Menjalani Pembedahan
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai keizinan suami untuk isteri menjalani rawatan melalui pembedahan. Pada masa ini, pihak doktor tidak akan meneruskan rawatan kepada isteri yang menghidap barah atau ketumbuhan ovari selagi tidak mendapat keizinan daripada suami untuk menjalani pembedahan, sedangkan melengahkan rawatan boleh mengakibatkan nyawa isteri terancam.
Jawapan: Islam mensyariatkan agar umatnya berubat daripada penyakit kerana berubat adalah antara jalan untuk memelihara nyawa iaitu salah satu daripada maqâshid syar‘iyyah (matlamat atau tujuan-tujuan syariat).
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, hukum berubat bagi orang yang sakit adalah sunat. Namun beliau juga ada menyebutkan satu pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘e yang menghukumkan wajib berubat daripada penyakit yang boleh mengancam nyawa, sekiranya dengan berubat itu diyakini boleh menyelamatkan nyawanya. (Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj: 3/182-3)
Disebutkan dalam sebuah hadits tentang tuntutan berubat sebagaimana diriwayatkan daripada Usamah bin Syarik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berubatlah kamu, kerana Allah ‘Azza wa Jalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, kecuali satu jenis penyakit, iaitu sakit tua. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adakah Suami Mempunyai Hak Menghalang Isterinya Yang Sakit Daripada Mendapat Rawatan?
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, antara hak-hak suami yang wajib ditunaikan oleh isteri ialah taat kepada suaminya dan tidak meninggalkan rumah tanpa mendapat keizinannya. Manakala antara hak-hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami pula ialah membayar mahr, memberi nafkah dan pakaian serta bergaul dengannya secara baik. Bahkan bergaul dengan cara yang baik merupakan kewajipan kedua-dua suami isteri ke atas satu sama lain. Antara contoh pergaulan yang baik itu ialah menunaikan hak masing-masing dengan hati redha dan manis muka serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh pasangan seperti menyakiti antara satu sama lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan. (Asnâ al- Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 6/563 dan al-Majmû‘: 18/98)
Suami atau isteri yang melakukan perkara yang menyakiti hati dan perasaan pasangan, apatah lagi yang boleh mengancam nyawanya telah melakukan dosa dan maksiat kerana mengabaikan kewajipan menunaikan hak pasangan untuk digauli dan dilayani dengan cara yang baik. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (Surah an-Nisâ’: 19)
Dalam hal ini, isteri keluar rumah untuk mendapatkan rawatan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada suami adalah diharuskan dan tidak menyebabkan nusyûz. Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, isteri tidak dianggap nusyûz jika keluar rumah tanpa keizinan suaminya disebabkan terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘; sebagai contoh, isteri keluar rumah tanpa izin suami untuk menyelamatkan dirinya daripada ditimpa musibah seperti rumah hampir roboh, untuk berjumpa qadhi bagi menuntut haknya ke atas suami, atau untuk pergi ke tandas atau seumpamanya bagi memenuhi hajatnya yang pada kebiasaannya keluarnya itu hanya sekejap dan diredhai suami. (Mughni al-Muhtâj: 3/556-7)
Oleh yang demikian, suami tiada hak menghalang isterinya yang sakit keluar rumah untuk mendapatkan rawatan, dan isteri tersebut tidak dianggap nusyûz sekalipun keluar rumah tanpa keizinan suaminya. Jika perkara ini pun diharuskan, maka adalah lebih utama lagi, isteri yang menghidap penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit yang membahayakan nyawa; seperti barah atau ketumbuhan ovari, untuk menjalani rawatan, sekalipun tanpa mendapatkan keizinan suaminya, dan suami pula sama sekali tiada hak untuk menghalang isterinya yang sakit itu untuk mendapatkan rawatan.
Mengenai hukum berubat dan keizinan untuk pihak perawat atau doktor membuat rawatan perubatan ke atas pesakit, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ke-7 di Jeddah, pada 7-12 Zulkaedah, 1412H bersamaan 9-14 Mei, 1992M telah mengeluarkan satu resolusi, yang antara lain menyatakan:
“Hukum berubat berbeza mengikut keadaan dan individu: Adakala ia menjadi wajib apabila meninggalkan berubat itu boleh membinasakan nyawa atau salah satu anggota atau melumpuhkan diri atau penyakit berjangkit yang merbahaya. Ia menjadi sunat jika meninggalkan berubat itu boleh melemahkan badan dan tidak sampai kepada keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi harus jika keadaannya tidak termasuk dalam kedua-dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi makruh jika sesuatu rawatan itu ditakuti boleh mengakibatkan timbulnya penyakit-penyakit yang lebih merumitkan daripada penyakit yang ingin dihilangkan.”
Resolusi tersebut juga menyatakan:
“1. Keizinan pesakit untuk menjalani rawatan hendaklah menjadi syarat jika dia seorang yang berkelayakan (untuk memberi izin). Jika pesakit adalah seorang yang tidak atau kurang berkelayakan (untuk memberi izin), maka izin walinyalah yang dii‘tibâr menurut susunan urutan wali dalam hukum syara‘, dan tindakan wali itu hendaklah bersesuaian dengan perkara yang ada kemashlahatan, faedah dan menghilangkan kesakitan orang yang di bawah jagaannya itu.
Manakala tindakan wali yang tidak memberikan keizinan sedangkan tindakannya itu jelas akan mendatangkan kemudharatan kepada orang yang di bawah jagaannya, maka keputusan itu hendaklah tidak dipertimbangkan dan hak untuk memberi keizinan akan berpindah kepada wali-wali yang lain sehinggalah kepada pemerintah.
2. Pemerintah mempunyai kuasa memestikan (seseorang) untuk menjalani rawatan dalam sesetengah keadaan; seperti dalam kes penyakit berjangkit yang merbahaya dan rawatan yang bersifat mencegah daripada penyakit.
3. Dalam kes-kes kecemasan yang mendedahkan nyawa pesakit dalam bahaya, pemberian rawatan tidak tertakluk kepada keizinan.” (Qarârât wa Taushiyyât ad- Daurah as-Sâbi‘ah li Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi ad-Dauli: 67 (5/7))
Di dalam Kitab al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah pula disebutkan, pesakit adalah wajib memberikan keizinan untuk diberikan rawatan bagi penyakit-penyakit yang pada kebiasaannya boleh menyebabkan kematian atau merosakkan salah satu anggota badan. Sekiranya pesakit tersebut menolak untuk dirawat, maka hukumnya adalah berdosa. (Al- Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 53)
Ini berdasarkan keumuman firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah al-Baqarah: 195)
Maka, suami yang tidak membenarkan isterinya yang sakit untuk mendapatkan rawatan, apatah lagi penyakit isterinya itu memudharatkan, bererti suami itu tidak menunaikan hak isterinya dengan baik kerana tidak berusaha untuk menghindarkan perkara-perkara yang boleh menyakiti dan memudharatkan isterinya. Sedangkan hukum menghindarkan perkara-perkara yang boleh menyakiti isteri, apatah lagi yang memudharatkannya, adalah wajib ke atas suami, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
Jika demikian halnya, pihak berkuasa rumah sakit bolehlah melakukan pembedahan tersebut sekalipun tanpa izin daripada suami pesakit, sebagai langkah benar-benar perlu untuk menyelamatkan pesakit, memadai dengan izin si pesakit (dengan syarat dia berkelayakan untuk memberi izin). Walau bagaimanapun, elok juga mendapatkan restu daripada keluarga terdekat seperti anak, ibu bapa atau adik-beradik. Ini kerana keengganan suami memberi izin dalam keadaan seumpama ini tidak disetujui oleh syara‘ memandangkan pesakit (isterinya) memerlukan rawatan melalui pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11782
