Menambah Nama Ayah Angkat Selepas Nama Anak Angkat
Soalan: Dengan penuh hormat dimaklumkan bahawa Bahagian Pendaftaran Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat sejak-sejak akhir ini sering menerima permohonan dari bakal ayah angkat untuk memasukkan nama mereka ke dalam nama bakal anak angkat mereka. Sebagai contoh:
Nama (bakal) ayah angkat: Awang Haji Effendi bin Haji Abdullah.
Nama yang hendak dimasukkan selepas nama anak angkat dalam sijil kelahiran: Effendi
Oleh itu dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini untuk dijadikan panduan dalam masalah-masalah berkaitan anak angkat ini.
Jawapan: Menasabkan seseorang yang bukan daripada keturunannya kepada dirinya, hukumnya adalah haram berdasarkan hadits daripada Sa‘d bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mana-mana perempuan memasukkan (menasabkan seseorang anak) kepada sesuatu kaum padahal dia (anak itu) bukan daripada kaum itu, maka perempuan itu (tidak akan mendapat) daripada Allah sesuatu pun (daripada rahmatNya). Dan Allah tidak akan memasukkannya (perempuan itu) ke dalam syurgaNya.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits-hadits tersebut, adalah jelas bahawa menyambung nasab kanak-kanak kepada orang yang tidak bersambung nasab kepadanya adalah haram, dan ia adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab kanak-kanak itu.
Perbuatan mendustakan nasab seseorang itu hukumnya adalah haram. Sesiapa juga yang bersetuju atau turut bersetuju melakukannya akan berdosa, dan boleh rosak aqidah kiranya dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan. Oleh itu, menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/107)
Larangan terhadap menasabkan seseorang yang bukan dari nasabnya adalah kerana ia boleh membabitkan hukum-hakam seperti pembatasan aurat, khalwat, batal wudhu’, perwarisan, nafkah, wali dalam pernikahan atau wilâyah (penjagaan) ke atas harta. (Asnâ al-Mathâlib: 3/415 dan al-Majmû‘: 19/313)
Berdasarkan keterangan di atas, maka memasukkan nama ayah angkat ke dalam nama anak angkat sekalipun nasab anak angkat kepada bapanya yang sebenar masih dikekalkan, sebagaimana yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan:
Nama ayah angkat: Awang Haji Effendi Bin Haji Abdullah.
Nama yang hendak dimasukkan selepas nama anak angkat dalam sijil kelahiran: Effendi
Perbuatan tersebut tidak boleh dibenarkan, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kesamaran nasab anak angkat tersebut, lebih-lebih lagi jika anak angkat itu perempuan dan nama anak angkat itu disebut iaitu ‘NYLA HABRIYAH EFFENDI’ tanpa menyebut ‘BINTI ABDULLAH’. Ia bukan sahaja akan membuka pintu ke arah perbuatan menipu keturunan tetapi juga manusia sekaliannya jika digunakan dalam pelbagai urusan. Perbuatan ini adalah sama sahaja seperti menasabkan anak angkat itu kepada diri bapa angkat. Sebagaimana yang telah diterangkan, menasabkan seseorang yang bukan daripada keturunannya kepada dirinya, hukumnya adalah haram berdasarkan hadits-hadits yang telah diterangkan.
Dalam hal ini, kita sependapat dan bersetuju dengan apa yang pernah difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan, mengenai perkara yang telah ditanyakan, antara lain Allahyarham Pehin itu mengatakan:
“Dua hadits kita bawa di sini sudah cukup bagi amaran kepada orang-orang yang suka-suka hati hendak menambah dan mengubah nasab seseorang dengan tiada benar dan membawa kesamaran pada wali nikah dan pada mahram dan pada pusaka dan pada khalwat dan campur gaul sehari-hari.
Dari itu menurut amaran dua hadits ini maka haram menaruh nama bapa angkat pada nama dan nasab anak angkat itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 73/91)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11786
