Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembahagian Harta Pusaka Yang Tidak Mengikut Hukum Syara‘

Soalan: Seorang ayah telah berwasiat supaya membahagikan harta sama rata kepada beberapa orang anak perempuannya yang terdiri daripada anak kandung dan anak angkat.

Si mati ada meninggalkan dua orang isteri (tidak lama kemudian isteri kedua yang tidak mempunyai anak telah meninggal dunia sebelum harta sempat dibahagikan), dua orang anak perempuan seibu sebapa, tiga orang anak angkat perempuan dan 5 ekar tanah. Persoalannya ialah:

1. Adakah wasiat mengenai pembahagian harta sama rata kepada semua anaknya (anak kandung dan anak angkat) itu sah?

2. Adakah anak angkat hanya mendapat 1/3 sahaja daripada wasiat tersebut?

Jawapan: Pembahagian Harta Pusaka

Pembahagian harta pusaka menurut hukum farâ’idh adalah wajib sebagaimana yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an sama ada harta itu berbentuk wang, tanah, barang-barang emas dan sebagainya.

Al-Qur’an telah menjelaskan tentang bagaimana pembahagian harta pusaka kepada waris si mati, antaranya yang diterangkan dalam surah an-Nisâ’, ayat 11. Perintah membahagikan harta pusaka menurut al-Qur’an ini juga ada disebutkan dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bahagi-bahagikanlah harta antara ahli farâ’idh (ahli-ahli waris yang telah ditentukan bahagiannya), menurut Kitab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Muslim)

Pembahagian harta pusaka yang tidak mengikut hukum farâ’idh adalah haram. Walau bagaimanapun jika semua ahli waris dengan sukarela bersetuju untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka dengan cara yang lain, maka ia adalah harus dengan syarat semua ahli waris yang mempunyai hak ke atas harta pusaka tersebut bersetuju dengan sukarela tanpa paksaan dan mengetahui bahagian haknya yang asal daripada harta pusaka tersebut jika ia dibahagikan menurut hukum farâ’idh.

Hukum Mewasiatkan Harta

Pada awal kedatangan Islam, mewasiatkan kesemua harta kepada keluarga terdekat seperti ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu hampir mati, sekiranya ada meninggalkan harta, berwasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah:180)

Walau bagaimanapun kewajipan ini telah dimansukhkan dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan harta pusaka. Namun mewasiatkan harta ini masih tetap disyariatkan, tetapi hanya disunatkan sahaja (sunat mu’akkadah) dengan tidak melebihi ⅓ daripada harta pusaka kepada bukan ahli waris. (Asnâ al-Mathâlib: 3/29)

Ini jelas disebutkan dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa‘ad bin Abu Waqas Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam datang menziarahiku pada tahun haji Wada‘ diwaktu aku menderita sakit tenat. Lalu aku berkata (kepada Baginda): “Sesungguhnya aku sedang menderita sakit dan aku mempunyai harta dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang anak perempuan. Adakah boleh aku mewasiatkan dua pertiga hartaku?” Baginda menjawab: “Jangan.” Aku berkata lagi: “Bagaimana dengan separuh?” Baginda menjawab: “Jangan”. Kemudian Baginda bersabda: “Satu pertiga (sahaja) dan satu pertiga itu (sudah cukup) besar atau banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada manusia.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun jika pewasiat mewasiatkan hartanya melebihi kadar ⅓ daripada jumlah harta pusakanya, maka kedudukan wasiatnya itu adalah seperti berikut:

1. Jika pewasiat itu mempunyai ahli waris, maka wasiatnya yang berjumlah ⅓ daripada harta pusakanya adalah sah. Manakala jumlah yang melebihi kadar ⅓ daripada harta pusakanya adalah tertakluk kepada persetujuan setiap ahli waris, kerana ia merupakan hak ahli waris.

Ahli waris yang bersetuju, maka kadar atau bahagian yang khusus untuknya daripada jumlah yang melebihi ⅓ itu adalah sah. Manakala ahli waris yang tidak bersetuju, maka kadar atau bahagian yang khusus untuknya daripada jumlah yang melebihi ⅓ itu adalah terbatal (tidak boleh dikurangi).

Adapun ahli waris yang tidak dapat memberikan persetujuan disebabkan oleh masih kecil, gila atau dihalang daripada mengurus hartanya oleh syara‘ kerana bodoh, maka persetujuan daripadanya hendaklah ditunggu hingga dia layak untuk memberikan persetujuan dan tertakluk jika ada kemungkinan dia akan boleh memberikan persetujuan. Jika tidak ada kemungkinan dia akan boleh memberikan persetujuan, maka kadar atau bahagian yang khusus untuknya daripada jumlah yang melebihi ⅓ itu adalah terbatal (ertinya dikekalkan sebagaimana yang ditetapkan menurut pembahagian farâ’idh).

2. Jika pewasiat itu tidak mempunyai ahli waris, maka wasiatnya yang berjumlah ⅓ daripada harta pusakanya adalah sah, manakala jumlah yang melebihi daripada kadar ⅓ daripada harta pusakanya adalah terbatal kerana ia merupakan hak orang-orang Islam. (Asnâ al-Mathâlib: 3/33)

Berwasiat Harta Kepada Ahli Waris

Berwasiat harta kepada ahli waris sekalipun jumlahnya kurang atau tidak melebihi kadar ⅓ daripada harta pusaka, kedudukannya adalah seperti berikut:

1. Jika pewasiat itu tidak mempunyai ahli waris selain ahli waris yang menerima wasiat, maka wasiatnya itu terbatal.

2. Jika pewasiat itu mempunyai ahli waris lain yang tidak menerima wasiat harta itu, maka wasiat itu tertakluk kepada persetujuan ahli waris yang lain itu. (Asnâ al-Mathalib: 3/33)

Ini berdasarkan hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Amru bin Kharijah bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada hak menerima wasiat bagi ahli waris melainkan para ahli waris mempersetujuinya. (Hadits riwayat ad-Daruquthni)

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh juga berkata:

Ertinya: Dan sah wasiat kepada ahli waris orang yang memberi wasiat dengan adanya persetujuan ahli waris yang lain setelah pewasiat meninggal dunia, sekalipun wasiat itu kurang daripada jumlah ⅓.” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/328)

Maka berdasarkan penjelasan tersebut, bagi menjawab persoalan yang ditanyakan, kedudukannya adalah seperti berikut:

• Wasiat mengenai pembahagian harta sama rata kepada semua anak-anak yang terdiri daripada anak kandung dan anak angkat itu tertakluk kepada persetujuan semua ahli waris yang berhak menerima harta pusaka itu, kerana ia mungkin melibatkan isu berwasiat melebihi kadar ⅓ daripada harta pusaka dan isu berwasiat kepada ahli waris sendiri.

• Jika ahli waris yang meninggal dunia sebelum sempat harta dibahagikan sebagaimana kedudukan isteri kedua yang telah meninggal dunia sebelum harta suaminya sempat dibahagikan, maka ia tertakluk lagi kepada persetujuan ahli waris isteri kedua yang meninggal dunia itu.

Perlu ditekan di sini bahawa antara ahli waris yang berhak menerima harta pusaka itu termasuk dua orang isterinya yang disebutkan.

• Jika semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian yang sedemikian, maka wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan. Akan tetapi jika ada di antara ahli waris yang tidak bersetuju, maka bahagian ahli waris yang tidak bersetuju itu tidak boleh dibahagi sama rata di kalangan mereka yang bersetuju. Dengan demikian, ahli waris yang tidak bersetuju itu mendapat bahagiannya menurut kiraan farâ’idh setelah ditolak kadar ⅓ daripada harta pusaka.

• Jika semua ahli waris tidak bersetuju, maka hanya ⅓ sahaja daripada pusaka yang sah menjadi wasiat kepada tiga orang anak angkat si mati.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11814