Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembahagian Harta Pusaka Yang Tidak Menurut Hukum Farâ’idh

Soalan: Sukacita dipohonkan fatwa dan nasihat Pehin mengenai dengan pembahagian harta waris yang ditinggalkan oleh Allahyarham ibu saya berupa barang-barang kemas, rumah dan tanah.

Emas-emas yang ditinggalkan oleh Allahyarham ibu saya dibahagi-bahagikan kepada ahli-ahli waris tidak mengikut hukum farâ’idh sebaliknya melalui undian atau apa yang dikenali sebagai “lucky draw”. Caranya ialah setiap ahli waris diarahkan mengambil satu nombor dan memadankannya dengan bungkusan berisi emas yang mempunyai nombor yang sama. Ahli-ahli waris mengambil bungkusan mengikut nombor yang mereka perolehi.

Sebagai anak lelaki yang tua saya difahamkan bahawa cara ini adalah salah di sisi hukum syara‘.

Oleh itu saya ingin mengemukakan soalan-soalan berikut:

1. Adakah saya sebagai anak lelaki berhak menuntut hak saya di bawah hukum farâ’idh?

2. Apakah hukumnya jika harta pusaka dibahagi-bahagikan tidak mengikut hukum farâ’idh?

3. Apakah hukum jika ahli-ahli waris adik-beradik perempuan tidak mengembalikan bahagian anak lelaki setelah barang-barang emas itu dibahagi-bahagikan tidak mengikut hukum farâ’idh?

4. Apakah yang patut saya buat sekarang untuk mendapatkan hak saya sebagai anak lelaki di bawah hukum farâ’idh.

Jawapan: Apabila seseorang Islam meninggal dunia, semua harta yang ditinggalkannya ketika hidup sama ada harta itu berbentuk wang, tanah dan sebagainya adalah menjadi harta waris. Walau bagaimanapun sebelum harta peninggalan si mati itu dibahagi-bahagikan, hendaklah ditunaikan terlebih dahulu daripada hartanya itu tuntutan-tuntutan seperti berikut:

1. Perbelanjaan pengurusan jenazahnya dari saat kematiannya hinggalah ke saat pengebumiannya termasuklah perbelanjaan bagi keperluan memandikan dan mengkafankannya.

2. Segala hutang piutang si mati yang wajib dibayar sama ada hutang kepada Allah seperti zakat, haji fardhu, pembayaran kaffârah dan sebagainya atau hutang kepada manusia seperti pinjaman duit dan lain-lain. Melunasi hutang kepada Allah hendaklah didahulukan daripada hutang kepada manusia.

3. Segala wasiat si mati yang wajib dilaksanakan dengan tidak melebihi 1/3 daripada hartanya (jika dia ada berwasiat).

Kemudian setelah ditunaikan tuntutan-tuntutan tersebut, maka barulah dibahagi-bahagikan harta peninggalan si mati yang selebihnya itu kepada ahli-ahli waris yang berhak menerimanya mengikut hukum farâ’idh.

Pembahagian Harta Pusaka

Pembahagian harta pusaka menurut hukum farâ’idh sebagaimana yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an sama ada harta itu berbentuk wang, tanah, barang-barang emas dan sebagainya adalah wajib.

Al-Qur’an telah menjelaskan tentang bagaimana pembahagian harta pusaka kepada waris si mati, antaranya sebagaimana yang diterangkan dalam surah an-Nisâ’, ayat 11. Perintah membahagikan harta pusaka menurut al-Qur’an ini juga ada disebutkan dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bahagi-bahagikanlah harta antara ahli farâ’idh (ahli-ahli waris yang telah ditentukan bahagiannya), menurut Kitab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Muslim)

Pembahagian harta pusaka yang tidak mengikut hukum farâ’idh adalah haram. Walau bagaimana pun jika semua ahli waris dengan sukarela bersetuju untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka dengan cara yang lain, maka ia adalah harus dengan syarat semua ahli waris yang mempunyai hak ke atas harta pusaka tersebut bersetuju dengan sukarela tanpa paksaan dan mengetahui bahagian haknya yang asal daripada harta pusaka tersebut jika ia dibahagikan menurut hukum farâ’idh.

Jika berlaku pembahagian harta pusaka yang tidak menurut hukum farâ’idh tanpa kerelaan atau tanpa pengetahuan ahli waris, maka setiap ahli waris berhak menuntut haknya berdasarkan pembahagian harta pusaka menurut hukum farâ’idh.

Oleh yang demikian, bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, adalah seperti berikut:

1. Sebagai anak lelaki, Awang berhak menuntut hak Awang terhadap harta pusaka itu menurut hukum farâ’idh.

2. Membahagi-bahagikan harta pusaka tidak mengikut hukum farâ’idh tanpa kerelaan atau tanpa pengetahuan ahli-ahli waris yang berhak menerimanya adalah haram hukumnya.

3. Jika adik-beradik perempuan Awang tidak mengembalikan bahagian anak lelaki setelah barang-barang emas itu dibahagi-bahagikan tidak menurut hukum farâ’idh, maka mereka dikira mengambil harta orang lain secara bâthil. Mengambil harta orang lain secara bâthil amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya. (Surah al-Baqarah: 188)

Larangan ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Khaulah al- Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan (pembahagian) yang benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

4. Awang hendaklah menjelaskan kepada mereka tentang kedudukan hukum yang sebenarnya dalam perkara ini dan ke arah itu sebaiknya Awang mendapatkan nasihat daripada Bahagian Waris, Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, mengenai hal tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11818