Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Penerimaan Harta (Wang) Peninggalan Ibu Yang Dibahagikan Tidak Menurut Farâ’idh

Soalan: Ibu saya telah meninggal dunia pada tahun 2005. Beliau telah meninggalkan harta (wang) warisan miliknya yang tersimpan di dalam bank atas nama kakak saya. Wang warisan tersebut telahpun dibahagikan oleh kakak saya kepada saya dan adik-beradik perempuan sahaja, tidak termasuk adik-beradik lelaki saya.

Dalam hubungan ini saya memohon pandangan dan kata nasihat Pehin mengenai persoalan harta warisan tersebut seperti berikut:

1. Apakah harta warisan yang telah saya terima itu dapat diambil dengan jumlah yang telah ditetapkan oleh kakak perempuan saya?

2. Apakah hukumnya harta warisan yang saya terima itu?

3. Adakah adik-beradik lelaki saya berhak menerima harta warisan tersebut?

4. Adakah harta warisan tersebut dibahagikan kepada adik-beradik mengikut hukum agama Islam?

Jawapan: Apabila seseorang Islam meninggal dunia, semua harta yang ditinggalkannya ketika hidup sama ada harta itu berbentuk wang, tanah dan sebagainya adalah menjadi harta waris. Walau bagaimanapun hendaklah ditunaikan terlebih dahulu daripada harta si mati itu tuntutan-tuntutan seperti berikut:

i. Perbelanjaan pengurusan jenazahnya dari saat kematiannya hinggalah ke saat pengebumiannya, seperti keperluan memandikan dan mengkafankannya.

ii. Segala hutang piutangn si mati yang wajib dibayar sama ada hutang kepada Allah seperti zakat, haji fardhu, pembayaran kaffârah dan sebagainya atau hutang kepada manusia seperti pinjaman duit dan lain-lain. Melunasi hutang kepada Allah hendaklah didahulukan daripada hutang dengan manusia.

iii. Segala wasiat si mati yang wajib dilaksanakan dengan tidak melebihi 1/3 daripada hartanya (jika dia ada berwasiat).

Kemudian setelah ditunaikan tuntutan-tuntutan tersebut, maka barulah dibahagi-bahagikan harta peninggalan si mati yang selebihnya itu kepada ahli-ahli waris yang berhak menerimanya mengikut hukum farâ’idh.

Dalam menjawab permasalahan yang ditanyakan, kedudukan hukumnya adalah seperti berikut:

1. Jumlah wang yang telah Dayang terima seperti yang telah ditetapkan oleh kakak Dayang adalah tidak tepat kerana harta atau wang waris tersebut tidak dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak menerimanya, bahkan hanya kepada ahli-ahli waris kalangan adik-beradik perempuan sahaja. Menurut hukum farâ’idh adik-beradik lelaki adalah juga ahli waris yang berhak terhadap wang waris itu. Maka, oleh itu hendaklah harta (wang) waris itu dibahagikan dan dikira semula menurut hukum farâ’idh. Adapun nama kakak Dayang yang tertera di dalam akaun bank tersebut tidak lebih hanya sebagai pemegang amanah sahaja.

2. Sebahagian harta yang Dayang terima itu adalah milik ahli waris yang lain, maka haram Dayang menerima kesemua jumlah wang itu. Pengiraan semula perlu dibuat dan jumlah yang terlebih hendaklah diserahkan kepada ahli waris yang berhak menerimanya. Jika Dayang dan adik-beradik Dayang tidak berbuat demikian, Dayang dan mereka dikira memakan harta orang lain secara bâthil. Memakan harta secara bâthil amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Larangan ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Khaulah al- Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawasanya beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan pembahagian yang benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

3. Adik-beradik lelaki Dayang yang juga anak kepada ibu Dayang adalah antara ahli waris yang berhak menerima wang warisan tersebut dan menurut hukum farâ’idh bahagian seorang anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. (Surah an-Nisâ’: 11)

4. Pembahagian sedemikian bukanlah cara pembahagian yang dituntut di dalam Islam. Menurut hukum Islam wang warisan tersebut wajib dibahagi-bahagikan di kalangan ahli waris si mati iaitu adik-beradik lelaki dan perempuan Dayang. Mereka berhak menerima harta pusaka sama ada berbentuk wang, tanah atau sebagainya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua orang, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh harta itu). (Surah an-Nisâ’: 11)

Tuntutan pembahagian harta pusaka menurut hukum farâ’idh ini juga ada disebutkan dalam hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bahagi-bahagikanlah harta antara ahli farâ’idh (mereka yang telah ditetapkan bahagian mereka), menurut Kitab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat Muslim)

Maka berdasarkan penjelasan di atas, wang warisan peninggalan ibu Dayang itu hendaklah dibahagikan kepada semua adik-beradik Dayang menurut hukum farâ’idh. Jumlah wang yang terlebih, yang diterima oleh Dayang dan adik-beradik perempuan Dayang hendaklah diganti dan diserahkan kepada ahli-ahli waris yang berhak menerimanya. Dayang bolehlah merujuk ke Bahagian Waris, Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, untuk mengetahui jumlah sebenar yang berhak diterima oleh setiap ahli waris.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11823