Penggunaan Nama Allah Pada Kad Jemputan Perkahwinan Orang Bukan Islam
Soalan: Dengan penuh hormat Pusat Da’wah Islamiah ingin memohon fatwa berhubung dengan kad jemputan perkahwinan orang bukan Islam yang tertulis di dalamnya satu ayat daripada Kitab Bible yang mengandungi nama Allah.
Diharapkan semoga fatwa yang diberikan nanti dapat meleraikan kemusykilan yang dihadapi dan insyâ Allah akan menjadi panduan serta rujukan Jabatan ini serta pihak-pihak yang berkenaan dalam sama-sama menjaga kemashlahatan masyarakat di negara ini.
Jawapan: Allah Tuhan Semesta Alam
Pada permulaan surah dalam al-Qur’an lagi, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menerangkan bahawa Dia adalah Tuhan semesta alam:
Tafsirnya: Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam. (Surah al-Fâtihah: 2)
Dalam ayat lain pula, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan agar mengungkapkan rasa syukur jika orang-orang kafir mengakui bahawa Allah ialah Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Firman Allah:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillâh (sebagai syukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah),” bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)
Fahaman Salah Orang-orang Nashrani Tentang Allah
Allah menegaskan bahawa adalah kufur orang-orang yang menyekutukanNya dalam firmanNya:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah al-Masih ibnu Maryam.” Padahal al-Masih (sendiri) telah berkata: “Wahai Bani Isra’il! Sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhan kamu. Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat kembalinya ialah neraka. Dan tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun.” Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah adalah salah satu daripada yang tiga (fahaman Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga unsur; tuhan bapa, tuhan anak dan ruh al-quddus).” Padahal tidak ada tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu sudah tentu orang-orang yang (terus-menerus) kafir di antara mereka akan ditimpa azab yang pedih. (Surah al-Mâ’idah: 72-3)
Hakikatnya, Allah menerangkan tentang diriNya dalam firman:
Tafsirnya: Wahai Ahli Kitab (Nashrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya al-Masih ‘Isa ibnu Maryam itu adalah seorang pesuruh Allah dan kalimahNya yang telah disampaikanNya kepada Maryam dan (dengan tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulNya. Dan janganlah kamu mengatakan (Tuhan itu) tiga. Berhentilah kamu (daripada mengatakan yang demikian), itu lebih baik bagi kamu. Sesungguhnya Allah itu Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Dia daripada mempunyai anak; bagiNya apa yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung (Yang Mentadbir semua makhlukNya). (Surah an-Nisâ’: 171)
Oleh yang demikian, kepercayaan orang-orang Nashrani tentang Allah adalah syirik dan salah serta tidak selari dengan fahaman orang-orang Islam.
Orang Bukan Islam Ditegah Memperlihatkan Syi‘ar Kufur
Merujuk kepada pendapat ulama fiqh khususnya dalam mazhab asy-Syafi‘e berhubung dengan syarat dan juga peraturan yang mesti ditaati oleh orang-orang dzimmi atau orang-orang bukan Islam yang berada di negara Islam, antara perkara yang wajib ditegah ke atas mereka ialah memperlihatkan perkara-perkara mungkar di kalangan orang Islam, iaitu:
1. Mereka wajib dilarang memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kesyirikan mereka, umpamanya kesyirikan mereka dengan mengatakan Allah itu salah satu daripada tiga unsur (fahaman Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga unsur; tuhan bapa, tuhan anak dan ruh al-quddus). Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.
2. Mereka dilarang memperlihatkan kepercayaan mereka mengenai al-Masih dan al- ‘Uzair ‘Alaihimashshalâtu wassalâm bahawa kedua-duanya adalah putera Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan juga kepercayaan mereka bahawa al-Qur’an bukan daripada Allah.
3. Mereka dilarang menzahirkan atau memperlihatkan arak, khinzîr, nâqûs (benda yang digendang oleh orang-orang Nashrani untuk memaklumkan waktu-waktu sembahyang mereka) dan perayaan mereka.
4. Mereka dilarang memperlihatkan dan memperdengarkan bacaan Injil dan Taurat mereka, sekalipun di gereja-gereja mereka kerana terdapat padanya kerosakan-kerosakan dan menzahirkan syi‘ar kekufuran.
Jika mereka menampakkan juga, maka mereka boleh dita‘zîr (hukuman yang tiada dihadkan dalam syara‘) dan boleh disekat, tetapi dengan tindakan itu tidak merosak perjanjian (memberikan mereka kedamaian), meskipun sudah disyaratkan kepada mereka untuk menahan diri daripada menyebut hal-hal serupa itu. Lain halnya jika mereka memerangi kita, tidak mahu membayar jizyah dan tidak mahu melaksanakan hukum Islam, maka ketika itu batal perjanjian kita dengan mereka. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/103-4, Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj: 9/373-5 dan Kifâyah al-Akhyâr: 512)
Syarat-syarat perjanjian damai orang-orang Nashrani penduduk Syam dengan Amirul- Mu’minin ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, antaranya menyebutkan:
i. Mereka hendaklah tidak menzahirkan kesyirikan (penyekutuan terhadap Allah) dan tidak berda‘wah kepadanya.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu, disyaratkan ke atas mereka untuk tidak memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kesyirikan mereka (terhadap Allah), dan tidak memperdengarkan bunyi loceng. Sekiranya mereka melakukan sedemikian, maka mereka dita‘zir.
ii. Mereka hendaklah tidak berkata-kata dengan ungkapan orang-orang Islam.
Ini merupakan syarat bagi ahli Kitab yang bahasanya bukan bahasa Arab seperti orang-orang Nashrani penduduk Syam, Jazirah dan selain mereka daripada negara-negara yang penduduknya bukan Nashrani Arab dan tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa mereka.
Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu melarang mereka (orang-orang bukan Islam yang bukan daripada kalangan Arab) menggunakan ungkapan orang-orang Arab agar mereka tidak menyerupai orang-orang Arab Islam dalam percakapan mereka sebagaimana mereka dilarang menyerupai orang-orang Islam dari segi gaya, pakaian dan kenderaan. Oleh itu, mereka dimestikan bercakap dengan bahasa mereka sendiri, agar mereka dikenali daripada percakapan mereka itu bahawa mereka adalah orang-orang kafir. Dengan itu, mereka tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengungkapkan kata-kata buruk dan kotor.
Maka, tindakan ini merupakan pemeliharaan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu terhadap bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Qur’an dan ahli syurga agar ia tidak digunakan oleh ahli neraka (orang-orang kafir). Ia juga merupakan pengagungan paling sempurna terhadap Islam, al-Qur’an dan orang-orang Arab yang diturunkan al-Qur’an dengan bahasa mereka serta diutus rasul daripada kalangan mereka. Sekiranya dibenarkan orang-orang bukan Islam yang bukan daripada kalangan Arab menggunakan Bahasa Arab, nescaya ia boleh menimbulkan kerosakan, antaranya melalui perbahasan dan pertelingkahan mereka terhadap orang-orang Islam.
iii. Mereka hendaklah tidak mengukir cincin mereka dengan bahasa Arab.
Ini merupakan larangan ke atas mereka untuk menulis dengan perkataan Arab hatta pada ukiran cincin, agar mereka tidak mengatasi orang-orang Islam, dan berkemungkinan ia akan membawa kepada keburukan yang memudharatkan orang-orang Islam serta mengelakkan mereka daripada menyerupai orang-orang Islam dalam perkara mengukir cincin dengan bahasa Arab sebagaimana perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mengukir cincin Baginda dengan kalimah Arab ُممد رسول هللا.
Dikatakan juga larangan ini adalah salah satu daripada sadd adz-dzarî‘ah (menghalang daripada berlaku perkara yang haram). Ini merupakan perumpamaan-perumpamaan dalam syariat Islam bagi sesiapa yang menelitinya.
iv. Mereka hendaklah tidak mempamerkan salib-salib dan kitab-kitab (tulisan-tulisan) mereka di mana-mana tempat yang dilalui atau di pasaran orang-orang Islam, sekalipun mereka tidak melaungkan suara.
v. Mereka hendaklah tidak melaungkan suara mereka dalam gereja-gereja mereka yang berada di khalayak orang Islam.
Larangan untuk melaungkan suara mereka, antaranya ialah di dalam perkara yang merujuk kepada agama mereka dan penyebaran syi‘arnya seperti suara-suara mereka di dalam pengajian, perbincangan dan seumpamanya.
vi. Jika mereka mengingkari sesuatu daripada apa yang mereka syaratkan, maka mereka memberi jaminan bahawa tiada lagi perlindungan ke atas mereka dan halal ke atas pemerintah Islam bertindak ke atas mereka dengan tindakan yang halal dilakukan ke atas golongan yang membantah dan menentang orang-orang Islam.
Menurut pendapat shahîh, syarat-syarat di zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu ini adalah mencukupi dan ia berterusan untuk diguna pakai sampai bila-bila sekalipun setelah berkurun lamanya. (Asnâ al-Mathâlib: 4/219 dan Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/149, 154, 185, 186)
Para ulama pula berselisih pendapat dalam perkara mewajibkan penyebutan sebuah syarat dalam perjanjian, iaitu: Mereka (orang-orang bukan Islam) hendaklah tidak menyebut Allah Ta‘ala, RasulNya dan agamaNya pada perkara-perkara yang tidak diharuskan. Menurut pendapat ashah, jika syarat ini disebutkan dalam perjanjian (damai) dan mereka melakukannya, maka terbatallah perjanjian. Manakala jika tidak disebutkan dan mereka melakukannya, tidak pula membatalkan perjanjian. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/104, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/375, al-Bayân: 12/287-8 dan Kifâyah al-Akhyâr: 512)
Penggunaan Nama Allah Di Kalangan Orang Bukan Islam
Berdasarkan beberapa syarat yang mesti ditaati oleh orang-orang bukan Islam yang berada di negara Islam yang telah diterangkan, maka adalah dilarang orang bukan Islam di negara-negara yang bahasanya bukan bahasa Arab menggunakan kalimah ‘Allah’ yang berasal daripada ungkapan orang-orang Islam, sama ada pada lisan atau tulisan mereka. Ini merupakan antara langkah sadd adz-dzarî‘ah iaitu menghalang daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan kemudharatan, kekeliruan atau penghinaan terhadap orang-orang Islam.
Apatah lagi jika kalimah ‘Allah’ yang mereka gunakan ialah untuk menyekutukan Allah, maka ia telah digunakan pada perkara-perkara yang tidak diharuskan dan penyekutuan terhadap Allah itu adalah dilarang untuk dipamer dan diperdengarkan kepada orang-orang Islam.
Di negara jiran pula, Selangor, Malaysia telah dibuat undang-undang, iaitu Enakmen No. 1 tahun 1988, dinamakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Di bawah Seksyen 9 iaitu kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam, antara yang disebutkan:
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia:
(a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau (b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau
(c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau
(d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan,
menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.
Antara perkataan yang disenaraikan dalam Jadual (Seksyen 9), Bahagian I, Perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam itu ialah ‘Allah’.
Kad Jemputan Mempamerkan Petikan Daripada Bible Yang Mengandungi Nama Allah
Kad jemputan perkahwinan orang bukan Islam yang telah dilampirkan oleh Pusat Da’wah Islamiah itu mengandungi petikan daripada Bible iaitu Matius 19:6:
“Demikianlah mereka bukan lagi dua, melainkan satu. Kerana itu, apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia.”
Sebagaimana yang telah diterangkan, orang-orang bukan Islam di negara Islam adalah dilarang memperdengarkan dan memperlihatkan bacaan dan tulisan mereka seperti Bible kepada orang-orang Islam. Mereka juga dilarang menyebarkan perkara-perkara berkaitan agama mereka dan syi‘arnya.
Oleh itu, sebagaimana yang telah disebutkan oleh ulama fiqh, jika mereka (orang bukan Islam) melakukan perkara-perkara yang bersalahan dengan syarat-syarat orang bukan Islam di negara Islam, pemerintah atau pihak berkuasa Islam wajib menegah perbuatan mereka dan melakukan tindakan sewajarnya ke atas mereka.
Maka, pemerintah atau pihak berkuasa Islam wajib memberi teguran, menegah dan menahan penyebaran kad jemputan perkahwinan yang mempamerkan petikan daripada Bible, apatah lagi ia mengandungi nama ‘Allah’, iaitu antara perkataan yang dilarang ke atas orang-orang bukan Islam yang bahasanya bukan bahasa Arab untuk menggunakannya.
Tindakan ini adalah untuk memelihara aqidah umat Islam dan menghalang daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan penghinaan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua, kerana kita juga telah maklum bahawa fahaman orang-orang Nashrani tentang Allah adalah salah dan syirik.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11827
