Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Permasalahan Harta Waqaf

Soalan: Dengan hormat dipohonkan sebarang pandangan atau fatwa mengenai perkara-perkara berikut:

1. Bolehkah memusnahkan (membakar) barang-barang waqaf yang telah rosak di beberapa buah masjid dan menjual mana-mana yang masih elok dan baik tetapi tidak lagi digunakan oleh masjid berkenaan?

2. Bagaimana kedudukan barang-barang yang bercampur di antara barang-barang waqaf dan harta benda kerajaan sehingga tidak dapat dipastikan kedudukan di antara kedua-duanya?

3. Bagaimana pula kedudukan barang-barang yang disimpan/ diletakkan di masjid oleh para jemaah yang tidak diketahui niat sebenar individu yang meletakkannya?

Jawapan: Pemusnahan Barang-Barang Waqaf Yang Rosak

Persoalan barang-barang waqaf yang rosak dan tidak digunakan lagi oleh sesebuah masjid telah dibahas oleh para ulama. Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:

Ertinya: Tidak (boleh) dirobohkan (sesebuah masjid) kecuali jika ia ditakuti akan roboh, maka ketika itu bolehlah ia dirobohkan dan disimpan peralatan atau perkakas masjid tersebut atau dibangunkan dengannya sebuah masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat sedemikian. Dan masjid yang lebih dekat dengan masjid yang dirobohkan itu lebih utama (untuk digunakan peralatan masjid yang roboh itu padanya) dan tidak boleh digunakan peralatan itu untuk membuat telaga atau ribâth (asrama) dan yang seumpamanya. Sekumpulan ulama pula berkata: “Kecuali jika terdapat kesukaran atau keuzuran dalam memindahkan peralatan tersebut bagi (kegunaan) masjid yang lain, (maka bolehlah digunakan peralatan tersebut bagi kegunaan selain daripada masjid).” (Tuhfah al-Muhtâj: 2/512)

Al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya juga menyatakan perkara yang sama:

Ertinya: Tidak (boleh) dirobohkan sesebuah masjid kecuali jika ditakuti ia akan roboh, maka (ketika itu) bolehlah ia dirobohkan dan disimpan peralatan atau perkakas masjid tersebut atau dibangunkan dengannya sebuah masjid yang lain jika hakim (pemerintah) berpendapat sedemikian. Dan masjid yang lebih dekat dengan masjid yang dirobohkan itu lebih utama (untuk digunakan peralatan masjid yang roboh itu padanya). Dan tidak boleh digunakan peralatan tersebut untuk mentakmir bangunan selain jenis masjid seperti asrama dan telaga, sebagaimana juga jika sebaliknya, kecuali apabila sukar untuk digunakan peralatan tersebut pada yang sejenisnya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/370)

Kemudian dia berkata lagi:

Ertinya: Dan ditanya guru kami (Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ) berkenaan apabila dita‘mîrkan sebuah masjid dengan alat-alat perkakas yang baru dan tinggal alat-alat perkakasnya yang lama: “Maka adakah boleh di‘imârahkan masjid lain yang lama dengan alat-alat perkakas (yang lama) itu atau bolehkah dijual dan disimpan harganya (duitnya bagi kegunaan masjid yang empunya alat-alat itu)?” Maka dia menjawab: “Sesungguhnya boleh digunakan alat-alat perkakas itu bagi menta‘mîr masjid yang lama atau yang baharu dengan sekira-kira telah putus (tetap bahawa masjid yang empunya alat-alat perkakas itu) tidak memerlukan kepada alat-alat perkakas itu sebelum ia rosak, (dan) tidak boleh menjualnya (alat-alat perkakas itu) dengan apa cara sekalipun.” (I‘ânah ath- Thâlibîn: 3/371-372)

Begitu juga hukum memindahkan barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid seperti tikar, permaidani, lampu-lampu dan selainnya adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mensyarahkan perkataan al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: (Dan memindahkan [barang-barang sesebuah masjid] seperti tikar masjid) iaitu seperti perabot-perabot masjid selain tikar (dan lampu-lampunya) (adalah sama sebagaimana cara memindahkan peralatan-peralatan masjid) iaitu jika sekiranya masjid (yang empunya barang tersebut) tidak memerlukannya, maka boleh memindahkan barang-barang tersebut ke masjid lain (yang terdekat dan memerlukannya), tetapi jika tidak (masjid yang empunya barang itu masih memerlukannya) maka tidak boleh (memindahkannya ke masjid lain). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/372)

Menjual Barang-Barang Waqaf

Barang-barang waqaf yang masih elok adalah tidak boleh dijual sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Ia hanya boleh dijual apabila barang-barang tersebut tidak dapat dimanfaatkan lagi. Misalnya tikar yang telah lusuh atau rosak dan seumpamanya. Al-Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan dalam kitabnya:

Ertinya: Dan boleh dijual tikar-tikar masjid yang diwaqafkan kepadanya jika tikar tersebut telah lusuh atau buruk, iaitu kecantikannya dan manfaatnya telah hilang dan terdapat mashlahat pada menjual tikar tersebut. Begitu juga (menjual) kayu-kayunya yang telah pecah-pecah. (Pendapat ini) bercanggah dengan pendapat sekumpulan ulama dalam perkara menjual kedua-duanya. Maka dibelanjakan wang hasil jualan tersebut bagi mashlahat-mashlahat masjid, jika tidak dapat dibelikan tikar atau kayu dengan wang tersebut. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/368-369)

Dalam menjual barang-barang waqaf ini, al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: (Dan menurut pendapat yang ashah ialah boleh menjual tikar-tikar masjid jika ia telah buruk dan kayu-kayunya jika patah) atau hampir-hampir patah, (dan tidak layak lagi digunakan melainkan untuk dibakar) supaya (manfaat) barang tersebut tidak hilang (begitu sahaja).

Katanya lagi:

Ertinya: Maka perolehan yang sedikit daripada harga penjualannya yang kembali kepada waqaf adalah lebih utama daripada hilangnya (kerana dibakar). Dan ia dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-seolah sudah tidak ada. Dalam pada itu, wang penghasilan daripada penjualan berkenaan boleh disalurkan bagi tujuan kemashlahatan masjid jika tidak dapat dibelikan tikar atau kayu (yang baru) dengan wang tersebut. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/512)

Maka berdasarkan pendapat para ulama di atas, kedudukan barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid adalah seperti berikut menurut urutan:

1. Barang-barang yang diwaqafkan kepada masjid yang masih elok atau masih boleh digunakan, tidak boleh dijual sama sekali.

2. Barang-barang waqaf yang masih elok atau masih boleh digunakan, tetapi masjid tidak memerlukannya atau menggunakannya lagi, maka barang-barang waqaf tersebut boleh disalurkan kepada masjid lain dengan diberi keutamaan kepada masjid terdekat yang memerlukannya.

3. Jika tidak ada masjid yang memerlukannya, maka ia boleh disalurkan kepada tempat-tempat waqaf lain yang memerlukannya seperti sekolah waqaf, asrama waqaf atau yang seumpamanya.

4. Barang-barang waqaf yang telah rosak dan tidak dapat dimanfaatkan lagi, harus dijual kiranya terdapat mashlahat pada menjualnya. Wang hasil daripada jualan tersebut hendaklah dipulangkan semula kepada masjid berkenaan untuk membeli jenis barang-barang yang sama seperti barang-barang waqaf yang telah dijual itu.

5. Jika wang tersebut tidak dapat dibelanjakan untuk membeli barang yang sama sepertinya, misalnya kerana wang hasil jualan tersebut tidak mencukupi, bolehlah wang tersebut dibelanjakan untuk mashlahat masjid.

6. Jika barang-barang yang telah rosak itu tidak dapat dijual kerana tidak mungkin ia dapat dimanfaatkan lagi, dan menjadi kesukaran bagi pihak masjid untuk menyimpannya, maka dalam keadaan ini haruslah ia dibakar. Walau bagaimanapun menjualnya adalah lebih utama, kerana wang penghasilan daripada penjualannya walaupun sedikit, dapat disalurkan bagi kemashlahatan masjid berbanding jika ia dibakar akan hilang begitu sahaja.

Barang Waqaf Bercampur Dengan Harta Benda Kerajaan Yang Tidak Dapat Dibezakan

Sesuatu barang yang telah sah diwaqafkan قُوفُ)ح(الحمَو menurut syara‘ tidak dapat dikembalikan kepada orang yang berwaqaf (احلوَاقَف). Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, pengertian waqaf dari segi syara‘ ialah:

Ertinya: Membekukan harta yang bersifat boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ‘ainnya dengan memutuskan hak kuasa bertindak padanya untuk disalurkan pada jalan yang diharuskan oleh syara‘.(Tuhfah al-Muhtâj: 2/488)

Apabila sesuatu waqaf itu telah tsabit, maka hak milik atas benda atau sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah dari milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘ala. Perkara ini ditegaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawa hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) daripada kuasa khusus manusia, maka ia tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan. (Minhâj ath-Thâlibîn dalam Mughni al-Muhtâj: 2/527-528)

Dengan itu, sesuatu yang diwaqafkan itu tidak boleh diambil semula oleh mana-mana pihak sama ada orang yang mewaqafkannya atau pun orang yang bukan mewaqafkannya dengan apa cara sekalipun, kerana hak milik barang yang diwaqafkannya itu telah berpindah kepada milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Begitu juga untuk membatalkan barang-barang yang diwaqafkan. Barang waqaf itu tidak boleh dibatalkan. Ia akan terus berkekalan sebagaimana disebutkan oleh al-Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Dan tidak batal waqaf oleh apa jua keadaan malah adalah berterusan atasnya (menjadi waqaf). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/343)

Bahkan apabila barang itu telah sah diwaqafkan, maka ia tidak dapat dijual, diberikan atau diwariskan kepada sesiapa pun sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesungguhnya (barang yang diwaqafkan itu) tidak boleh dijual, tidak boleh diberikan dan tidak boleh diwariskan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berlainan halnya dengan perkara yang ditanyakan di atas mengenai harta benda kerajaan. Harta benda kerajaan, setakat yang difahami dan pada kebiasaannya adalah hanya untuk dipinjamkan kepada orang yang memerlukannya bagi dimanfaatkan dan akan diserahkan semula kepada kerajaan. Ini bererti harta berkenaan tetap menjadi hak milik kerajaan.

Sebagai irsyâd, mengenai persoalan harta benda kerajaan yang diletakkan bercampur dengan barang-barang waqaf itu, maka hendaklah betul-betul dipastikan dahulu barang-barang waqaf atau harta benda kerajaan sama ada dengan bertanya kepada orang yang dipertanggungjawabkan menjaga barang yang diwaqafkan di tempat itu atau kepada orang yang menyalurkan harta benda kerajaan berkenaan atau dengan melihat tanda-tanda, catatan-catatan barang-barang tersebut jika ada. Adapun barang-barang yang tidak dapat dipastikan sama sekali perbezaannya, maka sebagai langkah berhati-hati dan tidak memutuskan amalan orang yang berwaqaf adalah lebih baik ia diandaikan sebagai barang waqaf. Walau bagaimanapun hendaklah dimaklumkan kepada pihak yang mengawal harta benda kerajaan tersebut supaya melakukan tindakan selanjutnya dalam urusan hal ehwal pentadbiran.

Barang Yang Diletakkan Di Masjid Tidak Diketahui Niat Individu Yang Meletakkannya

Barang yang diletakkan di masjid yang tidak diketahui niat individu yang meletakkannya adalah menjadi barang yang diwaqafkan قُوفُ)ح(الحمَو. Ini berdasarkan perkataan asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika ditanya mengenai pokok yang terdapat di masjid yang tidak diketahui sama ada ia waqaf atau bukan:

Ertinya: Bahawa pada zahirnya, menanamnya (pokok buah) di masjid adalah ia termasuk barang yang diwaqafkan, sebagaimana yang mereka nyatakan mengenainya dalam bab ash-shulh (perdamaian), iaitu sesungguhnya keharusan persoalan menanam pokok di masjid ialah apabila (seseorang itu) menanamnya untuk umum orang-orang Islam dan jika dia menanamnya untuk dirinya sendiri adalah tidak boleh walaupun (dia menanamnya) tidak memudharatkan masjid. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/394)

Kemudian asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menambah lagi:

Ertinya: Dan manakala diandaikan bahawa dia menanam untuk umum orang-orang Islam maka boleh diperkirakan harus menjualnya dan menyerahkan hasilnya untuk kemashlahatan orang Islam jika tidak dapat dimanfaatkan dengannya dalam keadaan kering, dan boleh juga diperkirakan wajib menyerahkan hasilnya khusus kepada kemashlahatan masjid. Dan semoga yang kedua ini lebih aqrab (hampir ketepatannya), kerana pewaqafnya jika dia mewaqafkan sebagai waqaf secara mutlak, kami berpendapat dengan menyerahkan hasilnya kepada kemashlahatan orang-orang Islam, maka masjid termasuk daripadanya (mashlahat orang Islam). Dan jika dia mewaqafkan khusus kepada masjid (maka) tertegah menyerahkan hasilnya kepada yang selainnya. Maka berdasarkan kedua-dua andaian, keharusan menyerahkan hasilnya untuk kemashlahatan masjid adalah meyakinkan (tidak meragukan), berlainan dengan menyerahkannya untuk kemashlahatan selainnya yang keharusannya diragukan, maka ditinggalkan (yang diragui itu) demi yang meyakinkan itu. (Nihâyah al- Muhtâj: 5/394)

Oleh yang demikian, barang yang diletakkan di masjid yang tidak diketahui niat individu berkenaan adalah barang yang diwaqafkan.

Maka dalam hal ini, barang tersebut hendaklah dijaga menurut hukum waqaf. Ia tidak boleh dijual dan tidak boleh diberikan kepada orang lain. Jika ia rosak dan tidak dapat dimanfaatkan lagi maka ia harus dijual dan hasilnya diserahkan untuk mashlahat masjid kerana masjid termasuk juga daripada mashlahat orang-orang Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11831