Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Permasalahan Mengenai Hutang

Soalan: Saya telah meminjam wang daripada sahabat saya sebanyak $5000.00 dengan perjanjian saya menjadi penjamin pertama baginya membuat pinjaman kerajaan (government loan) untuk membeli kereta sebanyak $9500.00. Sebagai penjamin pertama saya bersetuju membayar balik pinjamannya jika terjadi apa-apa kepadanya.

Beberapa bulan selepas itu beliau jatuh sakit, beliau telah menghantar pesanan ringkas (sms) kepada saya yang menyatakan jika umurnya tidak panjang beliau mewasiatkan kepada saya untuk memberitahu keluarganya bahawa hutang saya kepada beliau sudah selesai walaupun hakikatnya tidak demikian, kerana pada masa itu beliau berfikir jika beliau meninggal dunia dengan sendirinya hutang beliau kepada kerajaan saya yang membayar melalui potongan gaji. Dengan itu juga bermakna saya telah membayar hutang saya kepada beliau. Perkara ini telahpun beliau maklumkan kepada ibu beliau.

Tidak lama kemudian sahabat saya ini pun meninggal dunia.

Masalahnya sekarang ialah memandangkan sahabat saya ini bujang, semua hutang (government loan) beliau itu telah dilunaskan melalui potongan baksis bujangnya dan penjamin pertama iaitu saya tidak dikenakan potongan gaji.

Pertanyaan saya:

1. Patutkah saya memberitahu keluarganya tentang hutang saya ini dan membayar kepada keluarganya sedangkan Allahyarham berwasiat kepada saya supaya tidak memberitahu ahli keluarganya?

2. Jika saya tidak memberitahu keluarganya, adakah cara lain untuk saya membayar hutang saya ini? Dan bagaimanakah cara itu?

Jawapan: Kewajipan Membayar Hutang

Berhutang merupakan salah satu perkara yang diharuskan dalam Islam, tetapi sungguhpun begitu Islam tetap tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari, apatah lagi jika berhutang itu bukan kerana perkara yang penting atau bukan kerana sesuatu keperluan yang mendesak atau dharurat.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri tidak suka berhutang dan kerana itu Baginda selalu meminta perlindungan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada hutang, sebagaimana disebutkan dalam hadits, sesungguhnya ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah mengkhabarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdo‘a ketika sembahyang dengan berkata:

Maksudnya: Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan belenggu hutang. Lalu Baginda ditanya: “Mengapakah Tuan banyak meminta perlindungan daripada belenggu hutang, wahai Rasulullah?”Baginda menjawab: “Sesungguhnya seseorang itu apabila terbelenggu dengan hutang, (kalau) bercakap dia berdusta dan (kalau) berjanji dia mungkir.” (Hadits riwayat Bukhari)

Orang yang berhutang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikannya iaitu melunaskan hutang, dan jika semasa hidupnya hutang belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya.

Bahkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga ada menyebutkan tentang keadaan orang meninggal dunia yang masih menanggung hutang. Antaranya daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung (tertahan daripada mendapat tempat yang mulia) kerana hutangnya (yang belum dibayar) sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hutang itu bukan sahaja akan menjadi beban di dunia bahkan juga setelah meninggal dunia jika masih lagi belum dilunaskan. Kerana itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhkan diri daripada berhutang kecuali apabila benar-benar diperlukan.

Kewajipan Menyerahkan Hak Kepada Yang Berhak

Berdasarkan keterangan yang telah diberikan, penyoal (A) masih lagi menanggung hutang yang wajib dilunaskan atau dibayar kepada B. Namun setelah kematian B, hutang tersebut hendaklah dibayar atau diserahkan kepada ahli keluarga B, kerana menurut hukum syara‘, harta peninggalan orang yang meninggal dunia itu akan menjadi hak milik warisnya dan akan dibahagikan menurut hukum farâ’idh. Ini bermakna segala harta si mati termasuk hutang yang belum dibayar balik kepada si mati telah menjadi hak milik waris si mati. Maka A di sini masih lagi menanggung hutang yang wajib dilunaskannya, iaitu dengan menyerahkannya kepada ahli keluarga atau waris B.

Tetapi yang menjadi persoalan di sini ialah berkenaan perjanjian yang dibuat di antara A dan B untuk merahsiakan perkara ini daripada keluarga B. Adakah A patut memberitahu pihak keluarga B sedangkan B telah berpesan supaya tidak diberitahu kepada keluarganya tentang perkara ini? Dan adakah A akan dianggap tidak menunaikan janji atau tidak amanah kerana tidak menunaikan pesanan B?

Dalam Islam, menunaikan janji merupakan satu amanah yang dipikul oleh orang yang diberikan amanah tersebut dan melaksanakannya adalah satu tanggungjawab sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Surah al-Isrâ’: 34)

Namun dalam hal ini, melaksanakan amanah B untuk tidak memberitahu keluarganya itu akan menyukarkan A untuk melunaskan hutang yang masih ditanggungnya. Jika kesukaran ini menyebabkan A hingga tidak melunaskan hutangnya, ini bermakna hak ahli waris B akan tertahan, walaupun A tidak bermaksud untuk berbuat sedemikian.

Menahan seseorang daripada mendapatkan haknya adalah suatu kezaliman dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan kezaliman sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang apa yang diriwayatkan daripada Allah Tabâraka wa Ta‘âlâ sesungguhnya Allah telah berfirman:

Makdudnya: Wahai para hambaKu! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu, dan Aku telah menjadikannya di antara kamu sebagai suatu yang diharamkan, maka janganlah kamu saling berlaku zalim… (Hadits riwayat Muslim)

Bahkan melunaskan hutang itu juga merupakan satu amanah yang wajib dilaksanakan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah an-Nisâ’: 58)

Ibnu al-Munir Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan bahawa hutang itu dikira sebagai amanah kerana telah tsabit perintah untuk melunaskannya. Perintah dan larangan agama juga ditafsirkan sebagai amanah. Maka termasuk di dalam amanah itu perkara yang berkaitan dengan tanggungan (dzimmah) dan perkara yang tidak ada berkaitan dengan tanggungan. (Fath al-Bâri: 5/334)

Ini bermakna menunaikan janji kepada orang yang telah meninggal dunia adalah amanah. Melunaskan hutang juga adalah amanah yang wajib dilaksanakan. Apabila dua perkara tersebut bertembung, bagaimanakah penyelesaiannya?

Dalam hal ini, terdapat kaedah fiqh yang menggariskan bahawa jika bertembung dua kepentingan yang salah satu daripadanya ialah kepentingan khas dan yang satu lagi kepentingan am, maka kepentingan yang khas itu hendaklah diketepikan atau dikesampingkan demi kepentingan atau kemashlahatan am:

Ertinya: Ditanggung kemudharatan khas untuk menolak kemudharatan yang umum.

Berdasarkan kaedah ini, maka kemudharatan khusus iaitu kemudharatan B hendaklah ditanggung demi menolak kemudharatan am iaitu kemudharatan ahli waris B.

Ini bermakna walaupun A mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan amanah B, namun oleh kerana melaksanakan amanah B itu akan menyebabkan hak ahli waris B tertahan, bahkan ia juga akan menyukarkan A untuk melunaskan hutangnya, maka kewajipan untuk melaksanakan amanah B tersebut hendaklah diketepikan untuk menunaikan kepentingan ahli waris B agar mereka mendapatkan hak-hak mereka dan sekaligus menyelesaikan masalah kewajipan melunaskan hutang yang ditanggung oleh A yang merupakan suatu amanah juga.

Dengan itu kewajipan A ialah melunaskan hutangnya kepada B dengan menyerahkan wang tersebut kepada ahli waris B yang berhak menerimanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11835