Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permohonan Bercuti Panjang Berterusan Atas Alasan Mengikuti Kegiatan Keagamaan

Soalan: Dengan penuh hormat, pihak Syarikat Minyak Brunei Shell ingin mendapatkan pandangan dan ulasan berkaitan dengan permohonan pekerja syarikat ini untuk mendapatkan cuti panjang yang melebihi dua atau tiga bulan secara berterusan bagi membolehkan mereka mengikuti kegiatan keagamaan khususnya agama Islam.

Pihak syarikat kurang pasti dengan kegiatan keagamaan yang akan diikuti, tetapi contoh yang boleh kami berikan ialah seperti mengikuti rombongan jemaah tabligh berdakwah dalam menyebar dan mengembangkan syiar Islam di dalam atau di luar negara.

Sehubungan dengan ini, pihak syarikat ingin mendapatkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan kegiatan keagamaan yang dibenarkan dan tiada halangan bagi si pemohon (pegawai atau kakitangan kerajaan) mengambil cuti panjang termasuk cuti tanpa gaji.

Jawapan: Setiap majikan dan pekerja wajib mematuhi semua perjanjian yang dimeterai di antara mereka termasuk peraturan pengambilan cuti yang diperuntukkan selama mana perjanjian yang dimeterai itu tidak bercanggah dengan hukum syara‘.

‘Auf al-Muzani Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Orang-orang Islam (hendaklah mematuhi) syarat-syarat mereka (yang dipersetujui) melainkan syarat yang mengharamkan perkara halal atau syarat yang menghalalkan perkara haram. (Hadits riwayat ad-Daruquthni)

Tetapi walaupun kedua-dua belah pihak mesti mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui, ini tidak bermakna bahawa kedua-dua belah pihak mesti akur kepada syarat-syarat tersebut, tanpa mempertimbangkan dalam keadaan tertentu berdasarkan pertimbangan budi bicara, terutama apabila terdapat alasan yang kukuh dan kuat untuk sesuatu perkara itu diberikan pengecualian khusus daripada syarat-syarat yang dipersetujui, lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh perkara wajib yang dituntut oleh syara‘ untuk dilaksanakan seperti cuti panjang untuk menunaikan kewajipan fardhu haji misalnya.

Tetapi jika alasan yang diberikan bukan perkara wajib yang dituntut ke atas seseorang untuk melaksanakannya sekalipun ia kegiatan keagamaan seumpama mengikuti rombongan jemaah tablîgh berda‘wah dalam menyebar dan memperkembangkan syi‘ar Islam di dalam atau di luar negara ataupun untuk mengerjakan haji sunat atau umrah sunat (haji atau umrah yang dikerjakan untuk kali kedua dan seterusnya), maka permohonan cuti yang sedemikian adalah terpulang kepada budi bicara pihak majikan dan pihak majikan boleh tidak membenarkannya memandangkan keperluan untuk bercuti itu bukan merupakan perkara wajib yang dituntut oleh syara‘.

Kesimpulannya, asas bagi apa jua kegiatan termasuk kegiatan keagamaan yang dibenarkan dan tiada halangan bagi si pemohon (pegawai atau kakitangan kerajaan) mengambil cuti panjang termasuk cuti tanpa gaji mengenainya, hendaklah dilihat sama ada kegiatan itu merupakan perkara yang diwajibkan oleh syara‘ ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya atau pun tidak. Jika ia bukan merupakan perkara wajib yang dituntut oleh syara‘ ke atasnya untuk melaksanakannya, maka permohonan itu boleh saja tidak dibenarkan oleh pihak majikan. Tetapi jika ia merupakan perkara wajib yang dituntut oleh syara‘ ke atas seseorang untuk melaksanakannya, maka wajar pihak majikan membenarkannya supaya kewajipan hukum syara‘ tidak terhalang yang berpunca daripada keputusan tidak membenarkan seseorang untuk bercuti.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11839