Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Amalan Dan Do‘a Untuk Memperolehi Khusyû‘ Ketika Sembahyang

Soalan: Apakah amalan-amalan dan do‘a yang patut saya amalkan untuk memperolehi khusyû‘ ketika sembahyang?

Jawapan: Khusyû‘ dalam sembahyang sangatlah dituntut kerana antara kriteria orang mu’min yang berjaya ialah orang yang khusyû‘ di dalam sembahyangnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu‘ dalam sembahyang mereka. (Surah al-Mu’minûn:1-2)

Memperolehi khusyû‘ dalam sembahyang memang bukan suatu perkara yang mudah, kerana syaitan adalah sentiasa mengganggu manusia walaupun di dalam sembahyang.

Setakat ini, kita belum jumpa amalan-amalan atau do‘a-do‘a khusus yang perlu diamalkan untuk mendapatkan khusyû‘ dalam sembahyang itu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cara yang disebutkan oleh para ulama bagi mengelak gangguan syaitan ketika sembahyang. Cara-cara tersebut boleh diikuti untuk membantu kita mendapat khusyû‘ ketika menunaikan sembahyang. Antaranya ialah menghilangkan perasaan waswas dalam hati ketika hendak bersembahyang terutama ketika hendak mengangkat takbîratul-ihram.

Waswas dalam takbiratul ihram adalah permainan syaitan. Al-Bujairimi Rahimahullâh menyebutkan bahawa orang yang terkena penyakit waswas disunatkan membaca ل إله إل هللا sebelum melakukan takbîratul-ihrâm, kerana syaitan akan menjauhkan diri apabila mendengarnya.

Sesetengah ulama pula mengatakan bahawa untuk menghilangkan waswas dalam sembahyang, seseorang itu hendaklah membaca isti‘âdzah sebelum melakukan takbîratul-ihrâm iaitu أعوذ ِبلل من الشيطان الرجيم dan membaca doa di bawah ini sebanyak tiga kali iaitu:

Ertinya: Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada syaitan waswas yang bernama khanzab.

Antara bacaan-bacaan lain lagi untuk menghilangkan waswas dan lintasan-lintasan hati yang tidak baik ialah setiap kali seseorang itu didatangi waswas, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas dadanya iaitu tempat letaknya hati sambil membaca tujuh kali bacaan ini:

Ertinya: Maha suci Allah, Tuhan Yang Menguasai (sekalian alam) lagi Tuhan Yang Maha Suci, Tuhan Pencipta yang tidak ada bandinganNya lagi Tuhan Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

Kemudian diikuti dengan membaca firman Allah:

Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya. (Surah Ibrahim: 19-21)

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh pula menyebutkan bahawa antara perkara-perkara yang boleh membantu untuk menghasilkan khusyû‘ dalam sembahyang ialah:

i. Meyakini bahawa dia sedang berada di hadapan raja segala raja yang mengetahui segala rahsia dan perkara yang tersembunyi untuk bermunajat kepadaNya.

ii. Memanjangkan ruku‘ dan sujud dalam sembahyang.

iii. Merenung dan memikirkan makna bacaan, zikir dan do‘a dalam sembahyang.

iv. Mengekalkan pandangan melihat ke tempat sujud. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/295- 297).

Mudah-mudahan dengan mengamalkan ayat-ayat dan perkara-perkara yang dijelaskan oleh ulama tersebut akan menjadi senjata yang berkesan untuk mengelak gangguan di dalam sembahyang, khususnya untuk menghilangkan perasaan waswas dan sekaligus memudahkan kita untuk mendapatkan khusyû‘ di dalam mengerjakan sembahyang.

Walau bagaimanapun, kita juga perlu membuat persiapan awal yang rapi bagi mengelak perkara-perkara yang mengganggu kekhusyû‘an ketika sembahyang. Antaranya ialah:

i. Tidak terdapat objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran di hadapan tempat sembahyang.

ii. Memakai pakaian yang bersih dan kemas.

iii. Tidak melakukan sembahyang dalam keadaan lapar.

iv. Tidak dalam keadaan menahan buang air besar, kecil dan kentut.

v. Tidak dalam keadaan mengantuk.

vi. Memilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

vii. Hindari sembahyang di tempat yang tidak rata atau tidak bersih kerana ia boleh mengganggu kekhusyu‘an atau tumpuan ketika sujud dan sebagainya.

Salah satu cara lagi untuk membantu seseorang memperolehi khusyû‘ ialah dengan sentiasa berdo‘a memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar mendapat khusyû‘ dalam sembahyang. Selain melazimkan diri membaca zikir dan do‘a selepas sembahyang seperti berikut:

i. Membaca ayat 97-98 di dalam surah al-Mu’minûn:

Tafsirnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) Ya Tuhanku! Aku berlindung denganMu daripada bisikan-bisikan (godaan dan tipu daya) syaitan. Dan aku berlindung denganMu ya Tuhanku supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiri aku (dalam segala urusanku). (Surah al-Mu’minûn: 97-98)

ii. Membaca do‘a-do‘a seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, dan daripada hati yang tidak khusyû‘, dan daripada nafsu yang tidak kenyang dan daripada do‘a yang tidak diperkenankan.

Ertinya: Ya Allah yang memutar hati-hati hamba, palingkanlah jiwa kami kepada mentaatiMu.

Memperbanyakkan zikir dan do‘a boleh membantu untuk memperoleh khusyû‘. Sekurang-kurangnya melahirkan rasa keinginan serta pengharapan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar sentiasa mengingatiNya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11869