Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Bantuan Kewangan Kepada Persatuan Lun Bawang

Soalan: Jabatan Belia dan Sukan telah menerima surat permohonan bantuan kewangan daripada Persatuan Lun Bawang Brunei Darussalam melalui Majlis Belia Brunei Daerah Temburong bagi menganjurkan pesta Irau Aco Lun Bawang Murut Brunei Ke-1.

Antara tujuan pesta tersebut diadakan ialah:

i. Untuk mewujudkan satu perayaan dan menyatupadukan masyarakat Murut dalam satu acara yang dapat mengembangkan budaya dan kemajuan masyarakat Murut itu sendiri dalam berbagai bidang di Negara Brunei Darussalam secara berterusan.

ii. Untuk menjalinkan kerjasama dan perpaduan dengan persatuan-persatuan lain dari dalam dan luar negara.

iii. Untuk menyampaikan anugerah-anugerah Lun Bawang seperti anugerah ‘Tokoh Lun Bawang Murut Brunei’ dan ‘Orang Murut Yang Pertama’.

Di samping itu, pihak penganjur juga akan menjemput penyertaan persatuan-persatuan daripada luar negeri seperti Persatuan Lun Bawang Sarawak Cawangan Likas dan Limbang serta Persatuan Lun Dayeh Kebudayaan, Sabah.

Sehubungan dengan itu dipohonkan sebarang pandangan pihak Dato mengenai perkara ini.

Jawapan: Kita memang sudah sedia maklum bahawa menghulurkan apa jua bantuan sama ada dalam bentuk material, masa dan tenaga, sokongan serta nasihat, ilmu yang bermanfaat dan sebagainya merupakan perbuatan mulia yang sangat dituntut oleh agama. Kita patut juga memahami ke arah mana bantuan itu hendak kita hulurkan.

Setiap bantuan atau derma yang kita hulurkan hendaklah ia disalurkan ke jalan yang betul dan tidak bercanggah atau bertentangan dengan syariat Islam. Dari itu apabila hendak menghulurkan bantuan atau derma kepada sesebuah persatuan, majlis atau apa jua yang seumpamanya sama ada bantuan atau derma tersebut daripada pihak kerajaan melalui jabatan-jabatan kerajaan atau daripada pihak persendirian, maka beberapa perkara dari pelbagai sudut hendaklah diperhatikan dan ditinjau terlebih dahulu.

Sehubungan dengan itu, mengenai dengan bantuan yang dipohonkan oleh Persatuan Lun Bawang bagi menganjurkan pesta Irau Aco Lun Bawang Murut, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah dasar penubuhan persatuan tersebut serta tujuan asal pesta tersebut diadakan. Adakah persatuan dan pesta yang akan diadakan itu ada kaitan dengan penyebaran keagamaan atau hanya sebuah persatuan penyatuan bangsa? Adakah majlis yang akan diadakan itu pula hanya merupakan perayaan kebudayaan semata-mata?

Profil Puak Murut di Brunei

Puak Murut atau dikenali juga sebagai Lun Bawang merupakan salah satu puak etnik penduduk Brunei yang menetap di daerah Temburong. Majoriti mereka ini menganut agama Kristian Mazhab Sidang Injil Borneo (SIB), iaitu satu aliran mazhab Protestan dalam agama Kristian di mana orientasi SIB dari segi pendakwahan mereka adalah bersifat pergerakan (movement oriented).

Masyarakat Lun Bawang ini mempunyai pegangan yang kuat dan sangat taat beragama. Tahap kefahaman serta penghayatan mereka terhadap agama amat tinggi. Ini dapat dilihat daripada statistik orang-orang yang memeluk Islam bagi puak Murut semenjak tahun 2007 hingga 2011 melalui Pusat Da’wah Islamiah. Didapati bahawa sepanjang tempoh tersebut, bangsa Murut mempunyai bilangan yang terendah iaitu hanya seramai 9 orang sahaja yang memeluk Islam berbanding bangsa-bangsa lain. Ini menunjukkan bahawa pegangan agama Kristian yang dianuti bangsa Murut sangat kuat dan sukar untuk digoyahkan.

Aliran Sidang Injil Borneo (SIB) yang mereka anuti ini bukan sekadar menyebarkan agama, bahkan berusaha melatih (mengkaderkan) setiap pemeluk baru akan keunggulan-keunggulan nilai SIB sebagai seorang Kristian yang fundamentalis yang cukup berpegang kuat kepada ajaran Bible seutuhnya. Mereka mahu menjadikan Kristian bukan sekadar agama tetapi sebagai sebuah ‘gerakan’. Oleh itu seorang yang berbangsa Murut itu selain dia berstatus sebagai pekerja biasa seperti petani, ada kalanya dia juga merupakan seorang pastor yang berpengalaman mengajak orang ramai termasuk masyarakat yang berlatarbelakangkan Islam untuk mengenali dan mengakui kebenaran agama Kristian. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan: Satu Tinjauan Sosiologi, Karangan Dr Ghazali bin Basri: 107)

Disebabkan kedudukan Temburong bersempadan dengan negara jiran Limbang dan Lawas, ia merapatkan lagi hubungan komuniti Murut dengan penduduk di sana dan memudahkan lagi gerakan-gerakan kristianisasi untuk terus berkembang. Ini kerana gerakan misionari yang datang ke Brunei mempunyai pengkalan yang berpusat di negeri-negeri tersebut. Bahkan Limbang dan Lawas merupakan dua buah pusat agama Kristian di mana latihan kepastoran (seminarian) ada terdapat di sana dan sudah sekian banyak melahirkan para misionari daripada kalangan anak tempatan. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan: Satu Tinjauan Sosiologi: Karangan Dr Ghazali bin Basri: 98-109)

Dengan adanya bantuan luar seperti dari Limbang, Lawas dan juga Miri telah memperkukuh lagi kedudukan puak Murut di Brunei terutama dalam hal ehwal yang berkaitan dengan sosio-agama dan budaya mereka.

Bantuan Kewangan Kepada Persatuan Lun Bawang Seperti yang dijelaskan bahawa sebelum memberi bantuan derma kepada sebarang persatuan, dasar penubuhan persatuan tersebut perlu ditinjau terlebih dahulu bagi memastikan derma yang dihulurkan disalurkan ke jalan yang baik dan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Adapun dasar penubuhan persatuan Lun Bawang antara lainnya ialah untuk mendukung serta mengamalkan prinsip-prinsip keadilan sosial serta percaya kepada Tuhan. Manakala tujuan pesta Irau Aco Lun Bawang diadakan, ia merupakan hari kesyukuran bagi memperingati penukaran agama Lun Bawang kepada agama Kristian di bawah Misi Evangelical yang sekarang pada umumnya dipanggil sebagai Sidang Injil Borneo. Dalam pesta tersebut, sepertimana yang diadakan di Lawas, ia dimulai dengan acara kesyukuran yang diadakan di gereja di mana paderi diberi penghormatan untuk menyempurnakan pembukaan pesta tersebut dan sekaligus memberi ucapan atau ceramah yang berkaitan dengan keagamaan. (http://blogtau.com/2010/06/16/irau-aco-lun-awang & http://blogtau.com/2010/07/05/pesta-lun-bawang-2010/ )

Penubuhan persatuan tersebut memang nampak seperti persatuan-persatuan biasa yang lain, namun jika diperhatikan dari sudut dasar penubuhannya iaitu untuk mendukung dan menghidupkan kebudayaan dan adat resam yang diselaraskan dengan kepercayaan agama Kristian yang mereka anuti, ia mempunyai ciri-ciri penyebaran agama mereka. Ini dikuatkan lagi dengan komitmen mereka kepada gereja dan paderi mereka serta orientasi aliran SIB yang mereka anuti. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan: Satu Tinjauan Sosiologi: Karangan Dr Ghazali bin Basri: 101-104)

Malah dengan pengkhususan ahli-ahlinya yang hanya di kalangan puak Murut yang beragama Kristian sahaja menunjukkan bahawa persatuan tersebut ditubuhkan bukan hanya untuk membantu dan menyatupadukan puak mereka dalam usaha membangun dan memajukan ekonomi dan pendidikan di kalangan puak Murut semata-mata, bahkan ia juga ditubuhkan sebagai misi penggerak dalam menjalankan aktiviti keagamaan dan mengembangkan serta mengenalkan agama Kristian di mata masyarakat.

Berdasarkan penjelasan tersebut, sekalipun tujuan pesta itu diadakan adalah untuk mengeratkan dan menyatupadukan masyarakat Murut dari berbagai daerah dan negeri di samping memberi penghargaan kepada mereka yang telah berjasa, namun memandangkan penubuhan persatuan tersebut mempunyai unsur tujuan untuk menyebarkan ajaran agama mereka, maka adalah haram memberi apa jua bentuk bantuan sama ada kewangan atau sebagainya kepada persatuan tersebut. Ini kerana melibatkan diri kepada perkara tersebut sama ada secara langsung ataupun tidak adalah berdosa kerana dianggap sebagai bersubahat atau redha dengan perkara kufur dan turut sama bersekongkol berusaha untuk menghancurkan Islam.

Redha dengan perbuatan kufur merupakan dosa besar dan boleh mengakibatkan murtad sepertimana menurut Imam as-Subki Rahimahullâh yang disebutkan dalam fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bilangan 33/79:

“Barang siapa membenarkan perkara salah dan bâthil dan kufur dibuat dan dikerjakan, maka adalah membuat dosa yang besar dan barang siapa redha dan suka kufur itu dilakukan, maka orang yang redha itu telah menjadi murtad dan keluar dari agama Islam.”

Bukan hanya setakat itu sahaja, persatuan seperti ini nanti dikhuatiri secara diam-diam akan menjadi ancaman tidak hanya kepada agama Islam sendiri, malah kepada negara dan penduduknya yang beragama Islam.

Ditambah lagi dengan kemasukan bilangan penduduk asing yang berbilang bangsa dan agama yang menetap dan bermastautin di negara ini. Sokongan mereka terhadap agama Kristian dan agama-agama lain yang mereka anuti jelas kelihatan dengan kehadiran mereka mengunjungi dua buah gereja iaitu Catholic dan Anglican yang telah lama bertapak di negara ini. Kedua-dua gereja ini rata-rata mempunyai penganut dan pengunjung yang ramai terdiri daripada pendatang luar seperti Filipina dan Indonesia selain penduduk tempatan. Keadaan ini dikhuatiri akan memberi impak yang tidak baik kepada masyarakat dan agama Islam. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan: Satu Tinjauan Sosiologi: Karangan Dr Ghazali bin Basri: 108)

Malah keresahan orang-orang Kristian terhadap tindakan pihak berkuasa ke atas kegiatan keagamaan mereka juga boleh mengakibatkan mereka mengambil dan mengatur langkah dan strategi secara halus dan senyap bagi memastikan pendakwahan mereka berjalan dengan lancar. Fenomena ini adalah disebabkan pendakwahan Kristian oleh beberapa mazhab Evangelical yang dianggap liar dan agresif yang menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Apa yang lebih mengkhuatirkan ialah kehadiran dua buah mazhab yang sudah mapan dan kukuh iaitu Catholic dan Anglican di kawasan bandar itu masih lagi mendapat sambutan di kalangan golongan intelektual. Mereka inilah nanti yang dapat membantu mempercepat lagi proses pencapaian matlamat yang mereka harapkan.

Pengaruh aliran Kristian ini sebenarnya telah banyak tersebar dan berkembang di negara-negara Islam. Bahkan gerakan misi pengkristianan telahpun berlaku di negara-negara Islam. Antaranya, pembukaan sekolah Kristian yang dibukakan untuk kanak-kanak Muslim. Perkara ini dikhuatiri akan menjadi satu jalan untuk mereka menyalurkan dan menyebarkan secara halus akan unsur-unsur ideologi barat kepada kanak-kanak memandangkan mereka merupakan sasaran mudah bagi menyerap dan menyebarkan ajaran-ajaran Kristian.

Dari itu, jika kerajaan memberi bantuan kepada seseorang atau sesebuah agensi atau persatuan yang mempunyai ciri-ciri gerakan penyebaran agama Kristian, ia boleh memberi tanggapan kepada mereka yang bukan beragama Islam dan khususnya pihak Lun Bawang bahawa Kerajaan Brunei redha dan turut sama menyokong usaha mereka. Malah sumbangan yang diberikan itu dijadikan sebagai salah satu jalan atau tiket untuk terus menggerakkan misi mereka.

Oleh itu, pihak kerajaan perlulah sentiasa peka dan waspada akan taktik-taktik pihak-pihak tertentu yang mungkin tidak nampak pada pandangan mata kasar atau tidak menyalahi akta yang berkaitan dengan persatuan. Ini kerana mereka boleh sahaja menjadikan persatuan dan pesta mereka itu sebagai topeng atau platform untuk mengemas dan mengatur kedudukan mereka di negara kita agar dapat dengan mudah melaksanakan atau menjalankan gerakan-gerakan yang lebih tersusun.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11873