Beberapa Persoalan Mengenai Dengan Nikah Perempuan Hamil Akibat Zina
Soalan: Dalam internet, ada banyak persoalan tentang perkara ini; ada yang mengatakan haram mengahwini wanita hamil, ada yang mengatakan harus jika yang mengahwini itu bapa kepada anak yang dikandungnya itu, ada yang mengatakan perkara ini terpulang kepada mazhab masing-masing. Bagaimanakah dan apakah hukumnya tentang perkara ini di Negara Brunei Darussalam, sekiranya terjadi perkara ini, apa yang patut dilakukan?
Sekiranya seorang wanita mengandung hasil hubungan haram (zina) dan lelaki bapa kepada anak yang dikandungnya mengahwininya apabila anak yang dikandungnya tidak melebihi 3 bulan, apakah status anak itu? Adakah anak itu anak haram atau anak yang sah dan bolehkah dibin/bintikan bapanya?
Bagaimana halnya pula, lelaki yang mengahwini wanita hamil itu bukan bapa kepada anak yang dikandungnya, adakah boleh dibin/bintikan kepada lelaki tersebut?
Apakah status anak luar nikah kepada bapanya nanti dari segi air sembahyang, aurat dan lain-lain?
Jawapan: Nikah mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Apabila terlaksana segala rukun dan syarat tersebut, maka hukum pernikahan yang dilaksanakan itu adalah sah menurut Islam.
Antara rukun nikah itu ialah perempuan (bakal isteri). Antara syarat-syarat sah bagi seorang perempuan yang hendak dinikahi pula ialah hendaklah dia tidak ada ikatan pernikahan (bukan isteri orang) dan tidak dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/441)
Jika perempuan tersebut masih lagi isteri orang atau masih dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddah cerai atau ‘iddah kematian suami, maka lelaki lain haram bernikah dengan perempuan berkenaan.
Dalam perkara ‘iddah, seorang isteri yang ditalak atau kematian suami hendaklah memastikan bahawa tempoh ‘iddahnya telah selesai sebelum bernikah dengan lelaki lain.
Misalnya, jika isteri yang ditalak atau kematian suami itu hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah setelah dia melahirkan anak yang dikandungnya. Apabila dia telah selesai melahirkan, maka barulah halal perempuan tersebut bernikah dengan lelaki lain. Tetapi, jika perempuan itu masih lagi hamil, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana masih lagi dalam tempoh ‘iddah.
Nikah Dengan Perempuan Yang Hamil Akibat Zina
Menurut Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Asnâ al- Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib:
Ertinya: Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjimâ‘nya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam). (Kitab Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 3/393)
Hal ini ada diterangkan juga oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang mengatakan bahawa hukum nikah perempuan yang hamil daripada zina itu adalah sah dan inilah juga yang disepakati oleh Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu kerana perempuan tersebut tidak ada sebarang ikatan pernikahan dan bukan juga dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. Sah berjimâ‘ dengan perempuan tersebut setelah bernikah dengannya walaupun sebelum dia melahirkan kandungannya kerana menurut Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak ada kehormatan hukum bagi kandungan zina dan jikalau ditegah berjimâ‘, maka tertegahlah juga bernikah seperti kedudukan wath’i syubhah. (Kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/19 )
Berdasarkan kepada pendapat-pendapat ulama di atas, hukum bernikah dengan seorang perempuan yang sedang mengandung anak di luar nikah adalah harus dan sah nikah mereka walaupun perempuan yang sedang mengandung itu bernikah dengan bukan pasangan zinanya kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina dalam Islam. Yang pentingnya dalam sesebuah pernikahan itu hendaklah memenuhi segala rukun dan syarat nikah. Antara syarat sah nikah bagi bakal isteri itu hendaklah tidak ada ikatan pernikahan dan tidak di dalam tempoh ‘iddah daripada bekas suaminya.
Kedudukan Nasab Anak Yang Dikandung Luar Nikah
Salah satu pentsabitan nasab ialah melalui ikatan pernikahan yang sah. Yang dimaksudkan dengan akad nikah yang sah ialah pernikahan yang mengikut kehendak hukum syara‘.
Apabila perempuan yang hamil akibat zina itu bernikah sama ada dengan lelaki yang berzina dengannya ataupun tidak, maka nasab anak yang dikandungnya itu adalah tertakluk pada kiraan hari dari waktu mereka suami isteri menjalankan akad nikah yang sah sehinggalah pada hari anak itu dilahirkan.
Ini sepertimana yang diterangkan oleh para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e dalam kitab-kitab fiqh bahawa bagi penetapan nasab anak melalui pernikahan, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah (180 hari) dan dua lahzhah (satu lahzhah untuk jimâ‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan). Pengiraan enam bulan qamariah dan dua lahzhah hendaklah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jimâ‘) setelah menjalani akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa ‘Ibnu Qasim ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 8/184-185 dan Mughni al-Muhtâj: 3/429-430)
Ertinya di sini, apabila pasangan yang hamil ini bernikah, maka kedudukan nasab anak yang dikandung itu adalah tertakluk kepada salah satu daripada dua keadaan di bawah ini:
1. Jika anak tersebut dilahirkan selepas enam bulan qamariah dari tarikh suami isteri itu bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada suami ibunya. Dengan demikian, berjalanlah semua hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta waris dan wali nikah.
2. Jika anak tersebut dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan qamariah dari tarikh suami isteri itu bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja bukan kepada suami ibunya.
Dalam hal ini, adalah haram anak berkenaan dinasabkan kepada lelaki yang menjadi suami kepada ibu yang melahirkannya. Maka jika hendak dibinkan atau dibintikan, bolehlah kepada ibunya atau kepada nama Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh al-Husnâ. Dengan demikian, haram anak tersebut mewarisi harta suaminya dan haram suaminya menjadi wali kepada anak tersebut jika dia perempuan.
Walau bagaimanapun, dalam kedua-dua keadaan yang disebutkan di atas, anak yang dilahirkan itu tetap menjadi mahram kepada suami ibunya, iaitu dari segi hukum pergaulan seperti wudhu’ dan batasan aurat, kerana mereka telah bernikah menjadi suami isteri yang sah dan telah melakukan jimâ‘ sebagaimana yang diterangkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut); ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah campuri;
tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tidaklah salah kamu (berkahwin dengannya).........” (Surah an-Nisa’: 23)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11878
