Cabutan Nombor Bertuah
Soalan: Mahkamah-mahkamah Syari‘ah di Negara ini telah mengadakan sambutan ‘Idul Fitri tahun lalu. Dalam sambutan tersebut diadakan acara cabutan nombor bertuah. Pegawai-pegawai dari bahagian II ke atas dimestikan menyumbang hadiah-hadiah yang nilai atau kadar bagi sumbangan yang dikehendaki tidak ditetapkan (seikhlas hati).
Hadiah-hadiah yang disumbangkan adalah berbeza-beza dari segi bentuk, jenis dan nilainya. Semua pegawai (termasuk yang memberi sumbangan hadiah), kakitangan dan jemputan yang hadir diberikan nombor untuk cabutan bertuah.
Persoalannya ialah:
1. Adakah pegawai-pegawai yang menyumbangkan hadiah-hadiah tersebut boleh ikut serta dalam cabutan nombor bertuah tersebut?
2. Adakah dengan ikut sertanya pegawai-pegawai penyumbang hadiah tersebut berlaku atau tidak ‘unsur-unsur pertaruhan’ bagi mendapatkan hadiah-hadiah yang dimaksudkan?
Dipohonkan kepada Yang Berhormat Pehin Mufti apa-apa jua fatwa, irsyâd dan pandangan syara‘ mengenainya.
Jawapan: Cabutan nombor bertuah biasanya difahami sebagai satu istilah yang merujuk kepada cara pemilihan atau pengagihan sesuatu kepada pihak-pihak yang mempunyai hak atau peluang untuk mendapatkan perkara yang ingin diagihkan.
Pada dasarnya, kegiatan cabutan nombor bertuah boleh dikembalikan kepada prinsip undian atau al-qur‘ah. Undian merupakan satu kaedah pemilihan atau penentuan yang diharuskan dalam Islam. Adakalanya ia sunat dilakukan bahkan menjadi wajib apabila penentuan atau pemilihan tersebut tidak dapat diputuskan melainkan dengan undian sahaja. Antara hikmah undian diadakan ialah sebagai jalan untuk memuaskan hati pihak-pihak yang diundi serta mengelakkan rasa tidak puas hati, hasad dengki, tohmahan, pilih kasih dalam pemilihan dan sebagainya.
Dalam cabutan nombor bertuah, undian diadakan untuk memilih siapa yang bakal mendapat hadiah atau bahagian-bahagian tertentu. Kaedah undian dalam Islam, bagaimanapun, hakikatnya hanya digunakan bagi tujuan-tujuan yang mustahak. Sebagai contoh, dalam kitab-kitab fiqh undian disebutkan sebagai satu jalan untuk menyelesaikan pertikaian dalam perkara-perkara pemilihan imam, pengisian shaf-shaf sembahyang yang terhad, hak penjagaan anak, penentuan giliran bermalam atau pelayaran ke atas isteri-isteri, pengagihan harta rampasan perang dan sebagainya.
Undian hanya diadakan apabila suasana rumit berlaku dalam hal-hal seperti ini, iaitu setelah jalan-jalan penyelesaian lain yang sesuai tidak ditemui. Hatta dalam bab peraduan, apabila keputusan perlawanan berakhir dengan keputusan seri, menurut ulama hadiah tidak akan diberikan kepada sesiapa. Peraduan akan dianggap tiada pemenang yang layak mendapatkan hadiah dan ia tidak diputuskan melalui undian.
Ertinya: (Apabila orang yang bertanding) berkata: “Siapa yang menang maka dia mendapat (hadiah) itu”, maka apabila peserta-peserta yang bertanding tiba ke garisan penamat secara serentak, tiada hadiah akan diberikan kepada mereka semua. (Raudhah ath-Thâlibîn: 7/535)
Berdasarkan keterangan ini, kegiatan cabutan nombor bertuah yang ditanyakan oleh penanya pada dasarnya tidaklah layak untuk dipadankan dengan konsep undian yang disyariatkan oleh Islam. Setakat yang dapat ditanggapi, tujuan mengadakan kegiatan tersebut tidak lebih daripada semata-mata untuk mewujudkan suasana kemeriahan dan keseronokan. Tujuan seumpama ini agak berbeza dengan tujuan mengadakan undian sebagaimana dikehendaki oleh syara‘.
Lucky Draw Dan Unsur Perjudian
Pada masa kini, kegiatan cabutan undi bertuah diadakan atas pelbagai tujuan. Kerana itu, ia tidak lagi dilihat sebagai kegiatan pemilihan atau pengagihan semata-mata, bahkan ada kalanya kegiatan tersebut turut dikaitkan dengan konsep peraduan (musâbaqah). Dalam cabutan nombor bertuah, pihak yang nombornya dicabut seolah-olah menjadi pemenang dan yang tidak tercabut dianggap sebagai pihak yang tidak bertuah. Peraduan tersebut bukan setakat untuk menentukan ada pihak yang menang dan ada yang tidak bertuah, bahkan ia turut melibatkan perebutan hadiah di kalangan peserta. Sebagaimana yang dibincangkan oleh para ulama, peraduan yang melibatkan pertaruhan untuk mendapat hadiah dalam satu pertandingan adalah ia salah satu aktiviti perjudian.
Namun, tidaklah semata-mata wujudnya hadiah pertandingan menyebabkan sesuatu peraduan akan menjadi perjudian atau mengandungi unsur-unsur perjudian. Untuk mengenal pasti jenis-jenis peraduan yang membawa kepada unsur perjudian itu juga boleh dinilai daripada aspek penyumbang hadiah peraduan berkenaan.
Dalam mana-mana peraduan, hadiah pertandingan biasanya disumbangkan oleh tiga sumber berikut, iaitu:
1. Pihak ketiga, iaitu orang yang tidak ikut serta dalam pertandingan.
2. Salah seorang atau sebahagian daripada orang yang ikut serta bertanding.
3. Setiap peserta pertandingan.
Menurut ulama, hadiah yang harus dipertandingkan itu ialah hadiah yang disumbangkan oleh dua sumber pertama di atas. Manakala hadiah yang disumbangkan daripada sumber yang ketiga iaitu hadiah sumbangan setiap para peserta, jika ada pihak yang tidak mendapat hadiah dalam pertandingan yang diadakan, maka itulah yang menjadikan pertaruhan yang diharamkan. Sebagai contoh, A, B dan C kesemuanya ikut serta dalam peraduan yang mereka sendiri adakan. Masing-masing menyumbang sejumlah wang untuk membeli hadiah pertandingan. Setelah peraduan berakhir, A menjadi pemenang dan dia mendapat hadiah pertandingan. Sebagai pemenang, A dikira mendapat keuntungan, manakala B dan C dianggap menanggung kerugian kerana tidak mendapat hadiah, bahkan kehilangan wang yang telah dipertaruhkan. Maka hal seumpama inilah yang dinamakan perjudian.
Ertinya: Maka jika (peserta-peserta peraduan) meletakkan syarat bahawasanya barang siapa antara mereka menjadi pemenang, maka baginya (peserta yang menang) (untuk mendapatkan) harta yang dipertaruhkan oleh peserta yang kalah, tidak sah peraduan itu kecuali dengan (adanya penyertaan) muhallil (pihak atau peserta yang menjadikan peraduan yang haram disertai itu kepada halal untuk disertai, iaitu pihak atau peserta yang tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam peraduan itu). (Minhâj ath-Thâlibîn dalam Mughni al-Muhtâj: 6/170)
Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa kegiatan cabutan nombor bertuah yang dimaksudkan dalam soalan penanya di atas, yang melibatkan sumbangan daripada sebahagian peserta cabutan undian bertuah itu sendiri, tidaklah haram untuk diadakan kerana ia juga disertai oleh pihak atau peserta yang tidak memberikan apa-apa sumbangan, yang menjadikannya tidaklah termasuk dalam kategori perjudian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11882
