Caj Pentadbiran 1% Bagi Kelewatan Membayar Sewa Dan Penggunaan Perkhidmatan Telefon
Soalan: Merujuk perjumpaan di antara pegawai-pegawai Jabatan Mufti Kerajaan dan syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru) mengenai perkara tersebut di atas.
Caj pentadbiran tersebut adalah dikenakan oleh TelBru kepada pelanggan-pelanggannya yang lewat menjelaskan sewa bulanan berserta penggunaannya dari tarikh yang sudah ditetapkan.
Tujuan utamanya adalah bagi menangani isu tunggakan bayaran pelanggan yang sudah mencapai lebih $150 juta pada masa ini. Bagi perlaksanaannya TelBru telah mengambil perhatian garis panduan pematuhan hukum syara‘ ke atas perlaksanaan caj pentadbiran yang sudah ada dipraktikkan oleh satu institusi perbankan di negara ini seperti di bawah:
“Is it permissible to charge a fee for any late or partial payments? If so, is this acceptable under the Shariah?”
“We may charge an administration fee for any late or partial payments but this cannot be charged to cover opportunity cost. According to our Shariah Supervisory Committee, such a fee can be charged in order to encourage financial responsibility and to recover administrative expenses. This charge is not interest, and does not reflect the interest rate. If the fee paid is more than our actual expenses incurred, we will donate the excess to a public charity of our choice under guidance from our Shariah Supervisory Committee.”
http://www.hsbcamanah.com/amanah/about-amanah/faq.html#32
Sehubungan dengan itu, syarikat ini sukacita memohonkan nasihat (fatwa) daripada Jabatan Mufti Kerajaan mengenai perkara tersebut supaya perlaksanaannya tidak bertentangan dengan kehendak hukum syara‘.
Jawapan: Daripada tajuk perkara di atas, iaitu “Caj Pentadbiran 1% Bagi Kelewatan Membayar Sewa dan Penggunaan Perkhidmatan Telefon”, difahamkan bahawa penyewa/pengguna perkhidmatan telefon yang lambat membayar sewanya mulai dari tarikh yang telah ditetapkan dan dipersetujui, akan dikenakan oleh TelBru caj tambahan 1%. Ertinya, disebabkan oleh kelewatan membayar sewa pada tarikh yang ditetapkan, maka sewa itu dengan sendirinya telah bertukar menjadi hutang dan akibatnya, penyewa akan dikenakan caj tambahan 1%. Maka penyewa telah berhutang dan perlu membayar tambahan 1%.
Ini menunjukkan muamalat yang berlaku pada awalnya ialah sewa menyewa, kemudian bertukar menjadi hutang dan caj tambahan itu pula berkait dengan kelambatan membayarnya.
Jika itulah yang difahami dari tajuk dan perkara yang ditanyakan, maka selain soal hutang ( هالدحين ), ia berkait juga dengan soal sewa-menyewa ( َ َ اإلَ جارة ).
Al-Mumâthalah Dan Hukuman
Sewa yang tidak dibayar pada tarikh yang ditetapkan dan yang telah dipersetujui oleh yang menyewakan dan yang menyewa, dengan sendirinya bertukar menjadi hutang yang menyewa. Bagi setiap orang yang berhutang, wajib membayar hutangnya apabila tempoh pembayarannya telah tiba. Melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah haram ke atas sesiapa yang mampu menunaikan hutangnya. Orang yang melengah-lengahkannya di namakan al-mumâthalah. Perbuatan itu satu perbuatan zalim serta diharuskan menghukumnya.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penangguhan dengan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits yang lain, daripada ‘Amr bin asy-Syarid daripada bapanya meriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawasanya Baginda bersabda:
Maksudnya: Orang yang mampu membayar hutang tetapi melengah-lengahkannya, dihalalkan maruah mereka (dengan cara didedahkan keburukan perbuatan mereka yang melengah-lengahkan pembayaran hutang kepada orang lain), dan dihalalkan ke atas mereka hukuman. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Berdasarkan hadits ini, ulama menyatakan bahawa harus mengenakan hukuman ke atas orang yang mampu membayar hutangnya apabila dia melengahkan pembayaran hutangnya itu. Para ulama fiqh Syafi‘iyyah dan muhadditsîn menyatakan pula makna عُقُوبَة (hukuman) di dalam hadits itu ialah dengan penjara dan ta‘zîr, bukan dengan yang lain. Termasuk ta‘zîr ialah sebatan jika hakim berpendapat hukuman sebat berpatutan. (Asnâ al-Mathâlib: 2/187 dan Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim: 5/413)
Gharâmah, Ta‘wîdh, Syarth Jazâ’i, Hadiah atau Sedekah
Sesetengah ulama kontemporari berkata belum ada ulama, hakim atau mufti pada zaman dahulu yang didapati menghukum dan berfatwa mengharuskan pihak yang menghutangkan menerapkan bayaran tambahan kepada hutang orang yang melambat-lambatkan membayar hutang (al-mumâthalah), sama ada atas nama gharâmah (denda), ta‘wîdh (ganti rugi), syarth jazâ’i (bayaran jika yang berhutang menyalahi akad), hadiah atau sedekah.
Pengarang kitab Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahlah berkata:
Ertinya: Pendapat yang mengharuskan ini belum pernah ada sebelum ini. Oleh sebab itu belum ada mana-mana hakim yang memutuskan demikian dan belum ada mana-mana ulama yang berfatwa demikian, padahal kes yang melambatkan membayar hutang adalah banyak dipelbagai zaman dan negeri”. (Dr. ‘Abdullah al-Mushlih & Dr. Shalah ash-Shawi, Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahlah: 305)
Tetapi pada zaman mutakhir ini, para ulama kontemporari berbeza pendapat mengenainya. Segolongan daripada mereka ada yang mengharuskannya, manakala segolongan lagi tetap tidak mengharuskannya. (Asy-Syaikh Dr. Abdul Aziz al-Fauzan, Mauqi‘ al-Multaqa al-Fiqhi, http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=229171)
Golongan Yang Mengharuskan
Golongan ini berpendapat bahawa realiti muamalat masa kini, amalan melengah-lengahkan pembayaran sewa, seperti sewa dan penggunaan telefon pada waktu yang telah ditetapkan telah banyak memberikan kesusahan kepada pihak yang memberikan perkhidmatan. Akibatnya, penyewa yang asalnya hanya perlu membayar atas nama sewa, telah bertukar menjadi orang yang berhutang, bahkan lambat pula membayar hutangnya. Akibatnya pula kepada yang menyewakan dan kepada yang memberikan perkhidmatan telah menyebabkan kerugian dan kemudharatan, seperti syarikat-syarikat dan institusi-institusi kewangan yang beroperasi mengikut garis pandu syari‘ah Islam. Kerugian dan kemudharatan ini patut diatasi.
Antara alasan golongan ini selain hadits yang di atas, ialah kerana di dalam syari‘ah Islam tidak ada kemudharatan dan tidak boleh membuat yang memudharatkan. Abu Sa‘id al- Khudhri Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat hal yang memudharatkan.
(Hadits riwayat al-Hakim)
Kaedah fiqhiyyah pula menyebutkan bahawa:
Ertinya: Kemudharatan hendaklah dihindarkan.
Bagi mengatasi kemudharatan itu, maka sesetengah syarikat-syarikat dan institusi-institusi kewangan yang beroperasi mengikut garis pandu syari‘ah Islam ada yang mengamalkan caj tambahan kepada hutang berkenaan. Amalan mereka ini adalah berdasarkan pendapat sesetengah ulama kontemporari yang berpendapat bahawa sebagai jalan mengatasi kemudharatan yang berpunca daripada hutang yang lambat dibayar, orang yang berhutang harus dikenakan syarat dengan menetapkannya untuk memberikan tambahan berupa sedekah sejumlah wang pada ketika dia terlewat membayar hutangnya dan sedekah wang tersebut akan disalurkan kepada jalan-jalan kebajikan.
Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) sebagai contoh telah menyebutkan:
Ertinya: Harus disebutkan dalam akad yang melibatkan hutang seperti akad murâbahah (syarat) yang mewajibkan pihak yang berhutang untuk memberikan sedekah sejumlah wang tertentu atau sejumlah wang menurut nisbah tertentu dengan syarat wang tersebut hendaklah disalurkan kepada jalan-jalan kebajikan dan (perkara ini hendaklah) diselaraskan bersama badan penasihat syari‘ah institusi berkenaan. (Al-Mi‘yâr asy-Syar‘iyyah 1431H/2010, Hai‘ah al-Muhâsabah wa al-Murâja‘ah li al-Mu’assasât al-Mâliyyah al-Islâmiyyah: 26)
Manakala di dalam Fatâwâ Nadwah al-Barakah ke-6 berdasarkan Resolusi wa Taushiyyât Nadâwât al-Barakât li al-Iqtishâd al-Islâmi disebutkan:
Ertinya: Adalah harus mensyaratkan denda kerana melambatkan pembayaran hutang sebagai satu usaha pencegahan bagi orang-orang yang melambat-lambatkan membayar hutang padahal dia berupaya membayarnya, tetapi dengan syarat hasil denda itu disalurkan kepada jalan-jalan kebajikan”. (Qarârât wa Taushiyyât Nadâwât al-Barakât li al-Iqtishâd al- Islâmi, 1403/1422H, bil. 6/8)
Resolusi Nadâwâât al-Barakat ini bukan berdasarkan persetujuan semua ahli, tetapi berdasarkan majoriti; lima ahli bersetuju dan empat ahli menentang. (Fatâwâ Nadaâwât al- Barakât, 1403-1417H: 73 dan http://www.hablullah.com/?p=1159)
Sebahagian daripada golongan ini pula mengatakan bahawa denda yang dikenakan ke atas orang yang lewat membayar hutangnya dalam bentuk iltizâm bi at-tabarru‘ adalah merupakan satu ‘uqûbah (hukuman) yang bersifat ta‘zîriyyah az-zajîrah iaitu hukuman yang diadakan atas dasar menghalang daripada berleluasanya kejadian hutang yang sengaja dilengah-lengahkan pembayarannya. Hukuman tersebut bukanlah ta‘wîdh (ganti rugi) yang dikenakan kepada orang yang berhutang kerana menyifatkan hukuman yang sedemikian itu akan mendekatkan perkara ini kepada amalan riba. Asy-Syeikh ‘Abdullah bin al- Mani‘ Hafizhahullâh berkata:
Ertinya: Sekiranya kita menganggap apa yang diterima oleh pihak pemiutang sebagai ta‘wîdh (ganti rugi) semata-mata, maka i‘tibâr sedemikian akan menyebabkan perkara yang halal bertukar menjadi haram… Sebaliknya jika kita menganggap apa yang dibayar oleh pihak yang berhutang kerana denda yang disebabkan oleh perbuatannya melengah-lengahkan pembayaran hutangnya sebagai hukuman yang tiada kaitan atau hubungan dengan kadar kemudharatan yang ditanggung oleh pemiutang yang berpunca daripada hutang yang dilengahkan pembayarannya, yang mana bentuk hukuman ini dan juga kadarnya adalah tertakluk kepada faktor sejauh mana ini dapat menghalang dan membendung (berleluasanya amalan melengah-lengahkan pembayaran hutang), maka i‘tibâr ini adalah betul”. (At-Ta‘wîdh ‘an al-Adhrâr al-Mutarattibah ‘ala al-Mumâthilah fi ad-Duyûn: 8)
Dalam pada itu, tidak semua syarikat dan institusi kewangan yang beroperasi mengikut garis pandu syari‘ah Islam yang membuat caj tambahan kepada hutang pelanggan. Misalnya pada tahun 1999, dari 27 Bank Islam hanya 12 Bank Islam yang mengamalkan gharâmah (denda) seperti di atas. (http://www.fiqhforum.com/articles.as...=146&aid=20553)
Golongan Yang Tidak Mengharuskan
Golongan yang tidak mengharuskan berpendapat, hutang wajib dibayar mengikut kadar asal. Mengenakan sebarang tambahan kepada hutang asal, adalah dilarang. Pada dasarnya, apa-apa syarat bayaran tambahan oleh yang menghutangkan kepada hutang orang yang berhutang, termasuk menjadikan syaratnya di dalam akad, adalah amalan riba jahiliah yang diharamkan oleh Islam, sama ada ia dengan cara tafâdhul (bayaran lebih daripada hutang asal) atau nasâ’ah (bertambah bayaran kerana lambat membayar). Hukum haram ini adalah ijmâ‘. (Al- Majmû‘: 10/40)
Antara nash ulama yang mengatakan ijmâ‘ ini ialah kata-kata Ibnu al-Mundzir Rahimahullâh:
Ertinya: Ulama salaf telah ijmâ‘ bahawa orang yang menghutangkan apabila mensyaratkan orang yang berhutang membayar apa-apa tambahan atau memberikan apa-apa hadiah, kemudian berlaku hutang, maka mengambil yang lebih daripada hutang itu adalah riba. (Al- Majmû‘: 9/391 dan ‘Aun al-Ma‘bûd: 7/499)
Amalan mendapatkan bayaran lebih daripada jumlah asal yang dihutang itu adalah perbuatan yang diamalkan oleh pengaut-pengaut riba pada zaman jahiliah. Al-Qurthubi Rahimahullâh berkata: “Sesungguhnya orang-orang Arab (jahiliah) tidak mengetahui perkara riba kecuali dengan cara sedemikian (menuntut bayaran lebih daripada jumlah yang dihutang apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran). Apabila tiba waktu pembayaran hutang, mereka (pemiutang-pemiutang Arab jahiliyyah) akan berkata (kepada orang yang berhutang):
Ertinya: Engkau (orang yang berhutang) mempunyai pilihan sama ada membayar hutang, atau melebihkan bayaran. (Tafsîr al-Qurthubi: 4/393)
Sekalipun bayaran tambahan itu dikatakan sebagai ganti rugi atau hukuman, juga adalah dilarang kerana ia masih tetap berkaitan dengan hutang asal dan selari dengan riba jahiliah itu, iaitu suatu pertambahan nilai yang dikenakan ke atas hutang yang disebabkan faktor penundaan tempoh waktu pembayarannya. Padahal riba inilah yang diharamkan oleh Allah ketika al-Qur’an itu diturunkan (al-Baqarah: 275). Biar apapun nama yang diberi, ia tetap riba, sama ada ia diambil daripada orang yang berkemampuan ataupun tidak, atau sama ada disyaratkan di awal akad ataupun tidak. (Dr. ‘Abdullah Mushlih & Dr. Shalah Shawi, Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahlâh: 304).
Oleh sebab itulah dikatakan oleh ulama belum ada mana-mana hakim atau ulama silam yang mengharuskan bayaran tambahan kepada hutang asal, padahal kes yang melambatkan pembayaran hutang adalah banyak di serata tempat dan di pelbagai zaman. (Dr. ‘Abdullah al- Mushlih & Dr. Shalah ash-Shawi, Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahlah: 305)
Oleh sebab itu juga ramai ulama serta badan-badan pertubuhan akademi fiqh Islam kontemporari, seperti dua akademi; Akademi Fiqh Islam (اجملمعالفقهي اإلسالمي), Rabithah Alam Islami (ditubuhkan 1397H/1977M) dan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (جممع الفقه اإلسالمي الدوَل), OIC (ditubuhkan 1401H/1981M), berada di pihak yang tidak mengharuskan tambahan kepada hutang orang yang lambat membayarnya. Misalnya:
Akademi Fiqh Islam, Rabithah Alam Islami ketika menjawab pertanyaan: “Apabila orang yang berhutang terlambat membayar hutang dalam masa yang ditetapkan, maka adakah pihak yang menghutangkan (seperti bank) berhak menetapkan gharâmah harta sebagai hukuman dalam kadar tertentu dengan sebab terlambat membayar hutang pada masa yang telah kedua-dua pihak tetapkan?”
Telah menetapkan dengan ijmâ‘ bahawa:
Ertinya: Apabila orang yang menghutangkan mensyaratkan orang yang berhutang, atau mewajibkannya membayar sejumlah wang dalam kadar atau nisbah tertentu sebagai denda kerana menyalahi akad apabila terlambat membayar hutang pada waktu yang mereka berdua tetapkan, maka syarat atau hutang itu adalah batal dan tidak wajib memenuhinya, bahkan tidak halal, sama ada yang mensyaratkan itu yang menerimanya atau orang lain, kerana bayaran denda itu sendiri ialah riba jahiliah yang turun al-Qur’an mengharamkannya. (Majallah al-Buhûts al-Fiqhiyyah al-Mu‘âshirah, Mujallad III, Thn.1411H, bil.9-12, m.s.29- 30)
Manakala Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, OIC dalam satu resolusinya (bil.53(2/6) dengan ijmâ‘ menetapkan:
Ertinya: Keempat: Tidak harus menurut syara‘ menetapkan syarat (ke atas orang yang berhutang untuk membayar) ganti rugi apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran hutang. (Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi, bil.6, juz.1, m.s.446)
Yang Râjih
Pendapat kedua-dua golongan yang mengharuskan dan yang tidak mengharuskan adalah berdasarkan ijtihâd. Menurut sesetengah ulama mutakhir yang mengkaji kedua-dua pendapat itu, pendapat yang râjih adalah tidak harus mengambil apa-apa tambahan daripada orang yang berhutang kerana semata-mata melambatkan pembayaran hutang selama dijadikan syarat. Antara asas utama pentarjîhan itu ialah resolusi secara ijmâ‘ akademi fiqh yang disebutkan di atas. (Asy-Syeikh Dr. ‘Abdul Aziz al-Fauzan, Mawqi‘ al-Multaqa al-Fiqhi, http://www.ahlalhdeeth.com/vb/ showthread.php?t= 229171).
Pendapat ini selari dengan yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh Syafi‘iyyah yang menyebutkan sekiranya orang yang menghutangkan mensyaratkan orang yang berhutang membayar hutangnya lebih banyak atau yang lebih baik daripada hutang asal, adalah jelas riba. (Asnâ al-Mathâlib: 2/142) Namun, sekiranya manfaat (bayaran lebih) itu bukan sebab disyaratkan oleh orang yang menghutangkan, tetapi atas inisiatif orang yang berhutang sahaja, maka ia bukan riba dan ia adalah harus mengikut jumhûr. (Tuhfah al-Muhtâj: 5/47)
Jadi mengikut yang râjih, tidak harus mengenakan hukuman ke atas orang yang berhutang dengan cara menetapkan syarat ke atasnya (orang yang berhutang) untuk membayar ganti rugi atau denda kepada pihak yang menghutangkan apabila berlaku kelewatan dalam pembayaran hutang kerana perkara ini membawa kepada berlakunya amalan riba, tidak kira sama ada syarat ganti rugi itu dibuat semasa akad hutang mula-mula diadakan atau ketika waktu pembayaran telah tiba.
Itulah sesetengah hukum yang berkaitan dengan soal hutang. Adapun mengenai soal sewa menyewa akan disebutkan di bawah ini.
Sewa Menyewa
Berdasarkan ungkapan penghujung tajuk perkara yang ditanyakan, amalan yang berlaku antara TelBru dengan pelanggan ialah TelBru menyewakan telefon dan perkhidmatannya kepada pelanggan dengan kadar sewa, tempoh dan tarikh pembayaran sewa yang telah ditetapkan oleh TelBru. Manakala pelanggan pula telah bersetuju dengan apa yang ditetapkan oleh TelBru. Mengikut maklumat, buat masa ini, kadar sewa bagi tempoh selama satu bulan ialah $13.00 manakala kadar bayaran sewa (upah) perkhidmatan selama tempoh satu bulan itu tertakluk kepada banyaknya penggunaan khidmat.
Berapa pun kadar sewa atau upah, terpulang kepada TelBru (yang menyewakan) dan sekiranya pengguna (penyewa) bersetuju dengan kadar berkenaan, maka akad sewa menyewa adalah sah. Perkara ini sama dengan jual beli, berapa pun harga barang secara tunai atau bertangguh, adalah sah jual beli selama pembeli bersetuju (redha) dengan harga yang ditetapkan oleh penjual.
Dikatakan sama dengan jual beli, kerana di dalam kitab-kitab fiqh Syafi‘iyyah seperti al- Umm: 4/26 dan al-Muhadzdzab: 2/243, disebutkan bahawa sewa menyewa adalah satu bahagian daripada jual beli, pada kedua-duanya terdapat unsur pemilikan oleh pembeli dan penyewa. Pemilikan penyewa ialah manfaat daripada yang disewa. Jual beli sah pada benda yang hadir dan yang diterangkan sifat-sifatnya, maka begitu jugalah sewa menyewa. (Al-Muhadzdzab: 1/552)
Pembayaran upah (sewa) pula pada dasarnya adalah diberikan pada ketika akad, sebagaimana jual beli yang diberikan bayarannya ketika akad. Tetapi semasa membuat akad perjanjian, boleh didahulukan pembayaran sewa ataupun melambatkannya, ertinya bayaran sewa patut disegerakan kecuali disyaratkan dilambatkan. Jadi pembayaran ialah berdasarkan perjanjian. (Kifâyah al-Akhyâr: 1/311)
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Orang-orang Islam adalah tetap pada syarat-syarat mereka.
Dalam jual beli, pembayaran pula boleh berlaku secara tunai ataupun secara hutang dan bayaran secara tunai boleh lebih murah berbanding secara hutang. Dalam jual beli juga boleh berlaku jual beli secara bayar ansuran yang dinamakan jual beli taqsîth ( بيع التقسيط ) dan dengan cara ini boleh harganya lebih tinggi berbanding bayaran tunai. Keharusan jual beli seperti ini telah diputuskan oleh Majma‘ Fiqh Islam yang bersidang di Jeddah pada 1412H./1992M. menerusi resolusi (bil.61(2/7) yang berbunyi:
Ertinya: Pertama: Jual beli secara ansuran adalah harus pada syara‘, walau sekalipun harga bertangguh (ansuran) lebih tinggi berbanding harga tunai. (Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi, bil. 7, juz. 2, m.s.217)
Antara nash pendapat keharusan jual beli seperti ini di dalam mazhab Syafi‘e ialah nash pendapat Imam al-Haramain Rahimahullâh:
Ertinya: Dan kerana bayaran lima ringgit secara tunai menyamai enam ringgit secara bertangguh (ansuran). (Al-Majmû‘: 5/507)
Sekiranya pembeli secara ansuran ini terlambat membayar ansurannya pada waktu yang telah ditetapkan adalah tidak dibolehkan untuk memaksanya membayar dengan apa-apa tambahan kerana ia dikira sebagai riba. Resolusi Majma‘ Fiqh Islam, OIC (bil.53(2/6) yang bersidang di Jeddah pada 1410H./1990M menyebutkan:
Ertinya: Ketiga: Apabila pembeli yang berhutang terlambat membayar ansurannya dari waktu yang ditetapkan, maka tidak harus memaksanya untuk membuat apa-apa tambahan kepada hutangnya, sama ada disyaratkan lebih awal atau tanpa disyaratkan, kerana yang demikian adalah riba yang diharamkan. (Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi, bil. 6, juz. 1, m.s. 447)
Keputusan Majma‘ Fiqh Islam ini diperteguhkan lagi oleh keputusan seminar ilmiah yang berlangsung di Jeddah pada 15-16 Januari 2002 yang diadakan atas kerjasama Majma‘ Fiqh Islam dengan Ma‘had Islam bagi Kajian dan Latihan di bawah naungan Bank Pembangunan Islam. Asy-Syaikh Dr. Abdul Aziz al-Fauzan berkata bahawa pendapat inilah yang râjih yang selari dengan dalil-dalil syara‘. Ertinya: Mengambil apa-apa tambahan daripada orang yang berhutang dengan semata-mata kerana melambatkan pembayaran hutang adalah haram sama ada dijadikan syarat atau menerusi mahkamah, melainkan tambahan itu berupa pemberian ikhlas. (Asy-Syeikh Dr. Abdul ‘Aziz al-Fauzan, Mawqi‘ al-Multaqa al-Fiqhi, http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread. php?t=229171)
Manakala dalam hal pembayaran sewa yang dinaikkan pula, begitu juga tarikh pembayarannya, juga tertakluk kepada perjanjian. Perkara ini telah difatwakan Dallah al- Barakat sebagaimana yang tercatat di dalam: Dallah al-Barakat, al-Fatâwâ asy-Syariah fi al-Iqtishâd, 1403/1410H-1970/1981, ms.49 yang berbunyi:
“Apabila kedua belah pihak (penyewa dan yang menyewakan) bersetuju menyewa/menyewakan sesuatu seperti hartatanah, maka yang menyewakan boleh mengenakan kadar bayaran sewaan di atas persetujuan bersama antara kedua belah pihak melalui akad sewa (ijârah). Bayaran sewa itu pula tertakluk kepada persetujuan mereka berdua, sama ada mengikut hari, minggu, bulan atau 3, atau 6 bulan sekali.
Sekiranya kadar bayaran itu berubah dan kadar perubahan itu sentiasa naik misalnya selepas 6 bulan, maka dalam keadaan ini, pembayaran sewa tersebut adalah diharuskan kerana telah ada persetujuan kedua belah pihak dan lagi tambahan kadar sewa itu bukanlah tergolong dalam perkara riba atau satu kesalahan (penalty) kerana lambat pembayaran”. (Dato Seri Setia Awang Haji Metussin bin Haji Baki, Soal Jawab Perbankan Islam, Siri Ke-2, ms.66)
Berdasarkan keterangan hukum di atas, khasnya berkait dengan harusnya membayar secara tunai ataupun bertangguh di dalam jual beli dan sewa menyewa, serta harusnya harga bertangguh lebih tinggi berbanding harga tunai, maka bagi mengelak sewa tidak bertukar kepada hutang yang terdedah kepada bentuk riba, TelBru boleh mengubah suai syarat-syarat penyewaan telefon dan perkhidmatannya selari dengan kehendak hukum sewa ini. Apa yang penting, bayaran adalah tetap atas nama sewa, kerana asalnya memang sewa, bukan hutang. Misalnya: Untuk sewaan bulan Januari 2012 sahaja, jika dibayar antara 1hb. dengan 15hb. Februari 2012, sewanya ialah $23.00 (sewa telefon $13.00 + penggunaan $10.00). Jika dibayar antara 16hb. dengan 29hb. Februari 2012, sewanya ialah $25.00 (sewa telefon $14.00. + penggunaan $11.00). Sewa yang $25.00 ini bukanlah hutang, tetapi sewa tetap kerana dibayar mengikut tarikh berkenaan. Atau misalnya:
Contoh Jadual Sewa Tetap Untuk Satu Bulan Mengikut Tarikh Pembayaran
Kadar bayaran sewa telefon dan perkhidmatan untuk satu bulan, seperti untuk bulan Januari sahaja, jika dibayar:
No. Pada Tarikh Bulan
Sewa Tetap Jumlah telefon perkhidmatan 1 1hb - 15hb Februari $13.00 $10.00 $23.00 2 16hb - 30hb Februari $14.00 $11.00 $25.00 3 1hb - 16hb Mac $15.00 $12.00 $27.00 4 16hb - 30hb Mac $16.00 $13.00 $29.00 5 1hb - 16hb April $17.00 $14.00 $31.00 6 16hb - 30hb April $18.00 $15.00 $33.00 7 1hb - 15hb Mei $19.00 $16.00 $35.00 8 16hb - 30hb Mei $20.00 $17.00 $37.00 9 1hb - 16hb Jun $21.00 $18.00 $39.00 10 16hb - 30hb Jun $22.00 $19.00 $41.00 11 1hb - 16hb Julai $23.00 $20.00 $43.00 12 16hb - 30hb Julai $24.00 $21.00 $45.00 13 1hb - 15hb Ogos $25.00 $22.00 $47.00 14 16hb - 30hb Ogos $26.00 $23.00 $49.00 15 1hb - 16hb September $27.00 $24.00 $51.00 16 16hb - 30hb September $28.00 $25.00 $53.00 17 1hb - 16hb Oktober $29.00 $26.00 $55.00 18 16hb - 30hb Oktober $30.00 $27.00 $57.00 19 1hb - 16hb November $31.00 $28.00 $59.00 20 16hb - 30hb November $32.00 $29.00 $61.00 21 1hb - 16hb Disember $33.00 $30.00 $63.00 22 16hb - 30hb Disember $34.00 $31.00 $65.00
Begitulah contoh jadual sewa untuk satu bulan iaitu Januari. Adapun untuk bulan Februari, Mac, April dan seterusnya, dikiaskanlah kepada jadual ini.
Sebagaimana kadar harga di dalam jual beli dan tarikh pembayarannya secara ansuran, maka berapa pun sewa dan tarikh pembayarannya yang ditetapkan oleh TelBru, tidak menyalahi hukum selama dinamakan sewa, pihak penyewa (pengguna) pula bersetuju (redha).
Saya kira untuk membuat jadual sewa dan tarikh pembayarannya yang lengkap dan kemas, pihak TelBru adalah lebih ‘arif.
Kesimpulan
Sewa yang tidak dibayar pada waktunya telah menjadi hutang dan telah bertukar hukum-hakamnya kepada hukum-hakam hutang. Walaupun ada pendapat ulama kontemporari yang membolehkan hukuman denda kepada orang berhutang yang lambat membayar hutangnya dengan membayar tambahan berupa sedekah dengan alasan bagi menghalang berleluasa amalan melambat-lambatkan pembayaran hutang dan bagi mengatasi kemudharatan yang dialami pihak yang menghutangkan, namun mengikut pendapat yang râjih apa-apa tambahan kepada hutang adalah tetap diharamkan. Ini selari dengan resolusi secara ijmâ‘ Akademi Fiqh Islam. Tambahan lagi hukuman yang dimaksudkan di dalam hadits adalah khusus bagi orang berupaya yang melambat-lambatkan pembayaran hutangnya, bukan bagi orang yang tidak berupaya, sedangkan membezakan pelanggan yang berupaya dan tidak berupaya adalah satu perkara yang rumit. Selain itu, jika dinamakan hukuman, hendaklah menerusi mahkamah (hakim). (Al-Manawi, Faidh al-Qadîr: 5/400) Sedangkan realitinya, sejak dari mula lagi, hukuman seakan-akan telahpun diputuskan menerusi akad, iaitu dengan menetapkan caj tambahan. Kemudian bayaran tambahan itu pula bukanlah dikira sebagai pendapatan tetapi hendaklah disalurkan kepada jalan yang berkebajikan.
Oleh sebab itu, berdasarkan pendapat yang disebutkan di dalam kitab Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahlah bahawa tidak harus bagi mufti di mana-mana negeri menyalahi ijmâ‘ kedua-dua akademi fiqh Islam yang disebutkan di atas termasuk Akademi Kajian Islam (Maja‘ al-Buhûts al-Islâmiyyah), al-Azhar asy-Syarif (ditubuhkan 1961M), begitu juga tidak harus mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan apa yang telah diijmâ‘kan oleh akademi-akademi ini, dan tidak ada alasan seseorang Muslim di sisi Allah jika dia mengambil fatwa mufti itu dan meninggalkan ijmâ‘ akademi itu, (Dr. ‘Abdullah al-Mushlih & Dr. Shalah ash- Shawi, Mâ Lâ Yasi‘ at-Tâjir Jahluh: 12), maka saya berfatwa dengan pendapat yang râjih yang selari dengan resolusi Akademi Fiqh Islam itu.
Berkenaan nasihat yang dipohonkan, saya cenderung supaya TelBru tetap mengekalkan bayaran sewa atas nama sewa dan kadarnya tertakluk kepada tarikh yang dipilih oleh pelanggan mengikut jadual yang disediakan oleh TelBru sebagaimana contoh jadual di atas. Setiap sewa, kadar dan tarikh pembayaran adalah dianggap baru dan tetap. Terpulang kepada pelanggan untuk memilihnya. Selain kerana amalan ini tidak menjurus kepada riba dan hukumnya tidak dipertikai, sewa ini akan tetap menjadi hak dan pendapatan TelBru dan akan dapat menangani permasalahan yang dimaksudkan oleh TelBru sebagaimana yang disebutkan di dalam soalan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11886
