Hari Ibu Dan Hari Bapa
Soalan: Apakah hukum menyambut Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Lahir dan sebagainya yang dikatakan tidak terdapat dalam amalan Islam?
Jawapan: Ibu dan bapa adalah insan yang telah mengenalkan kita kepada dunia dan menyebabkan kita lahir ke dunia. Oleh itu, bagi seorang anak, adalah wajar baginya meletakkan ibu bapanya pada kedudukan yang tinggi sesuai dengan martabat kemuliaan mereka serta wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Ta‘ala dan RasulNya. Allah Ta‘ala telah mengangkat dan memuliakan martabat bapa sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitu juga dengan martabat ibu. Bahkan martabat ibu lebih utama lagi. (Tuhfah al-Ahwadzi: 6/7)
Oleh yang demikian, adalah tepat sekali Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik dan menghormati ibu bapa sehinggakan tuntutan itu sampai kepada fardhu ‘Ain. Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, antaranya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sebarang perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdoalah (untuk kedua-duanya): “Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)
Dalam ayat yang lain Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. (Surah al-Ahqâf: 15)
Perkara ini juga disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihâd, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua-dua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada kedua-duanyalah engkau berjihâd (berbuat baik kepada kedua-duanya dengan jiwa dan harta).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas memberi petunjuk bahawa hukum berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihâd pada jalan Allah, kerana berjihâd pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu Kifayah (apabila sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang lain), sedangkan berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘Ain, setiap orang mesti melakukannya. Oleh itu, wajib bagi setiap orang berbuat ihsan kepada kedua-dua ibu bapanya.
Selain itu, kewajipan menghormati ibu bapa itu telah disebutkan dalam sebuah hadits yang masyhur, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu bertanya:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak di kalangan manusia (untuk mendapat) layananku yang baik?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ibumu”. Dia berkata: “Kemudian siapa?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kemudian ibumu”. Dia berkata: “Kemudian siapa?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kemudian ibumu”. Dia berkata: “Kemudian siapa?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kemudian bapamu”. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Penghargaan Untuk Kaum Ibu Dan Bapa
Pada masa sekarang, kebanyakan anak-anak membuat inisiatif untuk membalas jasa dan memberi penghargaan kepada ibu bapa mereka dengan mengadakan berbagai-bagai sambutan yang dikhususkan kepada ibu bapa, seperti menyambut hari lahir kedua-dua ibu bapa. Bahkan ada pula yang menentukan sendiri hari istimewa bagi sambutan ibu bapa, hari perkumpulan keluarga dan lain-lain lagi memandangkan ada sebahagian anak-anak yang tinggal berjauhan dari ibu bapa kerana tugas dan tanggungjawab masing-masing. Ada juga pihak-pihak lain seperti sekolah menganjurkan Hari Ibu Bapa untuk penuntut-penuntutnya.
Sambutan atau majlis-majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi keakraban kasih sayang yang berterusan di antara ibu bapa dan anak serta ahli keluarga yang lain. Walaupun penghargaan ke atas ibu bapa itu tidak semestinya dengan mengadakan sambutan seperti menentukan atau menetapkan tarikh tertentu untuk menjadikannya sebagai hari ibu atau bapa, tetapi perkara begini adalah salah satu cara untuk anak-anak berkumpul bersama keluarganya lebih-lebih lagi jika anak-anak yang sudah mempunyai keluarga dan tempat tinggal sendiri yang jauh dari kediaman ibu bapa.
Sambutan Hari Ibu Dan Hari Bapa
Akhir-akhir ini, Hari Ibu dan Hari Bapa disambut oleh kebanyakan orang di merata tempat pada hari-hari yang berbeza antara negara kerana berbagai-bagai asal usulnya. Hari Ibu dan Hari Bapa mempunyai peranan yang sama iaitu mengiktiraf golongan ibu dan bapa.
Hari Ibu
Sambutan Hari Ibu dikatakan bermula di Grafton, Amerika Syarikat apabila Anna Jarvis yang menyambut sempena ulang tahun kematian ibunya pada tahun 1908 di sebuah gereja “Andrews Methodist Church.”. (The New Encyclopedia Britannica: 5/405)
Menurut satu artikel yang dimuatkan dalam wikipedia juga menyatakan bahawa perayaan ini lahir daripada satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Ibu)
Walau bagaimanapun, Hari Ibu disambut pada tarikh yang berbeza yang dipilih oleh sesebuah tempat atau negara itu mengikut tarikh dan kepercayaan masing-masing. Misalnya, di negara Greece, sambutan Hari Ibu diadakan pada 2 Februari, bersamaan hari kenduri Persembahan Nabi ‘Isa di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Ibu)
Hari Bapa
Manakala dalam menyambut Hari Bapa, mengikut satu versi, sambutan ini dikatakan bermula di Amerika Syarikat dengan idea yang dicetuskan oleh seorang wanita bernama Sonora Dodd dari daerah Spokane. Beliau mahu melakukan sesuatu untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Maka berdasarkan idea tersebut, Hari Bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri. Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Bapa)
Berdasarkan sedikit asal usul atau sejarah bermulanya sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa sebagaimana di atas, jelas kepada kita bahawa sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa itu mempunyai maksud-maksudnya yang tersendiri. Manakala pemilihan tarikhnya juga disempenakan dengan peristiwa-peristiwa tertentu. Soalnya; apakah umat Islam perlu turut menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa?
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa mula dipopularkan oleh orang bukan Islam dengan tujuannya yang tersendiri, dengan memilih tarikh-tarikh tertentu untuk memperingati orang-orang tertentu. Bahkan termasuk bagi tujuan pemujaan dan ada kaitan dengan agama mereka. Sedangkan dalam agama Islam, tujuan kita memberi penghargaan kepada ibu bapa adalah mutlak, kerana mematuhi ajaran Islam yang mewajibkannya selain hikmahnya yang banyak. Antaranya, menyuburkan kasih sayang dan menambah keakraban kekeluargaan. Penghargaan itu perlu dibuat sepanjang masa tanpa hari-hari khusus untuk sambutan yang dinamakan Hari Ibu atau Hari Bapa. Oleh itu, kita tidak perlu terikut-ikut dengan cara orang bukan Islam menghargai ibu bapa mereka, apa lagi untuk menyambutnya pada tarikh-tarikh yang mereka pilih yang mempunyai maksud-maksud tertentu dan berkaitan pula dengan agama mereka.
Sambutan Hari Ibu atau Hari Bapa itu akan lebih menjadi bertentangan lagi dengan hukum syara‘, jika ia diadakan dengan tujuan mengikut orang-orang yang bukan beragama Islam yang menyambutnya pada hari dan tarikh yang disempenakan atau dihubungkan dengan agama mereka. Perbuatan kita itu secara tidak langsung memberi makna kita redha untuk menyertai atau melakukan sesuatu yang menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang-orang yang menyalahi agama Islam. Tasyabbuh atau menyerupai sesuatu kaum itu boleh menyebabkan orang tersebut dinisbahkan kepada golongan berkenaan sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut penjelasan kitab ‘Aun al-Ma‘bûd, jika seseorang itu menyerupai orang-orang yang salih dan baik, maka dia akan dinisbahkan kepada orang-orang salih dan baik itu, sementara sesiapa yang menyerupai orang kafir atau orang fâsiq, maka dia juga akan dinisbahkan kepada golongan tersebut. (‘Aun al-Ma‘bûd: 11/59)
Dalam perkara berkaitan dengan tasyabbuh ini, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh juga ada menyebutkan:
Ertinya: Jika dia berbuat demikian dengan qashad (tujuan) menyerupai mereka pada syi‘ar (simbol-simbol) kufur, tidak syak lagi dia menjadi kafir, atau (menyerupai mereka) pada syi‘ar perayaan dengan tidak bermaksud (menyerupai) perkara-perkara kufur mereka, dia tidak menjadi kafir akan tetapi dia berdosa. Jika dia tidak bermaksud menyerupai mereka sama sekali, maka tidaklah menjadi apa-apa ke atasnya....”(Al- Fatâwa al-Kubra al- Fiqhiyyah: 4/239)
Dari itu, dalam menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa itu jika ia dilakukan hanya semata-mata mengikut atau meniru sambutan yang ditentukan oleh orang-orang yang bukan beragama Islam, sekalipun tidak bermaksud melakukan perkara-perkara kufur seperti mereka, perbuatan tersebut masih tetap dianggap suatu dosa juga. Jika tidak bermaksud menyerupai sama sekali, tidaklah menjadi apa, tetapi siapakah yang teringat ini (untuk tidak menyerupai sama sekali itu?).
Sebagai langkah berhati-hati adalah lebih selamat dan sesuai dengan tuntutan syara‘ untuk tidak terlibat dengan sambutan seperti ini yang mempunyai sejarahnya terdapat unsur kufurpadanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11890
