Hukum Bangkai Anjing
Soalan: Apakah hukum bangkai anjing atau bekas darah anjing yang sudah kering di jalan raya terkena pada tayar kereta? Ada yang mengatakan apabila kering ia tidak najis lagi.
Jawapan: Hukum Bangkai Anjing
Bangkai dari segi syara‘ ialah binatang yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang disyariatkan Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/238)
Dalam mazhab asy-Syafi‘e, anjing adalah sejenis binatang yang termasuk dalam kategori najis mughallazhah. Seluruh anggotanya adalah najis termasuk apa sahaja yang berasal daripadanya seperti bulu, air liur, peluh, darah dan air kencingnya.
Jika sesuatu benda suci terkena atau bersentuhan dengan anjing atau bahagian anggotanya yang salah satu daripada kedua-duanya dalam keadaan basah, maka benda suci itu dikira bernajis (mutanajjis) dan wajiblah disertu dengan tujuh kali cucian air, salah satunya air bercampur tanah. Tetapi jika benda suci yang bersentuh atau terkena pada mana-mana anggota atau bahagian anjing yang kedua-duanya dalam keadaan kering, maka benda suci itu tetap suci dan tidak wajib disertu.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Apabila kencingnya, tahinya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau salah satu anggota daripada anggota-anggotanya (anjing) - mengenai sesuatu yang suci dalam keadaan salah satu daripadanya basah – wajib mencucinya dengan tujuh kali air cucian yang salah satu daripadanya (air bercampur) dengan tanah. (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 2/1281)
Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh, katanya:
Ertinya: Jika yakin anjing telah bersentuhan dengannya (bekas air) dalam keadaan basah daripada salah satu pihak (iaitu anjing atau bekas), maka ia (bekas air) itu menjadi najis. Dan jika tidak basah kedua-duanya maka tidaklah ia menjadi najis. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/254)
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyatakan demikian dengan katanya:
Ertinya: Dan apa jua yang terkena najis daripada pepejal (bukan cecair) walaupun pada tempat gigitan binatang buruan atau yang selainnya, dengan persentuhan sesuatu daripada anjing sama ada air liurnya, air kencingnya dan semua cairan (yang dikeluarkannya) dan semua bahagian anggotanya yang kering, jika terkena sesuatu yang basah, hendaklah dicuci dengan tujuh kali cucian, salah satunya dengan tanah (air yang bercampur tanah).” (Mughni al-Muhtâj: 1/239)
Berdasarkan penjelasan di atas, jika bekas darah anjing yang sudah kering di jalan raya yang terkena pada tayar kereta itu kering, maka tidaklah wajib disertu pada tayar kereta tersebut, tetapi jika salah satu daripadanya iaitu bekas darah anjing atau tayar kereta berkenaan dalam keadaan basah, maka wajiblah disertu dengan tujuh kali air cucian yang salah satu daripadanya air yang dicampur dengan tanah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11894
