Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Hukum Melakukan Ibadat Umrah Setelah Masuk Mîqât Zamâniy

Soalan: Bolehkah seseorang melakukan ibadat umrah pada bulan-bulan haji atau dengan perkataan lain, melakukan ibadat umrah setelah masuk mîqât zamâniy?

Jawapan: Ibadat haji dan umrah itu masing-masing mempunyai waktu untuk mengerjakannya atau disebut sebagai mîqât zamâniy. Mîqât zamâniy atau bulan-bulan bagi ibadat haji ialah bulan Syawal, bulan Zulqaedah dan sepuluh malam (1-10 haribulan) daripada bulan Zulhijjah. Oleh itu, ihram bagi ibadat haji boleh dilakukan bermula dari 1 Syawal hingga terbit fajar hari nahr pada 10 Zulhijjah. Sementara mîqât zamâniy bagi ibadat umrah ialah sepanjang tahun. Oleh itu, ihram bagi ibadat umrah boleh dilakukan pada sepanjang tahun kecuali pada waktu-waktu tertentu, antaranya: i. Ketika seseorang itu masih berada dalam ihram ibadat haji. ii. Ketika seseorang itu masih berada dalam ihram umrah. iii. Ketika seseorang itu masih belum selesai mengerjakan amalan-amalan ibadat haji seperti melontar dan bermalam di Mina. (Al-Khathib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtâj: 1/471-472; al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri: 1/470) Mengenai persoalan ibadat umrah yang dikerjakan dalam bulan-bulan haji atau setelah masuk mîqât zamâniy, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Ibadat umrah itu masuk dalam ibadat haji sehingga Hari Kiamat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Para ulama mazhab Syafi‘e menjelaskan bahawa hadits di atas mempunyai dua tafsiran. Salah satunya ialah sebagaimana yang ditafsirkan oleh al-Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu dan kebanyakan para ulama yang bermaksud bahawa tidak mengapa ibadat umrah dikerjakan dalam bulan-bulan haji.

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan bahawa inilah tafsiran yang ashah (yang lebih shahîh).

Al-Imam at-Tirmidzi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata, bahawa orang-orang jahiliyyah tidak melakukan umrah dalam bulan-bulan haji. Mereka beranggapan bahawa melakukan umrah pada bulan-bulan haji itu merupakan di antara sebesar-besar maksiat. Kemudian setelah kedatangan Islam, Islam pula mengharuskan melakukan umrah dalam bulan-bulan haji dan membatalkan pendapat orang-orang jahiliyyah itu.

Oleh sebab itu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melakukan ibadat umrah sebanyak empat kali dalam bulan-bulan haji. (An-Nawawi, al-Majmû‘: 7/31)

Diriwayatkan daripada Qatadah, bahawa Anas Radhiallâhu ‘anhu menceritakan kepada beliau:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melakukan umrah sebanyak empat kali, semuanya Baginda kerjakan pada bulan Zulqaedah kecuali umrah yang Baginda kerjakan bersama dengan ibadat haji Baginda. (Sekali Baginda) umrah semasa perjanjian al-Hudaibiyah dalam bulan Zulqaedah, (sekali lagi Baginda) umrah pada tahun berikutnya dalam bulan Zulqaedah, (sekali lagi Baginda) umrah dari Ji‘ranah dalam bulan Zulqaedah ketika membahagi-bahagikan harta rampasan perang Hunain dan (sekali lagi Baginda) umrah ketika Baginda mengerjakan ibadat haji (haji Wada‘).

Ibadat umrah yang dikerjakan oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebanyak empat kali itu, sebagaimana menurut hadits di atas adalah berlaku selepas Baginda berhijrah ke Madinah. Sebab, umrah pertama daripada umrah yang dikerjakan oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu berlaku pada tahun keenam Hijrah iaitu tahun berlakunya perjanjian al- Hudaibiyah sebagaimana jelas disebutkan di dalam hadits di atas. Daripada empat umrah tersebut hanya sekali umrah sahaja Baginda kerjakan bersama ibadat haji iaitu ketika Baginda mengerjakan ibadat haji Wada‘.

Berdasarkan satu riwayat, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam hanya sekali sahaja menunaikan haji selepas Baginda berhijrah ke Madinah. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Qatadah, beliau berkata:

Maksudnya: Aku bertanya kepada Anas: “Berapa kalikah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengerjakan haji?” Anas berkata: “Satu kali haji dan Baginda mengerjakan empat kali umrah.”

Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika menjelaskan maksud hadits di atas bahawa selepas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berhijrah ke Madinah, Baginda tidak menunaikan haji kecuali sekali sahaja iaitu haji Wada‘. (An-Nawawi, Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 7/235-236)

Ini bermakna, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah melakukan umrah beberapa kali tanpa mengerjakan haji setelah masuk mîqât zamâniy atau setelah masuk bulan-bulan haji, walaupun pada ketika itu ibadat haji sudah difardhukan iaitu pada tahun ke enam hijrah menurut pendapat yang masyhur.

Selain itu, para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga melakukan umrah dalam bulan-bulan haji tanpa mengerjakan haji. Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin al-Musaiyab, beliau berkata:

Maksudnya: Adalah sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji. Maka apabila mereka tidak mengerjakan haji pada tahun itu mereka tidak menyembelih dam. (Hadis riwayat al-Baihaqi)

(An-Nawawi, al-Majmû‘: 7/171)

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, dapatlah diambil kesimpulan bahawa mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji hukumnya adalah harus kecuali pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang telah diterangkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11898