Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Hukum Memelihara Dan Menyentuh Anjing

Soalan: Saya mempunyai kemusykilan mengenai anjing. Sejak kecil saya difahamkan yang anjing itu haram. Tetapi setelah melayari internet, saya juga difahamkan bahawa anjing itu tidak haram, hanya air liur dan najisnya sahaja yang dianggap najis. Dalam pada itu bolehkah kita sebagai orang Islam memelihara atau memegang anjing? Adakah sebagai pelajar veterinari, saya boleh memegang anjing?

Jawapan: Mengasihi binatang adalah dituntut oleh Islam kerana ia juga makhluk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama seperti kita manusia. Begitu juga dengan anjing sekalipun ia binatang yang najis. Namun, ini tidak bermakna kita diharuskan untuk memeliharanya, semata-mata sebagai binatang peliharaan atau binatang kesayangan tanpa lain-lain tujuan dan keperluan tertentu. Islam telah menetapkan peraturan dan syarat-syarat dalam perkara pemeliharaan atau pemilikan anjing ini.

Hukum Memelihara Anjing

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, seorang ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e Rahimahullâh menjelaskan bahawa memelihara anjing tanpa tujuan dan keperluan hukumnya adalah haram. (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 7/4284)

Perkara ini ada dijelaskan menerusi hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa memelihara anjing bukan jenis anjing bagi tujuan berburu dan bukan tujuan menjaga binatang ternak atau menjaga ladang, maka yang demikian itu menyebabkan pahalanya berkurangan dua qîrâth (satu qîrâth seperti gunung uhud) pada setiap hari. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut sebahagian ulama, harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan berburu atau menjaga sesuatu seperti menjaga binatang ternak, sawah ladang dan diharuskan juga memiliki anak anjing untuk diajar bagi keperluan-keperluan tersebut. Namun adalah haram memiliki anjing kerana tidak ada keperluan padanya seperti mereka yang tidak dan belum mempunyai sawah ladang dan juga mereka yang tidak berburu dan hanya berburu apabila dia berkeinginan sahaja. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 4/284, Mughni al-Muhtâj: 2/342 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 3//68)

Terdapat beberapa hadits yang menerangkan tentang keharusan memelihara anjing dengan tujuan untuk pengawalan atau berburu. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Tsa‘labah al-Khusyaniy Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah bertanya:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan ahli kitab. Kami makan dalam bejana mereka dan kami juga berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku, dan aku berburu dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, maka khabarkanlah kepadaku manakah yang dibolehkan bagi kami yang demikian itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adapun apa yang engkau sebutkan tentang engkau berada di kawasan ahli kitab, engkau makan dalam bejana mereka, jika kamu menemukan selain daripada tempat bejana mereka, maka janganlah kamu makan di dalamnya (menggunakan bejana mereka) dan jika kamu tidak menemukannya (bejana lain), maka cucilah ia (bejana itu) kemudian kamu makanlah di dalamnya. Adapun apa yang kamu sebutkan tentang kamu berada di kawasan berburu, maka apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu, engkau sebutlah nama Allah dan kemudian makanlah olehmu, dan apa yang telah engkau buru dengan anjingmu yang terlatih, maka engkau sebutlah nama Allah, kemudian makanlah olehmu, dan apa yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, dan kamu sempat menyembelihnya maka makanlah olehmu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, hukum yang berkaitan dengan anjing itu bolehlah dirumuskan seperti berikut:

i. Harus memelihara anjing bagi tujuan berburu.

ii. Hasil buruan anjing yang terlatih itu halal dimakan dengan syarat hendaklah disebut nama Allah.

iii. Hasil buruan anjing yang tidak terlatih itu halal dimakan jika ia sempat disembelih.

Namun persoalan yang menjadi perselisihan di antara para ulama ialah mengenai, adakah harus memiliki anjing untuk tujuan menjaga rumah? Dalam perkara ini terdapat dua pendapat yang masyhûr, pendapat yang ashah adalah harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan menjaga rumah, gerbang-gerbang dan seumpamanya berqiyâskan kepada tiga keperluan yang diharuskan iaitu kerana tujuan berkebun, berburu atau menjaga binatang ternak. (Kitab al-Majmû‘: 9/221 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 3/68)

Walaupun diharuskan, dikehendaki pula berhati-hati dan membatasi pergaulan dengan anjing berkenaan.

Hukum Menyentuh Anjing

Anjing dan babi merupakan binatang yang tergolong dalam najis mughallazhah. Kenajisannya tidak hanya terbatas kepada air liur atau kotorannya sahaja sebagaimana yang dinyatakan melalui internet, bahkan ia adalah merangkumi keseluruhan anggota tubuh badannya termasuk mulut, bulu, peluh dan sebagainya. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/236 dan Mughni al-Muhtâj: 1/227)

Dari itu, menyentuh atau terkena mana-mana anggota anjing sama ada salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah, wajiblah disertu iaitu dengan mencuci bahagian yang terkena najis itu sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dicampur dengan tanah.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kesucian bejana setiap seorang daripada kamu, jika anjing menjilat di dalamnya, adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali cucian, permulaannya dengan cucian air yang bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

Begitu juga apabila sesuatu menjadi najis disebabkan terkena atau tersentuh anjing, wajib dibersihkan sepertimana yang disyariatkan dan ini ada dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan apa yang menjadi najis kerana bersentuhan sesuatu daripada anjing hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dengan (air yang bercampur) tanah. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/117)

Bagaimana pula dengan perbuatan menyentuh anjing itu, adakah ia dihukumkan haram ataupun tidak?

Menghindarkan diri daripada sebarang najis merupakan satu tuntutan wajib. Tuntutan tersebut merangkumi dalam semua keadaan.

Zainuddin al-Malibari dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn menyatakan:

Ertinya: Maka jika tanpa sebarang hajat (keperluan), wajiblah menjauhinya (najis), kerana sesungguhnya apa yang haram dia melakukannya (berdosa), wajiblah dia menjauhinya (perkara dosa itu).” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/140)

Ini bererti setiap apa jua benda yang berupa najis, wajiblah dihindari walau dalam apa jua keadaan sebagaimana kata al-Asnawi Rahimahullâh:

Ertinya: Menurut pendapat yang azhhar, sesungguhnya tidak harus menggunakan najis pada pakaian iaitu melumurkan najis padanya (pakaian), begitu juga tidak harus pada badan iaitu menggunakan najis padanya (badan) di mana (najis itu) bersentuhan dengannya (badan) sama ada ia dalam keadaan basah ataupun kering.” (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/30)

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh adalah haram mengotori badan atau pakaian dengan najis tanpa ada sebarang keperluan. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)

Dari itu, menggunakan sesuatu yang najis dengan sengaja sama ada pada badan, pakaian atau rambut hukumnya adalah haram apatah lagi najis tersebut merupakan najis mughallazhah seperti anjing. Menyentuh anjing dengan sengaja samalah dengan sengaja membiarkan diri terdedah dan dikotori dengan najis. Oleh itu, adalah haram juga hukumnya menyentuh anjing tanpa sebarang hajat sekalipun ia dalam keadaan kering.

Namun jika menyentuh najis itu tidak dapat dielakkan kerana terdapat keperluan atau kerana keadaan yang memaksa di luar sembahyang, maka ia adalah diharuskan. Umpamanya dalam keadaan jika tidak terdapat sesuatu pun untuk membersihkan air kencing, maka dibolehkan membersihkannya dengan cara mengesatnya dengan tangan, ataupun dalam kedudukan orang yang kerjanya membersihkan tandas, menyembelih binatang atau kedudukan orang yang perlu berubat dengan najis dan sebagainya. Mereka yang tersebut tidak diwajibkan menjauhi najis kerana terdapat keperluan padanya. Walau bagaimanapun wajib ke atas mereka membersihkan najis tersebut apabila hendak melakukan ibadat sembahyang dan seumpamanya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:1/140)

Hukum Doktor dan Pelajar Veterinari Menyentuh Najis

Kedudukan seorang yang kerjayanya sebagai doktor haiwan atau pelajar veterinary adalah diharuskan mendapat kelonggaran kerana menyentuh bagi maksud merawat dan mengkaji apa jua jenis binatang termasuk anjing merupakan suatu kemestian yang amat sukar dielakkan.

Walau bagaimanapun, pengharusan ini tidaklah boleh diambil mudah, bahkan perlu dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati, seperti menyentuhnya dengan menggunakan lapik atau sarung tangan pada kadar yang diperlukan sahaja dan seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11902