Hukum Menyentuh Babi
Soalan: Ada hukum menyentuh babi? Ada yang mengatakan hukumnya haram, ada yang harus dan ada juga yang tidak mengetahui hukumnya. Terdapat banyak pendapat yang berbeza daripada ustaz-ustaz dan individu yang berlainan.
Oleh itu, dipohonkan jawapan atau hukum yang jelas mengenai masalah ini.
Jawapan: Babi adalah binatang yang termasuk dalam golongan najis mughallazhah iaitu najis yang berat dan haram dimakan. Kenajisan babi ada dinyatakan dalam al-Qur’an. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak mendapati di dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan jika benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.” (Surah al-An‘âm: 145)
Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan babi kerana keadaannya yang najis. Ini menunjukkan kenajisan adalah ‘illah (sebab) kepada pengharaman memakannya. Oleh yang demikian, setiap najis adalah dihukumkan haram untuk dimakan. (Tafsîr al-Fakhr ar-Razi: 13/231)
Menurut Imam ar-Ramli dan al-Khathib asy-Syarbini Rahimahumallâhu Ta‘âlâ, perkataan س)ح(ف ََِإنهه ُ َرج dalam ayat di atas menerangkan kenajisan babi yang merangkumi kesemua bahagian anggota badannya dan bukan hanya khusus atau terbatas pada dagingnya sahaja. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/237 dan Mughni al-Muhtâj: 1/129)
Tuntutan Menjauhi Najis Hukum menyentuh babi adalah berkaitan dengan hukum menjauhi najis kerana babi adalah salah satu daripada najis itu. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum menjauhi najis adalah wajib berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddatstsir: 4)
Daripada hadits pula, Anas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sucikanlah (diri) kamu daripada air kencing, sesungguhnya kebanyakan azab kubur daripadanya (disebabkan dosa tidak membersihkan air kencing). (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Ulama membincangkan hukum menjauhi najis itu dalam dua keadaan iaitu ketika di dalam sembahyang dan ketika di luar sembahyang. Menjauhi najis dalam sembahyang adalah wajib kerana salah satu syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis. Manakala di luar sembahyang pula, menjauhi najis adalah juga wajib jika tidak ada sebarang keperluan padanya.
Dalam hal ini, as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: (Di luar sembahyang) jika tanpa sebarang keperluan, menjauhinya (najis) adalah wajib, kerana apa-apa yang haram (hukumnya) melakukannya, menjauhinya (juga) adalah wajib. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:1/134)
Manakala Ibnu Hajar Rahimahullâh pula menyatakan:
Ertinya: Haram berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian tanpa keperluan. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)
Tidak ada beza dalam kewajiban menjauhi najis sama ada dalam keadaan basah atau kering. Kedua-duanya wajib dijauhi. Al-Asnawi Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar, sesungguhnya tidak boleh menggunakan najis pada pakaian iaitu melumur najis padanya (pakaian) dan tidak boleh juga pada badan iaitu menggunakan najis padanya (badan) sekira-kira bersentuhan dengannya sama ada dalam keadaan basah ataupun kering. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 3/38)
Tetapi khusus di luar sembahyang, jika menjauhi najis tidak dapat dielakkan kerana ada keperluan atau keadaan memerlukan, maka tidak wajib menjauhi najis umpamanya dalam keadaan jika tidak terdapat sesuatu pun untuk membersihkan air kencing, maka dibolehkan membersihkan zakar dengan cara mengesatnya dengan tangan atau kedudukan bagi orang yang kerjanya membersihkan tandas, kedudukan bagi orang yang kerjanya menyembelih binatang atau kedudukan orang yang memerlukan berubat dengan najis dan sebagainya. Mereka yang tersebut tidak diwajibkan menjauhi najis kerana ada keperluan padanya. (Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/134)
Hukum Menyentuh Babi
Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa adalah menjadi kewajipan kita untuk menjauhi diri kita daripada najis. Memandangkan ia merupakan suatu tuntutan yang wajib, maka mendekatkan diri kita kepada najis seperti melumuri diri dengan najis, menggunakan atau memakai sesuatu yang dikategorikan sebagai najis pada diri kita, pakaian dan sebagainya adalah suatu perbuatan yang haram dan berdosa. Walau bagaimanapun jika ada keperluan, hukumnya adalah harus, tetapi ketika di luar daripada sembahyang sahaja. Manakala ketika di dalam sembahyang adalah sekali-kali ditegah.
Oleh yang demikian, adalah wajib mengelakkan diri daripada menyentuh babi sama ada dalam keadaan basah atau kering. Menyentuh babi dengan sengaja tanpa keperluan untuk berbuat demikian adalah haram dan berdosa. Menyentuh babi hanya diharuskan jika ada keperluan seperti untuk tujuan kajian, penyelidikan atau pembelajaran.
Kewajipan Sertu Apabila Bersentuhan Dengan Najis Mughallazhah
Orang yang menyentuh atau terkena najis mughallazhah (babi atau anjing), yang salah satunya dalam keadaan basah (sama ada orang yang menyentuh atau najis yang disentuh), maka diwajibkan ke atas orang yang menyentuh atau orang yang terkena najis itu melakukan sertu iaitu mencuci tempat yang terkena najis itu dengan tujuh kali cucian air yang salah satu daripadanya air yang dicampur dengan tanah. Begitu juga halnya apabila sesuatu benda menjadi bernajis disebabkan terkena babi atau anjing.
Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Suci bejana seorang di antara kamu, jika anjing menjilat di dalamnya, ialah dengan mencucinya tujuh kali cucian, salah satunya (air) bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:
Ertinya: Dan sesuatu benda yang menjadi bernajis kerana bersentuhan dengan sesuatu daripada anjing hendaklah dicuci tujuh kali cucian, salah satunya (air) dicampur dengan tanah. (Mughni al-Muhtâj: 1/136-137)
Walaupun penerangan hadits mengenai sertu hanya menyebutkan anjing, namun menurut pendapat al-azhhar, ia juga termasuk babi bahkan babi lebih jijik dan lebih buruk lagi daripada anjing kerana pengharamannya ditsabitkan oleh al-Qur’an dan disepakati oleh para ulama. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/254 dan Mughni al-Muhtâj: 1/137)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11906
