Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Hukum Perempuan Haidh Masuk Masjid

Soalan: Adakah benar jika kaum hawa yang uzur (datang bulan) boleh memasuki masjid?

Saya diberitahu bahawa seorang ustaz dari Mesir telah mengatakan sedemikian kerana menurutnya zaman sekarang telah terdapat berbagai-bagai peralatan canggih dengan ciri-ciri keselamatan dan perlindungan. Oleh itu, orang yang datang bulan boleh memasuki masjid.

Selama ini kita telah diajar bahawa haram hukumnya bagi orang yang datang haidh memasuki masjid, tetapi ustaz berkenaan telah mengatakan sebaliknya. Perkara ini amat mengelirukan saya.

Jawapan: Antara perkara-perkara yang haram dilakukan oleh orang yang berhadas besar termasuk perempuan haidh itu selain daripada membaca dan menyentuh al-Qur’an, mengerjakan sembahyang dan sebagainya ialah masuk lalu berhenti di dalam masjid.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu hampiri (mengerjakan) sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu (sedar dan) mengetahui apa yang kamu katakan. Dan (janganlah kamu masuk ke dalam masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), kecuali sekadar melintas sahaja sehinggalah kamu mandi (mengangkat hadas besar). (Surah an-Nisâ’: 43)

‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan yang haidh begitu juga orang yang berjunub.

(Hadits riwayat Abu Daud)

Walau bagaimanapun berdasarkan ayat al-Qur’an tersebut, perbuatan masuk masjid tanpa berhenti di dalamnya tidaklah diharamkan. Bahkan memasuki masjid dengan tujuan hanya sekadar melintas dari satu pintu ke pintu yang lain adalah diharuskan kerana ia tidak dikatakan berhenti di dalam masjid.

Adapun maksud tidak diharamkan melintas masjid itu bererti tidak juga dimakruhkan, bahkan harus melintas di dalamnya jika orang yang melintas itu mempunyai tujuan atau sebab tertentu seperti melintas dalam masjid itu merupakan jalan pintas bagi seseorang menuju ke tempat tujuannya. Namun jika dia tidak mempunyai tujuan, tetapi hanya sekadar untuk melintas semata-mata, maka perbuatanya itu adalah makruh.

Manakala jika dia takut akan mengotori atau mencemarkan kebersihan masjid tersebut, maka melintas di dalamnya adalah haram, sebaliknya jika dia tidak takut dan benar-benar yakin tidak akan mengotori masjid, maka ini tertakluk kepada dua keadaan iaitu, jika dia mempunyai tujuan maka harus dia melintas di dalamnya, tetapi jika dia tidak mempunyai sebarang tujuan, maka melintas di dalamnya adalah makruh.

Larangan tersebut tidak hanya dikhususkan kepada orang yang berhadats besar seperti orang yang berjunub, perempuan yang nifas dan haidh sahaja, malah ia merangkumi sesiapa sahaja yang sentiasa dalam keadaan berhadats yang meragui dan takut akan mengotori kebersihan masjid seperti perempuan yang istihâdhah, orang cedera yang lukanya banyak, penyakit sentiasa berkencing dan seumpamanya. Namun bagi mereka ini, kecuali perempuan yang haidh, tidaklah makruh melintas di dalam masjid jika diyakini tidak akan mengotori masjid, tidak kira sama ada mereka itu mempunyai tujuan untuk melintas ataupun tidak. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 1/454, Nihâyah al-Muhtâj: 1/328, Mughni al-Muhtâj: 1/216 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 1248)

Daripada dua dalil di atas jelas menunjukkan bahawa orang yang berhadats besar adalah diharamkan berhenti di dalam masjid kecuali ada keuzuran yang mendesak, seperti seorang yang bermimpi (keluar mani) di dalam masjid dan dia tidak dapat keluar dari masjid kerana terkunci di dalamnya atau seseorang yang berlindung di dalam masjid daripada bahaya yang boleh memudharatkan diri, tubuh badan dan hartanya jika dia keluar dari masjid. Maka dalam hal sedemikian, tidak diharamkan baginya untuk berhenti di dalam masjid disebabkan oleh keuzuran yang mendesak itu dan diwajibkan dia bertayammum jika tidak terdapat air. (Mughni al-Muhtâj: 1/216)

Larangan haram masuk dan berhenti di dalam masjid merangkumi semua keadaan kecuali dalam keadaan dharurat. Oleh itu, sekalipun seseorang itu yakin tidak akan mengotori masjid seperti perempuan haidh yang memakai tuala wanita dan yakin darahnya tidak akan menitis atau perempuan haidh yang darahnya telah kering tetapi belum mandi hadats, dia tetap diharamkan masuk dan berhenti di dalam masjid kerana dia masih dihukumkan haidh. Hanya sekadar melintas lalu di dalam masjid sahaja yang diharuskan baginya. Itupun jika dia merasa yakin bahawa darah haidhnya tidak akan mencemarkan masjid tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11910