Kambing Boer
Soalan: Bolehkah kambing jenis baka boer berumur 1 tahun yang memenuhi syarat telah tanggal gigi hadapannya, mempunyai badan yang besar dan telah matang dijadikan korban atau aqiqah?
Jawapan: Dalam ibadat korban dan aqiqah, syara‘ telah menjelaskan jenis-jenis binatang yang sah dijadikan korban dan aqiqah, umur binatang yang dijadikan korban dan aqiqah, aib binatang yang tidak boleh dijadikan korban dan aqiqah, niat dan cara memakan, mengagihkan, menyedekahkan daging korban dan aqiqah.
Binatang Yang Sah Dijadikan Korban
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, tidak sah dijadikan korban kecuali unta, lembu, kerbau atau kambing. (Hawâsyi asy-Syeikh asy-Syarwani wa Ibn al-Qasim: 9/405)
Imam ar-Ramli Rahimahullâh juga menyebutkan ketika menjelaskan perkataan Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam al-Minhâj:
Ertinya: [Dan tidak sah] iaitu korban [kecuali daripada unta, lembu] ‘irâbi atau kerbau [kambing] dha’n (sheep) atau ma‘z (goat). (Nihâyah al-Muhtâj: 8/132)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan lagi dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Syarat diberi ganjaran dalam melakukan korban hendaklah (dia berkorban) daripada binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing, sama ada semua jenis unta daripada Bakhâtiy dan ‘Irâbi, semua jenis lembu daripada kerbau, ‘Irâbi dan Farsi dan semua jenis kambing daripada dha’n (sheep), ma‘z (goat) dan jenis-jenis kedua-duanya. (Al- Majmû‘: 8/364)
Umur Binatang Korban
Disyaratkan binatang yang sah dijadikan korban ialah cukup umur lima tahun masuk tahun keenam bagi unta.
Disyaratkan bagi lembu, kerbau dan ma‘z (goat) cukup umur dua tahun masuk tahun ketiga dan disyaratkan bagi dha’n (sheep) cukup umur setahun masuk tahun kedua atau gugur gigi sebelum cukup umur setahun kerana pada ketika itu menunjukkan peringkat kematangannya. (Hawasyi asy-Syarwani wa ibn al-Qasim: 9/404, Nihâyah al-Muhtâj: 8/133)
Telah diriwayatkan daripada Ummi Bilal sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kamu lakukanlah korban dengan al-jadza‘ (cukup umur setahun) daripada dha’n (sheep), sesungguhnya ia adalah harus. (Hadits riwayat Ahmad)
Al-jadza‘ daripada dha’n (sheep) menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e ialah dha’n (sheep) yang berumur cukup sempurna satu tahun. Jika tidak cukup umur satu tahun akan tetapi gugur giginya maka memadai juga dijadikan korban. (Syarh Shahîh Muslim: 13/124 dan al-Majmû‘: 8/365)
Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu menyembelih (binatang korban) kecuali binatang yang cukup umur (dua tahun) kecuali susah ke atas kamu, maka kamu sembelihlah jadza‘ah (cukup umur setahun) daripada dha’n (sheep). (Hadits riwayat Muslim)
Jumhûr ulama mentafsirkan bahawa hadits di atas menunjukkan sunat dan afdhal menjadikan al-musinnah itu sebagai korban dan harus juga menjadikan jadza‘ah daripada dha’n (sheep) sebagai sembelihan korban, sama ada bagi orang yang mampu berkorban dengan al-musinnah atau tidak, atau sama ada memiliki al-musinnah atau tidak. (Syarh Shahîh Muslim: 13/124)
Menurut ulama fiqh bahawa al-musinnah ialah ats-tsaniyyah iaitu binatang yang cukup umurnya dua tahun dan ke atas bagi unta, lembu atau kerbau dan kambing. (Syarh Shahîh Muslim: 13/123)
Salah seorang ulama asy-Syafi‘iyyah, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa cukup umur bagi unta ialah cukup lima tahun dan masuk tahun keenam.
Adapun cukup umur bagi lembu ialah cukup dua tahun dan masuk tahun ketiga.
Adapun cukup umur daripada ma‘z (goat) pada pendapat yang ashah ialah cukup dua tahun. (Al-Majmû‘: 8/364-365)
Daripada penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa ada perbezaan dalam penentuan umur binatang korban termasuk perbezaan umur di antara kambing yang dinisbahkan sebagai ma‘z (goat) dan dha’n (sheep). Iaitu disyaratkan bagi jenis ma‘z (goat) ialah cukup umur dua tahun, manakala bagi jenis dha’n (sheep) cukup umur setahun atau gugur gigi sebelum cukup umur setahun.
Menurut keterangan pakar veteriner, boer adalah baka kambing campuran atau kacukan yang digolongkan ke dalam spesies daripada ma‘z (goat) bukan spesies daripada dha’n (sheep). (Hasil penerangan daripada perjumpaan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Kerajaan bersama pegawai pakar bahagian haiwan di Syarikat Mulaut Abattoir)
Oleh kerana kambing boer itu termasuk dalam spesies ma‘z (goat) maka kambing boer yang sah dijadikan binatang korban ialah apabila berumur cukup dua tahun masuk tahun ketiga.
Begitu juga bilangan umur kambing boer jika hendak dijadikan aqiqah, kerana perbincangan aqiqah adalah sama dalam penjelasan umur dan jenis binatang yang dijadikan korban. (Tuhfah al-Muhtâj: 4/266)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11914
