Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Membaca Al-Qur’an Dan Menziarahi Orang Yang Meninggal Dunia: Yang Mana Diutamakan?

Soalan: Sudah menjadi amalan kami para jemaah masjid membaca al-Qur’an secara bertadârus selepas sembahyang Subuh. Sekiranya ditakdirkan berlaku kematian di kampong ini:

1. Adakah harus kami meneruskan bacaan al-Qur’an kami ini atau sebaliknya menziarahi ahli keluarga yang terkena musibah tadi?

2. Atau meneruskan pembacaan al-Qur’an dengan diniatkan pahala bacaan tersebut kepada si mati.

3. Bagaimana kedudukan kami jika didapati keluarga yang mendapat musibah kematian ini belum mempunyai kelengkapan atau persediaan bagi menyempurnakan jenazah, (sedangkan kami tidak menziarahi dengan alasan terlalu awal kerana ditakuti menjadi gangguan kepada keluarga si mati atau menjaga privacy atau berpendapat sudah ada penggapai yang akan memeduli hal-hal seumpama ini).

Jawapan: Sememangnya telah menjadi amalan masyarakat kita untuk mengunjungi saudara kita yang ditimpa musibah kematian dan amalan ini sangat digalakkan dalam Islam. Secara tidak langsung ia juga akan dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama Islam dan sedikit sebanyak akan dapat meringankan kesedihan yang menimpa ahli keluarga si mati kerana keprihatinan yang diberikan daripada orang sekelilingnya ketika mereka menghadapi musibah.

Ucapan Ta‘ziah Kepada Keluarga Si Mati

Antara perkara yang disunatkan ke atas umat Islam ialah menziarahi ahli keluarga si mati dan mengucapkan ta‘ziah kepada mereka.

Ta‘ziah bermaksud menyuruh seseorang bersabar dan mengingatkan dengan apa yang dapat menenangkan atau menghiburkan ahli keluarga si mati, meringankan kesedihan dan membantunya ketika ditimpa musibah. (Kitab al-Adzkâr: 196-197)

Mengucapkan ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah dituntut dalam Islam, bahkan ia tergolong di dalam al-amr bi al-ma‘rûf dan an-nahy ‘an al-munkar dan termasuk dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan di dalam membuat perkara kebajikan dan taqwa. (Surah al-Mâi’dah: 2)

Bahkan perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al- ‘Ash Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Kami pernah mengebumikan mayat bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Setelah selesai Baginda pulang dan kami pun pulang bersamanya. Apabila Baginda menghampiri pintu rumah, Baginda berhenti. Ternyata kami mendapati seorang perempuan datang dari arah bertentangan. Berkata ‘Abdullah: “Aku rasa Baginda mengenali perempuan itu.” Apabila perempuan itu datang, ternyata dia adalah Fatimah. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fatimah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Apakah yang menyebabkan kau keluar dari rumahmu wahai Fatimah?” Fatimah menjawab: “Wahai Rasulullah, saya telah datang (menziarahi) ahli keluarga rumah ini, maka saya telah mendo‘akan kerahmatan bagi mereka untuk mayat mereka atau aku mengucapkan ta‘ziah (bersimpati) kepada mereka dengan (kematian)nya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan tentang ganjaran bagi orang yang mengucapkan ta‘ziah.

Daripada Muhammad bin ‘Amru bin Hazam Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiadalah seorang mu’min yang mengucapkan ta‘ziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhânahu memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Mengingatkan Kepada Kematian Amalan menziarahi jenazah ini juga dituntut kerana ia merupakan salah satu cara untuk mengingatkan seseorang itu kepada kematian. Selain itu, melaluinya juga dapat memberi keinsafan dan kesedaran bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal. Kematian boleh sahaja datang menjemputnya pada bila-bila masa. Secara tidak langsung, amalan menziarahi jenazah itu akan mengingatkan diri kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjadi dorongan agar segera bertaubat dan menginsafi segala kesalahan, dan menjadikannya sentiasa mentaati perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sentiasa berbuat kebajikan dan menjauhi laranganNya.

Tuntutan agar setiap individu mengingati mati ini ada disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Antaranya ialah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Ibnu Mas‘ud berkata: “Kami berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami benar-benar malu dan segala pujian bagi Allah.” Lalu Baginda menjawab: “Bukan itu, akan tetapi malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya ialah kamu menjaga kepala dan apa yang ada padanya (telinga, mata dan lidah), menjaga perut dan apa yang terkandung padanya (hati dan kemaluan), dan kamu ingat akan mati dan kesusahan. Dan sesiapa menghendaki (kesenangan) akhirat maka dia meninggalkan kesenangan dunia. Maka sesiapa yang berbuat demikian, dialah orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Banyakkanlah ingatan kepada pemutus keni‘matan )yakni mati). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Ini kerana dengan mengingat kepada kematian akan mendorong seseorang itu sentiasa bersiap sedia menghadapi Hari Akhirat. Sebaliknya orang yang lalai daripada mengingat mati akan sentiasa sibuk dengan kepentingan dunia.

Membantu mengurus atau menyempurnakan jenazah merupakan satu amalan yang dituntut, kerana ia bukan sahaja dapat menimbulkan keinsafan dan kesedaran dalam diri kita, tetapi kita telah menyempurnakan salah satu tuntutan syara‘ iaitu menyempurnakan jenazah.

Membantu ahli keluarga si mati dalam menguruskan jenazah dan perkara yang berkaitan dengannya akan dapat meringankan pekerjaan mereka dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan mereka.

Amalan saling bantu-membantu terutamanya apabila berlakunya kesusahan sangat dituntut dalam Islam bahkan akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadits, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan satu kesusahan seorang mu‘min daripada kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang menutupi (aib) seorang Muslim, Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan di akhirat. Dan Allah akan selalu menolong seorang hamba(Nya), selama mana hamba(Nya) itu menolong saudaranya. ” (Hadits riwayat Muslim)

Membaca Al-Qur’an Secara Berkumpulan

Membaca al-Qur’an secara berjemaah atau berkumpulan adalah mustahabbah, di mana para pembacanya akan membaca secara bergilir-gilir dengan didengarkan oleh yang lain. Amalan ini sangat dianjurkan dalam Islam dengan dalil-dalil yang nyata dan dengan bukti perbuatan daripada orang-orang terdahulu (as-salaf) dan juga orang-orang sesudah mereka (al-khalf). (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 79-80)

Bahkan perkara ini nyata disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidaklah suatu kaum itu yang berkumpul di sebuah rumah daripada rumah-rumah Allah, yang membaca Kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenteraman, dan rahmat menyelubungi mereka, serta para malaikat mengelilingi mereka dan Allah sentiasa ingat kepada mereka yang berada di sisiNya. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits yang lain daripada Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah datang kepada satu halaqah yang dihadiri oleh sahabat-sahabat Baginda. Lalu Baginda bertanya: “Apakah yang menyebabkan kamu duduk sebegini?” Mereka menjawab: “Kami duduk berkumpul di sini untuk berzikir (mengingat) Allah dan memujiNya atas hidayahNya yang menunjukkan kami kepada agama Islam dan telah mengurniakan kami ni‘mat Islam itu. Rasulullah bersabda: “Allah! Apakah hanya untuk itu kamu duduk berkumpul di sini?” Mereka menjawab: “Demi Allah, tidaklah kami duduk di sini kecuali untuk itu (berzikir kepada Allah).” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adapun sesungguhnya aku sama sekali tidak mempunyai persangkaan buruk terhadap kamu (dengan pertanyaanku). Tetapi Jibril telah mendatangi aku maka dia mengkhabarkan kepadaku, bahawa sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla membanggakan kamu di hadapan para malaikat.” (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

Membaca al-Qur’an juga merupakan bentuk zikir, mengingatkan kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Apatah lagi apabila ia dijadikan amalan seharian, seseorang itu akan beroleh fadhilat dan ganjaran yang besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Ganjaran bagi orang yang membaca al-Qur’an ini banyak disebutkan dalam al-Qur’an dan juga hadits. Antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan satu perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. (Surah Fâthir: 29)

Manakala disebutkan dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Qur’an), maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu berganda sampai sepuluh kali ganda (kebaikan seumpamanya). Aku tidak mengatakan Alif-Lâm-Mîm (اَل) itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, dan Lâm satu huruf dan Mîm satu huruf. (Hadits riwayat at-Timidzi)

Dalam hadits yang lain pula ada menyebutkan bahawa al-Qur’an itu akan menjadi syafaat di Hari Kiamat. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesugguhnya ia akan menjadi penolong (menjadi syafaat) kepada pembacanya di Hari Kiamat kelak. (Hadits riwayat Muslim)

Maka daripada dalil-dalil ini orang yang membaca al-Qur’an, sama ada berseorangan atau berjemaah sangat digalakkan, bahkan ganjaran serta fadhilat yang diperolehi daripadanya sangat besar dan tidak ternilai.

Yang Mana Lebih Diutamakan: Menziarahi Orang Meninggal Dunia Atau Membaca Al-Qur’an?

Jika kita perhatikan, kedua-dua amalan ini sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. Setakat ini belum ditemui nash yang khusus menyatakan mana yang lebih utama di antara keduanya.

Namun melihat kepada hadits-hadits berikut mengenai hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain yang salah satunya ialah mengiringi jenazah, dan juga hadits mengiringi jenazah dan sembahyang ke atasnya serta turut mengebumikannya, akan mendapat pahala dua qîrâth, tidakkah ini satu isyarat jelas betapa kuatnya tuntutan syara‘ untuk ‘mengalinga’ (mengambil berat) atau prihatin terhadap jenazah itu? Sedang membaca al-Qur’an masih saja boleh ditangguh atau ditunda masanya, namun tidak begitu halnya pada mengurus jenazah yang sangat dituntut untuk disegerakan.

Lihat hadits ini, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain itu lima perkara: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan dan mendo‘akan (mengucapkan tasymît) kepada orang yang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mengiringi jenazah seorang Muslim kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), dan dia bersama jenazah tersebut sehingga disembahyangkan dan selesai dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat ganjaran dua qîrâth, setiap satu qîrâth itu umpama bukit Uhud. Dan barang siapa yang menyembahyangkan jenazah kemudian dia pulang sebelum jenazah itu dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat satu qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam kitab Fath al-Bâri, Ibnu al-Jauzi menaqalkan daripada Ibnu ‘Aqil bahawa kadar qîrâth itu ialah ganjaran bagi perkara yang berkaitan dengan jenazah iaitu dalam menguruskannya, memandikannya dan selainnya. Maka orang yang turut menyembahyangkannya mendapat satu qîrâth dan bagi siapa yang menyaksikan pengebumiannya pula satu qîrâth. (Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 3/552) Setiap satu qîrâth itu diumpamakan seperti bukit Uhud.

Dalam hadits yang lain riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim Rahimahumallâhu Ta‘âlâ yang mempunyai maksud yang sama seperti hadits di atas, dua qîrâth itu diumpamakan seperti dua bukit yang sangat besar. (Shahîh al-Bukhari: 1/445, Shahîh Muslim bi Syarh Imam an- Nawawi: 4/2625)

Selain itu menyempurnakan jenazah, dari mula dia dimandikan hinggalah selesai dikebumikan merupakan salah satu kewajipan fardhu kifâyah, yang diwajibkan ke atas sekalian umat Islam. Jika ia dikerjakan oleh sebahagian umat Islam atau salah seorang daripada orang Islam, maka gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain dan jika ia ditinggalkan oleh sekalian umat Islam maka sekalian umat Islam akan menanggung dosanya.

Maka berkenaan dengan soalan yang diajukan penyoal, dan berdasarkan keterangan di atas adalah lebih wajar bagi para jemaah masjid menziarahi si mati setelah waktu yang difikirkan sesuai (jika takut mengganggu ahli keluaraga si mati jika datang terlalu awal) ataupun mengikut waktu kebiasaan penduduk di sana untuk memastikan ada pihak yang menyempurnakan jenazah berkenaan bagi memenuhi tuntutan fardhu kifâyah.

Tindakan para jemaah lewat menziarahi keluarga tersebut kerana berfikiran mereka telah mempunyai kelengkapan yang cukup ataupun beranggapan telah ada orang yang menguruskan semua perkara tersebut adalah tidak wajar dijadikan alasan, kerana pada hakikatnya keluarga si mati memang memerlukan pertolongan untuk menyempurnakan jenazah berkenaan. Mengurus jenazah itu adalah perkara wajib (fardhu kifâyah). Jika tidak dilaksanakan, semuanya akan berdosa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11918