Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Membinkan Anak Angkat

Soalan: Disebabkan sifat khianat dan iri hati saya sering dihina dan dihebohkan sebagai anak tidak sah taraf. Adakah apa-apa cara untuk saya menutup keaiban ini? Berbinkan Abdullah merupakan sebaik-baik nama tetapi ia juga melambangkan kehinaan kerana secara lazimnya diketahui sebagai anak haram.

Bolehkah saya berbinkan nama ayah angkat memandangkan beliau merupakan nenek lelaki saya. Diharapkan perkara ini akan mendapat perhatian daripada pihak Pehin kerana celaan, makian dan penghinaan yang pernah diterima amat tidak tertanggung bebannya sehingga saya berfikir lebih baik tidak dilahirkan daripada menjadi mangsa hinaan tersebut.

Contoh (Amir bin Abdullah), nama ayah angkat (Amar), bolehkah (Amir bin Amar) atau (Amir Amar) sahaja atau (Amir bin Abdullah@Amar) atau memohon menukar nama menjadi (Amir Amar bin Abdullah) dan seterusnya dapat dibuat di dalam kad pengenalan?

Jawapan: Sebaik-baik nama yang disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. Ini berdasarkan hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik nama yang disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan disunatkan mengelokkan nama-nama dan sebaik-baik nama adalah ‘Abdullah kemudian ‘Abdul Rahman. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/148)

Persoalan yang ditanyakan di atas menjelaskan bahawa seorang anak yang tidak sah taraf atau anak luar nikah ingin menukar atau menambah nama keduanya bagi tujuan menyamakan dengan nama yang telah dibinkan kepada bapa angkat, sebagai contoh sepertimana yang telah dikemukakan oleh penanya:  Nama asal anak tidak sah taraf ialah: ▪ AMIR BIN ABDULLAH.  Nama bapa angkat ialah: ▪ AMAR  Kemudian, Amir ingin menukar nama bapanya (Abdullah) dibinkan kepada nama ayah angkatnya (Amar), menjadi: ▪ AMIR BIN AMAR atau,  Amir ingin menambah nama keduanya menjadi: ▪ AMIR AMAR atau,  Amir menambah nama ayah angkatnya selepas nama Abdullah iaitu menjadi: ▪ AMIR BIN ABDULLAH@AMAR atau menukar nama menjadi: ▪ AMIR AMAR BIN ABDULLAH. Perlu diketahui bahawa membinkan atau membintikan anak kepada bapa angkat hukumnya adalah haram. Ini jelas berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu (dengan berbinkan) kepada bapa-bapa mereka sendiri, itu yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka maka mereka itu adalah saudara-saudara kamu seagama dan sebagai ‘maulâ-maulâ’ kamu. Dan bukanlah suatu dosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi (berdosa melakukan) apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Ahzab: 5) Pengharaman menasabkan seseorang yang bukan daripada keturunannya kepada dirinya ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘d bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya.

Maka, menambah dan menukar kesemua nama seperti contoh di atas adalah dilarang dalam syariat Islam dan perbuatan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan kesamaran terhadap nasab atau keturunan anak tidak sah taraf tersebut iaitu AMIR. Perbuatan tersebut bukan sahaja menyembunyikan nasab sebenar bahkan termasuk sebagai perbuatan menipu keturunan jika digunakan dalam pelbagai urusan seperti perwalian nikah, hal ehwal pusaka dan pergaulan dalam batas atau had menutup aurat. Oleh kerana itu, menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘.

Tidak berbangkit soal aib mengaibkan di sini. Allah adalah Maha Bijaksana menentukan hukum sesuatu itu. Kita manusia memang begitu, selalu tidak selesa dengan hukum-hukum Allah. Macam-macam alasan dan kerenah dibuat-buat orang. Lihat saja contoh hukum “menutup aurat”, berapa peratus orang Islam yang mematuhinya dan berapa peratus pula tidak? Rasa-rasanya yang tidak mematuhi itu adalah jauh lebih tinggi peratusnya. Macam-macam alasan mereka itu, ada yang kata rimas, panas, sukar bila membuat kerja dan macam-macam lagi. Malah, mungkin juga ada yang malu memakainya. Semua itu adalah alasan-alasan yang tidak sihat yang tidak berasas sama sekali tetapi tetap juga dijadikan alasan. Maka begitulah dengan persoalan yang ditanyakan ini tidak hairan ada angan-angan orang menganggapnya sebagai menyakiti, mengaibkan dan seumpamanya, padahal di sisi Allah ia adalah rahmat dan keadilan untuk manusia sendiri.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11922