Pakaian Renang Muslimah
Soalan: Pusat Da’wah Islamiah melalui Unit Media Elektronik, Bahagian Penyebaran Da’wah bercadang untuk mempromo “Baju Renang Muslimah” sebagai bahan dalam rancangan kelolaan Pusat Da’wah Islamiah dan terbitan bersama Radio Televisyen Brunei.
Oleh yang demikian sebelum promo itu dilaksanakan, Pusat Da’wah Islamiah ingin mendapatkan fatwa, bagaimanakah “Baju Renang Muslimah” yang sebenar menurut kehendak Islam?
Jawapan: Pakaian adalah antara perkara asasi dalam hidup manusia. Selain sebagai keperluan asasi ia juga boleh menjadi ukuran keperibadian seseorang dan menjadi lambang atau pengenalan bagi diri individu tersebut, bahkan identiti suatu bangsa.
Dalam Islam pakaian berkait langsung dengan kewajipan menutup aurat, kerana Islam menuntut umatnya tidak kira lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat dengan pakaian mereka. Perkara ini telah tsabit berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan juga ijmâ‘ para ulama.
Corak atau fesyen pakaian itu mungkin sahaja berbeza-beza berdasarkan tempat dan zaman. Bahkan pada zaman ini, terdapat berbagai bentuk dan jenis pakaian yang dipakai khusus untuk melakukan tugas atau aktiviti tertentu. Namun apa yang penting dalam Islam ialah pakaian mestilah menepati maksud menutup aurat sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Ini termasuklah pakaian bagi kaum wanita Islam, sama ada yang dipakai untuk bekerja, menghadiri majlis, bersukan atau sebagainya.
Pakaian Yang Menutup Aurat Menurut Syara‘
Sebagaimana diketahui umum, aurat perempuan di hadapan lelaki yang bukan mahramnya ialah seluruh anggota tubuh badan melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga dua pergelangan tangannya. Namun dalam keadaan tertentu jika membuka muka itu boleh mendatangkan fitnah atau membawa tidak aman atau tidak selamat bagi perempuan, maka menutup muka itu juga adalah wajib. Tuntutan menutup aurat ini wajib sama ada di dalam mahupun di luar sembahyang. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/185, 187, 3/409, Mughni al-Muhtâj: 1/285, Bujairimi ‘ala al-Khathib: 1/580, Kitab al-Majmû‘: 3/170-171, Nihâyah al-Muhtâj: 2/5-7, al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân li al-Qurthubi: 11/171-174)
Untuk memenuhi tuntutan menutup aurat, para ulama telah menggariskan ciri-ciri pakaian wanita Muslimah berpandukan al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
i. Pakaian seorang wanita Islam itu hendaklah menutup seluruh anggota badannya, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga dua pergelangan tangan.
ii. Pakaian yang dipakai itu hendaklah tebal, dengan maksud tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit ataupun berlubang-lubang sehingga menampakkan aurat yang sepatutnya ditutup.
iii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat sehingga boleh menampakkan bentuk atau susuk tubuh badan, seperti menampakkan bentuk buah dada, perut, punggung dan anggota yang lain yang boleh mendatangkan fitnah.
iv. Pakaian perempuan itu hendaklah bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki.
v. Pakaian itu hendaklah bukan pakaian yang menyerlah dan bergaya yang boleh menarik perhatian orang lain sehinggakan boleh mendatangkan fitnah dan syahwat kepada orang yang memandangnya.
(I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/185, Mughni al-Muhtâj: 1/286, Kitab al-Majmû‘: 3/176, al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân li al-Qurthubi: 14/178-180, Sunan Abu Daud: 4/27-29, Sunan Ibnu Majah: 18/2: 1192-1193)
Cara Bertudung Menurut Syara‘
Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudung kepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:
i. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bahkan ia hendaklah juga menutupi atau menyembunyikan bahagian dada.
ii. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.
(Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân li al-Qurthubi: 11/175, Tafsir al-Fakhr ar-Razi: 13/207, I‘ânah ath-Thâlibin: 1/185)
Pakaian Aktiviti Renang
Adalah harus kaum wanita melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat pada diri seperti bersukan/beriadah atau seumpamanya. Namun dalam melakukan apa jua aktiviti sukan atau riadah, seorang yang beragama Islam tetaplah dituntut untuk menjaga ketetapan syara‘ ini.
Termasuk pakaian yang dipakai untuk aktiviti renang mestilah juga turut menepati maksud menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan.
Satu persoalan, katakan pakaian aktiviti renang itu dapat menutupi bahagian aurat, tetapi apakah ia boleh memenuhi maksud menutup aurat yang sebenar-benarnya menurut syara‘?
Oleh kerana sifat pakaian yang dipakai apabila ia basah akan melekat ke tubuh badan dan sekaligus menampakkan susuk tubuh, maka apakah pakaian yang dipakai untuk aktiviti renang seperti ini boleh memenuhi maksud menutup aurat? Jika tidak, bererti ia tetap ditegah, apatah lagi kalau ia diadakan di tempat-tempat terbuka kepada umum.
Ini bermakna dalam aktiviti renang bukan hanya pakaian yang menutup aurat sahaja perlu diambil kira, bahkan persekitaran tempat aktiviti itu diadakan juga perlu diberi perhatian.
Sehubungan dengan itu, maka pakaian renang yang dipohonkan fatwa mengenainya hanya sesuai digunakan di tempat tertutup atau khusus misalnya di kolam renang yang dikhususkan untuk kaum wanita sahaja tanpa kehadiran lelaki asing. Ia juga tidak wajar untuk dilabel atau dipromosikan sebagai ‘Pakaian Renang Muslimah’ atau yang seumpamanya kerana nama atau label seumpama itu akan mengelirukan orang ramai bahawa pakaian renang itu boleh digunakan sewenang-wenang, sedangkan pada hakikatnya ia masih tidak memenuhi tuntutan menutup aurat sebagaimana dikehendaki syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11926
