Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Pembinaan Sekolah Agama Di Atas Tapak Tanah Dan Bangunan Sekolah Ugama Surau Kampong Kiulap

Soalan: Sekolah Ugama Surau Kampong Kiulap mula digunakan pada 02hb. Januari, 1996 atas persetujuan Ahli Jawatankuasa Surau untuk menyerahkan bangunan surau kepada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk dijadikan sekolah agama bagi kemudahan pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan kampung berkenaan.

Surau Kampong Kiulap mula dibina pada tahun 1983 di tapak tanah Lesen Tumpang Sementara atas nama Ketua Kampong Kiulap pada ketika itu dengan bantuan derma orang ramai dan diusahakan pembesarannya oleh Jawatankuasa Surau secara berperingkat-peringkat. Sejak dari itu segala kegiatan sembahyang fardhu berjemaah dan sembahyang Jumaat diadakan di surau berkenaan sehinggalah terbinanya Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah pada tahun 1994.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa daripada Pehin berhubung pembinaan sekolah agama baru di atas tapak tanah dan bangunan Surau Kiulap (untuk diroboh bagi membangun struktur bangunan sekolah baru).

Jawapan: Isu yang ditanyakan mempunyai kaitan dengan fatwa bilangan 20/95 bertarikh 28hb. Safar 1416 bersamaan 26hb. Julai 1995, yang bertajuk “Menjadikan Surau Kampong Kiulap Sebagai Sekolah Ugama” yang antaranya menyatakan:

“……Surau yang dibina hasil kutipan derma orang ramai itu hendaklah dikekalkan sebagai surau, kerana orang ramai mengeluarkan derma berkenaan adalah dengan niat untuk membangun surau yang digunakan oleh orang ramai sembahyang di dalamnya. Jika ia diubah suai untuk dijadikan ia sebuah sekolah agama dengan membuat bilik-bilik darjah yang diisi dengan kursi, meja, papan tulis dan sebagainya, maka yang demikian adalah mengubah tujuan asal iaitu orang ramai yang menderma untuk membuat surau, sedangkan niat dan tujuan derma dikumpulkan hendaklah dipatuhi.”

Adapun untuk menggunakan surau berkenaan sebagai tempat belajar ilmu-ilmu agama Islam, membaca al-Qur’an, ibadat, kerja-kerja kebajikan dan sebagainya adalah tidak dilarang bahkan adalah lebih baik.

Maka dalam hal ini, sebagai saranan surau tersebut boleh digunakan sebagai tempat pelajar-pelajar belajar di dalamnya dengan tidak mengubah keadaan asal surau berkenaan. Dan juga sekiranya diperlukan pemisahan-pemisahan di antara pelajar-pelajar berkenaan bolehlah menggunakan alat-alat yang boleh dipindah alihkan bila dikehendaki seperti dinding angin dan sebagainya. Ini bererti bila-bila masa dinding tersebut boleh dipindahkan dan surau berkenaan dapat digunakan seperti asalnya bila-bila masa dikehendaki.”

Perlu dijelaskan bahawa fatwa tersebut difatwakan adalah dengan mengambil kira akan fungsi surau tersebut sebagai tempat mengerjakan ibadat harian sembahyang berjemaah fardhu lima waktu. Aktiviti kelas muqaddam dan al-Qur’an bagi murid-murid sekolah dan kelas al-Qur’an bagi perempuan dewasa masih boleh diadakan dan diteruskan oleh penduduk kampung terbabit sekalipun pada waktu itu telah dirasmikan penggunaan Jame‘ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang berdekatan dengannya pada 15hb. Julai 1994. Cuma sembahyang fardhu Jumaat sahaja ditiadakan di surau tersebut dan kelas al-Qur’an dan Dikir Syarafil Anam Orang Dewasa dipindahkan ke Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Walau bagaimanapun keadaan sudah berubah. Surau tersebut tidak lagi berfungsi sebagaimana tujuan asal urusan derma ke seluruh negeri diselenggarakan iaitu sebagai untuk tempat mendirikan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat. Pada ketika ini segala aktiviti surau tersebut juga telah dipindahkan ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah setelah bangunan sekolah dibuka dan nama surau ditukar kepada Sekolah Ugama Surau Kampong Kiulap pada 02hb. Januari 1996.

Sehubungan dengan itu, mengambil kira semua perkembangan yang ada terutama pihak yang berkepentingan dengan surau tersebut iaitu penduduk kampung tidak lagi meneruskan dan menjalankan aktiviti sembahyang Jumaat dan lima waktu di surau tersebut setelah bangunan sekolah dibuka dan nama surau ditukar kepada Sekolah Ugama Surau Kampong Kiulap pada 02hb. Januari 1996, maka tidak ada halangan menurut hukum syara‘, fungsi bangunan surau tersebut ditukar kepada lain-lain fungsi atau diroboh bagi kegunaan lain dan sebagainya. Dengan demikian langkah tersebut dapat seterusnya mengelakkan surau yang dibina hasil daripada derma orang ramai itu menjadi sia-sia, terbiar begitu sahaja dan tidak berfungsi langsung.

Jika dalam perkara waqaf, apabila dalam keadaan dharûrah, syarat pewaqaf boleh tidak dipatuhi dengan matlamat agar waqafnya itu tidak menjadi sia-sia kerana tidak berfungsi, maka mengubah fungsi derma itu adalah ia lebih harus lagi, kerana hukum-hakam mengenai derma itu tidaklah seketat berbanding dengan hukum-hakam mengenai waqaf.

Oleh yang demikian hasrat pihak yang berkepentingan iaitu penduduk-penduduk surau kampung tersebut melalui Ahli Jawatankuasa Surau Kampung yang telah bermuafakat dan bersetuju menyerahkan bangunan tersebut kepada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk dijadikan sekolah agama dan hasrat Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk membina sekolah agama baru di atas tanah dan bangunan Surau Kiulap (dengan merobohnya bagi membangun struktur bangunan sekolah yang baru), adalah tidak bercanggah dengan hukum syara‘.

Dibawakan persoalan waqaf di sini, kerana Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada berkata di dalam fatwanya:

Ertinya: Sesungguhnya bab wasiat, waqaf dan sedekah (derma) adalah dari lubuk yang satu. (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 3/366)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11930