Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Permasalahan Sedekah

Soalan: Saya ada kemusykilan mengenai sedekah. Seorang hamba Allah mengatakan haram hukumnya memberi dan menerima sedekah jika penerima sedekah itu bukan fakir miskin. Islam menggalakkan kita bersedekah apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia. Apakah bersedekah makanan yang dimasak kepada jiran sebelah itu juga dihukumkan haram? Bagaimana pula sedekah yang diberi oleh rakan, sahabat atau saudara kepada seseorang Muslim yang akan menunaikan fardhu haji?

Jawapan: Sedekah ialah sesuatu yang disumbangkan kepada orang yang memerlukan atas dasar mendekatkan diri kepada Allah tanpa mengharapkan imbalan atas sesuatu yang diberikan dengan harapan mendapat pahala di akhirat. Sumbangan itu sama ada berupa harta atau khidmat seperti mengajar, membuang duri yang ada di jalan dan sebagainya.

Berdasarkan pengertian tersebut, dapatlah difahami bahawa apa juga jenis pemberian yang berupa mata benda atau perkhidmatan tanpa mengharapkan imbalan atas pemberian tersebut melainkan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka itulah disebut sebagai sedekah.

Sedekah Sunat

Menghulurkan sedekah sunat (at-tathawwu‘) adalah satu amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan oleh agama Islam pada bila-bila waktu lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, kerana bersedekah pada bulan Ramadhan itu adalah waktu yang paling afdhal dilakukan oleh umat Islam. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang kaya, malahan orang-orang yang berpendapatan rendah pun dianjurkan menurut kadar kemampuan masing-masing. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apa jua harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (pahalanya) untuk diri kamu sendiri. Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan kamu pula tidak dianiaya (tidak dikurangkan pahala). (Surah al-Baqarah: 272)

Kelebihan Sedekah

Terdapat banyak ayat dalam al-Qur’an dan hadits yang menerangkan tentang kelebihan bersedekah. Antaranya ialah:

1. Ganjaran dan pahala sedekah itu yang berlipat ganda. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas), supaya Allah akan melipatgandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya). Dan kepadaNya kamu semua dikembalikan. (Surah al-Baqarah: 245)

Dalam hadits pula, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak menerima sesuatu melainkan yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala sedekah itu untuk orang yang empunya sedekah itu, sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali bagaikan gunung (pahalanya dilipat gandakan). (Hadits riwayat al-Bukhari)

2. Sedekah memadam dosa dan kejahatan kerana ia adalah suatu kebajikan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya kebaikan-kebaikan (seperti sembahyang lima waktu) itu menghapuskan kejahatan-kejahatan (dosa-dosa kecil). (Surah Hud: 114)

3. Sedekah memudahkan untuk mencapai kebaikan, membersihkan jiwa daripada kekotoran dan mengosongkan diri daripada kehinaan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak menghadap Rasul Allah (mengenai sesuatu perkara), maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu memulakan penghadapan itu; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. (Surah al-Mujâdalah: 12)

4. Sedekah menjadi pelindung daripada api neraka. Ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa daripada kamu yang mampu mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. (Hadits riwayat Muslim)

Penerima Sedekah Yang Diutamakan

Sedekah sunat itu boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan yang paling utama mengkhususkan sedekah ialah kepada kaum kerabat yang dekat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kepada anak yatim daripada kaum kerabat. (Surah al-Balad: 15)

Dalam hadits pula, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada Zainab, isteri ‘Abdullah bin Mas‘ud:

Maksudnya: Suamimu dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bersedekah sama ada berbentuk harta, khidmat atau barang seperti masakan dan sebagainya kepada jiran adalah diharuskan. Bersedekah kepada jiran yang lebih dekat adalah diutamakan. Imam al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Dan bagi kerabat dan jiran adalah lebih utama. (Mughni al-Muhtâj: 4/196)

Bersedekah Kepada Orang Kaya

Bersedekah sunat kepada orang kaya adalah diharuskan walaupun daripada kaum kerabat. Ini jelas dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ja‘far bin Muhammad daripada ayahnya katanya:

Maksudnya: Bahawasanya dia minum daripada air yang disediakan oleh manusia antara Makkah dan Madinah. Lalu aku berkata atau dikata orang kepadanya: Dia menjawab: “Sesungguhnya yang diharamkan ke atas kami adalah sedekah wajib (zakat).” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan penjelasan di atas, orang yang hendak menunaikan fardhu haji sebagaimana yang ditanyakan di atas adalah harus menerima sedekah daripada rakan-rakan yang lain kerana sedekah itu boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada kaum kerabat, orang kaya atau jiran dan tidak terhad hanya kepada fakir miskin sahaja, kecualilah sedekah wajib iaitu zakat. Oleh yang demikian, adalah tidak betul pendapat orang yang mengatakan: “Kita tidak berhak menerima sedekah daripada seseorang dan dihukumkan haram ke atas orang yang bersedekah kepada seseorang yang lain atas alasan orang yang menerima sedekah tersebut bukan fakir miskin.”

Bersedekah adalah amalan yang mulia dan disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Orang yang bersedekah akan beroleh banyak kelebihan sebagaimana yang dijelaskan dalam al- Qur’an dan hadits.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11934