Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Sunat ‘Idul Adha Ketika Dalam Kapal Pelayaran

Soalan: Bagaimanakah cara menunaikan sembahyang sunat ‘Idul Adha ketika berada di atas kapal pelayaran (Cruise Ship)?

Adakah sah sembahyang sunat berkenaan yang tidak mempunyai khutbah sama sekali?

Jawapan: Hukum mengerjakan sembahyang Hari Raya sama ada sembahyang Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Adha adalah sunat mu’akkadah. Ini jelas disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Seorang lelaki daripada penduduk Najd datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan keadaan rambut yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun (menjawab): “(Islam itu) adalah sembahyang lima waktu dalam sehari semalam.” Lelaki tersebut bertanya lagi: “Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepadaku?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, melainkan jika engkau ingin melakukan yang sunat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh bahawa sembahyang Hari Raya itu adalah sunat dan afdhal dikerjakan secara berjemaah kecuali bagi orang yang menunaikan fardhu haji, afdhal bagi mereka mengerjakan sembahyang ‘Idul Adha itu dengan bersendirian kerana banyak kesibukan dalam melakukan ibadat haji pada hari tersebut. Sembahyang Hari Raya itu juga sunat dikerjakan secara perseorangan dan sunat dikerjakan oleh hamba dan wanita. (Tuhfah al-Muhtâj:1/375)

Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya Muhammad Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menjelaskan bahawa sembahyang Hari Raya itu adalah dua rakaat sama dengan sembahyang-sembahyang yang lain dari setiap rukun-rukun, syarat-syarat dan sunat-sunat sembahyang. Sekurang-kurangnya sembahyang Hari Raya itu dikerjakan seperti sembahyang sunat wudhu’. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbîr dan wajib berniat dengan menentukan sembahyangnya sama ada sembahyang Hari Raya Fitrah ataupun Hari Raya Adha. Contoh lafaz niat sembahyang Hari Raya Adha:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Adha dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.

Pada rakaat pertama sesudah membaca do‘a iftitâh, sunat melafazkan takbîr (at-takbîrat az-zâ’idah) dengan suara jahr (nyaring) sebanyak tujuh kali. Pada rakaat kedua pula sebelum membaca at-ta‘awwuz ( أعوذ ِبللمن الشيطان الرجيم ), sunat bertakbîr sebanyak lima kali.

Selepas membaca surah al-Fâtihah pada rakaat pertama disunatkan untuk membaca surah Qâf atau surah al-A‘alâ dan rakaat kedua selepas surah al-Fâtihah dengan membaca surah al- Qamar atau surah al-Ghâsyiyah dengan suara yang jahr (nyaring). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/417)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menjelaskan bahawa sembahyang Hari Raya itu sunat dikerjakan secara bersendirian dan tidak disunatkan baginya khutbah. Begitu juga disunatkan bagi seorang imam yang mengimamkan sembahyang Hari Raya bagi orang-orang yang musafir untuk membacakan khutbah kepada mereka. (Tuhfah al-Muhtâj:1/375)

Sembahyang Hari Raya Ketika Berada Dalam Kapal Pelayaran

Para ulama telah bersepakat bahawa harus bagi orang yang membuat pelayaran (musâfir) yang menggunakan kapal terbang, kapal laut, kereta api atau lain-lain kenderaan menunaikan ibadat sembahyang sama ada fardhu atau sunat ketika dalam pelayaran. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke qiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah. (Surah al-Baqarah: 115)

Dalam hadits pula, Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang di atas kenderaannya (sembahyang sunat) dengan menghadap ke arah mana sahaja kenderaannya menuju. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menghadap Qiblat Ketika Sembahyang Dalam Kapal Pelayaran

Dalam syarat sah sembahyang, menghadap qiblat bagi sembahyang fardhu adalah wajib melainkan dalam dua keadaan iaitu semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan, sama ada sembahyang fardhu atau sunat dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya menghadap qiblat.

Adapun para penumpang yang menaiki kapal ketika dalam pelayaran, mereka diwajibkan untuk menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang sunat dengan menyempurnakan segala rukun-rukun sembahyang sama ada kapal itu berhenti atau pun berjalan, kerana tidak ada kesusahan atau kesukaran bagi mereka untuk melakukannya.

Manakala bagi pengemudi kapal (helmsman) tidak diwajibkan menghadap qiblat sebagaimana kata Shahib al-Hawi dan Abu al-Makarim Rahimahumallâh: “Harus (boleh) bagi mereka (pengemudi) untuk tidak menghadap qiblat dalam mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat kerana untuk memudahkan kerja perjalanannya.” (Al-Majmû‘: 3/207)

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Dan wajib menghadap qiblat ketika dalam mengerjakan sembahyang sunat bagi para penumpang kapal laut selain pengemudi kapal. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/204)

Khutbah Hari Raya

Sunat khatib membaca dua khutbah selepas mengerjakan sembahyang Hari Raya, jika ia dikerjakan secara berjemaah. Segala rukun dan perkara sunat ketika berkhutbah adalah sama dengan rukun dan perkara sunat khutbah Jumaat. Walau bagaimanapun sedikit perbezaan pada syarat khutbah Hari Raya dan Jumaat, iaitu ketika imam membaca khutbah Hari Raya tidak disyaratkan berdiri, duduk antara dua khutbah, berthahârah dan menutup aurat, akan tetapi disunatkan sahaja. (Tuhfah al-Muhtâj:1/377)

Dimulakan pada khutbah pertama dengan bertakbîr sebanyak sembilan kali dan khutbah kedua sebanyak tujuh kali dibaca dengan berturut-turut. Hendaklah khatib memisahkan antara dua khutbah itu dengan memperbanyakkan takbîr, boleh juga dipisahkan dengan bertahmîd, tahlîl dan pujian-pujian sebagaimana dinyatakan dalam syarah az-Zubad. Hal melafazkan takbîr sebagai pemisah antara dua khutbah tersebut, tidak disunatkan bagi makmum melafazkannya, bahkan disunatkan mendengarnya daripada khatib. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/421)

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh bahawa sesiapa yang sembahyang Hari Raya seorang diri, tidak perlu ada khutbah baginya, kerana tidak membawa faedah. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/392)

Oleh yang demikian, mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya Adha itu adalah diharuskan ketika berada dalam kapal pelayaran dengan dua rakaat sama seperti sembahyang sunat wudhu’ dengan wajib berniat, Sembahyang sunat Hari Raya Adha itu sah dikerjakan tanpa khutbah sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11938