Sesi Senamrobik Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan
Soalan: Senamrobik pada setiap pagi sabtu yang diamalkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan dikhususkan kepada pegawai dan kakitangan Kementerian berkenaan serta jabatan-jabatan di bawahnya adalah menjadi kemestian kepada pegawai dan kakitangan selaku salah satu peranan utama dalam memajukan sukan dan gaya hidup sihat.
Sehubungan dengan itu, bagi sama-sama menerapkan unsur-unsur positif dan nilai-nilai yang baik melalui sukan dan riadah, sukacita mendapatkan pandangan Pehin Mufti sama ada muzik dan lagu dakwah yang digunakan bagi mengiringi senamrobik berkenaan tidak bertentangan dari segi perspektif Islam.
Jawapan: Memelihara kesihatan jasmani merupakan antara satu tuntutan yang tidak kurang pentingnya dengan tuntutan memelihara kesihatan rohani. Salah satu cara untuk memelihara kesihatan jasmani ialah dengan bersenam. Melakukan senaman termasuk senamrobik adalah satu perkara harus.
Walau bagaimanapun perlu diperhatikan bahawa senaman atau senamrobik satu perkara, sementara bercampur di antara lelaki dan perempuan ketika melakukannya satu perkara lain pula. Apabila kedua-duanya dilakukan dengan serentak iaitu senaman yang bercampur gaul di antara lelaki dan perempuan, maka hukum ‘harus’ senaman itu di sini sudah berubah menjadi sebaliknya, kerana percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan yang halal nikah adalah dilarang oleh syara‘. Jadi kalau hendak membuatnya juga, dibuatlah secara berasingan.
Begitu juga senaman atau senamrobik dan muzik serta lagu dakwah adalah juga perkara-perkara berbeza.
Melakukan senaman atau senamrobik juga mestilah memakai pakaian yang menutup aurat dalam makna yang sebenar-benarnya. Menurut aurat bukanlah setakat anggota-anggota tubuh badan yang dianggap aurat itu sahaja, tetapi juga tidak jarang, tidak menampakkan bayang kulit, tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan, terutama pada bahagian-bahagian anggota yang boleh menimbulkan fitnah.
Kemudian bersenam dengan muzik atau lagu dakwah yang diiringi muzik, sayugia diingat bahawa muzik itu ada hukumnya di dalam Islam.
Muzik tidak boleh lari daripada alat-alatnya, kerana daripada alat-alat inilah timbul alunan bunyi dan irama muzik itu, sama ada ia berbentuk:
i. Yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan sebagainya.
ii. Yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan sebagainya.
iii. Yang dipetik seperti kecapi, gambus, gitar, biola dan sebagainya.
Kedudukan hukum muzik ini akan tergantung kepada apa jenis alat yang digunakan kerana ada di antaranya (alat) yang diharamkan oleh syara‘ dan ada juga yang mubâh. Jadi kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
i. Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘, maka kedudukan muzik seperti ini adalah haram.
ii. Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘, maka kedudukannya adalah harus jua, seperti memukul ghirbâl (sejenis rebana) sewaktu pernikahan.
iii. Bermain alat muzik yang harus, namun jika dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian cinta asmara, bercampur lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulama telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik di dalam keadaan seperti ini adalah haram.
Pendeknya alat muzik pada amnya ditegah dalam Islam kecuali duff (sejenis rebana) sahaja. Itupun menurut sesetengah ulama hanya dibolehkan semasa majlis pernikahan sahaja. Perbincangan lanjut mengenai perkara ini, telah banyak kita sebutkan di dalam fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan. Antaranya ialah fatwa bilangan 9/1998 yang bertajuk ‘Islam dan Muzik’, fatwa bilangan 4/2005 yang bertajuk ‘Muzik Menurut Pandangan Islam’ dan fatwa bilangan 34/2006 yang bertajuk ‘Muzik Yang Diharuskan dan Diharamkan’.
Di samping itu juga dalam melakukan senaman atau senamrobik, pergerakan yang boleh menimbulkan fitnah sama ada ia tidak sesuai dengan sifat kelelakian atau sifat kewanitaan atau tidak sesuai dengan nilai-nilai akhlak dan aqidah Islam, ia mestilah dijauhi atau ditinggalkan sama sekali.
Maka semua perkara yang telah disebutkan itu hendaklah diperhatikan dalam mengadakan aktiviti senaman atau senamrobik agar ia selaras dengan perspektif agama Islam dan tidak menjejaskan keharusan senaman atau senamrobik itu sendiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11942
