Usaha Dalam Mendidik Anak-Anak Supaya Rajin Mengerjakan Sembahyang
Soalan: Apakah surah dan usaha yang boleh diamalkan selain do‘a berterusan kepada anak-anak yang kurang mengambil berat tentang suruhan Allah terutamanya dalam bab sembahyang?
Jawapan: Ibadat sembahyang merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia adalah tanggungjawab yang wajib dipikul dan dilaksanakan oleh semua umat Islam yang mukallaf. Sembahyang merupakan pengakuan dan bukti kita sentiasa mengingati serta taat dan patuh akan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga merupakan tanda terima kasih serta syukur kita di atas segala rahmat dan ni‘mat yang telah dianugerahkanNya kepada kita.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKu. (Surah Thâhâ: 14)
Pensyariatan dan kewajipan sembahyang lima waktu disebutkan berulang kali dalam al- Qur’an al-Karim dan juga hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya:
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:
Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 103)
Dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Aku memerintahkan kamu (melakukan) empat perkara dan menegah kamu daripada (melakukan) empat perkara: Beriman dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ – kemudian Baginda menjelaskannya kepada mereka – iaitu: “Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku pesuruh Allah, mengerjakan sembahyang, menunaikan zakat dan menyerahkan kepadaku seperlima daripada apa yang kamu perolehi daripada harta rampasan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun ibadat sembahyang, ia bukan hanya satu tuntutan dan kewajipan, malah sesiapa yang mengerjakannya dengan penuh khusyû‘ dan ketekunan, dia akan dapat merasai ni‘mat dan hikmah serta ganjaran yang besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan bersembahyang seseorang hamba itu dapat terhindar daripada perkara-perkara yang mungkar dan sekaligus dapat mencorak kehidupannya dengan lebih baik dan sempurna.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Qur’an dan dirikanlah sembahyang dengan tekun; sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (Surah al-‘Ankabût: 45)
Malahan dengan menjaga kesempurnaan ibadat sembahyang dengan menepati waktu sembahyang, Allah akan menjanjikan syurga baginya sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Qatadah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Maksudnya: Sesungguhnya Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad) sembahyang lima waktu, dan Aku berjanji pada diriKu suatu perjanjian, bahawasanya barang siapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, nescaya akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan barang siapa yang tidak memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa daripadaKu baginya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum Meninggalkan Sembahyang
Sembahyang itu adalah tiang agama. Ia merupakan pelengkap kehidupan dan penjalin hubungan di antara makhluk dan Penciptanya. Sesiapa yang meninggalkan sembahyang bererti dia telah memutuskan perhubungan itu dan ini samalah seperti dia telah meninggalkan dan meruntuhkan agamanya. Bukan itu sahaja, perbuatan seperti ini malah boleh sahaja mengakibatkan seseorang itu dihukumkan sebagai kafir.
Daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki lalu (dia) berkata (kepada Rasulullah): “Wahai Rasulullah! Apakah perkara yang sangat disukai di sisi Allah dalam Islam?” Rasulullah menjawab: “Mendirikan sembahyang pada waktunya, dan barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya, dan sembahyang itu adalah tiang agama.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: (Penghubung) antara seorang hamba itu dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Namun begitu, hukum meninggalkan sembahyang dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran tertakluk kepada dua keadaan:
1. Meninggalkannya kerana ingkar akan kewajipannya.
Para ulama berpendapat bahawa apabila seorang Muslim yang mukallaf mengingkari serta tidak mengakui akan kewajipan sembahyang setelah mengetahui akan kewajipannya, maka dia dihukumkan kafir murtad dan wajib dibunuh kerana keingkarannya serta mendustakan syariat dan nash Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/428 dan al-Muhadzdzab: 1/100)
2. Meninggalkannya kerana lalai atau malas.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, barang siapa yang meninggalkan sembahyang kerana malas dan meringan-ringankannya sedangkan dia beri‘tiqâd akan wajibnya, tidaklah dihukumkan kafir, namun wajib dijatuhkan ke atasnya hukuman bunuh secara hadd (hukuman yang ditetapkan syara‘) kerana meninggalkan sembahyang dan enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk berbuat demikian dan ini merupakan pendapat yang shahîh. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/428)
Balasan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Meninggalkan sembahyang merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Balasan serta ancaman terbesar bagi mereka yang meninggalkan dan mengabaikan sembahyang fardhu sepertimana yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah khabarkan bahawa mereka akan menjadi penghuni neraka Saqar.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Di antara balasan dan ancamannya lagi dapat kita ketahui melalui firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan juga hadits-hadits Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang antara lain menyebutkan tentang:
i. Kecelakaan bagi mereka yang mengabaikan sembahyang sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
ii. Kerugian besar yang menimpa diri dan juga keluarga akibat meninggalkan sembahyang.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah al-Munâfiqûn: 9)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang meluputkan sembahyang ‘Ashar, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarganya dan hartanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
iii. Azab dan seksa pada hari akhirat bagi sesiapa jua yang mencuaikan dan meninggalkan sembahyang.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Surah Maryam: 59)
iv. Keadaannya yang dimurkai ketika menemui Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Daripada sahabat, Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya barang siapa yang meninggalkan sembahyang sedangkan dia mampu untuk bersembahyang, dia akan menemui Allah dalam keadaan Dia (Allah) murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
v. Terlepas daripada perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Daripada Ummu Aiman Radhiallâhu ‘anhâ, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berwasiat kepada para isteri Baginda:
Maksudnya: Jangan engkau tinggalkan sembahyang dengan sengaja, kerana sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu nescaya terlepaslah dia daripada perlindungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Amalan Dalam Mendidik Anak
Anak adalah amanah dan anugerah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga sebahagian daripada ujian Allah kepada kita sebagai hambaNya yang dha‘îf. Jika kita gagal dan lalai dalam mendidik mereka, bererti kita gagal memikul amanah dan menjalani ujian Allah, sekaligus akan menanggung dosa akibat kelalaian kita. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesunggguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (Surah al-Anfâl: 28)
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungan makan minumnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Anak-anak umpama kain putih yang bersih dan ibu bapalah yang berperanan dalam mencorak dan mewarnai kehidupan mereka sama ada ke arah jalan yang lurus atau yang menyimpang daripada fitrah mereka dilahirkan.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada seorang kanak-kanak yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka kedua ibu bapanyalah yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Memang diakui, mendidik anak bukanlah satu tugasan yang mudah khususnya untuk menghasilkan seorang anak yang salih dan cemerlang lebih-lebih lagi dalam keadaan zaman sekarang yang serba mencabar, di mana perilaku dan pemikiran kanak-kanak dipenuhi dengan keseronokan dan hiburan yang melalaikan.
Jika ibu bapa tersilap dalam memberikan corak pendidikan seperti mendedahkan budaya asing kepada mereka, maka anak-anak akan terbentuk sebagai insan yang mencuaikan dan membelakangkan agamanya. Oleh itu, tarbiyyah dan didikan awal daripada ibu bapa merupakan aspek yang sangat penting dalam membentuk sikap dan pemikiran kanak-kanak. Didikan itu perlu diterapkan seawal mungkin. Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kecemerlangan seorang anak adalah kesan dan hasil daripada amalan dan pengalaman sejak kecil kerana kanak-kanak mudah menerima dan mengadaptasikan segala tunjuk ajar yang diberikan dengan cepat dan berkesan dalam kehidupan seharian mereka sehinggalah mereka dewasa.
Ibu bapa berkewajipan mendidik dan mentarbiyyah rohani dan jasmani anak-anak dengan nilai-nilai al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Pendedahan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak di peringkat awal usia mereka sangatlah penting agar mereka akan menjadi insan dan generasi yang beriman, bertaqwa, berakhlak dan beramal salih, terutama sekali dalam perkara ibadat wajib atau asasi, seperti sembahyang, sekalipun mereka masih kecil dan belum berkewajipan untuk melaksanakannya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri memberi arahan sedemikian sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya daripada datuknya, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Suruhlah anak-anak kamu itu (anak-anak lelaki atau perempuan) mendirikan sembahyang apabila umur mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan mendirikan sembahyang) apabila umur mereka sepuluh tahun, dan kamu pisahkanlah mereka daripada tempat-tempat tidur mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun rahsia kenapa syariat Islam menyuruh mendidik anak agar sembahyang pada peringkat seawal umur tujuh tahun ini adalah supaya dapat mengajar mereka akan hukum-hakam ibadat ini dan melatih serta membiasakan mereka mengerjakan sembahyang dari kecil sehinggalah mereka terdidik untuk mematuhi dan melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan itu jiwa dan hati mereka akan bersih, akhlak mereka akan terdidik serta pergaulan dan perbuatan mereka akan sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara yang mungkar. (Tarbiyyah al-awlâd fi al-Islâm: 1/118)
Walau bagaimanapun, untuk menghasilkan anak yang taat menurut perintah Allah khususnya dalam soal sembahyang, menyuruh dan memerintahkan mereka melakukannya melalui percakapan sahaja tidaklah memadai kerana didikan bukan hanya setakat menyuruh dan memerintahkan kanak-kanak. Ia hendaklah dengan cara yang praktikal di mana ibu bapa perlulah berusaha dalam mengaplikasikan cara-cara yang betul dan berkesan di dalam didikan mereka. Antaranya:
1. Menjadi qudwah atau contoh yang terbaik. Ibu bapa perlu memberikan contoh teladan yang terbaik kepada anak-anak dalam setiap tindak-tanduk, misalnya dalam perkara yang berkaitan dengan ibadat sembahyang. Ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memelihara ibadat sembahyang dan sentiasa mengajak anak-anak sembahyang berjemaah.
Ibu bapa juga perlu berusaha untuk mewujudkan suasana keluarga yang sentiasa memelihara sembahyang. Walau di mana jua berada, anak-anak perlu sentiasa diberi peringatan tentang waktu sembahyang. Dengan menjadikan perkara sedemikian sebagai amalan dan rutin harian, secara tidak langsung anak-anak akan terbiasa dan tidak lagi akan merasa kekok dan janggal untuk bersembahyang.
2. Bersikap tegas dalam mendidik anak. Anak-anak perlulah didisiplinkan dengan ketegasan dan ini dimulai dengan mendisiplinkan mereka melalui penyempurnaan waktu sembahyang. Malah Islam menyarankan ibu bapa melatih anak-anak sembahyang pada peringkat umur tujuh tahun dan memukul mereka pada peringkat umurnya sepuluh tahun jika enggan mendirikan sembahyang.
Namun begitu, perlu diketahui bahawa ketegasan yang perlu dipamerkan oleh ibu bapa hanyalah sekadar untuk menyuntik dan menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang wajib mereka pikul kelak dan bukan untuk menjatuhkan mereka dengan teguran yang berupa ejekan dan sumpah seranah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang berbuat sedemikian dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud Rahimahullâh dengan isnâd yang shahîh daripada sahabat Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu berdo‘a (menyumpah seranah) di atas diri kamu, jangan kamu menyumpah seranah ke atas anak-anak kamu, jangan kamu menyumpah seranah ke atas harta-harta kamu, jangan kamu berjumpa suatu saat di mana Allah menerima do‘a yang dipinta dengan sumpah kamu itu, maka Allah akan menerimanya bagi kamu, (yakni ada saat-saat dan waktu yang sangat diperkenankan permintaan dan do‘a seseorang itu). (Hadits riwayat Muslim)
3. Memberi teguran dan nasihat yang positif dan membina. Ini kerana pendidikan yang berkesan itu ialah dengan cara didikan melalui nasihat. Islam sangat menekankan agar sentiasa nasihat-menasihati sesama kita. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-‘Ashr: 1-3)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi mengenai kata-kata Luqman ketika memberi nasihat kepada anaknya untuk mendirikan sembahyang dan melakukan perkara yang ma‘rûf:
Tafsirnya: Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan serta laranglah (manusia) daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. (Surah Luqman: 17)
4. Ibu bapa perlulah bersabar dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Surah Thâhâ: 132)
5. Usaha yang dilakukan hendaklah berterusan dan tidak mudah berputus asa. Apa jua perkara yang diharapkan agar berhasil perlulah diusahakan dengan berterusan dan konsisten. Lebih-lebih lagi jika perkara itu memerlukan penglibatan dan kerjasama pihak lain. Jangan sekali-kali merasa bosan dan jemu mengarahkan anak agar sembahyang dan jangan putus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sekalipun usaha yang dilakukan belum menampakkan hasil.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjelaskan dalam firmanNya bahawa sifat putus asa bukanlah sifat sebenar seorang Muslim kerana sifat seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan berusaha bersungguh-sungguh sekalipun menghadapi berbagai halangan dan rintangan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai anak-anakku pergilah dan intiplah mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87)
6. Sentiasa memohon keberkatan menerusi amalan pembacaan al-Qur’an. Dalam mendidik anak pastinya terdapat kesukaran yang mungkin sahaja akan membuat kita merasa kecewa dan tertekan dan ditambah lagi dengan pelbagai masalah sampingan. Apabila kurang iman dan kesabaran dalam diri, di sinilah terjadinya keputusan dan tindakan salah yang diambil oleh ibu bapa dalam menanganinya yang akhirnya akan merosakkan kehidupan diri dan keluarga.
Dalam menangani perkara seumpama ini kadang-kadang manusia lupa bahawa jalan penyelesaiannya adalah kembali kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âla dan kita selalu lupa untuk cuba menenangkan hati dan minda kita dengan al-Qur’an al-Karim meminta daripadaNya akan petunjuk dan rahmatNya.
Al-Qur’an: Pembentuk Dan Pembersih Jiwa Dan Rohani
Al-Qur’an merupakan senjata paling berkesan dalam pembentukan dan pembersihan jiwa dan rohani. Ia merupakan rahmat dan petunjuk ke jalan yang lurus dan mustaqim.
Dengan menjadikan al-Qur’an sebagai sahabat dan pendamping, jiwa dan hidup kita serta anak-anak akan sentiasa tenang dan diberkati.
Namun begitu, dalam menyelesaikan masalah anak yang malas sembahyang umpamanya, tidak terdapat surah-surah yang khusus dibacakan melainkan dengan hanya mengamal dan memperbanyakkan membaca al-Qur’an agar hati sentiasa terang, tenang dan dirahmati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan ini sebuah Kitab (al-Qur’an) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya, dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (Surah al-An‘âm: 155)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah suatu kaum berkumpul di sebuah rumah daripada rumah-rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya di antara mereka - melainkan ketenangan turun ke atas mereka, dan rahmat meliputi mereka, dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan orang-orang yang ada di sisiNya (para malaikat), dan barang siapa yang melambat-lambatkan amalnya, nasabnya (keturunannya) tidak akan dapat mempercepatkannya. (Hadits riwayat Muslim)
7. Memohon pertolongan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sentiasa mengerjakan sembahyang sunat hajat dan dengan do‘a yang berterusan. Ia merupakan salah satu lagi usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa agar anak-anak rajin bersembahyang dan cenderung kepada ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah dengan sentiasa berdo‘a dan mengerjakan sembahyang sunat hajat memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar semua usaha dan harapan akan terkabul sepertimana yang dilakukan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditimpa sesuatu perkara Baginda akan sembahyang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Doa Senjata Mu’min
Islam sangat menggalakkan agar kita sentiasa berdo‘a dan meminta kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak mengira sama ada ketika dalam keadaan susah mahupun senang. Do‘a yang berterusan merupakan senjata setiap umat Islam dan satu cara hidup yang membawa kita lebih dekat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Berdo‘a merupakan satu lagi tingkat dan bukti kepercayaan dan pengakuan hamba atas kekuasaan Penciptanya. Oleh itu tidak hairanlah jika do‘a berada di kedudukan yang paling mulia di sisiNya.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada do‘a. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Kita diperintahkan untuk sentiasa berdo‘a dan meminta semata-mata mengharapkan keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Setiap do‘a yang dipohonkan sudah pasti akan dikabulkanNya kerana Allah telah berjanji akan mengabulkan serta memudahkan hidup dan urusan kita jika kita memintaNya sepertimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah: 186)
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Salman al- Farisi Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua-dua tangannya (berdo‘a) kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua-dua tangannya (membalas do‘a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Bahkan sebaliknya, sesiapa jua yang enggan memohon dan meminta kepadaNya, dia bukan sahaja menutup pintu rahmat untuknya, bahkan akan mengundang murka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dia disifatkan sebagai seorang yang sombong dan akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ada menjelaskan dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mu’min: 60)
Dari kerana itu, minta dan pohonlah perkara yang baik kepadaNya sekalipun berulang-ulang kerana jika ia dilakukan dengan cara dan adab yang betul, Allah pasti akan mengabulkannya. Lebih-lebih jika do‘a itu datangnya daripada kedua ibu bapa yang salih untuk kebahagiaan dan kejayaan anaknya.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga do‘a yang dikabulkan dengan tidak ragu iaitu do‘a orang yang dianiayai, do‘a orang yang musafir dan do‘a seorang bapa kepada anaknya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Anak yang salih merupakan impian dan harapan serta do‘a setiap ibu bapa. Tidak ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya memilih jalan yang salah dan sesat. Mereka sentiasa mendo‘akan yang terbaik buat anak-anak agar sentiasa menurut perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Terdapat do‘a khusus sepertimana yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dalam mendo‘akan anak-anak dan keturunannya agar sentiasa mendirikan sembahyang. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:
Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah do‘a permohonanku. (Surah Ibrahim: 40)
Kesimpulan
Bagi memastikan anak-anak sentiasa menurut perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, ibu bapa harus sedar bahawa menekankan penghayatan agama dalam pendidikan dan tarbiyyah awal anak sangatlah penting. Ibu bapa perlu melaksanakan peranan mereka dengan memberikan contoh terbaik secara berterusan kepada anak-anak. Dengan berbuat demikian, secara tidak langsung segala suruhan dan perintah ibu bapa dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mudah didengar dan dipatuhi.
Jika ibu bapa telah melaksanakan tugas mendidik dengan sebaiknya, kemudian ditakdirkan mendapat anak yang terpesong daripada ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan ibu bapa, maka janganlah berputus asa. Berdo‘alah dan serahkanlah urusan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang telah menduga ibu bapa dengan takdir yang sedemikian. Berbaik sangkalah kepada Allah dan tetaplah memberi nasihat dan bimbingan sebagaimana para anbiyâ’ yang telah diduga dengan dugaan-dugaan sedemikian. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (Surah al-Qashash: 56)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11946
