Zakat Saham Yang Tidak Memberi Pulangan Keuntungan
Soalan: Saya adalah salah seorang ahli Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB). Saya telah membeli berbagai-bagai jenis saham daripada persekutuan ini. Satu ketika dahulu, persekutuan ini hampir setiap tahun memberi pulangan kepada ahli-ahlinya yang mempunyai saham. Saham yang diberikan tidaklah menjangkau 2.5% (jumlah diwajibkan untuk menzakat). Walau bagaimanapun, pembahagian saham ini saya gunakan untuk menzakatkan saham saya dengan menambah beberapa jumlah yang kurang menggunakan wang saya yang lain. (Misalnya, kalau saham mendatangkan keuntungan 2%, saya menambah 0.5% dengan duit saya yang lain).
Walau bagaimanapun, sejak tahun 2006, persekutuan ini tidak lagi mengeluarkan pulangan saham-saham yang saya beli. Akibat daripada tidak menerima saham, saya lupa untuk menzakatkannya. Saham saya itu bernilai $100,000. Ini bermakna saya wajib membayar zakat tertunggak sebanyak $15,000. Ini saya rasa agak banyak terutama sekali memandangkan saham ini tidak mendatangkan keuntungan dan PGGMB tidak pernah memberikan maklumat kepada ahli-ahlinya mengenai untung rugi perniagaan persekutuan.
Saya khuatir dan takut kalau saya meninggal dunia nanti dalam keadaan tidak berzakat. Saya juga berpendapat, jika saya hanya membayar zakat setiap tahun tanpa mendapat pulangan satu sen pun, besar kemungkinan duit saya ini akan habis begitu sahaja. Saya yakin Islam tidak membuat hukum untuk merugikan penganutnya. Saya amat memerlukan nasihat Pehin Mufti dalam perkara ini.
Jawapan: Dalam istilah fiqh, saham, qîrâth atau mudhârabah ialah akad yang mengandungi perwakilan daripada pemilik atau pelabur kepada pengusaha dengan menyerahkan harta kepada pengusaha sebagai modal untuk diniagakan, manakala keuntungannya akan dikongsikan. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/220 dan Mughni al-Muhtâj: 3/397-398)
Saham atau harta pelaburan ini merupakan salah satu di antara jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat. Adapun kadar nishâb zakat qîrâth atau mudhârabah yang wajib dikeluarkan itu adalah berdasarkan kepada zakat tijârah (perniagaan) iaitu 2.5% daripada nilai harga emas seberat 85 gram mengikut harga semasa.
Kedudukan Zakat Pelaburan
Kewajipan zakat bagi harta pelaburan atau saham tidak hanya dikeluarkan ke atas hasil keuntungannya ataupun hanya pada harta modal semata-mata. Pemilik harta atau pelabur wajib mengeluarkan zakat ke atas modal berserta keuntungan daripada nilai-nilai harta pelaburan atau saham tersebut dipenghujung haul. Ini kerana dialah pemilik sebenar terhadap kedua-duanya, iaitu modal dan keuntungan.
Manakala pengusaha (pekerja, badan atau syarikat) yang menguruskan pelaburan pula, juga wajib mengeluarkan zakat daripada bahagian keuntungan saham tersebut setelah dilakukan pembahagian keuntungan tersebut kepadanya. Ini bererti selagi keuntungan tersebut belum dibahagikan kepadanya, maka dia tidak diwajibkan untuk mengeluarkan zakatnya kerana pengusaha tidak memiliki bahagian keuntungan tersebut kecuali setelah dibahagikan kepadanya. Apabila dia menerima bahagiannya, maka wajib dizakat termasuk zakat bagi tahun-tahun yang lalu apabila mencapai nishâb dan haul. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/108, Mughni al-Muhtâj: 2/110 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/141-143)
Kedudukan Zakat Bagi Harta Yang Tidak Berkembang
Kewajipan membayar zakat wang tidaklah dilihat pada status wang tersebut, sama ada, adakah ia berkembang pada ketika itu ataupun tidak. Ini kerana antara sebab kewajipan zakat wang itu ialah kerana tujuan wang itu sendiri adalah khusus untuk ditasharruf (dibelanjakan). Kewajipan zakat tidak akan gugur hanya kerana harta tersebut tidak berkembang, akan tetapi ia tidak diwajibkan apabila pemilikannya terhadap harta tersebut tidak sempurna. Ini samalah keadaannya seperti harta yang hilang atau harta yang disimpan kemudian terlupa tempat penaruhannya. Sekalipun harta tersebut tidak berkembang, namun zakat tetap wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja harta tersebut didapatkan kembali oleh pemiliknya dan pembayaran tersebut termasuklah zakat bagi tahun-tahun yang lalu secara kebelakangan semenjak cukup nishâb dan haul pertama. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/129 dan 131, Mughni al-Muhtâj: 2/124 dan al-Muhadzdzab: 1/463)
Ini menunjukkan bahawa zakat tetap diwajibkan sekalipun harta tersebut statik atau tidak berkembang kerana harta yang hilang sudah pasti tidak berkembang. Masalah mengenai sama ada wang atau harta itu berkembang ataupun tidak bukan menjadi isu dalam kewajipan zakat wang, melainkan ke atas binatang ternak. Salah satu di antara sebab kewajipan zakat binatang ternak ialah hendaklah ia berkembangbiak seperti untuk diambil susunya atau dikembangbiakkan dan bukan untuk kegunaan bekerja, seperti membajak sawah, kegunaan pengangkutan dan seumpamanya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/48)
Dari itu, persoalan yang diajukan mengenai kewajipan zakat bagi saham yang tidak memberi keuntungan, berdasarkan keterangan di atas, sekalipun saham tersebut tidak memberikan sebarang pulangan atau keuntungan, jika nilai saham tersebut mencapai nishâb dan telah sampai tempoh haul, maka ia wajib dizakat.
Zakat Tidak Menyusahkan Umat
Kita sudah sedia maklum bahawa setiap suruhan dan larangan yang disyariatkan Allah Subhânahu wa Ta‘âla itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Dalam perkara zakat pula, ia dinamakan zakat kerana ia memberi maksud mengembangkan harta tersebut dengan keberkatan mengeluarkan sebahagiannya sebagai zakat dan keberkatan do‘a orang-orang yang menerimanya. Ia juga dinamakan sedemikian kerana dengannya dapat membersihkan individu itu daripada dosa dan dia akan mendapat pujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/43 dan Mughni al-Muhtâj: 2/62)
Oleh itu, persoalan mengenai membayar zakat pada saham yang tidak berkembang atau tidak memberikan pulangan atau keuntungan akan merugikan pemiliknya itu tidak wajar ditimbulkan atau dipersoalkan.
Secara zahirnya memanglah harta atau wang yang dimiliki akan nampak berkurangan apabila zakat dikeluarkan, namun di sebalik pengurangan melalui zakat tersebut, ia adalah tanggungjawab untuk menyerahkan hak penerimanya. Selain itu, antara hikmahnya pula, harta yang dimiliki akan bertambah dan berkembang sesuai dengan maksud zakat itu sendiri. Ia akan bertambah tanpa kita sedari daripada jalan yang tidak kita sangka-sangka.
Ini kerana setiap harta yang dikeluarkan di jalan kebajikan akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âla. Hal ini ada dirakamkan dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Sesiapa yang membawa kebajikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda (daripada amalnya). (Surah al-An‘âm: 160)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpahan kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 261)
Berdasarkan ayat-ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa dengan mengeluarkan zakat, harta dapat tumbuh, berkembang dan membuahkan hasil tidak hanya di akhirat bahkan juga di dunia.
Oleh itu, kita tidak perlu takut akan berkurangnya harta apabila berzakat kerana perasaan demikian akan mengakibatkan seseorang itu tidak mengeluarkan zakat. Malah sewajarnya kita takut apabila tidak mahu mengeluarkan zakat, kerana orang yang tidak mengeluarkan zakat akan tergolong ke dalam orang-orang yang mendapat kutukan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Ingatlah) kecelakalan besar bagi orang-orang musyrik. Iaitu orang yang tidak menunaikan zakat, sedangkan mereka pula benar-benar ingkar kepada Hari Akhirat. (Surah Fushshilat: 6-7)
Pembayaran Zakat Harta Yang Tertangguh
Menangguhkan atau melewatkan pembayaran zakat dengan sengaja adalah berdosa dan pembayarannya yang tertangguh itu tidak akan luput. Pemilik wajib melunaskannya dengan segera termasuk zakat bagi tahun-tahun yang lalu.
Apabila pembayaran zakat sesuatu harta itu tertangguh, maka sudah setentunyalah jumlah harta yang wajib dizakat itu semakin banyak dan bertambah dari setahun ke setahun. Ini akhirnya akan mengakibatkan pemiliknya merasa berat untuk melunaskannya sekaligus dengan segera.
Dalam hal ini, sepertimana menurut para ulama bahawa dalam keadaan tertentu, seseorang itu diharuskan untuk menangguhkan pembayarannya; iaitu apabila pemilik tidak dapat menghadirkan hartanya seperti harta tersebut ghaib atau tidak mudah diambil atau pemilik dibebani dengan kepentingan agama dan dunia seperti sembahyang dan makan ataupun menunggu ashnâf yang lebih afdhal menerimanya seperti kaum kerabat, jiran atau orang yang lebih memerlukannya, maka tidaklah diwajibkan menyegerakan zakatnya sehinggalah pemilik mampu menghadirkan harta tersebut dan sehinggalah ashnâf yang ditunggu itu muncul. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/411 dan Mughni al-Muhtâj: 2/129)
Mengenai dengan jumlah zakat saham yang tertangguh sepertimana yang ditimbulkan, memandangkan jumlahnya sangat besar dan membayarnya sekaligus mungkin sahaja akan mengorbankan atau melibatkan pengambilan harta yang diperuntukkan untuk keperluan seharian, maka jika pemilik tidak berkemampuan melakukan pembayarannya sekaligus, membayarnya secara beransur-ansur adalah lebih lagi diharuskan berbanding menangguhkannya. Namun begitu, dia tetap wajib membayar zakat yang selebihnya itu sehingga selesai.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, adalah harus melambatkan atau menangguhkan pembayaran zakat kerana bagi tujuan kepentingannya sendiri dengan syarat ia tidak mengakibatkan kesusahan atau mudharat kepada ashnâf yang berhak menerima. Jika penangguhannya itu boleh menyusahkan si penerima seperti kelaparan, maka melambatkan atau menangguhkannya adalah diharamkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3136)
Ini bererti adalah tidak menjadi hal menggunakan harta zakat jika terdapat keperluan hajat yang mendesak dan tidak ada halangan untuk menggunakannya. Akan tetapi ia tetap menjadi hutang baginya yang wajib dibayar dengan segera.
Kesimpulan
Salah satu di antara kewajipan zakat itu hendaklah pemilikannya terhadap harta tersebut tetap atau kukuh (mustaqar) sekalipun harta tersebut tidak berkembang. Selamamana harta tersebut adalah miliknya dan telah mencapai nishâb dan haul, maka wajib dikeluarkan zakatnya. Masalah mengenai sama ada wang atau harta itu berkembang ataupun tidak bukanlah menjadi isu dalam kewajipan zakat wang.
Dari itu saham yang telah mencapai nishâb dan haul wajib dikeluarkan zakatnya sekalipun ia statik atau tidak memberi pulangan keuntungan. Kewajipan perlu dilaksanakan kerana ia berkaitan dengan hak orang yang menerima.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11950
