Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

“Plastinated Cadaver” Bagi Tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran

Soalan: Dalam usaha untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran dalam mata pelajaran anatomi badan manusia, Institut Sains Kesihatan PAPRSB, Universiti Brunei Darussalam berhasrat untuk membeli “plastinated cadaver” sebagai kaedah berkesan dalam pembelajaran dan pengajaran bagi pelajar-pelajar dalam program Perubatan dan Kesihatan di institut berkenaan.

Persoalannya: Adakah boleh menggunakan “plastinated cadaver” bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran?

Jawapan: “Plastinated Cadaver” pada dasarnya difahami sebagai salah satu kaedah preservasi bagi melambatkan atau menghalang proses kereputan atau kebinasaan semula jadi jasad mayat manusia setelah berlakunya kematian.

Antara tujuan kadaver diplastinasi, sebagaimana difahami daripada maksud persoalan di atas, adalah untuk membolehkan ia dimanfaatkan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu anatomi dalam fakulti-fakulti pengajian perubatan.

Perkara memanfaatkan kadaver atau jasad mayat termasuklah juga organ-organ tubuh mayat pada amnya bertembung dengan beberapa aspek daripada ajaran agama Islam, sebagaimana berikut:

1. Memanfaatkan jasad mayat bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran secara dasarnya melibatkan unsur-unsur mencabuli kehormatan jasad manusia.

Menurut pandangan hukum syara‘, jasad manusia mempunyai kehormatan yang wajib dipelihara dan tidak harus dicabuli tidak kira sama ada ketika yang empunya jasad masih hidup atau telah mati. Perkara ini difahami berdasarkan nash-nash syara‘ seperti firman Allah Ta‘ala yang menyebutkan:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. (Surah al-Isrâ’: 70)

Ayat ini menjelaskan kemuliaan bangsa manusia sebagai keturunan Nabi Adam ‘Alaihissalâm yang telah diciptakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam sebaik-baik keadaan. Manusia telah dikurniakan kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk lain seperti kelebihan akal fikiran, ilmu pengetahuan, keupayaan untuk bertutur dan sebagainya. Dengan kelebihan-kelebihan tersebut, manusia berupaya memikirkan dan membezakan sesuatu perkara, mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk serta mampu untuk memanfaatkan kelebihan-kelebihan alam secara bijaksana sama ada untuk tujuan keagamaan atau keduniaan. (Tafsîr Ibnu Katsir: 7/44-46)

Agama Islam telah memelihara kedudukan ini dengan menjadikan kemuliaan atau kehormatan manusia itu sebagai asas-asas pembentukan hukum dan dasar-dasar yang menggariskan tindak-tanduk apa jua perkara serta melindunginya dengan pelbagai peraturan dan undang-undang. Antara peraturan-peraturan atau undang-undang tersebut termasuklah larangan keras mencabuli kehormatan manusia dengan perlakuan-perlakuan seperti membunuh, menjatuhkan kehormatan, mempersenda kemuliaan seseorang dan sebagainya. Termasuk juga dalam larangan-larangan tersebut ialah tegahan melakukan kerosakan ke atas diri manusia sama ada ketika seseorang itu masih hidup ataupun setelah dia mati. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 34/216-217)

Sebagai contoh, dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam disebutkan amaran mengenai perbuatan mematahkan tulang mayat kerana ia diserupakan dengan perbuatan mematahkan tulang seseorang ketika dia masih hidup. ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Memecahkan/mematahkan tulang mayat samalah seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Penghormatan yang diberikan oleh agama Islam itu tidak terbatas kepada orang-orang Islam sahaja, bahkan ia turut meliputi penghormatan ke atas mayat orang bukan Islam.

Dalam sebuah hadits, diriwayatkan bahawa Sahl bin Hunaif dan Qais bin Sa‘ad Radhiallâhu ‘anhumâ telah duduk di satu kawasan bernama Qadisiyyah. Apabila satu jenazah yang diusung lalu di hadapan mereka, mereka berdua pun bangkit berdiri. Seorang sahabat berkata kepada mereka: “Sesungguhnya jenazah itu merupakan jenazah penduduk tempat ini (iaitu jenazah seorang ahli dzimmah)”. Maka mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya jenazah juga pernah diusung di hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu Baginda berdiri dan Baginda ditanyakan perkara yang sama. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bukankah jenazah orang Yahudi itu jiwa (manusia) juga? (Hadits riwayat al-Bukhari)

Secara zahir, perkara memanfaatkan atau menggunakan jasad mayat bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan kedudukan kehormatan mayat. Telah dimaklumi bahawa proses pembelajaran ilmu anatomi atau ilmu at-tasyrih biasanya melibatkan perbuatan-perbuatan seumpama membedah siasat atau meng‘anatomi’ jasad manusia. Proses pengajaran dan pembelajaran ilmu anatomi juga pada kebiasaannya melibatkan proses observasi (memerhati) dan manipulasi secara aktif ke atas jasad atau organ kerana selain keperluan mempelajari dengan teliti fungsi-fungsi dan tempat letak organ-organ besar dalam tubuh badan, perincian-perincian yang halus seperti urat-urat atau tisu-tisu organ yang hanya dapat dilihat melalui kanta mikroskop juga perlu diketahui dengan tepat. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 199 dan Human Anatomy & Physiology: 3)

Mashlahat atau kepentingan mempelajari ilmu-ilmu perubatan seperti ilmu anatomi adalah mashlahat yang diperakui oleh syara‘. Namun, perkara membedah siasat mayat bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran ilmu-ilmu berkenaan adalah perkara ijtihâdiyyah atau satu isu yang diperselisihkan oleh para ulama.

Saya pada dasarnya lebih cenderung kepada pendapat yang melarang penggunaan jasad mayat bagi tujuan tersebut sepertimana juga pendapat atau fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ Republik Arab Mesir kerana pendapat ini lebih memelihara perkara asal mengenai kehormatan mayat yang telah diterangkan kedudukannya menerusi dalil-dalil syar‘i yang jelas.

Saya juga berpendapat bahawa keperluan-keperluan dalam bidang berkenaan masih boleh dipenuhi dengan penggunaan sumber-sumber yang lain. Bangkai binatang, umpamanya, telah diguna pakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran ilmu anatomi secara tradisi.

Sejak zaman ulama-ulama perubatan Islam yang masyhur dahulu kala lagi tidak pernah diketahui mayat atau jasad manusia dipergunakan untuk tujuan mendapatkan kemahiran dalam bidang perubatan. Ulama-ulama perubatan Islam selain mereka itu pakar dalam bidang ilmu berkenaan, juga turut dikenali faqîh dalam ilmu syariat Islam. Sekiranya benar anatomi ke atas jasad mayat sesuatu yang dharûri, nescaya mereka atau fuqahâ’ pada zaman mereka awal-awal lagi telah menerangkan kedudukan atau sukat-sukat mengenai perkara ini dengan jelas dalam perbendaharaan ilmu-ilmu Islam.

Saya juga percaya bahawa bahan-bahan alternatif yang terdapat di pasaran pada masa ini seperti patung-patung, model-model anggota atau organ tubuh badan, imej-imej, tayangan video berkualiti tinggi dan sebagainya masih boleh menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang ilmu yang dimaksudkan.

Dalam perkembangan terbaharu, kaedah bedah siasat secara maya (virtual autopsy) telah digunakan di beberapa buah negara sebagai alternatif kepada kaedah bedah siasat secara tradisi. Barangkali teknologi seperti itu boleh diterokai dan diselidiki kebarangkaliannya (possibilities) sama ada ia boleh diaplikasikan dan dimajukan bagi kegunaan dalam bidang-bidang yang lain seperti dalam bidang pengajaran dan pembelajaran atau sebaliknya.

Dalam aspek yang lain, penggunaan kadaver dalam kuliah-kuliah pengajian berkemungkinan juga akan menimbulkan masalah dalam urusan mendapatkan bekalan. Antara saluran untuk mendapatkan bekalan kadaver pastilah dengan cara berurus niaga. Kadaver atau jasad mayat, bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli kerana jual beli menurut hukum muamalat Islam adalah terhad kepada mubâdalah (pertukaran) harta benda atau mâl dengan harta benda yang lain.

Pendapat sesetengah ulama yang mengharuskan kadaver digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran barangkali boleh diguna pakai dalam konteks keperluan pembelajaran penuntut-penuntut kita yang belajar di luar negara. Di negara-negara lain terutamanya di institusi-institusi pengajian di negara-negara bukan Islam, masalah mendapatkan kadaver yang tiada kehormatan nyawanya menurut syara‘ mungkin boleh diatasi. Dalam ertikata yang lain, soal mendapatkan bekal tidak dihadapi.

Golongan yang tiada kehormatan nyawanya menurut syara‘ itu ialah orang kafir harbiy, orang murtad, pesalah zina yang muhshan, muhârib (perompak yang menggunakan kekerasan), orang yang meninggalkan sembahyang dan orang yang dijatuhkan hukum qishâsh. (Mughni al-Muhtaj: 4/413)

2. Kaedah plastinasi kadaver itu sendiri adalah kaedah yang sangat mencabuli kehormatan manusia dan berpotensi mengundang kontroversi yang lain.

Setakat maklumat-maklumat yang dapat diperolehi, proses plastinasi biasanya akan menyebabkan mayat disiat-siat, dibuang isi-isi dalamannya dan dimasukkan benda-benda asing ke dalamnya sebagai ganti. Perbuatan-perbuatan ini jelas sangat bertentangan dengan kehormatan mayat.

Selain itu, kaedah plastinasi kadaver juga adalah satu penemuan yang dilihat berpotensi mengundang kontroversi dalam banyak aspek yang lain. Siapa tidak kenal dengan Dr. Gunther von Hagens, saintis yang mula-mula sekali menemui teknologi plastinasi yang juga dikenali sebagai “Dr. Death”? Dialah juga orangnya yang bertanggungjawab menganjurkan pameran mayat pada tahun 2009 di Berlin, Jerman. Sebanyak lebih kurang 200 jasad mayat diperagakan dalam pelbagai gaya (posture). Sesetengahnya dipakaikan pakaian. Sesetengahnya dipamerkan dalam keadaan bertelanjang bulat. Ada juga yang dipamerkan dalam keadaan ‘bersatu’ antara pasangan mayat lelaki dan perempuan. Dikatakan, semua ini dilakukan atas nama ‘pendidikan’!

Dikhabarkan juga, ramai yang telah mendaftarkan diri untuk ikut serta dalam program memplastinasi jasad setelah mereka mati nanti. Kononnya, ada yang berhasrat agar jasad mereka dapat menyumbang kepada kepentingan perkembangan ilmu pengetahuan. Namun, tidak kurang juga yang bercita-cita agar jasad mereka itu dapat diabadikan kononnya ia tidak akan binasa setelah kematian.

Tegasnya, kita tidak mahu bekerjasama atau memberikan sokongan dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak ajaran agama kita dan kita juga tidak mahu melihat jasad atau organ tubuh badan manusia diperlakukan atau dicabuli kehormatannya sesuka hati.

3. Preservasi mayat adalah bertentangan dengan kehendak ajaran Islam.

Dalam agama Islam, antara kehendak atau tuntutan syara‘ apabila berlaku kematian ialah mengebumikan atau menanam jasad atau anggota tubuh badan manusia. Jenazah orang yang beragama Islam umpamanya, wajib dikebumikan setelah disempurnakan perkara-perkara penyelenggaraan jenazah yang lain seperti dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Kewajipan ini merupakan tuntutan fardhu Kifayah ke atas orang-orang Islam. (Mughni al-Muhtâj: 1/494)

Pada dasarnya, tuntutan yang sama turut dikehendaki ke atas jasad-jasad mayat yang lain. Mayat yang tidak dikenali umpamanya, adalah juga wajib dikebumikan. Sama ada dikebumikan menurut cara pengurusan orang Islam atau sebaliknya, maka ia bergantung kepada kriteria-kriteria yang telah diterangkan oleh ulama. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/495 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 4/500-501) Dalam keadaan-keadaan tertentu, hatta mayat orang bukan Islam pun adakalanya turut dipertanggunjawabkan urusan pengebumiannya ke atas orang Islam. (Mughni al-Muhtâj: 1/518)

Begitu juga halnya berkenaan anggota-anggota yang terputus dari tubuh manusia. Menurut syara‘, anggota-anggota yang terputus dari tubuh manusia wajib dikebumikan atau ditanam sama ada yang empunya anggota masih hidup atau telah mati. (Nihâyah al- Muhtâj: 2:493-495 dan Mughni al-Muhtâj: 1/518-519)

Berdasarkan kenyataan ini, jelaslah bahawa kehendak atau tuntutan syara‘ berkaitan jasad manusia apabila berlakunya kematian adalah untuk mengebumikan atau menanam jasad atau anggota tubuh badan manusia. Islam tidak mengiktiraf lain-lain cara pengurusan jenazah atau mayat. Islam tidak membenarkan mayat dibakar (cremation), dimakan binatang, dijadikan mumia dan sebagainya. Benar, Islam mengharuskan mayat dicampak ke dasar laut, namun itu hanyalah dalam keadaan-keadaan dharurat yang tertentu.

Pengebumian jenazah adalah sebahagian daripada syariat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan umat manusia telah mengebumikan jenazah sejak zaman Nabi Adam ‘Alaihissalâm sehinggalah kini tanpa sesiapapun yang mengingkari perbuatan tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 21/8-9)

Dalam al-Qur’an sendiri banyak ayat yang mengisyaratkan bahawa jasad manusia itu dikebumikan setelah kematiannya. Antaranya ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.

(Surah ‘Abasa: 21)

Demikianlah juga, Islam tidak mengharuskan mayat untuk dipreservasi atau diawet termasuklah menerusi kaedah plastinasi. Membiarkan mayat, baik yang beragama Islam mahupun selainnya, tanpa dikebumikan atau disimpan dalam satu jangka masa yang panjang bukanlah cara orang Islam. Ia hanya sesuai dikaitkan dengan gelagat orang bukan Islam. Orang bukan Islam memerlukan proses preservasi bagi memenuhi istiadat (ceremonial) atau upacara pengebumian mayat mereka. Apabila berlaku kematian, sesetengah mayat kaum mereka tidak dikebumikan kecuali setelah berlalu beberapa hari bahkan minggu, bulan atau tahun setelah saat kematiannya.

Preservasi mayat barangkali ada manfaatnya dalam keadaan-keadaan tertentu. Umpamanya, dalam keadaan mayat yang tidak dikenali, ia boleh ditahan buat sementara waktu sehingga identiti mayat tersebut dikenal pasti. Begitu juga dalam kes-kes siasatan jenayah (forensik), mayat perlu dipreservasi bagi membolehkan kerja-kerja penyiasatan dan bedah siasat dilakukan. Mungkin juga dalam keadaan-keadaan seumpama apabila berlaku tanah perkuburan yang sempit dan ruang untuk menempatkan mayat baharu sukar didapati, mayat perlu dipreservasi sehingga masalah sedemikian dapat diatasi. Namun, dalam semua keadaan tersebut memadai mayat dipreservasi dengan cara menyimpannya dalam peti-peti atau ruang berhawa dingin, dan tidak perlulah ia diplastinasi atau dipreservasi dengan cara-cara yang lain.

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan mengekalkan jasad atau organ orang yang telah meninggal itu adalah perbuatan yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘. Lagi pula, menggunakan kadaver yang diplastinasi untuk tujuan kaedah pengajaran dan pembelajaran jelasnya belum termasuk dalam perkara-perkara yang dikategorikan sebagai dharûriyyât, termasuklah dalam usaha mewujudkan pakar perubatan, kerana masih ada alternatif-alternatif lain mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11960