Adakah Kaffârah Puasa Dua Bulan Berturut-Turut Boleh Terputus Kerana Haidh
Soalan: Saya ada kewajipan untuk membayar denda puasa selama dua bulan berturut-turut. Bagaimanakah saya hendak menunaikan puasa dua bulan berturut-turut sedangkan saya masih lagi datang haidh setiap bulan?
Jawapan: Kewajipan untuk membayar denda puasa selama dua bulan berturut-turut merupakan denda yang dikenakan kepada mereka yang melakukan perkara-perkara yang dilarang syara‘, iaitu:
1. Jimâ‘ atau persetubuhan pada siang hari di bulan Ramadhan. Jimâ‘ yang dimaksudkan ialah persetubuhan yang disengajakan sama ada secara halal iaitu melalui pernikahan yang sah, persetubuhan syubhah, persetubuhan haram dengan kerelaannya iaitu zina, melakukan liwâth atau dengan menyetubuhi haiwan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/533-534 dan Mughni al-Muhtâj: 2/177-179))
2. Zhihâr iaitu ucapan suami yang menyerupakan atau menyamakan isteri atau bahagian tubuh isterinya dengan mahram atau bahagian tubuh mahramnya. Lafaz zhihâr itu mengakibatkan yang halal iaitu hubungan kelamin dengan isteri menjadi haram. 3. Membunuh sama ada secara sengaja ataupun tidak. (Raudhah ath-Thâlibîn: 7/228)
Denda tersebut dinamakan sebagai kaffârah iaitu denda yang wajib dibayar kerana melanggar ketentuan syara‘ yang mengakibatkan dosa. Kaffârah tersebut merupakan ibadat yang bertujuan untuk menghapus atau menebus dosa-dosa berkenaan. (Mughni al-Muhtâj: 5/40)
Adapun dalam masalah zhihâr dan jimâ‘, kaffârah berpuasa dua bulan berturut-turut ini hanya diwajibkan ke atas lelaki sahaja dan tidak ke atas perempuan. Kaffârah yang dilaksanakan ini juga tidak terhad hanya kepada wajib mengerjakan puasa dua bulan berturut-turut bahkan terdapat pilihan lain jika tidak mampu melakukan puasa iaitu memberi makan 60 orang miskin. (Mughni al-Muhtâj: 2/179)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka yang menzhihârkan isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik balik apa yang mereka ucapkan (tentang zhihâr itu), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) berseketiduran. Demikian itu, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). (Ingatlah) Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu berseketiduran. Akhirnya sesiapa yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan 60 orang miskin. Demikian itu ditetapkan supaya kamu membuktikan keimanan kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat jahiliah). (Surah al-Mujâdalah: 3-4)
Begitu juga dengan kaffârah jimâ‘ di siang hari bulan Ramadhan berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu dia berkata: “Saya telah binasa wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Apa yang telah membinasakanmu?” Dia berkata: “Aku telah menyetubuhi isteriku dalam bulan Ramadhan (padahal aku sedang berpuasa).” Baginda bersabda: “Apakah engkau mempunyai hamba yang boleh engkau merdekakan?” Dia berkata: “Tidak”. Baginda bersabda: “Apakah engkau mampu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut?” Dia berkata: “Tidak”. Baginda bersabda: “Apakah engkau mampu memberi makan 60 orang miskin?” Dia berkata: “Tidak”. Berkata Abu Hurairah: “Kemudian dia duduk dan didatangkan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam suatu bekas berisi kurma. Maka Baginda bersabda: “Bersedekahlah dengan ini (kurma)...” (Hadits riwayat Muslim)
Manakala kaffârah bagi orang yang membunuh sama ada membunuh dengan sengaja ataupun tidak, maka wajiblah dia memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mampu, barulah diwajibkan puasa dua bulan berturut-turut sebagai penebus dosanya. Kaffârah berpuasa dalam masalah ini wajib dilakukan ke atas sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun perempuan yang melakukan jenayah bunuh dan tidak terhad hanya kepada lelaki.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tidak boleh sama sekali bagi seseorang mu’min membunuh mu’min yang lain kecuali kerana tersalah (tidak sengaja). Dan sesiapa yang membunuh seorang mu’min kerana tersalah maka (wajiblah dia membayar kaffârah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar ‘diyât’ (tebusan) yang diserahkan kepada ahli (waris)nya, kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika dia (yang terbunuh kerana salah) daripada kaum (kafir) yang memusuhi kamu sedang dia sendiri beriman maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffârah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika dia (orang yang terbunuh kerana tersalah itu) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) di antara kamu dengan mereka, (seperti ahli zimmah) maka wajiblah membayar ‘diyât’ (tebusan) kepada ahli (waris)nya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Sesiapa yang tidak memperolehinya maka (sebagai kaffârahnya) hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai taubat kepada Allah. Dan Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisâ’: 92)
Adapun yang dimaksudkan dengan puasa dua bulan berturut-turut dalam konteks kaffârah ini ialah melakukan puasa secara berterusan tanpa berselang-seli atau tanpa diselangi hari dengan berbuka. Jika diselangi dengan berbuka sekalipun sehari dan sekalipun pada hari yang terakhir, maka puasa yang telah dilakukannya akan terputus dan hendaklah diulangi semula dari awal. Ini tidak terkecuali bagi orang yang berbuka disebabkan sakit kerana sakit tidak menggugurkan kewajipan puasa.
Berbeza halnya dengan perempuan yang haidh atau nifâs ketika menunaikan kaffârah puasa dua bulan berturut-turut disebabkan membunuh. Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh bahawa haidh tidak memutuskan maksud berturut-turut. Oleh itu puasa yang terputus disebabkan haidh itu tidak perlu diulangi semula dari awal kerana haidh menggugurkan kewajipan berpuasa dan memadailah baginya meneruskan dan menyambung puasanya itu apabila telah bersih daripada haidh. (Mughni al-Muhtâj: 5/49-50)
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tidak mampu untuk meneruskan kaffârah puasanya itu disebabkan terlalu tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau sakit yang apabila diteruskan puasanya itu boleh mendatangkan bahaya atau menambah sakitnya, maka jika kaffârahnya itu disebabkan jimâ‘ dan zhihâr, haruslah digantikan kaffârah puasanya itu dengan memberi makan 60 orang fakir miskin yang beragama Islam iaitu secupak makanan asasi yang sah dijadikan zakat fitrah bagi tiap-tiap seorang miskin.
Namun sebaliknya jika kaffârahnya disebabkan membunuh, kaffârah puasanya tidak boleh ditukar kepada memberi makan orang miskin sepertimana kaffârah kerana jimâ‘ dan zhihâr, bahkan ia tetap menjadi tanggungannya sehinggalah dia melaksanakan kaffârahnya. (Mughni al-Muhtâj: 5/49-50 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 7/228)
Kesimpulan
i. Kaffârah puasa dua bulan berturut-turut kerana jimâ‘ di siang hari bulan Ramadhan hanya dikenakan kepada kaum lelaki sahaja dan tidak kepada kaum perempuan.
ii. Kaffârah puasa dua bulan berturut-turut dikenakan kepada perempuan hanya dalam perkara jenayah membunuh.
iii. Haidh atau nifâs tidak memutuskan maksud puasa dua bulan berturut-turut. Oleh itu puasa yang terputus disebabkan haidh itu tidak perlu diulang semula dari awal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11963
