Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Ahli Jumaat Bagi Masjid Omar ‘Ali Saifuddien

Soalan: Dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan, penduduk-penduduk Mukim Sungai Kedayan akan dipindahkan ke rumah-rumah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampong Katok ‘B’ dan seterusnya meroboh rumah-rumah mereka di mukim tersebut.

Dengan pemindahan tersebut dikhuatiri akan memberi kesan kepada Masjid Omar ‘Ali Saifuddien kerana asas pembinaan masjid tersebut adalah bagi penduduk yang bermastautin di kawasan sekitarnya, dan juga permastautinan adalah salah satu syarat sah bagi mendirikan sembahyang fardhu Jumaat di sesebuah masjid.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan serta pandangan mengenai kedudukan permastautinan sesebuah Masjid Negara, adakah ia terhad kepada penduduk di kawasan persekitaran masjid tersebut ataupun seluruh negara, mengambil kira Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sebagai sebuah Masjid Negara?

Jawapan: Kewajipan sembahyang Jumaat yang ditunaikan oleh orang-orang Islam yang mukallaf, merdeka, lelaki, muqîm dan yang tidak ada keuzuran syar‘i seperti sakit adalah masih tertakluk kepada jumlah bilangan pemastautin pada tempat sembahyang Jumaat itu diadakan, iaitu cukup 40 orang. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/99, al-Muhadzdzab: 1/363 dan ‘Iânah ath- Thâlibî n: 2/85-86)

Maksud Bermastautin

Mastautin merupakan salah satu daripada syarat-syarat sah menunaikan sembahyang Jumaat. Maksud bermastautin pada tempat sembahyang Jumaat itu ialah seseorang itu tidak berpindah dari tempat tersebut sama ada di musim panas ataupun musim sejuk selain ada hajat atau keperluan yang tertentu seperti untuk berniaga atau ziarah. Jika dia berpindah pada musim sejuk dan hanya tinggal pada musim panas atau sebaliknya, maka tidaklah dia dinamakan bermastautin di tempat berkenaan dan tidak juga termasuk dalam bilangan yang dikira sebagai ahli Jumaat yang 40 orang untuk tempat tersebut. (I‘ânah ath-Thâlibî n: 2/86 dan Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 4/369)

Berkata Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhadzdzab:

Ertinya: Dan tidak sah Jumaat kecuali pada (tempat-tempat yang wujud) bangunan-bangunan berkelompok yang didiami oleh orang-orang ahli Jumaat, sama ada ia sebuah kota atau kampung, kerana Jumaat tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mahupun pada zaman khulafâ’ kecuali pada sesebuah kota atau kampung. (Al-Muhadzdzab: 1/362)

Daripada perkataan di atas, dapat difahami bahawa antara syarat-syarat sah sembayang Jumaat itu ialah wujudnya kelompok bangunan di kawasan yang didiami oleh pemastautin. Pemastautin tersebut hendaklah mencukupi bilangan empat puluh orang yang memenuhi syarat-syarat wajib mendirikan sembahyang Jumaat dan mereka itu sebenar-benarnya mendiami tempat berkenaan dengan tidak berniat untuk berpindah ke tempat lain melainkan keluar sementara, jika ada tujuan tertentu dan kembali semula ke tempat tersebut untuk bermastautin.

Permastautinan Sebuah Masjid Negara

Berhubung dengan persoalan yang diajukan iaitu kedudukan permastautinan sesebuah masjid negara, adakah ia terhad kepada penduduk di kawasan persekitaran masjid tersebut ataupun seluruh negara, maka dalam hal ini, setakat yang diketahui, belum ada dijumpai lagi qaul atau perbahasan para ulama secara khusus mengenai dengan masjid bagi negara dan pemastautinnya adalah penduduk negara keseluruhannya. Apa yang jelas diterangkan di kebanyakan kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘e hanya menyebut penetapan syarat bahawa kawasan yang digunakan untuk berkumpul mendirikan sembahyang Jumaat itu hendaklah kawasan kediaman yang kekal dan sembahyang itu dilaksanakan oleh pemastautinnya dengan cukup bilangan 40 orang dalam sebuah kota atau kampung. Ini bererti, masjid yang dibina untuk digunakan sembahyang Jumaat hendaklah di kawasan yang ada ahli Jumaatnya.

Kedudukan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien

Sepertimana yang dinyatakan dalam soalan, asas pembinaan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien adalah untuk kegunaan penduduk yang bermastautin di kawasan sekitarnya bagi memudahkan mereka itu mendirikan sembahyang Jumaat. Dalam erti kata lain, apabila kawasan berkenaan mempunyai penduduk yang bermastautin secara tetap dan memenuhi syarat-syarat sah mendirikan sembahyang Jumaat, maka Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dibangunkan pada ketika itu dan masih digunakan hinggalah sekarang. Sekarang timbul pula cadangan untuk memindah penduduk yang ada di sekitarnya sedangkan mereka itulah ahli Jumaat bagi masjid berkenaan. Maka sudah setentunya cadangan ini ditakuti memberi kesan kepada bilangan 40 orang ahli jemaah Jumaat dan ini akan menjejaskan syarat-syarat sah mendirikan sembahyang Jumaat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sekali gus menjejaskan penta‘mîrannya. Perkara ini tidak wajar berlaku dan perlu ditimbang semula supaya Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu tidak hanya menjadi tempat lawatan pelancong sahaja pada masa akan datang.

Apabila dilihat dari sudut tempat pembinaannya, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien merupakan satu-satunya masjid yang terdapat di pusat Bandar Seri Begawan. Jika dirujuk kepada istilah pusat Bandar Seri Begawan, ia termasuk dalam kawasan Mukim Kianggeh. Maka, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien adalah termasuk dalam kawasan Mukim Kianggeh. Mukim Kianggeh mempunyai banyak kampung yang didiami oleh penduduknya secara tetap. Ini bererti, selain penduduk yang ada di sekitar Masjid Omar ‘Ali Saiffudien seperti Kampung Sungai Kedayan, Kampung Bukit Salat dan Kampung Sumbiling, penduduk-penduduk kampung lain di Mukim Kianggeh boleh juga ditetapkan sebagai pemastautin yang menjadi ahli Jumaat bagi masjid berkenaan. Penetapan tersebut perlu diurus dengan sempurna dengan merujukkan kepada Pegawai Daerah Muara dan seterusnya dimaklumkan atau diisytiharkan kepada mereka kerana perkara itu menjadi tanggungjawab pemastautin berkenaan.

Walau bagaimanapun, perkara yang akan berbangkit ialah penta‘mîran masjid berkenaan kerana secara praktikalnya perkara tersebut sukar untuk dilaksanakan disebabkan ahli Jumaatnya tinggal jauh dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan banyak masjid lain yang lebih dekat dengan mereka seperti Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al- Muhtadee Billah, Mukim Tamoi dan Masjid Ash-Shaliheen. Penta‘mîran masjid tentu akan terjejas dan fungsinya sebagai tempat beramal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu berjemaah bagi setiap waktu, majlis-majlis ta‘lîm, membaca al-Qur’an dan berdzikrullâh serta lain-lain kegiatan keagamaan akan berkurangan kerana ahli Jumaatnya yang tinggal jauh ini hanya akan datang untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat di masjid berkenaan pada hari Jumaat sahaja bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemastautin tetap. Sedangkan amal ibadat yang lain mereka lakukan di masjid yang mudah mereka kunjungi tanpa mengambil masa yang panjang atau tanpa menghadapi kesesakan kereta di jalan raya.

Oleh kerana pemindahan ahli Jumaat masjid tersebut akan menjadi satu kesan yang kurang baik kepada penta‘mîran masjid Omar ‘Ali Saifuddien, adalah lebih baik penduduk yang ada masa sekarang iaitu yang berada di sekitar Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu dikekalkan. Sekiranya hendak menyesuaikan dengan pembangunan bandar, boleh sahaja misalnya pihak berkenaan merancang pembinaan sebuah perkampungan yang tersusun dan moden reka bentuknya untuk mereka sama ada berbentuk perumahan atau kondominium sesuai dengan perancangan yang diaturkan dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan atau lain-lain cadangan yang difikirkan patut oleh pihak-pihak berkenaan. Tindakan sedemikian juga dirasakan lebih wajar dan sesuai dengan keperluan ta‘mîr sebuah masjid yang sangat indah dan tidak hanya menjadi sejarah dan tempat pelancongan sebagaimana Masjid Muhammad ‘Ali (Qal‘ah) di kota Kaherah, Mesir atau lain-lain masjid yang menerima nasib yang sama seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11969