Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Beberapa Persoalan Perempuan Mewarnakan Rambut

Soalan: 1. Adakah sah nikah seorang perempuan jikalau rambutnya diwarnakan selain daripada warna yang sah di sisi Islam? 2. Adakah sah bagi wanita tersebut mengangkat air sembahyang untuk dibatalkan pengantin lelaki sewaktu upacara nikah berlangsung? 3. Apakah hukum seorang perempuan mewarnakan rambutnya.

Jawapan: 1. Nikah perempuan mewarnakan rambut. Mewarnakan rambut bukan termasuk perkara yang membatalkan nikah. Oleh itu, sah nikah perempuan yang mewarnakan rambut.

2. Wudhu’ perempuan mewarnakan rambut untuk dibatalkan pengantin lelaki. i. Wudhu’ untuk dibatalkan pengantin lelaki. Kita disunatkan untuk sentiasa dalam keadaan berwudhu’. Namun berwudhu’ untuk semata-mata menjalankan akad nikah tidak pula disunatkan. Akad nikah boleh dijalankan dan sah sekalipun dalam keadaan hadas atau tanpa wudhu’. Malah niat wudhu’ semata-mata atas tujuan akad nikah; seumpama seseorang itu berniat: “Aku berniat untuk mengharuskan akad nikah,” adalah tidak sah untuk melakukan sembahyang dengan wudhu’ tersebut kerana niat sedemikian tidak memadai bagi mengangkat hadas. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/163-164, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/235-236 dan Mughni al-Muhtâj: 1/72-73 & 91) Niat wudhu’ yang sah itu hendaklah atas niat: a. Mengangkat hadas atau b. Mengharuskan melakukan sesuatu ibadat yang memerlukan wudhu; seperti: “Aku berniat untuk mengharuskan sembahyang, thawaf dan menyentuh Mushhaf,” atau c. Menunaikan fardhu wudhu’. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/164 dan Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj: 1/228, 230-231)

Upacara membatalkan wudhu’ setelah akad nikah hanyalah perkara adat dan tidak termasuk dalam perkara yang disyariatkan oleh Islam.

Walau bagaimana pun, wudhu’ yang dilakukan dengan niat yang sah (sebagaimana yang dinyatakan) akan batal jika bersentuhan kulit lelaki dan perempuan yang halal nikah. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/224)

ii. Wudhu’ perempuan mewarnakan rambut.

Antara syarat wudhu’ bagi mengangkat hadas kecil ialah hendaklah tiada bahan yang menghalang air mengenai anggota wudhu’; seperti minyak beku. Berkaitan hal ini, air juga wajib sampai ke seluruh anggota badan ketika mandi wajib bagi mengangkat hadas besar. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/223-224, 304, 324-325)

Sehubungan itu, kepala termasuk rambut adalah salah satu anggota badan yang wajib dibasuh keseluruhannya ketika mengangkat hadas besar (mandi wajib), manakala sebahagian kulit kepala atau sebahagian rambut pada had kepala wajib disapu dengan air ketika mengangkat hadas kecil (berwudhu’). (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/248-249 & 324)

Oleh itu, sekiranya pewarna rambut daripada jenis yang tidak menghalang air untuk mengenai kulit atau rambut ketika berwudhu’ dan mandi wajib; seperti halnya kesan inai, maka sah wudhu’ dan mandi wajib tersebut. Namun jika pewarna rambut daripada jenis yang menghalang air untuk mengenai kulit atau rambut, maka tidak sah wudhu’ dan mandi wajib tersebut. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/223-224)

3. Hukum perempuan mewarnakan rambut.

i. Hukum mewarnakan rambut.

Hukum mewarnakan rambut terbahagi seperti berikut:

a. Sunat mewarnakan rambut yang beruban dengan warna kemerahan atau kekuningan. Ini bererti rambut yang tidak beruban tidak perlu diwarnakan kecuali ada keperluan untuk diwarnakan seperti atas tujuan perubatan.

b. Haram mewarnakannya dengan warna hitam. Walau bagaimanapun, keharusan mewarna dengan warna hitam hanya bagi:

- Orang yang berjihâd dalam memerangi orang-orang kafir untuk menampakkan muda dan kuat.

- Isteri dengan izin suami bagi tujuan berhias untuknya.

c. Makruh mempercepatkan uban sama ada menggunakan bahang api atau selainnya (sebagaimana proses bleach iaitu memutihkan atau melunturkan warna dengan mendedahkan kepada sinar matahari atau tindakan kimia) agar nampak tua bagi tujuan dilantik sebagai ketua. (Asnâ al-Mathâlib: 1/551 dan Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim: 9/5726-5727)

Hadits daripada Sayyidina Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu menceritakan peristiwa Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu) yang dibawa ke hadapan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada hari pembukaan Makkah. Pada ketika itu rambut dan janggut beliau dipenuhi dengan uban, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam. (Hadits riwayat Muslim)

Walaupun demikian, perlu juga diingat bahawa pewarna rambut yang hendak digunakan hendaklah bukan daripada jenis yang menghalang air mengenai kulit atau rambut apabila mengangkat hadas kecil atau besar, sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.

ii. Rambut adalah aurat perempuan.

Rambut termasuk dalam aurat perempuan yang wajib ditutup daripada pandangan orang selain mahram dan suami. Oleh itu, di mana sahaja perempuan itu berada, sama ada di dalam atau luar rumah, aurat termasuk rambut perempuan wajib ditutup daripada pandangan orang selain suami dan mahram yang haram dinikahi buat selamanya. Perlu juga diingat bahawa sekalipun di dalam rumah, mahram mu’aqqat iaitu orang-orang yang haram dinikahi buat sementara waktu; seperti suami kepada kakak atau suami kepada ibu saudara, adalah tidak termasuk dalam golongan orang yang diharuskan untuk melihat aurat perempuan tersebut. Oleh yang demikian, perempuan itu wajib memakai tudung dan menutup semua auratnya apabila berhadapan dengan ipar-duainya.

Dari apa yang telah dijelaskan, akad nikah tetap sah sekalipun seseorang itu mewarnakan rambut, dan sama ada dia dalam keadaan berwudhu’ atau tidak. Wudhu’ pula tetap akan batal jika lelaki dan perempuan bukan mahram bersentuhan kulit. Berkenaan hukum mewarnakan rambut, adalah sunat mewarnakan uban dengan warna kemerahan atau kekuningan, manakala haram dengan warna hitam tetapi jika ada izin suami harus mewarna dengan hitam bagi tujuan berhias untuknya dan makruh memutihkan atau melunturkan warna rambut menggunakan bahang api atau bahan kimia agar nampak tua untuk tujuan kepimpinan. Perlu juga dipastikan pewarna rambut hendaklah daripada bahan yang tidak menghalang air daripada mengenai anggota badan ketika mengangkat hadas kecil atau besar bagi tujuan melakukan ibadat seperti sembahyang. Manakala rambut adalah termasuk aurat perempuan yang wajib ditutup daripada pandangan orang selain suami dan mahram yang haram dinikahi buat selamanya, walau di mana perempuan itu berada, sama ada di dalam atau luar rumah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11973