Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Bersanggul Dan Bergunting Rambut

Soalan: Bagaimanakah cara yang sesuai mengenakan tudung menurut syariat Islam kerana saya sendiri mempunyai rambut yang sangat panjang dan perlu disanggul sebelum memakai tudung. Jika rambut saya tidak disanggul ia akan terjuntai/terjurai dan pasti akan menampakkan aurat saya juga?

Suami tidak membenarkan saya untuk memotong rambut kerana menurutnya ia menyalahi syariat Islam iaitu tidak menghargai pemberian Allah.

Jawapan: Wanita secara fitrahnya memang gemar berhias, bermula daripada solekan, aksesori pakaian sehinggalah fesyen dan cara berpakaian. Khusus dalam pemakaian tudung, pelbagai corak dan fesyen telah direka bagi memenuhi keperluan Muslimah, apatah lagi wanita Muslimah pada zaman sekarang lebih memilih dengan gaya berketerampilan sebagai wanita yang bertudung. Berhias tidak salah, malah ia amat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Keharusan berhias ini adalah berdasarkan penjelasan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui firmanNya:

Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mengerjakan sembahyang (dan thawaf), serta makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): “Siapakah yang mengharamkan pakaian dan perhiasan yang disediakan oleh Allah bagi hamba-hambaNya dan rezeki yang baik-baik (lagi halal)?” Katakanlah: “Semuanya itu adalah untuk orang-orang yang beriman (dan yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia, (manakala ni‘mat itu pula) hanya tertentu (untuk orang-orang yang beriman sahaja) pada Hari Kiamat.” Demikianlah Kami menjelaskan satu persatu ayat-ayat keterangan (Kami) bagi kaum yang (mahu) mengetahui. (Surah al-A‘râf: 31-32)

Namun demikian, keharusan mengguna dan memakai perhiasan serta cara menggayakannya hendaklah tidak bertentangan dengan syara‘. Ini kerana Islam telah menggariskan panduan dan persyaratan dalam pemakaian perhiasan yang selaras dan bersesuaian dengan kehendak hukum syara‘.

Pensyariatan dalam pemakaian tudung yang lengkap dan sempurna itu hendaklah ia tidak berlebih-lebihan umpamanya yang boleh menarik perhatian orang dan hendaklah melabuhkannya sehingga ke dada bagi maksud menutup perhiasan wanita dan bukan hanya sekadar menutup rambut tetapi menampakkan leher dan telinga.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Menutup kepala atau bertudung bukanlah semata-mata perhiasan atau aksesori fesyen di kepala, bahkan sebaliknya, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan syara‘ menutup aurat. Adapun pelbagai fesyen dan corak pemakaian tudung yang diolah sekarang sebahagiannya tidak menggambarkan tujuan sebenar iaitu untuk menutup aurat dan mengelakkan fitnah, bahkan sebaliknya menambah fitnah ke atas wanita.

Pemakaian sanggul misalnya sudahpun menjadi trend dan ikutan sekarang di mana wanita-wanita yang bertudung akan mengikat tinggi rambut mereka atau memakai sanggul palsu agar kelihatan lebih cantik dan anggun apabila mengenakan tudung. Semakin tinggi sanggul tersebut ia akan kelihatan lebih cantik dan menarik.

Mengikat rambut tinggi-tinggi atau memakai sanggul palsu dengan tujuan untuk memperagakan kecantikan adalah ditegah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menyatakan dalam hadits Baginda bahawa perempuan yang mengikat rambutnya seperti bonggol atau pundak unta merupakan penghuni neraka. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku melihat kedua-duanya. (pertama) ialah kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang dan (kedua) ialah perempuan yang berpakaian nipis sehingga menampakkan warna kulit (seperti) telanjang berjalan melenggang-lenggok lagi mengajak berbuat perbuatan yang dicela dan menyimpang daripada mentaati Allah. Kepala mereka (rambutnya) sebesar seperti pundak unta yang berjalan melenggang-lenggok (dibesarkannya dengan ikatan rambut atau kain tudung). Mereka ini (perempuan-perempuan tersebut) tidak akan dapat masuk syurga, bahkan mereka tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu boleh dicium sejauh perjalanan begini dan begini. (Hadits riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan pundak unta di dalam hadits tersebut sepertimana menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah membesarkan ikatan getah rambut atau lilitan rambut atau yang seumpamanya. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 7/363)

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna rambut yang panjang tidak boleh disanggul atau diikat. Bagi mengelakkan rambut terjuntai atau terkeluar dari paras kain tudung, maka mengikat atau menyanggulnya adalah lebih selamat selama mana mengikatnya itu tidak terlalu tinggi sehingga menyerupai bonggol atau pundak unta dan ia diikat bukan bertujuan untuk memperagakannya.

Hukum Bergunting Rambut

Setiap perempuan yang bersuami wajib taat kepada suaminya. Setiap apa jua perintah, suruhan atau larangan suami wajib dipatuhi asalkan ia tidak bertentangan dengan syara‘. Isteri yang melanggar perintah dan kehendak suami dihukumkan sebagai nusyûz. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, perbuatan nusyûz merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar dan kewajipan isteri adalah mentaati perintah suami. (Az-Zawâjir:2/90)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), memelihara kehormatan dirinya dan menjaga hak-hak suami ketika suami tidak ada bersamanya dengan pemeliharaan Allah. (Surah an-Nisâ’: 34)

Dalam permasalahan suami melarang isteri daripada menggunting rambutnya, maka wajiblah si isteri menuruti perintah suaminya itu. Si isteri tidak boleh menggunting rambutnya kecuali dengan izin suami atau jika terdapat keuzuran syara‘ yang menghalangnya daripada mentaati perintah suaminya seperti sakit. Akan tetapi perlu diketahui bahawa dakwaan yang menyatakan menggunting rambut itu menyalahi syariat Islam adalah tidak betul sama sekali.

Menggunting rambut tidaklah menyalahi syariat dan tidak pula dianggap sebagai tidak menghargai pemberian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Para isteri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga melakukannya iaitu menggunting rambut mereka sehingga pendek setelah kewafatan Baginda. Ini kerana bagi maksud meninggalkan perbuatan berhias dan mereka tidak lagi berhajat untuk memanjangkannya.

Diriwayatkan daripada Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Tafsirnya: Dan adapun para isteri Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memotong rambut mereka (selepas kewafatan Baginda) sehingga kelihatan pendek. (Hadits riwayat Muslim)

Malah menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh bahawa mencukur rambut bagi perempuan tidak diharamkan, ia hanya dihukumkan makruh jika dilakukan tanpa sebab dharurat. Apabila mencukur tidak diharamkan, maka apatah lagi dengan hanya menggunting rambut. (Mughni al-Muhtâj; 4/374) Dari itu, hadits dan qaul ulama tersebut di atas jelas menunjukkan bahawa menggunting rambut adalah diharuskan dan tidak bertentangan dengan syariat. Walau bagaimanapun, jika suami tidak mengizinkan si isteri menggunting rambutnya, maka isteri wajiblah taat mematuhi larangan suami itu.

Kesimpulan

i. Bersanggul atau mengikat rambut tidaklah salah dan harus dilakukan apatah lagi bagi mereka yang mempunyai rambut yang panjang, maka mengikat atau menyanggulnya amat perlu bagi mengelak daripada terjuntai dan terkeluar dari paras kain tudung. Namun mengikat atau menyanggulnya janganlah terlalu tinggi atau besar sehingga menampakkan seperti pundak unta dan hendaklah bersanggul itu bukan untuk tujuan memperagakan kecantikan.

ii. Hukum bergunting rambut adalah harus dan ia tidak dianggap sebagai tidak menghargai anugerah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Namun jika suami tetap melarangnya, maka isteri wajib mentaatinya kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu yang melibatkan uzur syar‘i seperti sakit dan sebagainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11977