Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Bersolek Bagi Wanita

Soalan: Apakah pandangan Islam mengenai solekan untuk wanita? Baru-baru ini saya telah ditawarkan pekerjaan untuk menubuhkan unit baru dalam syarikat untuk memasarkan solekan wanita yang halal/suci khas ditujukan kepada pelanggan Muslimah.

Kerja ini memerlukan saya untuk kerap belayar keluar negeri - ada kalanya seorang diri dan ada kalanya bersama rakan sekerja (lelaki atau perempuan). Saya telah membaca di halaman internet bahawa wanita tidak dibenarkan belayar tanpa mahram. Apakah tindakan yang sewajarnya dalam memilih pekerjaan tersebut memandangkan saya adalah seorang wanita (bujang)?

Sehubungan dengan itu dipohonkan fatwa atau pandangan Pehin Mufti mengenai perkara-perkara di atas.

Jawapan: Hukum Bersolek Bagi Kaum Wanita

Wanita adalah disyaratkan untuk berhias hanya di dalam rumah dan di hadapan suami atau mahram sahaja. Namun apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, kebanyakan wanita termasuk para isteri hanya berhias apabila mereka hendak keluar dari rumah. Sekaligus, dengan berhias keluar rumah itu, ia boleh menarik perhatian lelaki selain daripada suami sehingga boleh menimbulkan fitnah.

Firman Allah:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu. (Surah al-Ahzâb: 33)

Apa yang dimaksudkan dengan (التَبج الاهلية) iaitu ‘mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah’ itu adalah memperlihatkan kecantikan kepada kaum lelaki selain suami. Memperlihatkan kecantikan itu termasuklah berhias dengan membuka aurat, berjalan dengan gaya menggoda dan memakai pakaian atau alat yang menarik perhatian. Oleh itu, perbuatan sedemikian adalah dilarang. (Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl Ây al-Qur’ân: 22/6-7, al- Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 14/180 dan Tafsîr al -Qur’ân al-‘Azhîm: 11/152)

Antara perkara yang boleh menarik perhatian itu ialah seperti berhias dengan alat solek, tambah pula dilarang jika bersolek menggunakan cara yang diharamkan dalam Islam.

Cara bersolek yang diharamkan sama ada ke atas wanita yang tidak mempunyai suami dan juga ke atas wanita bersuami tanpa izin suaminya itu adalah:

1. Bersolek dengan memerahkan pipi dan bergincu bibir, apatah lagi jika memerahkan muka begitu tebal, atau terlalu menyerlahkan warna-warni.

2. Mencabut atau mencukur bulu muka termasuk bulu kening bagi tujuan kecantikan, akan tetapi jika tumbuh bulu di muka seperti misai atau janggut, sunat pula mencabutnya.

3. Mengikalkan rambut yang lurus termasuk melentikkan bulu mata yang lurus.

4. Menyambung rambut termasuk bulu mata dengan bulu binatang suci.

Manakala menyambung rambut dengan rambut manusia hukumnya adalah haram secara mutlak (sama ada dengan izin suami atau tidak) kerana menjaga kemuliaan anggota manusia. Manakala menyambung rambut dengan bulu bangkai adalah haram kerana kenajisan bulu bangkai tersebut.

Namun, harus mengikat rambut dengan tali atau benang sutera yang berwarna dan seumpamanya selagi ia tidak menyerupai rambut. Jika ia menyerupai rambut (atau bulu mata umpamanya), hendaklah dengan izin suami.

Hadits daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Dilaknat wanita yang menyambung rambutnya, wanita yang meminta supaya rambutnya disambungkan, wanita yang mencabut bulu muka, wanita yang meminta supaya bulu mukanya dicabut, wanita yang mentatu kulit dan wanita yang meminta supaya kulitnya ditatu, bukan atas tujuan perubatan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Antara sebab kaedah-kaedah tersebut juga dilarang ialah kerana terdapat unsur penipuan dan mendedahkan kepada tohmahan.

Walau bagaimana pun, bagi wanita yang bersuami, jika diizinkan suami, hukumnya adalah harus bersolek dengan kaedah-kaedah yang telah disebutkan melainkan menyambung rambut dengan rambut manusia dan bulu bangkai. Namun perlu diingat, keharusan dengan izin suami tersebut adalah atas tujuan berhias untuk suami di dalam rumah, bukan di luar rumah dan bukan untuk orang lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/24-5, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 2/151-2, Asnâ al-Mathâlib: 1/173, Mughni al-Muhtâj: 1/265, al-Majmû‘: 3/145 dan Syarh Shahîh Muslim: 9/5768-5770)

Pemasaran Solekan Wanita

Memandangkan realiti kehidupan masa kini, kebanyakan wanita bukan hanya bersolek untuk suami di dalam rumah, tetapi juga bersolek di luar rumah terutama bagi gadis-gadis muda yang suka kelihatan cantik di kalangan teman-teman dan ingin mencuba solekan baru yang bermacam warna dan gaya.

Oleh yang demikian, pemasaran alat solek akan lebih menggalakkan orang ramai untuk bersolek di luar rumah. Ini adalah berlawanan dengan syara‘, sekalipun alat solek itu suci apatah lagi jika najis. Melainkan pemasarannya dikhususkan kepada wanita bersuami bagi kegunaannya berhias untuk suami, atas izin suami dan di dalam rumah, namun ini jarang sekali berlaku.

Maka, adalah wajar pekerjaan yang ditawarkan kepada Dayang yang menyoal bagi memasarkan solekan yang suci itu ditimbangkan sebagai langkah menghindarkan diri daripada menjadi penggalak orang ramai melakukan perkara haram.

Hukum Perempuan Belayar

Adapun kewajaran untuk menimbangkan tawaran berkenaan juga adalah disebabkan pekerjaan tersebut memerlukan Dayang kerap belayar ke luar negara - seorang diri atau bersama rakan sekerja (lelaki atau perempuan). Perkara ini menyalahi adab belayar bagi seorang wanita bujang yang sepatutnya belayar berserta mahramnya.

Hukum perempuan belayar seorang diri tanpa ditemani oleh suami atau mahram adalah haram. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/250)

Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan, kecuali ada bersamanya (perempuan itu) mahram. Dan jangan seorang perempuan belayar kecuali bersama mahram. Lalu berdiri seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteriku pergi untuk menunaikan fardhu haji sedang aku diwajibkan untuk mengikuti peperangan sekian dan sekian”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pergilah! Kerjakan haji bersama isterimu!” (Hadits riwayat Muslim)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11981