Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Bertepuk Tangan Dan Bersiul

Soalan: Bolehkah kita bertepuk tangan dan bersiul?

Jawapan: Perbuatan bertepuk tangan dan bersiul merupakan antara perbuatan semula jadi manusia sepertimana juga perbuatan berdiri, duduk, berlari, berjalan, melompat, bercakap dan lain-lain seumpamanya. Khusus mengenai perbuatan bertepuk tangan dan bersiul ia mengandungi berbagai-bagai tujuan. Ia dilakukan dalam keadaan yang berbeza-beza mengikut kehendak si pelaku. Manakala hukum melakukannya pula adalah juga berbeza mengikut tujuan kenapa ia dilakukan.

Perbuatan bertepuk tangan dan bersiul merupakan salah satu amalan kaum musyrikin dalam beribadat.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tidaklah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa disebabkan kekufuran kamu. (Surah al-Anfâl: 35)

Berkata Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, kaum Quraish Jahiliah melakukan thawaf di Baitullah dengan keadaan yang tidak berbaju, bertepuk tangan dan bersiul. Pada sangkaan mereka, perbuatan mereka itu adalah satu ibadat. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 7/2206)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, perbuatan bertepuk tangan dan bersiul itu jika dilakukan dalam ibadat adalah menyerupai perbuatan kaum musyrikin. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 7/2207)

Walau bagaimanapun, dalam syariat Islam, perbuatan menepuk tangan di dalam sembahyang bagi tujuan memberi peringatan adalah dibolehkan. Adapun hukumnya pula berbeza-beza berdasarkan kepada perkara yang diberi peringatan. Adakalanya bertepuk tangan itu sunat jika peringatan itu berupa perkara taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Umpamanya sunat bertepuk tangan kerana memberi peringatan kepada imam jika dia terlupa dalam sembahyang. Adakalanya pula diharuskan jika peringatan itu berupa perkara yang harus seperti memberi peringatan atau isyarat kepada orang yang meminta izin untuk masuk dan adakalanya pula dihukumkan wajib jika peringatan itu berupa perkara yang wajib seperti memberi peringatan orang buta jika ditakuti akan berlaku bahaya ke atasnya. (Mughni al- Muhtâj: 1/416-417, Hâsyiatâ Qalyubi wa ‘Umairah: 1/279 dan Fath al-‘Allâm: 2/445)

Adapun menepuk tangan itu hanya dikhususkan bagi perempuan sahaja iaitu dengan memukulkan perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kirinya.

Adapun bagi kaum lelaki pula, jika berlaku sesuatu perkara di dalam sembahyang yang memerlukan peringatan seperti mengingatkan imam apabila dia lupa, maka makmum lelaki akan mengucapkan سبحان هللا dengan tujuan membaca zikir dan memberi ingat bukan dengan menepuk tangan.

Perkara ini ada dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Mengucapkan tasbîh itu untuk lelaki dan bertepuk itu untuk perempuan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Maka hukum bertepuk tangan dan bersiul jika dilakukan dalam ibadat adalah haram kerana menyerupai perbuatan kaum musyrikin melainkan bagi kaum perempuan dalam sembahyang berjemaah, mereka disunatkan menepuk tangan untuk memberi peringatan kepada imam jika imam terlupa ketika dalam sembahyang.

Bertepuk Tangan Dan Bersiul Di Luar Ibadat

Jika dilihat senario sekarang, tujuan perbuatan bertepuk tangan ini bukanlah kerana ibadat, tidak juga kerana hendak bertaqarrub kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tetapi ia lebih bercorak sebagai penghormatan sahaja terhadap seseorang atau apa yang dipersembahkan dalam suatu majlis, jika perkara itu layak diberikan tepukan. Ia merupakan satu cara untuk melahirkan rasa kagum atau penghargaan di dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan bukannya pada perkara-perkara yang mengandungi kemungkaran atau perbuatan haram.

Dinukilkan fatwa Imam ar-Ramli Rahimahullâh Ta‘âlâ dalam kitab Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Ibadi:

Ertinya: Dalam fatwa م ر (Imam ar-Ramli Rahimahullâh Ta‘âlâ) tatkala ditanyakan mengenai dengan bertepuk tangan di luar sembahyang tanpa hajat, maka beliau menjawab: “Jika maksud seorang lelaki itu dengan yang demikian itu (bertepuk tangan) hanya untuk bermain-main (sehingga leka dan lalai) atau menyerupai dengan perempuan, maka hukumnya adalah haram, jika tidak, maka hukumnya adalah makruh.” (Hawâsyi asy- Syarwani wa ibnu Qasim al-‘Ibadi: 2/177)

Berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahumallâhu Ta‘âlâ yang dinukilkan dalam kitab Hâsyiyatâ Qalyubi wa ‘Umairah:

Ertinya: Ibnu Hajar berkata: “Dimakruhkan bertepuk tangan di luar sembahyang secara mutlak (umum), walaupun dengan memukulkan perut telapak tangan ke perut telapak tangan sebelah, dan (walaupun) dengan tujuan bermain-main, iaitu dengan (cara menepuk) jarak salah satu kedua tangan berada jauh dari yang lain (menghasilkan bunyi yang agak kuat).” (Hâsyiatâ Qalyubi wa ‘Umairah: 1/279)

Dinukilkan pula perkataan para ulama dalam kitab Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib:

Ertinya: Berkata م ر (Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ): “Bertepuk tangan dengan tujuan bermain-main adalah haram di luar sembahyang melainkan Birmawi menghukumkan makruh manakala dinukilkan daripada Ibnu Hajar, makruh secara mutlak (umum) dan selain beliau pula menghukumkan haram secara mutlak. Adapun yang dikatakan haram itu ialah jika bertepuk tangan dilakukan tanpa hajat, tetapi jika ia dilakukan kerana ada hajat, maka ia adalah harus seperti bertepuk tangan dalam majlis zikir sepertimana yang diberitahu oleh guru kita.” (Hâsyiah Bujairimi ‘ala al-Khatib: 2/98)

Berkata asy-Syeikh ‘Ali ath-Thanthawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, pada dasarnya tepuk tangan itu sendiri tidak haram. Yang haram itu adalah jika tepuk tangan itu menjadi perbuatan ibadat atau sarana untuk berbuat haram. Tetapi tepuk tangan untuk memberi penghargaan kepada penceramah misalnya, tidak sedikitpun mengandungi hal-hal yang diharamkan. (Fatâwâ ‘Ali ath-Thanthawi: 313)

Walau bagaimanapun, bertepuk tangan di dalam masjid adalah dilarang sekalipun kerana memberi penghargaan kepada penceramah dan seumpamanya. Ini kerana masjid merupakan tempat suci yang perlu dipelihara daripada apa jua bentuk gangguan sama ada ia boleh mengganggu orang yang berada di dalamnya mahupun demi menjaga kehormatan masjid itu sendiri.

Larangan tersebut adalah melihat kepada hukum menyaringkan suara di dalam masjid kerana berzikir atau membaca al-Qur’an. Berdo‘a atau berzikir dengan suara yang nyaring tidaklah ditegah, namun jika ia boleh mengganggu orang yang berada di dalam masjid hukumnya boleh berubah menjadi makruh dan malah boleh membawa kepada haram.

Asy-Syeikh al-‘Allâmah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani Rahimahullâh berfatwa:

Ertinya: Tidak dihukumkan makruh menyaringkan suara di dalam masjid dengan zikir atau yang seumpamanya seperti membaca al-Qur’an melainkan jika (perbuatan itu) mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Bahkan jika ia terlalu mengganggu, maka hukumnya adalah haram, maka hendaklah ditegah daripada melakukannya ketika itu sebagaimana jikalau seseorang duduk selepas azan berzikir kepada Allah Ta‘ala dan semua orang yang datang hendak menunaikan sembahyang pun ikut duduk bersama-samanya berzikir (sehingga perbuatan mereka itu) mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang. (Tetapi) jikalau ianya tidak mendatangkan apa-apa gangguan, maka ia adalah diharuskan, bahkan disunatkan. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 66)

Jika bacaan zikir atau al-Qur’an selaku ibadat adakalanya dihukumkan makruh atau haram apabila ia boleh mengganggu orang lain yang sedang berada di dalam masjid, apatah lagi perbuatan bertepuk tangan yang jelas dilihat bukan sebagai ibadat. Ia juga dilihat lebih daripada mendatangkan gangguan dan boleh menjejaskan kehormatan masjid yang sepatutnya berkeadaan hening, bukannya hingar-bingar dan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara keduniaan serta perkara-perkara melekakan.

Dari itu, berdasarkan kata-kata ulama di atas mengenai dengan bertepuk tangan di luar ibadat, ia adalah harus jika terdapat hajat kepadanya dan ia dilakukan pada perkara-perkara yang baik bukannya pada perkara-perkara yang dilarang syara‘ dan bukannya dilakukan di dalam masjid. Umpamanya, bertepuk tangan untuk memberi galakan atau penghargaan atau pujian kepada peserta yang mempersembahkan hasil kerja yang baik dalam sesebuah pertandingan ilmiah. Namun jika seseorang itu bertepuk tangan dengan tiada keperluan kepadanya seperti hanya untuk bermain-main atau menyerupai perbuatan perempuan semasa bersembahyang maka sesetengah ulama menghukumkan haram dan sesetengah lagi menghukumkan makruh.

Hukum Bersiul Adapun perbuatan bersiul pula, sepertimana perbuatan bertepuk tangan, tujuannya bukanlah kerana ibadat, bahkan sebaliknya ia dilakukan kerana keseronokan semata-mata dan ada kalanya kerana keperluan atau hajat.

Bersiul di luar ibadat hukumnya adalah harus sepertimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah masuk menemuiku, yang mana di sisiku ada dua orang kanak-kanak perempuan yang sedang bernyanyi dengan nyanyian Bu‘âts, (nyanyian yang dinyanyikan oleh bangsa Aus ketika memperolehi kemenangan besar dalam peperangan melawan suku Khazraj). Kemudian Baginda berbaring di atas tilam dan memalingkan wajahnya. Lalu Abu Bakar masuk dan dia mengherdikku dan berkata: “Seruling syaitan di sisi Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam?” Rasulullah kemudian menghadap Abu Bakar lalu Baginda bersabda: “Biarkan kedua-dua anak perempuan itu”. Ketika Baginda terlena (mengantuk), aku memberi isyarat dengan mata kepada dua anak itu lalu mereka pun keluar. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Namun siulan atau nyanyian yang diharuskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu ialah siulan dan nyanyian kanak-kanak pada Hari Raya sebagai tujuan merehatkan jiwa dan badan daripada melakukan ibadat puasa serta melahirkan rasa kegembiraan dan kebahagiaan kerana bergembira pada Hari Raya itu merupakan syi‘ar agama Islam. (Fath al- Bâri: 3/116-117)

Begitu juga melakukannya kerana ada hajat kepadanya umpamanya, bersiul untuk menternak binatang, seperti memanggil kambing atau memelihara burung juga adalah diharuskan. Ini kerana menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh Rasulullah tidak melarang kanak-kanak tersebut bersiul dan bernyanyi menunjukkan bahawa Baginda membenarkan perkara itu selama mana bukan pada perkara yang melalaikan dan sia-sia. (Fath al-Bâri: 3/116-117)

Manakala jika tidak ada keperluan hajat padanya, bahkan hanya sekadar untuk berseronok-seronok dan menyerupai cara peribadatan kaum musyrikin atau melakukannya pada perkara yang dilarang syara‘ seperti mengganggu atau menyakiti hati orang lain, maka hukumnya adalah haram. Perbuatan bersiul itu sendiri dikaitkan dengan syaitan kerana ia melalaikan dan boleh mengalihkan hati daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Fath al-Bâri: 3/116)

Kesimpulan Hukum bertepuk tangan dan juga bersiul adalah haram jika ia dilakukan ketika dalam peribadatan kerana ia menyerupai kaum musyrikin kecuali bertepuk tangan diharuskan bagi kaum perempuan melakukannya ketika dalam sembahyang apabila memberi peringatan kepada imam.

Manakala hukum bertepuk tangan dan bersiul di luar ibadat itu adalah mengikut tujuan atau maksud orang yang melakukannya dan bukannya datang daripada perbuatan itu sendiri. Ini kerana bersiul itu harus bagi kanak-kanak dan harus apabila ada hajat keperluan kepadanya, manakala jika sebaliknya, maka ia adalah diharamkan.

Begitu juga bertepuk tangan itu menjadi harus apabila dilakukan kerana keperluan atau hajat kepadanya. Manakala jika ia dilakukan bagi tujuan sekadar untuk bermain-main atau menyerupai perbuatan perempuan semasa bersembahyang maka sesetengah ulama menghukumkan haram dan sesetengahnya lagi menghukumkan makruh.

Walau bagaimanapun, menurut akhlak Islam, untuk melahirkan rasa kagum atau penghargaan terhadap sesuatu perkara kebaikan itu ialah dengan mengucapkan zikir seperti bertasbîh atau bertakbîr, bukannya dengan bertepuk tangan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11985