Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Hukum Memakai Veneer Pada Gigi Dan Menanggalkannya Daripada Mayat

Soalan: Apakah hukum memakai ‘veneer’ pada gigi dan perlukah ‘veneer’ tersebut ditanggalkan jika seseorang muslim itu meninggal dunia?

Jawapan: Veneer gigi dalam istilah bidang pergigian ialah sejenis alat pelapis nipis tiruan yang melapisi gigi dengan cara melekatkannya di permukaan gigi asal. Ia digunakan sebagai alternatif untuk memperelokkan gigi atau memelihara dan melindungi permukaan gigi daripada rosak. Veneer gigi biasanya diperbuat daripada porselin dan bahan-bahan resin.

Adapun porselin ialah sejenis bahan yang dibuat daripada campuran tanah liat, kuarza (sejenis galian) dan lain-lain yang dipanaskan sehingga menjadi pepejal putih yang licin dan keras, manakala resin pula ialah damar (bahan berupa getah keras yang diperoleh daripada beberapa jenis pokok) yang dibuat secara sintetik, digunakan sebagai bahan asas dalam membuat barangan plastik dan sebagainya. (Kamus Dewan: 309, 1226 &1324)

Terdapat dua cara dalam pemasangan veneer iaitu pemasangan kekal di mana veneer akan dilekatkan menggunakan pelekat khas pada permukaan gigi tanpa boleh ditanggalkan, manakala pemasangan sementara ialah veneer yang dibentuk dan diperbuat daripada bahan resin fleksibel yang boleh digunapakai dan ditanggalkan bila-bila masa sahaja dengan mudah.

Hukum Memakai Veneer

Memakai veneer bagi maksud untuk melapisi atau mengukuhkan gigi yang rosak, pecah atau tercabut adalah harus. Hal ini pernah dilakukan oleh beberapa para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya ialah ‘Utsman bin ‘Affan dan Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhumâ yang menggunakan pelapis gigi seumpama veneer atau crown yang diperbuat daripada emas sebagai pengukuh gigi dan tindakan mereka itu tidak diingkari oleh seorang pun daripada kalangan para sahabat yang lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/91 dan Tuhfah al-Ahwadzi: 5/387)

Perkara ini disebutkan dalam atsar daripada Waqid bin ‘Abdullah at-Tamimi Radhiallâhu ‘anhu, seorang tâbi‘ tâbi‘în:

Maksudnya: Daripada seseorang (daripada kalangan tâbi‘în) yang melihat bahawa ‘Utsman bin ‘Affan telah melapisi gigi-gigi beliau dengan emas. (Hadits riwayat Ahmad)

Keharusan memakai veneer ini adalah khusus bagi mereka yang memakainya kerana tujuan perubatan iaitu untuk melapisi atau mengukuhkan gigi yang sudah rosak atau patah. Manakala bagi tujuan untuk berhias atau untuk kelihatan cantik dan bermegah-megah tanpa sebarang sebab perubatan seperti kerana rosak, sakit atau sebagainya, maka memakai veneer adalah diharamkan baik ke atas lelaki mahupun perempuan.

Hal ini ada disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam perkara haram mengganti sebatang jari dengan emas bagi tujuan berhias dalam kitabnya:

Ertinya: (Tidak sebatang jari) dan dua ruas hujung jari daripadanya (daripada sebatang jari), maka tidak harus daripada emas, juga tidak daripada perak, kerana ia tidak berfungsi, maka (penggunaan emas padanya) adalah semata-mata bertujuan untuk perhiasan. Berlainan dengan (keharusan penggunaan emas pada) gigi dan satu ruas hujung jari (daripada sebatang jari), maka sesungguhnya ia boleh bergerak (berfungsi). (Nihâyah al- Muhtâj: 3/91-92)

Adakah Veneer Perlu Dicabut Ketika Meninggal Dunia

Memuliakan dan menghormati sesama manusia adalah wajib tidak kira ketika semasa hidupnya mahupun setelah kematiannya. Dari itu, apabila menguruskan jenazah seseorang hendaklah ia dilakukan dengan berhati-hati, lemah lembut, tidak kasar dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemari dan mencabuli kehormatan jenazah. Adalah berdosa kita menyakiti mayat kerana dosanya sama seperti dosa kita menyakitinya semasa hidupnya. Menurut Ibnu Malik, mayat juga akan merasai kesakitan apabila disakiti. (Mughni al-Muhtâj: 2/9 dan ‘Aun al-Ma‘bûd: 9/19)

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Memecah-mecahkan tulang mayat umpama memecah-mecahkannya ketika hidupnya.

(Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dalam urusan pengebumian jenazah tidak terdapat pensyaratan yang mewajibkan agar membuka atau menanggalkan apa-apa jua anggota yang palsu seperti gigi, hidung, kaki dan sebagainya. Malah mengebumikan jenazah dengan sesuatu yang berharga seperti emas, perak, sutera dan sebagainya dengan tujuan memuliakan jenazah itu adalah boleh walaupun makruh hukumnya.

Menurut para ulama, adalah harus memakaikan jenazah dan dikebumikan bersama-sama dengannya barang-barang yang diharuskan ia memakainya semasa hidupnya sekalipun dengan barang yang berharga seperti sutera, emas (bagi jenazah perempuan dan kanak-kanak), perak dan sebagainya dengan syarat ahli waris merelakannya dan si mati tidak mempunyai tanggungan hutang. Perkara ini tidak boleh dikatakan sia-sia atau membazirkan harta kerana ia dilakukan untuk satu tujuan yang diharuskan iaitu untuk menghormati dan memuliakan jenazah. Adapun yang dikatakan sia-sia dan haram melakukan pembaziran itu adalah jika ia dilakukan tanpa tujuan tertentu. Pun begitu, perbuatan mengebumikannya bersama barang berharga itu adalah makruh. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/136- 137, Hâsyiah al-Bajuri: 1/248 dan Mughni al-Muhtâj: 1/406 & 2/9)

Manakala jika benda atau anggota palsu tersebut diperbuat daripada najis, maka wajiblah ia dicabut melainkan jika mencabutnya itu boleh memudharatkan jenazah. Sebagai contoh, tulang yang bersambung dengan sesuatu yang najis, maka tidaklah wajib dicabut atau ditanggalkannya menurut pendapat yang shahîh. Ini adalah bertujuan untuk memuliakan dan menghormati jenazah. (Mughni al-Muhtâj: 1/406)

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan iaitu adakah veneer perlu ditanggalkan daripada si mati? Berdasarkan daripada keterangan yang dijelaskan, tidak kira sama ada veneer tersebut daripada jenis yang berharga ataupun tidak, bahawa apabila ia mudah ditanggalkan tanpa memudharatkan jenazah, maka harus ditanggalkan. Sebaliknya, jika menanggalkannya itu boleh merosakkan keadaan jenazah dan mencabuli kemuliaannya, maka tidak harus dan haram menanggalkannya kecuali jika ia dimiliki oleh orang lain dan dituntut oleh pemiliknya.

Perkara ini ada disebutkan oleh para ulama dalam perkara jenazah yang tertelan permata atau barang berharga, iaitu jika benda berharga yang tertelan itu:

i. Milik si mati, maka tidak boleh digali semula kuburnya dan tidak boleh dibelah si mati sekalipun si mati mempunyai tanggungan hutang kerana harta tersebut sudah dianggap rosak semasa hidupnya.

ii. Milik orang lain dan barang tersebut dituntut oleh pemiliknya, malahan tidak ada orang mahupun warisnya yang mahu menggantikan barang tersebut, maka yang mu‘tamad adalah wajib digali semula kubur tersebut dan dibelah jenazah tersebut untuk mengambil barang yang tertelan itu dan diserahkan kepada pemiliknya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/244 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/40)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11989