Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Menggunakan Kaki Palsu

Soalan: Anak saya mengalami penyakit Tibial Hemimelia iaitu kedua-dua kaki yang tidak normal, struktur tulang tidak stabil dan tiada satu tulang betis di kedua-dua kaki. Mengikut pakar-pakar, potensi untuk berjalan secara normal apabila besar nanti adalah 50-50. Pelbagai pilihan diberikan, tetapi pilihan terakhir ialah dengan memotong kedua-dua kakinya dan digantikan dengan kaki palsu.

Apakah hukumnya sekiranya saya dan isteri membuat keputusan agar anak kami menggunakan kaki palsu? Niat kami hanyalah ingin memberikan yang terbaik buatnya, di samping melihatnya boleh berdikari tanpa banyak menyusahkan orang lain apabila dewasa kelak.

Jawapan: Hukum Memotong Anggota Badan

Hukum orang yang merdeka, bâligh dan berakal memotong anggota lebih pada anggota badan atau memotong anggota badan yang rosak atau terkena penyakit, sama ada dia memotongnya sendiri atau orang lain memotongkannya atas izinnya, atas tujuan keselamatan dan menghilangkan kesakitan, terbahagi kepada enam keadaan berikut:

1. Haram memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa memotong anggota tersebut adalah membahayakan, sedang membiarkannya (tidak memotong) adalah tidak memudharatkan atau membahayakan.

2. Haram memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa bahaya atau mudharat memotong anggota tersebut lebih besar berbanding bahaya membiarkannya.

Hukum haram memotong dalam dua keadaan di atas ialah kerana tindakan memotong anggota itu akan mengakibatkan kebinasaan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya:...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan... (Surah al-Baqarah: 195)

3. Wajib memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa membiarkan (tidak memotong) anggota tersebut adalah membahayakan.

4. Wajib memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa bahaya membiarkan (tidak memotong) anggota tersebut lebih besar daripada bahaya memotongnya, menurut pendapat shahîh.

5. Harus memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa kemungkinan kedua-duanya sama-sama membahayakan, iaitu membiarkan dan memotong anggota tersebut adalah pada tahap sama-sama membahayakan, menurut pendapat ashah.

6. Harus memotong, jika menurut ahli perubatan bahawa memotong itu tidak memudharatkan atau membahayakannya, sedang hasil membiarkannya (tidak memotong) tidak diketahui atau tiada bahaya pada memotong dan membiarkannya.

Dalam hal ini, maksud “ahli perubatan” ialah orang yang mempunyai ilmu dalam bidang perubatan berkenaan dan sifatnya jujur lagi benar di dalam pertuturan serta memadai jumlahnya seorang. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/243, Asnâ al-Mathâlib: 4/163, Mughni al-Muhtâj: 4/250 dan Hâsyiyatâ al-Qalyubi wa ‘Umairah: 4/318)

Hukum Bapa Memotong Anggota Badan Anak

Hukum seorang bapa dan datuk (bapa kepada bapa) hingga ke peringkat atas, serta ibu yang telah diwasiatkan oleh bapa, untuk memotong anggota badan yang tumbuh lebih atau rosak atau terkena penyakit daripada anaknya yang kecil atau gila, ialah:

1. Wajib memotong, sekalipun membahayakan, tetapi bahaya tersebut akan bertambah besar jika dibiarkan (tidak dipotong). Ini kerana bapa dan datuk berhak mengatur dan memelihara harta anaknya yang kecil dan yang gila, apatah lagi memelihara anggota badan anak itu. Tindakan memotong itu juga memerlukan pertimbangan yang teliti dan kasih sayang sempurna yang tidak didapati selain daripada bapa dan datuk, sebagaimana seorang bapa dan datuk diharuskan mengahwinkan anak perempuannya yang kecil, sedang orang lain selain mereka tidak diharuskan melakukan hal sedemikian.

2. Haram memotong, jika dengan memotongnya akan membahayakannya, atau bahaya memotong lebih besar daripada membiarkannya.

3. Haram memotong, jika kemungkinan bahaya antara memotong dan membiarkannya adalah sama. Berbeza dengan masalah orang yang merdeka, bâligh dan berakal yang telah disebutkan sebelum ini, mereka diharuskan memotong anggota itu kerana orang yang membuat keputusan memotong itu adalah diri mereka sendiri. Sedang dalam masalah anaknya yang kecil atau yang gila, orang yang membuat keputusan memotong itu bukan diri si anak sendiri, tetapi bapa atau datuknya. Oleh itu sebagai langkah berhati-hati, dalam kemungkinan bahaya antara memotong dan membiarkan adalah pada tahap yang sama, haram ke atas bapa memotongnya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/244, Mughni al-Muhtâj: 4/250 dan Hasyiyatâ al-Qalyubi wa ‘Umairah: 4/319)

Mengenai hukum berubat dan keizinan untuk pihak perawat atau doktor membuat rawatan perubatan ke atas pesakit, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ketujuh di Jeddah, pada 7-12, Zulkaedah 1412H bersamaan 9-14 Mei, 1992M telah mengeluarkan satu resolusi, antara lain menyatakan:

Keizinan pesakit untuk menjalani rawatan hendaklah menjadi syarat jika dia seorang yang berkelayakan (untuk memberi izin). Jika pesakit adalah seorang yang tidak atau kurang berkelayakan (untuk memberi izin seperti kanak-kanak atau orang gila), maka izin walinyalah yang dii‘tibâr menurut susunan urutan wali dalam hukum syara‘, dan tindakan wali itu hendaklah bersesuaian dengan perkara yang ada kemashlahatan, faedah dan menghilangkan kesakitan orang yang di bawah jagaannya itu. (Qarârât wa Taushîyât Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi: 67 (5/7))

Hukum Menyambung Kaki Palsu

Kaki palsu itu diperbuat sama ada daripada benda suci atau benda najis. Sekiranya ia diperbuat daripada benda suci, maka tiada masalah dalam menggunakannya. Manakala jika ia diperbuat daripada benda najis, maka ia mempunyai hubung kait dengan sah atau tidak sembahyang seseorang kerana salah satu syarat sah sembahyang itu hendaklah suci daripada najis. Berikut diterangkan lebih lanjut mengenai menyambung tulang dengan tulang najis dan tulang manusia kerana keperluan terhadapnya:

1. Dimaafkan seseorang menyambung tulangnya dengan tulang najis, sekalipun tulang tersebut daripada najis mughallazhah (anjing atau khinzîr), jika tiada benda suci yang sesuai dan dia berhajat menyambung dengannya; seumpama seorang yang berpengalaman lagi dipercayai mengatakan tulang najis tersebut lebih cepat menyembuhkan atau ada benda suci tetapi ia daripada anggota manusia, maka sah sembahyangnya menanggung tulang najis tersebut kerana dharurat dan tidak wajib dia menanggalkannya.

Sekiranya terdapat tulang bangkai dan tulang daripada najis mughallazhah yang sesuai dalam penyembuhan, wajib didahulukan memilih tulang bangkai, manakala sekiranya terdapat tulang bangkai daripada binatang yang harus dimakan seperti lembu dan tulang bangkai daripada binatang yang tidak harus dimakan selain najis mughallazhah seperti harimau, boleh memilihsalah satu di antara kedua-duanya. Demikian juga, wajib didahulukan memilih khinzîr berbanding anjing.

Akan tetapi sekiranya dia menyambung tulang najis itu sedangkan ada benda suci yang boleh digunakan atau dia tidak sangat berhajat kepada tulang najis itu tetapi disambungnya juga, maka wajib dia menanggalkan tulang yang najis itu, jika tidak ditakuti akan berlaku mudharat yang nyata. Sembahyangnya pula tidak sah selagi dia masih menanggung najis tersebut sedangkan ia mudah untuk ditanggalkan. Sekiranya dia takut akan berlaku mudharat seperti mencacatkan atau melambatkan kesembuhan, tidak wajib dia menanggalkannya kerana keuzuran tetapi haram hukumnya dan sah sembahyangnya tanpa perlu diulang. Demikian juga, jika dia takut akan berlaku mudharat, kemudian dia meninggal dunia, maka najis yang disambungkan itu tidak perlu ditanggalkan menurut pendapat shahîh.

2. Haram menyambung tulang manusia dengan tulang manusia yang lain, sekalipun tulang itu daripada manusia yang tidak dihormati seperti orang murtad dan kafir harbi, serta wajib ditanggalkan apabila telah disambungkan. Sekiranya ada tulang najis yang sesuai dan ada juga tulang manusia, wajib didahulukan dan digunakan tulang najis yang sesuai itu sekalipun tulang tersebut daripada najis mughallazhah (anjing atau khinzîr).

Akan tetapi jika tidak didapati tulang yang sesuai selain daripada tulang manusia, harus menyambung dengan tulang manusia yang telah mati berbanding yang hidup dan tulang manusia kafir berbanding selainnya, sebagaimana harus bagi orang yang dalam keadaan dharurat memakan bangkai manusia ketika ketiadaan selainnya. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtâj: 2/148-150)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya: Tetapi sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-An‘âm: 145)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, harus tuan yang bertanya memotong kaki anak tuan sekiranya pakar perubatan menyatakan ada mashlahat atau keperluan kepadanya dan tiada mudharat atau bahaya pada memotong kaki anak tuan itu. Malah hukum memotongnya menjadi wajib jika membiarkannya (tidak memotong) akan mendatangkan bahaya yang lebih besar berbanding memotongnya.

Manakala mengenai menyambungnya dengan kaki palsu, sekiranya terdapat kaki palsu yang diperbuat daripada bahan suci yang sesuai dalam proses rawatan, adalah wajib didahulukan memilih kaki suci tersebut berbanding kaki palsu yang diperbuat daripada najis dan tulang manusia, sepertimana yang telah dijelaskan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11993