Hukum Menggunakan Selimut Atau Cadar Yang Kandungannya 100% Sutera
Soalan: Adakah ‘duvet’ iaitu selimut/cadar yang diisi dengan 100% sutera dapat digunakan jika kain selimutnya bukan sutera dan hanya kandungannya sutera?
Jawapan: Menggunakan sutera sebagai pakaian, hamparan seperti cadar, selimut dan apa jua bentuk penggunaan lain adalah harus bagi kaum perempuan dan haram bagi kaum lelaki kerana ada nash yang melarangnya demikian. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/373-374 dan Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/125)
Hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengambil sutera dengan tangan kiri Baginda dan emas dengan tangan kanan Baginda, kemudian Baginda mengangkat kedua-duanya lalu bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kedua-dua ini adalah haram ke atas kaum lelaki umatku, halal bagi kaum perempuan mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Manakala berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Sayyidina Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang kami minum dan makan dengan menggunakan bejana emas dan perak, memakai sutera dan pakaian yang ditenun daripada sutera dan duduk di atasnya (sutera).
Kaum lelaki adalah diharamkan menggunakan sutera kerana terdapat unsur berlebih-lebihan, bermegah dan menyerupai perhiasan kaum perempuan. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/373)
Walau bagaimanapun, dikecualikan pengharaman menggunakan sutera bagi kaum lelaki apabila terdapat hajat (keperluan) untuk menggunakannya seumpama lelaki yang berpenyakit kulit yang terpaksa menggunakan kain sutera sebagai pakaian kerana kain selain sutera akan menyakiti kulitnya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/124)
Perkara ini disebutkan dalam hadits daripada Sayyidina Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memberi kelonggaran kepada ‘Abdul Rahman bin ‘Auf dan az-Zubair memakai pakaian daripada sutera kerana penyakit kudis yang mereka berdua hidapi.
Berkenaan soalan yang diajukan, adakah selimut atau cadar yang diisi dengan 100% sutera dapat digunakan jika kain selimutnya bukan sutera dan hanya kandungannya sutera? Hal ini ada disebutkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn:
Ertinya: Dan haram menggunakan apa yang pada (sarung lapisan) bahagian luarannya dan dalamnya bukan sutera, dan di tengahnya pula sutera – seperti selimut. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/123)
Oleh kerana itu, selimut atau cadar yang kain atas dan bawahnya bukan sutera, tetapi di tengahnya diisi dengan 100% sutera adalah harus digunakan bagi kaum perempuan, tetapi tetap haram bagi kaum lelaki melainkan atas sebab hajat sepertimana yang telah diterangkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11997
